Pengikut

Jumaat, Mac 19, 2010

TINGGALKAN sunah, cari adat

SELALU apabila menyebut masyarakat yang mengutamakan adat berbanding hukum Allah, tertuding jari terhadap orang Minangkabau. Namun pepatah, ‘biar mati anak jangan mati adat’ bukan timbul daripada masyarakat Minangkabau sahaja, malah untuk seluruh Melayu. Tanggapan adat Perpatih Minangkabau membelakangka agama kerana adat itu memihak kepada kaum perempuan sedangkan syarak memihak kepada kaum lelaki dalam pembahagian harta pusaka. Itulah yang menjadi teras tuduhan adat Perpatih menyalahi syarak!
Sebagian orang pula tidak faham manakah yang agama (hukum syarak) dengan adat (budaya bangsa). Oleh kerana dalam pentadbiran agama itu disekalikan dengan adat resam Melayu, maka banyak pula yang menganggap adat mengingat roh itu sebagai agama. Akhirnya jamuan makan kerana kematian yang asalnya adat Melayu difahami sebagai urusan agama. Maka sesiapa yang dikatakan orang agama, alim agama, ustaz, pak kiyai, lebai, anak-anak pusat tahfiz dikira wajib tahu menjadi ketua adat berkenduri arwah ini.
Walaupun mereka yakin kenduri arwah ini tidak berdasarkan sunah nabi, tetapi mereka berhujah inilah amalan turun-temurun orang Islam di Nusantara. Oleh kerana amalan adat ini sudah kelihatan seperti urusan agama, disahkan pula dari sudut pentadbiran agama, orang alim agama Melayu menjadi penggiatnya maka semakin tebal dan kebal bahawa adat pemujaan roh dalam tradisi Melayu dianggap amalan agama Islam. Hal ini seolah-olahnya ada wahyu Allah dan Nabi Muhammad serta para sahabatnya dahulu mengamalkan kenduri arwah dan tahlilan. Sungguh, ini satu kefahaman yang salah, dusta!
Adat ini lebih dahsyat diutamakan berbanding sunah nabi yang sahih. Ada satu kampung yang guru agamanya memberi fatwa supaya tidak perlu azan Isyak lagi kerana mengejar waktu untuk ke majlis kenduri arwah. Azan merupakan syariat Islam, seruan memanggil orang solat. Malah, azan juga disunatkan kepada orang yang solat sendirian. Hadis riwayat Imam Ahmad: maksud sabda Rasulullah, ‘Tuhanmu yang maha mulia suka kepada gembala kambing di gunung yang berazan sebelum solat, lalu dia solat’.
Selain itu, biasa pula orang mendatangi rumah orang mati selama tujuh malam berturut-turut dengan jumlah yang besar, sedangkan kebanyakan mereka tidak pun solat Isyak berjamaah di masjid. Apabila imam tiba dari masjid, kebanyakan mereka sudah berkumpul di rumah itu. Hal ini satu lagi bukti adat lebih diutamakan berbanding sunah besar iaitu solat berjamaah!
Maka janganlah terlalu mudah menuduh orang Minangkabau lebih mengutamakan adat berbanding agama Allah, malah di mana-mana juga orang Melayu dengan mudah saja mengutamakan adat resam berbanding sunah nabi. Bila agaknya masyarakat Melayu kita akan jujur untuk mematuhi seruan setiap sambutan Maulidur rasul: Mari kita ikuti sunah Rasulullah, Islam yang sebenar!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan