Pengikut

Sabtu, Mac 20, 2010

BACALAH: Realiti Gerakan Sufisme

WALAUPUN buku Realiti Gerakan Sufisme kecil dan hanya 76 muka surat, tetapi penulisnya Ridhuan Abdullah berjaya mendedahkan perkara-perkara yang selama ini menjadi rahsia kepada umum. Buku ini diterbitkan oleh Karya Bestari Sdn Bhd, tahun 2007. Aliran sufi nampaknya indah kerana satu usaha untuk mendekatkan diri seseorang hamba kepada Tuhannya, tetapi perbuatan itu banyak tersasar daripada kehendak wahyu Allah dan sunah Rasulullah.
Asalnya gerakan sufi ini hanya bersifat individu, namun kerana inovasi dan perkembangan pemikiran, berubah menjadi gerakan terancang. Wujudlah aliran-aliran tarekat yang dipelopori oleh pemuka-pemuka tertentu dalam aliran sufi atau tasauf. Syeikh-syeikh mereka menjadi idola sehingga dipuja seperti perhambaan kepada Allah.
Dalam muka surat 36-37 satu catatan daripada kitab Bulghat al Murid, “Serahkan segala urusan kepadanya dan jangan persoalkannya, walaupun dia dating dengan perkara-perkara berdosa, jika itu memungkinkan kamu, datanglah kepadanya seolah-olah kamu adalah mayat. Sesungguhnya dialah yang membersihkanmu daripada dosa kekotoran, jangan kamu pijakkan kakimu di atas tikarnya atau tidur di atas bantalnya.”
Dalam meyentuh hal sufi dan tasauf, tidak dapat melupakan nama Ibn ‘Arabi yang membawa fahaman wahdatul wujud. Fahaman ini menyatakan Allah wujud dalam setiap benda. Halaman 51 penulis mencatatkan, “Kesimpulannya, menurut pandangan Ibn ‘Arabi bahawa setiap benda adalah Allah. Malah, secara terang-terangan dia mengakui Allah itu adalah Abu Said al-Kharraz. Abu Said merupakan seorang sufi di Baghdad yang mati pada tahun 277H.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan