Pengikut

Sabtu, September 05, 2009

TARAWIH berjamaah itu sunnah

DALAM kalangan orang yang mempertahankan adanya bid’ah hasanah untuk urusan ibadah khusus kerap menggunakan peristiwa khalifah Umar menganjurkan solat tarawih berjemaah sebagai ‘sebaik-baik bid’ah’. Telah sangat masyhur bahawa sebelum zaman khalifah Umar bahawa umat Islam bersolat tarawih secara sendiri-sendiri, sekalipun mereka bersolat di masjid. Lantaran keadaan itu, maka Khalifah Umar pun menyuruh mereka bersolat tarawih berjamaah.

Sebenarnya solat tarawih secara berjemaah merupakan sunah Rasulullah, telah diamalkan pada zaman Rasulullah. Telah masyhur juga satu hadis yang menceritakan bagaimana Rasulullah asalnya bertarawih di masjid dan diikuti oleh orang ramai, kemudian Rasulullah tidak melakukannya di masjid kerana bimbang orang menganggap solat tarawih satu solat fardu. Maka sejak itu Rasulullah solat tarawih di rumah termasuk pada zaman Khalifah Abu Bakr.

Berdasarkan hadis Rasulullah itu juga jelas asalnya solat tarawih dilakukan oleh Rasulullah secara berjamaah di masjid sehingga baginda berhenti kerana bimbang disangka solat fardu. Oleh itu tindakan Khalifah Umar mendirikan semula solat tarawih berjamaah bukanlah satu bid’ah atau mencipta cara baru dalam beribadah. Beliau hanya memperkenalkan semula apa yang Rasulullah ajarkan sebelumnya. Maka maksud bid'ah daripada Khalifah Umar hanya maksud istilah atau bahasa, bukan maksud syara.

Kalaulah dalam Islam dibenarkan membuat cara baru dalam beribadah (bid’ah hasanah) maka tentu orang telah menambah bilangan rakaat solat subuh, apa salahnya kerana penambahan itu untuk mendekatkan diri kepada Allah! Namun solat subuh tetap dua rakaat, tiada tambahan. Akhirnya semakin jelas bahawa istilah bid’ah hasanah hanya khayalan yang dimulakan oleh iblis untuk merosakkan akidah dan ibadah manusia yang khusuk beribadah kepada Allah.

Nabi s.a.w pernah melakukan solat tarawih secara berjamaah dan ini jelas tertera dalam kitab-kitab hadis, seperti dalam Shahih Bukhari dan Muslim. Hadis yang dimaksudkan berasal daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا. فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا. فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلاَتِهِ. فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ. فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ: أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ .

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda (menjadi makmum). Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka berkumpullah lebih ramai lagi orang (pada malam kedua). Baginda bersolat dan mereka ikut solat bersama. Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar bersolat dan mereka ikut solat bersama.

Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan ahli. (Baginda tidak keluar) sehingga pada waktu solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, bersyahadah seraya bersabda: “Amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kalian (di masjid pada malam tadi) tetapi aku bimbang difardukan (Solat Tarawih) ke atas kalian lalu kalian tidak mampu. Hal sebegini berlaku sehingga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat
. (Sahih Muslim)

Dalam sebahagian riwayat Bukhari dan Muslim disebut: “…yang demikian berlaku pada bulan Ramadhan” (وذلك في رمضان) (Shahih Bukhari)

Berkenaan bacaan salawat yang bersahut-sahutan sebagaimana dilakukan orang zaman sekarang selang antara dua rakaat tarawih jelas bukan daripada anjuran Rasulullah. Salawat ini yang antaranya memasukkan pujian terhadap empat khalifah iaitu khalifah Abu Bakr, Umar, Usman dan Ali hanya rekaan cara-cara beribadah orang zaman kemudian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan