oleh: Norhayati Kaprawi
Sebagai seorang Islam, saya tertanya-tanya wajah Islam bagaimanakah yang Malaysia mahukan? Negara Islam, Islam madani, Islam hadhari atau Islam 'hududi'? Apapun jenamanya, tentu yang kita mahukan adalah Islam yang adil, rahmah, berihsan, penyayang, mesra kepada orang perempuan, prihatin terhadap orang yang kurang bernasib baik dan Islam yang sentiasa bersangka baik pada manusia.
Akan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika Sari Dewi Shukarno (foto) tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu. Tambah malang lagi apabila ada orang Islam dan pemimpin-pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam bersorak gembira dengan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap model sambilan itu.
Selama ini, ulama dan pemimpin Islam begitu petah dan rancak sekali bila berbicara tentang keadilan dalam Islam. Namun, apabila timbul masalah sebenar dalam masyarakat, nampaknya ramai yang kelam-kabut dan teraba-raba mencari sinar keadilan itu.
Kelihatan sukar sekali mereka menterjemahkan konsep adil itu dalam menangani realiti kehidupan masyarakat. Sesungguhnya, ini adalah kesalahan pertama Kartika dan beliau telah pun mengaku bersalah. Maka, mengapa dia dikenakan hukuman maksimum? Adakah lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islamlah ia?
Bandingkan kesalahan Kartika yang tidak memudaratkan sesiapa pun dengan kesalahan mat-mat rempit dan peragut-peragut yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan telah menyebabkan kematian. Dan juga dosa Kartika dengan dosa bapa-bapa tidak bertanggungjawab yang tidak membayar nafkah sara hidup anak-anaknya.
Selepas hukuman dijatuhkan, Kartika terus membayar denda RM5,000 yang dikenakan tanpa banyak soal. Justeru, adakah adil, berhikmah dan berihsan apabila mahkamah kemudiannya menambah lagi hukuman penjara tujuh hari di penjara Kajang?
Adakah orang-orang yang selama ini mengaku memperjuangkan agama Allah dan menegakkan negara Islam mahukan Islam yang sadis, keras dan tidak berihsan? Lupakah mereka tentang Umar yang berihsan sekali dan tidak menghukum seseorang yang mencuri akibat kemiskinan.
Lupakah mereka tentang pesanan Allah: "Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu, dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Maaidah: 39)Malah, banyak lagi ayat Al-Qur’an yang memberikan peringatan yang sama seperti An-Nahl: 119, Al An’aam: 54, dan An Nahl: 125.
Patutkah Jabatan Agama Negeri Pahang yang telah memasukkan Kartika ke dalam van untuk dibawa ke penjara Kajang, menukar fikiran dengan tiba-tiba dan memulangkannya semula ke rumahnya? Kemudian, ahli majlis mesyuarat kerajaan Pahang Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa Kartika akan disebat selepas bulan Ramadan pula.
Apakah layak Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati? Umat Islam harus jujur bertanya pada sanubari diri di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh rahmah ini – adil dan setimpalkah hukuman serta layanan tidak berperikemanusiaan ini ke atas Kartika?
Norhayati Kaprawi, aktivis wanita Muslim, pernah bertugas pengurus program Sisters in Islam (SIS) selama empat tahun. Penulis juga aktif bersama Inisiatif Pencalonan Wanita (WCI)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan