Pengikut

Isnin, Januari 26, 2009

MENCARI wira sunah

AKHBAR tabloid Siasah siri 133 memberi merit kepada Ahmad Nasir Darus seorang pelajar sekolah pondok sebagai wira sunah! Wah hebat sungguh gelaran ini terutama pada akhir zaman yang penuh pancaroba dan fitnah. Saya sudah mengagak akan ada yang dinamakan wira kerana budak berserban ini masuk penjara. Saya juga yakin kalau Ahmad Nasir membayar denda RM90, nama Ahmad Nasir tidak akan semeriah ini, apatah lagi hendak dinobatkan sebagai wira.

Gelaran wira ini nampak tergendala dan tidak dapat dipacu ke puncak apabila orang tua paling berpengaruh dan berserban tidak menyokong tindakan Ahmad Nasir. Menteri Besar Kelantan YAB TG Nik Abdul Aziz berkata orang berserban yang mahu menunggang motorsikal kena memakai topi keledar. Tak faham? Tuan Guru mahu budak-budak sekolah pondok atau orang yang suka berserban apabila hendak ke mana-mana dengan menunggang motorsikal wajib buka serban, lipat serban itu dan pakai pula topi keledar. Tuan Guru yang berpuluh tahun memperjuangkan Islam dan memahami sunah tetap mengatakan ‘pakai topi keledar untuk keselamatan’.

Sebenarnya banyak orang hanya memahami sunah sekadar persepsi terhadap satu atau dua contoh. Serban dan janggut sering dijadikan modal untuk dijadikan contoh amalan sunah. Begitu juga mereka yang mahu berpoligami, lancar saja mengatakan berpoligami itu sunah nabi. Selain serban dan poligami, apa lagi yang sunah? Sunah itu ajaran Islam yang dicatat dalam alquran dan hadis-hadis sahih nabi. Hal-hal akidah dan ibadah khusus yang dibuat, diucapkan dan disahkan oleh nabi diertikan sunah.

Ada yang berserban itu, hendak bercakap lawan kepada sunah pun kelu atau mencari helah. Beranikah mereka yang tidak henti-henti mendakwa serban itu sunah juga hebat huraiannya mengenai bid’ah? Allah menjadikan sesuatu itu ada lawannya supaya manusia memilih yang betul. Bersih lawannya kotor, syurga lawannya neraka, baik lawannya jahat, berilmu lawannya bodoh maka sunah lawannya bid’ah!

Kalau sunah itu ialah amalan contoh daripada nabi khasnya urusan akidah dan ibadah, maka apa juga akidah dan ibadah yang bukan daripada nabi adalah bid’ah. Kita kaum muslim cepat menilai perkara tokok tambah dalam akidah dan ibadah agama Kristian, lalu kita menolak bid’ah-bid’ah berkenaan kerana menyalahi kehendak Allah dan ajaran Nabi Isa alaihi salam. Namun apabila ada ucapan dan amalan tokok tambah (bid’ah) dalam Islam, sebagian orang yang sepatutnya menjelaskan bid’ah telah mencari helah baru dengan mengatakan bid’ah hasanah semata-mata untuk menghalalkan tokok tambah, kemudian syok sendiri mengatakan Allah suka kerja-kerja penambahan atau ‘baik pulih’ ini.

Serban bukan akidah dan ibadah khusus, tetapi hal pakaian keduniaan seperti kerja-kerja mencari nafkah yang berbeda-beda berdasarkan tempat dari satu zaman ke zaman lain. Pakaian juga termasuklah kain pelikat, seluar, seluar dalam, sampin, lampin, ikat kepala, bengkung, topi, kasut, stokin, sapu tangan, tali leher, baju kemeja, baju Melayu, juga blangkon Jawa adalah hal adat budaya sesuatu bangsa. Pakaian akan senantiasa berubah kerana alam hidup manusia yang dipengaruhi cara hidup, pekerjaan, iklim dan sebagainya.

Memang Rasulullah berserban sebab itu pakaian tradisi bangsa Arab. Siapa kata Abu Jahal dan Abu Lahab tidak berserban? Mereka orang Arab, sama seperti Rasulullah maka sekalipun memusuhi Rasulullah namun mereka berserban juga. Siapa boleh beri bukti semua pasukan musuh Islam yang berbangsa Arab dalam Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandak, Perang Hunain dan Perang Khaibar itu tidak berserban, sebaliknya semua tentera Islam dan orang Islam saja pada zaman Rasulullah itu yang berserban. Maka sama juga dengan bangsa Melayu bersongkok sama ada mereka Islam atau bukan Islam. Berapa banyak orang Melayu di Indonesia yang bersongkok atau memakai peci. Malah berdasarkan Kebudayaan Kebangsaan yang dilazimkan sejak tahun 1971, songkok dan pakaian sut Melayu diterima sebagai pakaian kebangsaan Malaysia. Songkok telah dipakai oleh bukan Islam termasuk para hakim, atlit dan mereka bukan Islam yang menghadiri majlis diraja.

Tidak ketinggalan orang berhujah bahawa membela kambing adalah sunah sebab Rasulullah juga membela kambing. Apa hal dengan pekerjaan di Malaysia seperti membela ikan keli, menorah getah, menjala ikan, menjadi pengawal keselamatan, pengaturcara computer dan lain-lain yang tidak dilakukan oleh nabi? Adakah semua kerja itu bukan sunah dan tidak ada pahala? Kelak saya akan ketawa apabila ada orang tinggal di apartmen tapi membela kambing atas alasan sunah nabi. Kemudian apabila dihukum penjara dia digelar hero sunah akhir zaman!

Sunah dalam akidah dan ibadah khusus tidak boleh diubah. Solat lima waktu tidak boleh dijadikan enam waktu atau dikurangkan kepada empat waktu saja. Solat pun tak boleh ditambah apa-apa bacaan seperti usalli kerana Rasulullah tidak memberikan contoh begitu. Kepada pencinta sunah pasti bersyukur apabila usaha membanteras amalan hadis palsu dan daif dilaksanakan. Hadis palsu dan daif itu betul-betul satu pengkhianatan kepada sunah. Namun berapa banyak yang sayangkan sunah nabi bersedia menerima hakikat adanya hadis palsu dan daif sedang berlegar-legar dalam kehidupan, malah telah menjadi pegangan ratusan tahun.

Untuk mengelak daripada dituduh tidak mengamalkan sunah dan pelaku bid’ah, maka helah mudah ialah menyatakan ‘hal khilafiah’ atau perbedaan pendapat. Dengan kalimah khilafiah, maka ajaran hadis palsu dan daif terus berjalan dan subur, tambah kalau orang percaya wujudnya bid’ah hasanah. Goreng habis Labuuu…!

Inilah cabaran kepada yang cintakan sunah nabi: Membersihkan diri daripada bid’ah dan ini kerja sukar kerana bid’ah adalah urusan agama yang akal manusia memandang sangat cantik. Banyak orang sudah terpesona dengan amal bid’ah, tidak percaya bid’ah adalah ancaman sunah nabi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan