Pengikut

Sabtu, Januari 31, 2009

ISLAM itu mudah kerana fitrah

Oleh: Prof Datuk Dr. Mahmood Zuhdi b .Abdul Majid
(Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan tahun 1430H)

Pada suatu masa beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w. datang kepada baginda menegaskan komitmen mereka yang tinggi terhadap Islam. Salah seorang daripada mereka menyatakan dia akan solat di sepanjang malam pada tiap-tiap malam. Seorang lagi menegaskan dia akan berpuasa seumur hidup. Seorang yang lain pula menegaskan dia tidak akan berkahwin selama-lamanya kerana mahu menumpukan kepada ibadat.

Kepada semua mereka ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan, komitmen yang ditunjukkan itu jelas keterlaluan. Sebaliknya baginda menegaskan mereka berhak untuk hidup seperti orang biasa tanpa menyebabkan taraf keislaman mereka menjadi kurang. Mereka boleh berpuasa dan boleh berbuka. Mereka boleh solat malam dan boleh tidur. Mereka juga boleh beristeri tanpa rasa bersalah.

Dalam peristiwa lain, seorang sahabat baginda datang menyatakan untuk bersedekah dengan semua hartanya. Rasulullah s.a.w. bersabda, jangan. Itu terlampau banyak. Apabila jumlah itu dikurangkan kepada separuh oleh sahabat berkenaan Rasulullah tetap melarangnya daripada berbuat demikian. Apabila kemudiannya diubah kepada satu pertiga barulah baginda Rasulullah membenarkannya . Begitu pun baginda menjelaskan jumlah berkenaan juga banyak. Selain itu baginda juga menyatakan adalah lebih baik bagi sahabat berkenaan mewariskan hartanya itu kepada para warisnya agar mereka tidak hidup miskin.

Fitrah Manusia

Moral kepada riwayat-riwayat di atas ialah Islam sentiasa menghormati fitrah atau tabiat semula jadi manusia. Antara sifat semula jadi tersebut yang biasa disebut juga sebagai naluri ialah makan, tidur dan berkahwin. Kerana itulah dalam riwayat di atas baginda Rasulullah melarang ia diabaikan begitu sahaja. Sebaliknya kata baginda, naluri-naluri itu berhak dilayani sebaik-baiknya.

Tentunya suatu hasrat yang murni untuk banyak solat, banyak berpuasa atau melakukan apa saja ibadat secara umum. Namun kalau ibadat-ibadat itu sampai ke peringkat menafikan perasaan semula jadi atau naluri manusia sendiri ia bertukar menjadi sesuatu yang tidak dialu-alukan.

Riwayat kedua di atas menyentuh tentang pemilikan dan pelupusan harta. Tentunya suatu perkara baik untuk bersedekah dengan sebanyak mungkin harta. Tetapi kalau jumlah berkenaan melibatkan penafian terhadap naluri ingin memiliki dan mendapat faedah daripada harta maka ia bertukar menjadi sesuatu yang tidak baik.

Bagaimana pun kenyataan-kenyataan di atas jangan disalah ertikan. Jangan pula ada yang mengatakan setiap perasaan itu perlu dilayan. Sehubungan dengan ini Islam menamakan perasaan itu sebagai “nafsu” dan membahagikannya kepada dua. Pertamanya, “nafsu mutma`innah” yang perlu dilayani. Sementara keduanya pula, “nafsu lauwamah” yang perlu diperangi.

Kembali kepada persoalan fitrah yang menjadi tumpuan kepada makalah ini. Secara ringkasnya hal itu adalah sifat murni manusia yang belum dikotori oleh hawa nafsu. Maksudnya Islam sentiasa menghormati sifat berkenaan, iaitu yang menjadikan manusia sebagai manusia dan bukan malaikat atau binatang. Dengan kata lain, segala nilai dan peraturan yang terdapat dalam Islam itu sendiri selaras dengan fitrah atau sifat semula jadi manusia yang murni dalam segala seginya, baik fizikal, emosi, intelektual dan sebagainya.

Agama Fitrah

Dalam satu hadis Rasulullah sendiri menamakan Islam sebagai agama fitrah. Sabda baginda s.a.w. maksudnya, setiap orang dilahirkan ke dunia ini dalam sifatnya yang asal, iaitu fitrah. Kemudian kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya sampai menjadi Yahudi atau Kristian atau Majusi. Kata para ulama, maksudnya secara semula jadi atau fitrah manusia itu dilahirkan sebagai seorang muslim. Maka kalau kemudiannya dia menganut agama lain, sama ada secara warisan atau pilihan sendiri dia dianggap telah lari daripada fitrahnya yang asal.

Maksudnya, sekali lagi Islam dan fitrah manusia itu seolah-olah sinonim. Dengan kata lain, segala apa yang terdapat dalam Islam sama ada berupa suruhan atau tegahan tujuannya ialah untuk mengekalkan kemurnian fitrah manusia itu sendiri supaya tidak tercemar. Sebaliknya pula fitrah manusia yang murni dan tidak dicemari oleh apa-apa kekotoran akan tetap menerima Islam dan tidak sekali-kali akan menolaknya.

Berasaskan kepada idea inilah lahirnya apa yang disebut sebagai universalisme Islam. Maksudnya, penerimaan Islam terhadap nilai hidup sejagat. Dengan kata lain, penerimaan Islam terhadap manusia sebagai manusia dalam sifatnya yang murni, dan penerimaan manusia yang masih murni sifatnya terhadap Islam sebagai satu anutan dan amalan hidup.

Sehubungan dengan ini para ulama banyak berbincang tentang kemampuan akal manusia untuk menentukan baik buruk. Rata-rata mereka menerima peranan akal dalam menentukan sistem nilai seperti itu asalkan saja tidak pernah dijelaskan secara khusus oleh nas al-Quran atau al-Sunnah. Kerana antara akal manusia yang murni dan kehendak agama Islam yang sebenar tidak akan berbeza.

Atas dasar inilah ijtihad diharuskan dan diamalkan dengan begitu meluas sekali. Malah Rasulullah s.a.w. sendiri menyifatkan ijtihad itu sebagai suatu usaha menemui kebenaran yang semula jadi atau dalam makalah ini disebut fitrah. Kerana itulah usaha ijtihad yang jujur tetap akan mendapat pahala meski bagaimana sekalipun hasil pada hakikatnya.

Kembali Kepada Fitrah

Sebenarnya istilah “fitrah” itu sendiri sentiasa disebut dalam Islam. Selain daripada apa yang telah disebut di atas ada banyak ungkapan lain lagi, antaranya iftar, iaitu berbuka puasa, ‘Eid al-Fitr, iaitu hari raya puasa, zakat al-fitr, iaitu zakat fitrah, sunan al-fitrah, iaitu kebiasaan semula jadi, dan sebagainya. Semuanya ini merujuk kepada keaslian manusia sendiri.

Iftar bermaksud kembali kepada kedudukan asal, iaitu dengan berbuka setelah seharian berpuasa. Dengan berbuka orang berkenaan kembali kepada tabiatnya yang asal iaitu makan. ‘Eid al-fitr pun sama, iaitu kembali kepada kedudukan atau sifat yang asal, iaitu makan selepas berpuasa sebulan. Malah ada orang mengatakan ‘Eid al-Fitr melambangkan perkembalian kepada sifat asal yang bersih dan murni selepas proses pembersihan dan pemurnian itu berjaya dilakukan sepanjang bulan Ramadhan sebelum itu.

Zakat al-fitr, iaitu zakat fitrah bermaksud menyucikan diri daripada segala kesalahan remeh-temeh yang berlaku pada sepanjang bulan Ramadhan sebelum itu agar ia tidak menjejaskan mutu puasa yang dilakukan sepanjang bulan berkenaan. Sementara sunan al-fitrah, iaitu kebiasaan semula jadi manusia, misalnya kebersihan badan pula merupakan usaha mengekalkan kedudukan yang asal bagi seseorang secara fizikal.

Semuanya ini menunjukkan bahawa Islam sentiasa mendokong idea kembali kepada fitrah, iaitu keaslian manusia yang belum dicemari oleh apa-apa pencemaran baik dari segi akidah, ibadat, muamalat atau urusan hidup seharian dan sebagainya. Serentak dengan itu juga ia menunjukkan bahawa Islam itu sendiri agama fitrah, iaitu yang selaras dengan sifat semula jadi manusia. Maka untuk mengamalkan atau memenuhi kehendaknya sangat mudah sekali kerana ia merupakan realisasi kepada fitrah manusia sendiri yang murni.

Pencemaran Fitrah

Berasaskan kepada teori di atas dapatlah dengan secara jelas difahami bahawa Islam itu sangat mudah untuk dihayati atau diamalkan. Caranya ialah dengan mengekalkan sifat semula jadi atau fitrah manusia sebagai manusia. Adalah menjadi fitrah manusia untuk mencari Tuhan di sebalik rahsia alam ini, dan untuk tunduk serta patuh kepada-Nya. Adalah menjadi fitrah manusia untuk bersikap baik sesama manusia dan tidak melakukan kejahatan antara satu sama lain.

Namun secara praktiknya tidak semudah itu. Salah satu daripada sebabnya ialah kerana fitrah manusia itu sendiri sentiasa terdedah kepada pencemaran. Dalam diri manusia ada nafsu yang boleh mendorong dia melupakan fitrahnya. Sementara di luar diri pula ada persekitaran yang merangsang supaya dia lupa terhadap fitrah dirinya itu. Namun pencemaran fitrah tidak semestinya dalam bentuk yang secara tabi’inya buruk.

Perasaan rakus sampai menceroboh hak dan kepentingan orang lain sememangnya buruk secara tabi’i. Tetapi perasaan loba untuk berbuat baik sampai melanggar batas fitrah tidak secara tabi’inya buruk. Meskipun kedua sikap itu secara tabi’inya tidak sama, namun dari perspektif pelanggaran terhadap fitrah kedua-duanya berada pada kedudukan yang sama, iaitu bersikap di luar daripada kewajaran yang asal. Kerana itu ekstremisme atau sifat keterlaluan, walaupun dalam usaha memperjuangkan kebaikan Islam dianggap sebagai melanggar kewajaran dalam Islam sendiri.

Antara contohnya ialah menolak keburukan dengan melakukan keburukan yang lebih besar, melakukan kebaikan tanpa menghiraukan implikasi keburukan yang lebih besar, dan sebagainya. Malah contoh dalam hadis-hadis yang disebut di atas juga jelas. Ia sekadar menggambarkan apa saja sifat keterlaluan dan bertentangan dengan amalan biasa manusia yang normal. Malah termasuk juga dalam kumpulan ini sifat atau sikap menyusah-nyusahkan Islam yang mudah sampai dilihat sebagai sukar untuk direalisasikan dalam kehidupan biasa. Ini termasuk dalam semua bidang, baik cara berfikir, cara bersikap, cara membentuk dan menunjukkan imej, cara berurus dan banyak lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan