Pengikut

Jumaat, Julai 25, 2008

PENGAJARAN Sidang Nicea 325M


PADA tahun 325 Masehi di Bandar purba Nicea atau sekarang Iznik di Turki telah berlangsung persidangan para Bishop Kristian mengenai akidah agama Kristian. Seluruh Eropah waktu itu dalam kekuasaan Empayar Rom, dan Maharaja Konstantin yang sangat berminat mengenai Kristian telah mengundang sebanyak-banyaknya Bishop dari seluruh Empayar Rom.

Isunya bukan menentukan pakaian yang perlu dipakai oleh Santa Claus, tetapi hendak menetapkan salah satu pendirian akidah antara Jesus (Nabi Isa) sebagai Allah atau Jesus sebagai manusia! Kira-kira 300 orang Bishop berbahas mengenai pendirian yang dibawa oleh pihak Homoousian yang mendakwa Jesus adalah Allah atau sebagian daripada Allah dan pandangan lain ialah Jesus hanya sebagai putera atau manusia, pendirian pihak Arius (Arian).






Hasil persidangan itu ialah majoriti besar para Bishop telah menolak pendirian pihak Arian yang mengatakan Jesus adalah putera, iaitu bukan Allah. Maka sejak itu doktrin bahawa Jesus adalah Allah telah dikembangkan ke seluruh Eropah dan menjadi doktrin sah untuk agama Kristian.

Semua itu masalah mereka kaum Kristiani, namun umah muslim perlu sangat mengambil pengajaran atau iktibar daripada peristiwa berkenaan. Kadang-kadang sesama kita suka melihat masalah di luar untuk menggambarkan kebaikan dan kekukuhan sendiri. Misalnya ada pihak suka menuduh pihak sebelah sana jahat dan salah sebagai usaha membina keyakinan bahawa dirinya benar dan sah.

Bolehkah hukum akidah dan ibadah ditentukan berdasarkan rukun demokrasi, iaitu sesuatu itu benar dan sah kerana didukung majoriti besar? Tentu tidak, memang tidak pernah ada persidangan menentukan hukum akidah Islam sebagaimana Sidang Nicea itu.

Namun perhatikan bahawa sindrom kemalasan dan budaya taklid telah menyebabkan rukun demokrasi kerap digunakan untuk mengesahkan sesuatu hukum atau pendirian. Apabila berlaku sedikit perbedaan pendapat dalam umah, kerap sangat yang ditekankan ialah kebanyakan umat Islam tidak melaksanakannya, maka keputusannya tidak perlu kepada hal itu. Atau, sudah beratus-ratus tahun diamalkan dan kebanyakan umat Islam mengamalkannya, maka keputusannya terus laksanakan, kerana tidak mungkin yang kebanyakan itu salah.

Kalaulah Islam itu menurut kehendak kebanyakan orang nescaya Rasulullah tidak menyampaikan Islam kepada manusia. Selama 13 tahun umat Islam sangat minoriti di Makkah sehingga diancam kepelbagaian yang menggerunkan jiwa. Yang terbanyak pada zaman itu ialah menolak Islam. Maka berdasarkan rukun demokrasi, Rasulullah patut saja berhenti dan mengikut saja kehendak yang terbanyak itu. Islam tegak kerana fakta dan hujah, bukan kerana sandaran peribadi sang tokoh atau kehendak suara terbanyak.

Ada lagi contoh kebobrokan minda pada seseorang. Misalnya apabila sedar tidak mampu melawan fakta dan hujah, akhirnya dia akan mengatakan bahawa banyak orang lain pun melakukan kesalahan demikian. Misalnya perbuatannya itu membiakkan khurafat, syirik dan bid’ah, tetapi membela perbuatannya dengan mengatakan di mana-mana pun banyak orang Islam yang turut melakukan perbuatan itu. Dalih ini juga menyamai penggunaan rukun demokrasi untuk membela dirinya daripada dipersalahkan dengan alasan banyak juga yang turut melakukan kesalahan. Mudahnya, “jangan saya seorang dikatakan salah, mereka yang banyak juga sama salah.”

Tidakkah dua contoh ini menggunakan rukun demokrasi seperti Sidang Nicea tahun 325M itu?

Apabila wahyu pertama itu memerintahkan umah ‘membaca’, harus difahami bahawa ilmu adalah teras kepada Islam. Ilmu adalah gabungan fakta dan hujah, maka Islam itu sah dan benar kerana kekuatan fakta dan hujah. Tanpa keberanian fakta dan hujah, individu akan terdorong kepada amukan emosi. Akhirnya kerana emosi yang meluap-luap, ucapannya sudah menjurus kepada kata dua. Oh, penulis pun ada diberi kata dua, “tidak mahu percaya? Ya Allah apa hendak jadi dengan kamu?” Penulis meminta fakta dan hujah, bukan kata dua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan