Pengikut

Isnin, Julai 14, 2008

GOLONGAN baru dalam antihadis?

SEORANG yang bergelar ustaz telah diwawancara sebuah akhbar tabloid mengenai sunah Rasulullah. Dalam awal perbincangannya ustaz berkenaan menyelar golongan antihadis yang ditunjangi beberapa individu intelektual. Menurutnya golongan antihadis hanya menerima alquran dan menolak sama sekali hadis-hadis Rasulullah sebagai sumber perundangan-undangan dalam Islam.

Misalnya beliau mengulang dakwaan golongan antihadis mengenai kewajiban menutup aurat wanita yang hanya bersebabkan faktor cuaca panas dan tanah berdebu di Arab zaman dahulu. Ustaz ini menjelaskan bahawa hadis-hadis menjelaskan adanya hal penutupan aurat wanita. Menurut ustaz berkenaan hadis atau sunah Rasulullah adalah penjelas kepada ayat-ayat alquran.

Setelah itu ustaz berkenaan (yang memang diketahui antinya kepada satu pihak) telah membawa isi wawancara kepada satu golongan lain yang menurutnya sebagai antihadis juga. Antara kenyataan yang direkodkan dalam tabloid itu ialah, “mereka yang mengatakan nabi tidak melakukan sesuatu perkara dengan sewenang-wenangnya disebabkan kejahilan diri sendiri juga dikatakan antihadis.”

“Ada yang kata jangan buat ini kerana nabi tidak buat sedangkan dia sendiri tidak mengetahui sama ada nabi melakukannya atau tidak, hanya dia yang pandai-pandai mengatakan demikian dan itu termasuk orang antihadis, juga bahaya.

“Orang Islam kena memahami setiap apa yang tidak dilakukan nabi tidak semestinya haram. Ada yang nabi tinggal dan tidak melakukannya kerana hendak mengajar umatnya dan ada benda harus.

Contohnya mengatakan bid’ah menyambut maulidur rasul sebab nabi tidak melakukannya. Nabi tidak melakukannya kerana nabi sibuk dengan benda lain lagi. Jangan kata faktor hadis untuk tolak sesuatu benda yang kita tidak tahu.”


Komen penulis ialah,

Pertama: Maksud golongan antihadis ialah mereka yang secara total menolak apa juga maksud hadis sebagai satu sumber hukum dalam Islam. Golongan ini secara jelas tidak menerima hadis-hadis termasuk kategori hadis sahih.

Setahu penulis, golongan yang membanteras amalan bid’ah dalam agama bukan menolak hadis, malah mereka dilihat sangat berhati-hati menerima hadis. Kepada mereka, hadis-hadis sahih dijadikan petunjuk untuk amalan sunah Rasulullah kemudian menolak amalan hadis dhaif dan palsu dalam urusan agama.

Kedua: Tidak ada sesiapa ilmuan yang dengan sewenang-wenang mengatakan sesuatu perkara ada dilakukan oleh nabi dan perkara lain tidak dilakukan oleh nabi. Semua dinyatakan dengan hujah dan penuh tanggung jawab.

Jika seseorang dituduh sebagai jahil kerana mengatakan sesuatu perkara itu tidak dilakukan oleh nabi, maka lebih banyak muslim akan tertuduh sebagai jahil kerana mendakwa nabi melakukan amal itu dan ini sedangkan mereka tidak langsung dapat memberikan apa-apa bukti.

Ketiga: Mendakwa Rasulullah tidak mengadakan sambutan Maulidur Rasul kerana sibuk dengan benda lain adalah satu tuduhan jahat kepada Junjungan Besar Rasulullah sebagai tidak pandai menyampaikan dakwah atau menyembunyikan sesuatu ajaran atas nama kesibukan! Rasulullah dijaga terus oleh Allah swt dan tidak mungkin ada syariat atau amal ibadah yang disembunyikan daripada pengetahuan umah atas nama kesibukan kerja dakwah lain. Sibuk-sibuknya Rasulullah, tidak pernah baginda meninggalkan solat berjemaah, tetapi kita kerap memberikan alasan sibuk untuk tidak solat berjemaah.

Membaca ayat nabi sibuk dengan benda lain sehingga tidak sempat mengadakan sambutan maulidur rasul menyebabkan penulis beristighfar. Dia itu ustaz dan cakapnya akan dijadikan dalil oleh orang yang ambil mudah saja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan