Pengikut

Isnin, April 07, 2008

SMS paling karut

SEBENARNYA ada beberapa SMS yang saya terima yang saya tidak suka, sekalipun SMS ini dikirim oleh mereka yang saya kenali. Baru-baru ini saya mendapat SMS yang mesejnya hampir sama iaitu meminta saya lebih banyak beribadah dan ancaman keburukan dan kebaikan. Berikut adalah SMS berkenaan:

Baca dan teliti: “ALLAH AKU CINTAI KAU DAN AKU PERLUKAN KAU… DATANGLAH KE HATIKU…” Kirim pada 10 orang dan lihat keajaiban malam ini. Tolong jangan delete, ia benar-benar terjadi. Ini SMS dari ibu ALI SAID - juru kunci sayyida Makkah yang bermimpi bertemu RASULULLAH S.A.W. Beliau berpesan: “Kuatkan akidah dalam ibadah kerana dunia ini sudah goyah dan tua..” Sebarkan SMS ini ke 10 muslim, insya Allah dalam waktu 10 hari akan dapat rezeki besar dan jika tidak disebar tunggulah kesulitan yang tidak henti-henti.

Saya balas: Maaf ini SMS karut yang merosakkan akidah dan melemahkan umah. Isi SMS berlawanan dengan isi alquran.

Saya mengenali pengirim SMS ini, bukan orang lain melainkan kenalan dan ada ikatan darah juga. Dua bulan lepas saya bertemu dan bertanyakan mengapa tidak mahu menjadi Ketua Kampung. Beliau menjawab bahawa tidak mahu banyak urusan dengan manusia sebagai Ketua Kampung, sebaliknya lebih rela dan selesa berhubungan dengan Allah sebagai AJK masjid di kampungnya.

Tidak tahu sudah berapa generasi SMS ini bertebaran dan disambut dengan ‘rasa keimanan’ oleh manusia muslim. Jika saya sudah mendapat SMS ini bermakna selain saya ada sembilan lagi yang mendapat SMS ini. Orang yang menghantar SMS karut ini kepada saya (mungkin sembilan orang lain) tentu yakin dengan janji syaitan akan mendapat rezeki besar dalam tempoh 10 hari dan di balik itu dia tentu gerun dengan malapetaka yang dijanjikan jika mendiamkan saja SMS itu. Sebab itulah saya mendapat SMS dan diharap saya juga akan bertindak sepertinya.

Perhatikan pendirian peribadinya yang mahu menjaga hubungan dengan Allah lebih daripada hubungan dengan manusia. Dia juga seorang AJK masjid, bukan AJK persatuan peminat burung ketitir atau Pengerusi Kelab Lepak di simpang jalan. Pada saya malanglah, orang yang mahu menjaga hubungan dengan Allah dan ada jawatan di masjid masih percaya adat jahiliyyah. Jika yang menghantar SMS ini daripada budak 10 tahun mungkin difahami dia sebagai tidak berakal lagi. Tetapi kalau dilakukan oleh orang yang berkopiah dan rambut sudah beruban, orang akan percaya juga dan menyebarkan SMS karut itu.

Itulah SMS syirik! Isinya sama seperti ramalan tukang nujum. Sama seperti dalam cerita P Ramlee, “kalau tidak percaya jawabnya anak luar nikah” maka semua percaya! Filem adalah cermin masyarakat, jadi betul berlaku sekalipun zaman sudah saintifik. Mereka tidak sedar ‘syirik’ menjenguk masuk dalam poket sekalipun kerap berzikir sambil geleng-geleng kepala setiap malam Jumaat. Ini antara sebab saya memang anti orang beramal tanpa ilmu, buat secara bodoh dan akhirnya melakukan dosa syirik kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan