Pengikut

Khamis, April 10, 2008

ANTARA zakat dan cukai

SEINGAT saya sudah lebih dua tiga kali saya mendengar ceramah atau ucapan personal zakat yang menarik khalayaknya agar membanyakkan bayaran zakat sambil mengurangkan bayaran cukai pendapatan. Antara isu ucapannya ialah orang akan lebih senang membanyakkan bayaran zakat, tetapi akan mencari helah atau mahu mengurangkan cukai pendapatan.

Fahamlah bahawa zakat adalam urusan Rukun Islam, maknnya kalau dapat membayar zakat bererti kian sempurna dirinya sebagai muslim. Tidak ditolak hujahan bahawa jika sudah beres syahadahnya, solat dan puasanya, maka zakat akan melengkap keislamannya secara tahunan. Dan nanti sekali seumur hidup akan ke Makkah menegerjakan haji.

Mnerima zakat dengan pasrah dan kian sudi menambah jumlah, sedangkan pada waktu yang sama bersikap kikir terhadap cukai pendapatan dapat dimengerti berlaku pemisahan antar Islam dan negara. Soalannya, adakah negara tidak punya hak mengenakan cukai terhadap rakyatnya?

Di negara kita, jika muslim sudah membayar zakat dan nilainya menyamai nilai cukai pendapatan yang wajib dibayar, maka individu itu tidak perlu membayar cukai pendapatan lagi. Katakan saja zakat yang dibayar bernilai RM1,000.00 manakala cukai pendapatannya ialah RM2,000.00, cukuplah dia membayar cukai sebanyak RM1,000.00 di samping RM1,000.00 bayaran zakat. Ini membawa maksud cukai pendapatan terhapus dengan pembayaran zakat.

Tulisan ini bukan mempersoal kewajaran cukai pendapatan dalam sebuah negara. Wacana ini hanya menyelidiki pendirian Islam dan negara, adakah Islam dipisahkan daripada peraturan negara. Jika pembayar zakat menganggap bayaran zakat sebagai berpahala besar (700 peratus) berdasarkan satu firman Allah dalam surah al Baqarah, apakah pembayaran cukai pendapatan sebagai hangus dan sia-sia tanpa ada apa-apa nilai di sisi Allah?

Soalan lain yang wajib dijawab secara jujur ialah adakah ganjaran di sisi Allah kecil kepada penderma dana sebuah jambatan berbanding penderma dana membina masjid? Jambatan dan masjid, kedua-duanya sebagai hak awam, sama-sama untuk kepentingan umah.

Pada saya, jika antar kita mula menganggap bahawa segala derma atau infak untuk ibadah khusus sebagai dana Islam dan sumbangan terhadap hal kepentingan dunia sebagai hal dunia dan tidak Islam, ini merupakan fahaman salah dalam umah. Akan timbul hujah seperti tidak boleh sama sekali bercakap dusta di masjid, tetapi di pentas politik biasa saja. Mencuri harta masjid dianggap dosa besar, tetapi mencuri harta kerajaan dianggap harus saja sebab kerajaan mesti membantu rakyat!

Makan babi haram kerana tercatat dalam alquran, tetapi membuat tuntutan (claim) daripada kerajaan yang bukan selayaknya dianggap usaha mencari rezeki. Membayar zakat ya, tetapi di Langkawi, Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang mengelak cukai bawa masuk barang. Jika Islam itu ‘kaffah’, maka fahamilah Islam yang kaffah itu. Wacana ini sekadar mengajak pembaca menduga-duga, adakah kita begitu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan