Pengikut

Sabtu, November 07, 2015

PANDANGAN remajaku terhadap Revolusi Iran 1979

“ZAMAN anak-anak kita sekolah esok mereka belajar Revolusi Iran.”  Itu yang saya katakan pada rakan sekolah semasa Tingkatan Tiga dahulu, tahun 1979. Waktu itu dalam pelajaran Sejarah di Tingkatan Tiga, antara yang ditekuni ialah peristiwa besar dunia seperti Revolusi Perancis 1789, Perang Kemerdekaan Amerika 1776 dan Revolusi Bolshevik 1917 di Russia.  Sebab itulah Revolusi Iran (bacalah revolusi agama Syiah) yang menghapuskan dinasti Pahlavi berusia lebih 2,500 tahun bagi kami pelajar Tingkatan Tiga salah satu peristiwa besar.  Kini baru faham, revolusi-revolusi besar telah mengubah sejarah dunia, tapi apakah Revolusi Syiah Iran sama?

Khomeini turun daripada Air France

Saya tulis pengamanan dan pemerhatian sebagai murid sekolah dan remaja mengenai pengaruh Revolusi Syiah Iran.  Saya memang teruja mengetahui berita revolusi di Iran.  Waktu itu Khomeini dalam buangan di Perancis dan rakyat Iran berdemo hari-hari sehingga Raja Iran, Shah Reza Pahlavi dan istrinya Farah Diba terpaksa lari ke Mesir. Khomeini yang digelar Ayatullah Ruhullah, pulang ke Iran dan diangkat sebagai pemimpin agung. Akhbar dalam negara menyebut pemerintahan Mullah di Iran.  Nama Perdana Menteri Mehdi Bazargan pun saya masih ingat dengan fotonya yang saya anggap sangat karismatik.

Tahun  1981, ustaz yang mengajar di Tingkatan Empat memuji-muji Khomeini sebagai pemimpin besar umat Islam semasa. Ustaz mesti menyebut nama Khomeini dengan gelarannya: Ayatullah Ruhullah.  Saya pun tidaklah tahu hal Syiah sangat, kecuali pemahaman mereka lanjutan konflik zaman awal Bani Umayyah dahulu.

Apabila masuk di Tingkatan Enam, seorang guru lepasan Pengajian Islam UKM mengajar saya. Antara kekaguman beliau terhadap revolusi di Iran, saya masih ingat kata-katanya, “Sewaktu Nabi dan para sahabatnya sedang dalam discussion, baginda nabi menyebut, ‘kelak akan bangun umatku mengamalkan Islam’ sambil menepuk paha salah seorang sahabatnya. Sahabat yang ditepuk ialah Salman al-Farisi.”  Namun sampai  saya dewasa sekarang tidak pernah melihat dan membaca hadis itu.

Tahun 1983, Presiden atau Yang Dipertua Pas baru, Haji Yusuf Rawa datang ke kampung saya, Sepintas. Kampung Sepintas sebenarnya seperti tidak ada apa-apa. Haji Yusuf Rawa datang sebab dibawa Haji Hassan Shukri (saya tak tahu apa jawatan Haji Hassan waktu itu). Haji Hassan Shukri adalah anak jati Kampung Sepintas. Haji Yusuf Rawa datang merasmikan Mesyuarat Agung Pas ranting Kampung Sepintas. Haji Yusuf berucap sambil duduk, tapi bersemangat dan kuat tanpa pembesar suara (waktu itu kampung Sepintas belum ada bekalan elektrik).  Antara lain beliau berkata, “Ada pihak menuduh Pas hendak memerintah seperti revolusi di Iran, dan saya mengimport revolusi itu ke Malaysia, sebab saya bekas duta ke Iran.”

Tahun-tahun selepas kejayaan Revolusi Syiah Iran memang nampak kesannya dalam Pas. Ceramah-ceramah pun selalu menyebut ‘ini zaman kebangkitan Islam’.  Media arus perdana tidaklah memberi gambaran zaman kebangkitan Islam. Media kecil seperti Watan dan Mingguan Tanahair menjadi pilihan saya.  Pas perasan mendapat sokongan besar umat Islam apabila setiap kali ceramah, pengunjungnya ribu-ribu orang. Namun dalam PRU 1985, gagal di Kelantan dan hanya mendapat satu kerusi Parlimen iaitu Pangkalan Chepa.  Namun pengaruh revolusi Syiah Iran memang ketara dengan konsep kepemimpinan ulama. Kata para penceramah lebih kurangnya, “Ulama yang lebih tahu soal hukum-hakam agama, maka ulama yang paling baik memerintah negara.”  Ini semua mengambil semangat dan contoh Iran yang memberi meletakkan para mullahnya sebagai pemerintah tertinggi.  Kebanyakan pemimpin Pas mesti berjubah putih dan berserban ketika berceramah sekalipun mereka bukan golongan ustaz.  Hari ini pemimpin yang dahulunya berjubah ke sana-sini, memakai semula tali lehernya sewaktu bertahaluf siasi dengan DAP.


Hemat saya, dahulu kebanyakan orang Islam kita tidak faham akidah Syiah yang sebenarnya bukan Islam.  Maka tidak hairan sebilangan ahli agama melihat Syiah sebagai masalah kecil dalam umah.  Hari ini sebagian sudah sedar Syiah tersesat jauh atau bukan sama sekali Islam!  Perbualan saya dengan murid sekolah, mereka boleh memberikan contoh cara ibadah Syiah yang bagi mereka pun sangat pelik.  Ini tentulah maklumat yang mudah diakses di mana-mana.  Mereka pun tahu tahtbih iaitu mencederakan diri dengan darah-darah sebagai perbuatan gila, akal pun menolak logiknya. Apa lagi agama!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan