Pengikut

Ahad, April 20, 2014

HUDUD: Umno-Pas sudah tidak takut Cina?

BUNYINYA seperti Undang-undang Jenayah Syariah atau Hudud akan dilaksanakan di Kelantan apabila kelihatan Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yaakub bertekad mahu membawanya ke Parlimen.  Sebenarnya seperti Hudud seakan sebulan dua lagi hendak dilaksanakan ialah apabila pihak Umno (baca Pas selama ini menuduh Umno menolak Hudud), bersedia menyokong apa saja usaha melaksanakan Hudud di Kelantan.

Lebih 20 tahun Kanun Jenayah Syariah dijadikan enakmen di  Kelantan, sepatutnya sejak itu Hudud sudah dilaksanakan sedikit demi sedikit. Namun tak berlaku. Hudud hanya menjadi modal menuduh musuh penggubal Hudud sebagai menolak Islam!

Yang mempertikai tidak bersungguh-sungguhnya kerajaan Islam di Kelantan melaksanakan Hudud bukan saja daripada kalangan ‘musuh-musuh politik’nya, malah yang selama ini menjadikan Hudud sebagai modal dia berpolitik pun akhirnya mengakui kerajaan itu sambil lewa. Tanya Datuk Husam Musa sekarang, bukan dahulu sewaktu dia menjadi Exco kanan Kelantan.

Daripada pihak Umno memang Hudud bukan keutamaan. Tanyalah Anwar Ibrahim (baca dialah ‘tokoh’ Islam Umno dulu) sehingga dia menjadi Timbalan Presiden Umno atau Timbalan Perdana Menteri.   Alasan Umno dahulu ialah ‘bukan masanya lagi’ atau ‘tidak sesuai dengan masyarakat majmuk’ atau ‘undang-undang sedia ada sudah utamakan keadilan’.  Kepada Pas semua jawaban Umno itu tepat bukti Umno menolak Hudud atau lebih keras ‘menolak Islam’.  Frasa ayat menolak Islam bukan disebut oleh petani di Kelantan, tetapi mantan MB kerajaan Kelantan Tuan Guru Nik Aziz.



Walaupun sejak dahulu saya antara yang sangat optimis Hudud boleh dilaksanakan oleh Pas, dan Umno akan tercengang dengan kejayaan Pas, namun sekarang saya tidak percaya lagi.  Bukan tidak percaya Hudud sebagai hukum Allah, tetapi tidak percaya  sama ada Pas atau Umno akan melaksanakan undang-undang itu. 

Sistem politik yang ada tidak berubah sejak tahun 1992, tahun Hudud dikanunkan di Kelantan. Saya amat percaya, bukannya orang Melayu dalam Pas atau Umno tidak mahu melaksanakan Hudud, masalah utamanya ialah orang Cina tidak memberi sokongan.  Umno berkata ‘tidak sesuai dengan masyarakat majmuk’ adalah disebabkan sebagian  pengundi BN adalah Cina.  Orang faham Cina  bukan Islam, tetapi yang lebih utama ialah Cina yang memegang ekonomi. Pegang ekonomi bermakna dia beri makan orang lain. Mudah cakap, Melayu yang mahu laksanakan Hudud diberi makan oleh Cina.  Kalau Cina menentang Hudud, mereka tidak mengundi Umno atau Pas.  Ini bukan masalah Umno saja, malah apabila Pas berkawan dengan DAP (baca Pas mahu undi Cina), tidak ada lagi cerita nak buat Hudud. Kalau ada tokoh Pas sebut Hudud hanya sebagai nak labelkan lawannya menolak Islam. Itu saja!

Itulah hemat saya sebab apa Hudud tidak menjadi keutamaan Melayu (Pas atau Umno) melainkan sebagai retorik politik menagih sokongan Melayu-muslim.

Mengapa Umno (bukan Umno Kelantan saja) sekarang menyokong pelaksanaan Hudud di Kelantan oleh Pas? Saya bersangka baiklah sebagaimana hampir 20 tahun bersangka baik Pas akan melaksanakan Hudud dengan jayanya. Eloklah Umno dan Pas bersatu demi Islam. Buktikan sekarang!

Orang pun tahu dalam PRU13, kemenangan BN bukan disumbangkan oleh kaum Cina. Cina dah menjadi penyokong PR-DAP.  Walaupun Cina tidak menyokong BN, namun Umno masih berkuasa dan mengetuai BN. Maka sebab itulah Umno tidak perdulikan Cina-MCA dalam bab Hudud. Pas pula memang sejak berkawan dengan DAP dan PKR buntu menjawab mengenai perjuangan Hudud atau negara Islam. Dalam PRU13 pun Pas sedar pengaruhnya dalam kalangan Melayu merosot, walaupun mendapat undi yang banyak daripada kaum Cina dan India.  Bagi Pas di Kelantan, tanpa undi Cina dan India pun Pas menang juga. Tidak ada sebab Hudud di Kelantan hendak dikorbankan demi Pakatan Rakyat.


Begitulah agaknya perubahan sikap Umno dan Pas sekarang. Daripada ‘apa yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’ baiklah dijaga apa yang sedang dikendongnya.  Maka, saya juga berharap usaha Umno-Pas ini sebagai jalan merobah ke arah struktur politik Melayu-Islam yang bersatu, bukan berbalah dan berpecah sebagaimana sekarang! Pas kena masuk BN, bekerja dengan Umno untuk melaksanakan Islam. Daripada tidak berjaya melaksanakan Islam yang besar sebab berpecah-pecah baik bergabung, dapat 70 peratus pun gagah juga.   Semoga Allah memudahkan kerja Umno dan Pas ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan