Pengikut

Sabtu, Januari 11, 2014

Sempena Maulid Nabi: Ada hadis dipersoalkan kewajarannya?

Sambutan Maulidur Rasul di kota Solo, Indonesia
APA ertinya merayakan kelahiran Rasulullah s.a.w.? Selalunya kita diajak untuk mencintai baginda Rasulullah Nabi Muhammad s.a.w..  Cinta lawannya benci.  Cinta tentulah ada bukti yang jelas dan orang yang menyatakan cinta mestilah melakukan pengorbanan.  Tanyalah orang muda mengenai cinta dan kasih sayang!

Apa kenyataan Allah swt terhadap manusia bernama Muhammad yang dilantik sebagai rasul di muka bumi? Ini Antara ayat Allah yang menyatakan kedudukan baginda Nabi s.a.w.

Maksud ayat 1-4 surah an-Najm:  Demi bintang ketika terbenam.  Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak (pula) keliru. Dan tidaklah yang diucapkan itu (al-Quran) menurut keinginannya.  Tidak lain (al-Quran itu) adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

Maksud ayat 65 surah an-Nisa’: Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap apa yang engkau berikan, dan mereka menerima sepenuhnya.

Maksud ayat 80 surah an-Nisa’:  Sesiapa yang mentaai Rasul (Muhammad) maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah.  Dan sesiapa berpaling (daripada ketaatan itu) maka (ketahuilah) Kami tidak mengutusmu (Muhammad) untuk menjadi pemelihara mereka.

Maksud ayat 20 surah al-Anfal: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling daripada-Nya, padahal kamu mendengar (perintah-perintah-Nya).


Apabila kita tidak ada kepentingan yang berlawanan dengan al-Quran dan hadis Nabi, kita dengan mudah menerima peringatan daripada sabda Nabi s.a.w. Misalnya hadis ini.

Sabda Baginda s.a.w. bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (HR  Muslim)  

Kita  semua mahu mempunyai jiran-tetangga yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain.  Bukan saja itu, malah kalau boleh, jiran kita itulah yang akan menolong kita jika kita ditimpa kesusahan.  Oleh itu mudah kita menerima sabda Nabi yang ini.

Namun apabila kita ada kepentingan iaitu hal yang berlawanan dengan keinginan dan pendirian yang dipegang dan diperjuangkan selama ini, jadi keberatan pula menerimanya.  Maka mudah pula muncul ayat-ayat yang mempersoalkan kewajarannya (kewajaran hadis) itu untuk diterima pakai.

Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah s.a.w sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”. (HR Al-Bukhari dan Muslim).

Hadis di atas jelas menerangkan rakyat muslim wajib mentaati pemerintah dan Rasulullah menghalang rakyat daripada melawan atau memberontak pemerintah sekalipun pada anggapan rakyat pemerintah muslim itu melakukan banyak kesalahan.  Saranan baginda Rasulullah ini sukar diterima oleh golongan yang terlibat dalam politik demokrasi sebagai pembangkang.  Banyak soal-jawabnya apabila dinyatakan hadis yang ini.

Namun bagi golongan pemerintah, hadis ini menjadi kesukaannya dan dibacakan di mana-mana khasnya dalam khutbah Jumaat.  Tentulah disebabkan sabda Nabi itu bakal menyelamatkan kedudukannya sebagai pemimpin atau pemerintah daripada diganggu-gugat oleh rakyat.  Apa sekalipun niat pemerintah terhadap hadis berkenaan, rakyat wajib mentaati pemerintah muslim.

Bagaimana jika tidak suka dengan hadis-hadis yang mewajibkan mentaati pemerintah sedangkan selama ini dia bergitu gigih berjuang dalam sistem demokrasi melawan pemerintah? Jawabnya, jika benar cintakan Nabi, patuhilah nasihat Nabi yang kita cintai itu. Jika perasaannya masih rusuh untuk menerimanya, tetapi menerimanya juga disebabkan itu sabda Nabi, maka itulah namanya ‘pengorbanan demi cinta’, demi cinta Nabi!

Bagaimana pula dengan larangan Nabi s.a.w. yang berlawanan dengan kepentingan kita? Elok ditinggalkanlah sebagai tanda cinta dan kesanggupan berkorban untuk Nabi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan