Pengikut

Khamis, Mei 12, 2011

PERKAUMAN merosakkan Islam


KISAHNYA seorang pegawai pendidikan di sebuah sekolah berorientasikan agama (Islam) yang ditugaskan mengurus pasukan sukan yang kesemuanya berketurunan Cina, bukan beragama Islam.  Menurutnya, dia terasa rugi dan bagai tidak ada nilai apa-apa jika membuat perbelanjaan yang lebih daripada poket peribadinya kerana memberi sesuatu kepada orang bukan Islam.  Mudahnya untuk memahami pemahaman pegawai ini ialah: Menyumbang tenaga, pemikiran dan wang/harta kepada orang bukan Islam adalah sia-sia, tidak ada nilai. Pendek kata, Allah tidak memandang pengorbanan seseorang muslim kepada orang bukan Islam!


Pemahaman ini bukanlah terpencil, malah sejak saya kanak-kanak lagi sudah mendengar fahaman ini.  Guru saya yang mengajar sejarah di Tingkatan Enam dulu pun pernah berfatwa boleh mengambil apa juga barang milik kaum Cina! Ada satu peristiwa sebuah kereta Nissan 130Y yang dipandu seorang lelaki Cina terbabas di hadapan sekolah, guru sejarah ini antara yang bersama pelajar-pelajar (yang tidak berakhlak) mengopak kereta itu dan mengambil apa sahaja barang yang boleh dibawa keluar. Waktu itu si pemandu sudah bergegas ke balai polis untuk membuat laporan hal kemalangannya.

Pemahaman seperti di atas merupakan cetusan perkauman atau nasionalisme.  Jiwa perkauman yang membenci bangsa/kaum lain, yang dianggap menjadi ancaman kaumnya menyebabkan mereka lupa mengenai keluasan dan keadilan Islam yang dijamin oleh Allah. Entah siapalah guru agamanya yang mengajarkan supaya tidak berbakti kepada orang bukan Islam, kerana kalau terpaksa atas nama kerja pun dianggap sebagai sia-sia. Agaknya kalau dalam tugas yang (kononnya) terpaksa dan ditakdir mati, maka mati katak sahaja nilainya.

Lihatlah jaminan Allah kepada muslim yang bersosialisasi dengan orang bukan Islam.  Semuanya tidak sia-sia.

Surah al-Mumtahanah ayat 8, (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.”

Sesungguhnya mereka yang bertindak kerana perkauman dan dilabelkan pula sebagai Islam, nyata member imej buruk Islam kepada masyarakat bukan Islam.  Pada waktu yang lain, kita yang Islam mahu dilayan yang adil dan berkualiti oleh orang bukan Islam, tetapi kita yang Islam melayan secara sambil lewa terhadap bukan Islam.

Eloklah yang berpemikiran salah ini bertaubat, dengan tidak menganggap ini hal remeh-temeh atau khilafiah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan