PILIHAN RAYA, sama ada yang besar-besaran atau yang kecil-kecilan sering disebut penanda aras amalan demokrasi. Banyak negara mengamalkan pilihan raya, tetapi versinya berbeda-beda. Sebenarnya, pilihan raya itu adalah untuk memilih wakil ke dewan perundang-undangan, bukan memilih ketua kawasan yang akan menjaga kebajikan masyarakat di kawasan kerkenaan.
Lupakan pilihan raya di luar negara, lihat semula di dalam tanah air Malaysia. Semakin lama, maksud pilihan raya sudah tersasar jauh daripada matlamat menghantar seorang ahli ke dewan perundang-undangan. Pilihan raya sudah dilihat sebagai satu medan menurunkan janji pembangunan, melaksanakan pembangunan segera dan sejuta janji indah sebagai wakil rakyat. Perhatikan, tidak ada janji calon pilihan raya untuk menjadi ahli dewan perundang-undangan yang berkesan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat (baca Parlimen) merupakan institusi yang menggubal undang-undang negeri dan negara. Sepatutnya, semua calon yang terpilih untuk dipertandingkan dalam pilihan raya mestilah sudah mahir mengenai asas perundangan-undangan negara, prosedur mesyuarat dewan dan mempunyai kematangan berhujah. Masyarakat sepatutnya dididik agar melihat demokrasi berpilihan raya merupakan penghantaran wakil yang berkesan untuk membawa pentadbiran negeri dan negara.
Sepanjang kempen pilihan raya untuk seseorang dipilih menjadi ahli dewan perundang-undangan, semua berfokus kepada janji untuk kemudahan sosial dan ekonomi masyarakat yang dipujuk mengundinya. Walaupun itu cara untuk mendapatkan sokongan, tetapi cara itu merosakkan matlamat pilihan raya dan memesongkan pemikiran rakyat mengenai demokrasi. Jika itulah yang mahu terus diamalkan dalam demokrasi pilihan raya kita, terus kekalkah pemikiran kita dalam dunia ketiga yang tidak bergerak seinci pun ke arah kematangan dan ilmiah. Semua ini dengan sengaja atau tidak sengaja dilakukan oleh ahli-ahli politik kita!
Lihatlah setiap diadakan pilihan raya, terutama yang kecil (PRK), pasti berlaku penaburan janji setempat, caci-mencaci dan pelbagai amalan tidak bertamadun. Lihatlah berapa banyak laporan polis kerana kerja-kerja tidak senonoh itu. Itulah yang berulang-ulang, maka tahap pemikiran demokrasi dan teori demokrasi berparlimen langsung tidak difahami oleh masyarakat.
Perkara ini memang sukar diubah kerana system berpilihan raya kita mendorong ke arah berkenaan. Maka dalam gegak gempita mendakwa amalan demokrasi, tidak lebih daripada sorak gempita peenyokong pasukan bola sepak yang memenangi perlawanan mereka!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan