Pengikut

Jumaat, Februari 18, 2011

DAKWAH mulut merata-rata

DAKWAH BURUNG TIONG
February 15th, 2011 by Nobisha

Dalam kesejukan malam di Seoul (kini -5C), fikiran saya segera merawang ke tanah air. Hari ini Maulidur Rasul. Menyambut Maulidur Rasul, tak sama seperti menyambut Hari Kekasih, walaupun Rasulullah saw disebut sebagai kekasih Allah. Apa yang penting ialah untuk kita insaf bahawa dakwah Rasulullah saw berkembang melalui teladan yang baik atau “qudwah hasanah.”

Apa yang saya lihat pada hari ini kita cuba membawa kebaikan dengan lisan. Maka, bersyarah di sana-sini, atau menulis berjela-jela. Namun, apabila orang ingin melihat teladan, kita gagal memberikannya. Maaf, sekiranya ada yang terguris hati, namun biarlah saya berikan beberapa contoh.

Apabila saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul, satu perkara yang ketara ialah ia cukup bersih. Malah, terlalu bersih sampaikan saya berbisik di dalam hati kecil, kalau nak tidur di dalam bilik air itu pun boleh. Begitulah bilik air di negara bukan Islam.

Cuba kita lihat bilik air di Lapangan Terbang Jeddah, atau bilik air di hentian rehat antara Madinah dan Makkah. Kalau tak mahu pergi jauh-jauh, lihat sajalah bagaimana rupa bilik air di masjid kita walaupun khatib berbuih bercakap soal kebersihan dalam Islam. Semua ayat al-Quran dan hadis dibaca. Bilik air masih kotor dan berbau. Nah, kebersihan hanya ada pada perkataan tetapi tidak dapat dilihat.

Sewaktu makan malam tadi, saya dan sahabat-sahabat di Seoul memilih buffet. Semuanya makan licin pinggan. Ambil yang ingin dimakan dan habiskannya. Seorang sahabat saya di sini memberitahu kita hanya ambil sekadar yang hendak dimakan, tidak lebih dari itu. Kalau ditanya saya, itulah sunnah Rasulullah saw. Bagaimanapun, cuba lihat cara kita makan sama ada di majlis kenduri atau di masjid. Melimpah-ruah kita longgokkan dalam pinggan. Kemudian, separuh dibuang dalam tong sampah. Sekali lagi kita bercakap, tetapi orang tidak melihat kita mengamalkannya.

Begitu juga dalam bernegara. Ramai yang bercakap soal integriti, tetapi berapa ramai pemimpin (kerajaan dan pembangkang) yang berintegriti. Ramai yang bercakap soal akauntabiliti, tetapi berapa ramai aktivis parti (kerajaan dan pembangkang) yang menguruskan kewangan parti secara telus? Ya, memang ada akaun atas meja, tetapi berapa banyak pula yang diuruskan di bawah meja?

Bukan sedikit yang mengkritik media massa sebagai berat sebelah. Saya nak tanya, adakah orang yang mengkritik itu menunjukkan “qudwah hasanah” dengan menerbitkan akhbar atau majalah yang seimbang? Dia pun sama! Apa yang saya lihat ialah kuali mengatakan cerek hitam. Mengata dulang, paku serpih!

Kita tidak boleh membawa Islam ke dalam masyarakat dengan hanya ceramah. Kita perlu tunjukkan teladan. Individu Muslim harus menampilkan akhlak yang baik. Keluarganya harus boleh dicontohi. Dan, akhlaknya dalam bernegara juga mesti boleh diteladani. Itulah sunnah Rasulullah saw.

Allah swt mengingatkan:

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan Allah dan Hari Akhirat serta mereka banyak berzikir kepada Allah.” (al-Ahzab: 21)

Ah, kalau setakat nak bercakap, burung tiong lagi pandai bercakap!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan