Pengikut

Selasa, Januari 04, 2011

TG Nik Aziz terus sebarkan tajdid


SEJAK akhbar Berita Harian menyiarkan berita TN Nik Aziz mengatakan boleh bersenamrobik dalam masjid, saya menunggu dua berita.

Pertama: Para penentang pemikiran TG Nik Aziz yang mudah menyerang pendapatnya sekalipun Menteri Besar Kelantan itu menggariskan pemikiran berlandaskan al-Quran dan Sunnah.  Nampaknya saya tidak menemui ulasan kontroversinya. Mungkin pemikiran Islam TG betul atau musuh-musuhnya sudah kepenatan hendak menyanggah hujahnya.

Kedua: Para pengekor pemikiran TG Nik Aziz yang akan menyalahkan akhbar Berita Harian dalam laporannya.  Umum tahu apabila sesuatu pendapat daripada pihak Menteri Besar itu menjadi bahan amukan musuh-musuh politiknya, para pengekornya akan segera berdalih bahawa akhbar Berita Harian adalah Berita Hairan! Senang cakap, mereka kata akhbar harian ini penipu. 

Saya menyokong pemikiran Islam TG Nik Aziz dalam hal bolehnya orang hendak bersenamrobik dalam masjid, maksudnya jika hendak dilakukan di ruang solat utama! Tidak ada perbedaan antara ruang solat utama dengan serambi-serambinya.  Itu istilah sahaja. 

Sebenarnya saya sedang menunggu TG Nik Aziz memecahkan lagi tembok karut yang besar, yang selama ini menjadi halangan dakwah terhadap bukan Islam.  Ya, kalau saya yang menyebutnya, tidak laku.

Bab anjing.  Selama ini orang Melayu sanggup ‘berani mati’ untuk menajiskan semua daripada anjing walaupun mereka tidak pun memberi hujah al-Quran dan Sunnah.  Semua hujah berdasarkan kata-kata ulama, dalam kitab-kitab sekian.  Memang ada hadis yang meminta disamak bejana atau besen basah yang dijilat anjing, tetapi tidak ada apa-apa hukum lagi yang jelas daripada al-Quran dan hadis sahih untuk kesan tapak anjing, sentuhan badan atau bulu sama ada kering atau basah!  Hahahaha, mesti ada yang meremang bulu roma membaca pemikiran saya.  Ya, anda Melayu!

Saya ada pengalaman memberi nasihat kepada seorang remaja yang terlalu sukar menjadi muslim kerana seolah-olah saban  hari terpaksa menyamak sebagian anggota dan pakaiannya.  Namun kerana kehendaknya mahu memeluk Islam, dia terima.  Setelah saya berikan hujah hanya satu bab saja yang perlu disamak, yang lain itu tiada, akhirnya dia berasa nyaman.  Malangnya dia ‘ditangkap’ oleh seorang ustaz Melayu dan kembali diajar ilmu fikah Melayu dalam bab anjing. Saya pula dipandang serong olehnya.

Setelah TG Nik Aziz memecah tembok yang selama ini orang bukan Islam dilarang aktif dalam masjid, saya sedang menunggu runtuhnya satu lagi tembok fikah Melayu yang menyebabkan Islam sangat jauh di sisi bukan Islam, bab sentuhan anjing!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan