Pengikut

Khamis, November 18, 2010

KITA gagal utamakan yang utama

CATATAN ini pada hari kedua Iduladha, semoga orang kian faham falsafah menyembelih haiwan sebagai ibadah kurban yang hukumnya sunat. Di mana-mana kelihatan orang menyembelih lembu.  Semalam sahaja saya menyertai komuniti surau di desa saya, ada lapan ekor lembu disembelih.  Semuanya disumbangkan oleh anak-anak kelahiran desa yang telah lama berhijrah ke kota dan punya banyak ongkos.  Kepada mereka, seekor lembu RM3000.00 atau lebih atas nama ibadah bukan masalah.  Tahun hadapan pasti ada lagi daripada mereka, itulah rutin sejarah iduladha.


Menyembelih, melapah daging dan kemudian membungkusnya bukan satu kerja ringan sekalipun sudah disediakan krewnya.  Sehingga azan zuhur dilaungkan, masih belum beres kerja-kerja pembungkusan dan pengedaran.  Lihatlah khusuk dan tamaqninahnya mereka menguruskan kerja-kerja ibadah kurban haiwan, namun laungan azan zuhur hanya disahut dengan doa.  Mengapa tidak sampai 10 orang berjamaah zuhur di surau sedangkan di sekeliling surau ada hampir 100 orang hamba Allah?

Kemudian saya ingin mengulas pandangan yang memalukan peribadi muslim saya setiap kali menggunakan jalan antara pekan Sabak ke Sungai Besar, Selangor.  Saya memang rasa malu, tidak tahulah bagaimana rasanya orang lain.  Ada sebuah pusat pendidikan Islam alapondok di sana.  Bukan soal uzur, susunan yang tidak teratur dan usangnya pondok-pondok berkenaan. Semua faham keupayaan kewangan pondok mengaji.  Yang saya rasa malu ialah system pengurusan sampah daripada pondok-pondok berkenaan.  Mereka membuangkan segala sampah atau sisa keperluan harian dalam parit yang memisahkan antara tanah sekolah pondok dengan jalan raya utama.  Demikianlah orang yang belajar agama, tetapi tidak peduli apa-apa mengenai kebersihan.  Jangan salahkan saya jika saya terus beranggapan manusia yang terhasil daripada pendidikan pondok itu tidak layak mengajar Islam kepada masyarakat kerana mereka sendiri tidak faham apa itu Islam!

Mesej saya untuk dua perkara itu ialah, orang-orang kita masih gagal meletakkan keutamaan dalam beragama.  Orang Melayu sangat sensitif bab agama sehingga seanggup ‘berani mati’ kerana isu agama. 

Lihat mereka yang mengabaikan solat berjamaah, sekalipun sudah berada dalam kawasan surau hanya kerana masih bekerja.  Apa masalahnya untuk meninggalkan kerja-kerja pengurusan haiwan sembelihan untuk ke saf solat?

Lihat mereka yang tidak melepaskan serban dan jubahnya ketika belajar agama di pondok, tetapi malas untuk membersihkan persekitaran.  Apa masalah mereka yang belajar agama dengan kebersihan?

2 ulasan:

  1. Saya bersetuju dengan Tuan, malangnya orang Islam hari ini lebih mementingkan yang remeh-remeh daripada soal teras beragama sehingga berpecah-belah tanpa hujungnya.

    BalasPadam
  2. Mengkritik memang senang, buat belum tentu. Macam ayam jantan, kokok berderai-derai ekor belum tentu bersih dari najis.
    Apa sumbangan dan peranan tuan untuk beri didikan pada pelajar pondok tu...? Jangan cakap je....

    BalasPadam