Pengikut

Ahad, September 26, 2010

APABILA Islamfobia


SEMENJAK malapetaka di New York pada 11 September 2001 dan Presiden Bush (sebelum Obama ini) bertindak, memang timbul salah faham yang berat mengenai Islam. Orang kata ini Islamfobia. Ertinya di Barat seperti di benua Amerika Utara, Eropah dan Australia perasaan curiga terhadap umat Islam agak kuat.  Orang-orang Barat secara kasar menganggap sebagian besar muslim cenderung melakukan keganasan. Imej Islam sudah buruk.

Di negara kita pun ada orang bukan Islam berpandangan seperti orang Barat.  Ada juga orang Islam sendiri yang anti kepada aliran salaf dalam Islam, membuat tohmahan sama seperti orang Barat mengatakan aliran itu adalah Wahabi dan Wahabi itu adalah pengganas.

Eropah paling teruk dilanda Islamfobia kerana beban sejarah, iaitu Islam pernah berkuasa di Sepanyol, wilayah Balkan dan selatan Turki.  Hal itu diteruskan dengan siri Perang Salib untuk menguasai kota Baitul Maqdis di Palestin.  Kemudian siri penentangan umat Islam terhadap penjajahan negara-negara Eropah di Asia, menambah beban buruk pandangan terhadap Islam.

Hari ini peribadi Presiden Barrack Obama sama ada muslim atau Kristian menjadi isu.  Orang Amerika bukan pernah melihat Obama solat atau mengucapkan salam, tetapi sejarah keluarga Presiden itu ada kaitan dengan muslim.  Sebagian besar ahli Parti Republikan (musuh Demokrat pimpinan Obama) percaya obama muslim.

Dari sudut baiknya Islamfobia ialah penerimaan Islam sebagai satu panduan hidup manusia Islam. Dalam hal ini orang Barat yang benci Islam telah percaya bahawa Islam bukan hanya agama yang menjurus kepada hubungan manusia dengan Tuhan, tetapi Islam adalah satu system hidup manusia. Secara politiknya, Islam merupakan salah satu sistem penting di dunia, bersaing dengan Kapitalisme, Komunisme dan pelbagai ideologi lain.  Sebab itu walaupun Obama tidak dibuktikan solat pun kerana sejarah dan pendirian politiknya itu, disangka sudah Islam. Jika Obama dikatakan Islam, secara politiknya bermakna satu kemenangan ideologi Islam terhadap Kapitalisme.

Sudut buruknya ialah semua muslim dipandang serong oleh orang Barat. Pandangan serong meliputi semua sekttor dalam politik, ekonomi dan sosial.  Kerana kesan buruk ini lebih kuat daripada yang baik itulah banyak pemimpin Islam berusaha menjelaskan Islam sebagai agama perdamaian kepada dunia Barat.  Bukan mudah untuk menukar pandangan politik ini kerana Islam sudah dilihat sebagai saingan utama kapitalisme barat, bukan lagi sebagai salah satu agama biasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan