Pengikut

Khamis, Mei 13, 2010

ADAKAH bertali leher menjadi kafir?

DAHULU sewaktu saya masih menjadi penuntut dan saban hari bertali leher, seorang rakan memberikan satu rencana berkenaan hukum memakai tali leher. Penulis (pemberi hukum) bukanlah penarik beca atau pemungut sarang burung walit, tetapi bergelar ustaz, tentulah dianggap pakar dalam hukum agama. Penulisnya menerangkan bahawa tali leher bukan daripada cara hidup orang Islam, tetapi dari bangsa Eropah yang beragama Kristian. Kemudian diturunkan satu hadis nabi iaitu: Maksud Sabda Rasulullah s.a.w. “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk salah seorang dari mereka.” [HR Muslim dan Ahmad].

Oleh kerana orang Melayu beragama Islam tentulah mesti berbeda dengan penganut lain. Daripada hadis nabi itu dikeluarkan hukum sebagai kafir kepada muslim yang pemakai tali leher kerana menyerupai suatu kaum. Maksud kaum itu ialah bangsa Eropah yang beragama kristian.

Daripada hadis itu juga sekarang ada sekumpulan yang menolak apa juga perkara yang dianggap sebagai identiti suatu kaum bukan Islam. Misalnya dalam hal perayaan, Islam hanya memperuntukkan dua sahaja iaitu Hari Raya Idulfitri dan Hari Raya Iduladha. Oleh itu mereka telah mengharamkan apa juga sambutan hari-hari tertentu seperti Hari Pekerja, Hari Bapa, Hari Ibu, termasuk Hari Kemerdekaan. Kepada mereka, semua ini berasal daripada budaya kaum bukan Islam. Jika mereka tidak menghukum ‘kafir’ kerana turut merayakan hari-hari istimewa berkenaan, dijatuhi hukum pengamal bid’ah yang tersesat daripada jalan Allah. Hadis nabi yang lain digunakan sebagai sandaran iaitu maksud sabda Rasulullah, “Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan tanpa didasari perintah dari kami maka perbuatan tersebut tertolak” [HR Bukhari & Muslim]. Hadis lain maksud sabda Nabi: Sesungguhnya sebaik-baik ucapan ialah Kitab Allah, sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad dan kejahatan yang paling buruk ialah perkara-perkara rekaan dan setiap bid`ah itu sesat.” [HR Muslim]

Keadaan berkenaan terjadi kerana tersalah memahami antara erti agama dan adat (budaya hidup). Rasulullah memang diutus untuk membimbing manusia dalam hal akidah dan ibadah. Dalam satu peristiwa Rasulullah pernah memberi pendapat mengenai percantuman benih-benih kurma untuk menghasilkan buah yang lebih baik. Maka ada sahabat baginda yang melaksanakannya, namun tidak menghasilkan buah seperti yang dikatakan oleh baginda Rasulullah. Hal ini menjadi bualan, mereka keliru sama ada Rasulullah memberi teori pengklonan yang betul atau salah. Akhirnya apabila sampai kepada Rasulullah, baginda mengatakan: Dalam hal agama aku lebih tahu, dal hal dunia kamu lebih tahu!

Dari situ dapatlah difahami hadis menyerupai suatu kaum dan melakukan perbuatan tanpa didasari perintah nabi adalah dalam bab-bab agama, iaitu akidah dan ibadah khusus. Pakaian yang antaranya ialah tali leher, seluar dalam, jubah, topi keledar dan lain-lain adalah bab keduniaan atau adat sesuatu bangsa. Adat budaya ini senantiasa mengalami perubahan berdasarkan zaman, iklim, geografi, pengetahuan dan sebagainya. Jika diteliti, pakaian sebenarnya menjadi salah satu identiti pengenalan sesuatu kaum. Kewujudan pelbagai kaum jelas diiktiraf oleh Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13 maksudnya: “Hai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu lelaki dan wanita kemudian menjadikan berbangsa-bangsa supaya kamu saling kenal-mengenal (antara satu sama lain)…..”

Termasuk dalam budaya bangsa-bangsa di dunia ini ialah hari besar bangsanya seperti Tahun Baru Cina. Bangsa Barat misalnya membentuk budaya peringatan terhadap sesuatu perkara seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Lahir, Hari Buruh dan pelbagai lagi. Oleh kerana hari-hari khusus peringatan berkenaan bukan ajaran agama (agama bukan Islam), maka itu termasuk dalam hal adat atau budaya yang Islam boleh bertoleransi asal tidak melanggar batas-batas Islam. Namun, misalnya jika sambutan Hari Kemerdekaan itu dianggap satu ibadah khusus terhadap Allah dan sebagai satu kaedah bertaqarub (lebih mendekatkan diri) kepada Allah, barulah ini ditakrif sebagai bentuk ibadah baru yang tidak diajar oleh Baginda Rasulullah. Itulah yang menjadi bid’ah dan sesat di sisi Allah.

Dibalik itu memang benar ada jenis pakaian yang dikhaskan kepada penganut agama-agama berkenaan. Misalnya pakaian para sami Buddha, Hindu, Paderi Nasrani dan rahib-rahibnya tidak boleh ditiru oleh kaum muslimin. Oleh kerana pakaian itu identiti agama mereka, maka termasuk dalam amalan agamanya. Jika ada yang meniru dan memakainya barulah tepat hadis menyerupai suatu kaum itu.
Wallahu aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan