Pengikut

Ahad, November 01, 2009

SEKOLAH vernakular luka bangsa

SEKOLAH satu aliran bererti hanya sekolah kebangsaan yang menggunakan sepenuhnya Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, namun bahasa lain seperti bahasa Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan dan bahasa lain mungkin bahasa Jawa, Banjar, Orang Asli dibenarkan untuk diajarkan. Inilah idealnya sekolah satu aliran kepada rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan etnik.


Sejak zaman penjajahan British dibenarkan sekolah-sekolah vernakular seperti sekolah Melayu, jenis Cina dan Jenis Tamil untuk memenuhi kehendak kaum-kaum berkenaan. Namun telah lama disedari bahawa sekolah berasakan bahasa ibunda ini bukan impian penyatuan satu bangsa Malaysia, tetapi duri yang terpaksa juga ditelan dalam usaha lebih menyatukan semua kaum. Maka sekolah vernakular yang mengasingkan anak-anak polos berdasarkan kaum dan budaya bukanlah satu kejujuran untuk membina satu bangsa Malaysia. Sekolah-sekolah ini lambang pemisahan antara kaum dan budaya kerana terbukti selama lebih 50 tahun merdeka dengan sistem sekolah seperti ini tidak membawa manfaat perpaduan rakyat. Sekolah itu adalah luka bangsa!



Salut untuk Prof Khoo Kay Kim yang mencadangkan semula diwujudkan hanya satu aliran persekolahan untuk semua anak-anak Malaysia. Modelnya sudah ada, itulah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri secara peribadi setuju, dan kita yakin terlalu banyak yang setuju. Namun parti perkauman Cina (MCA) dan India (MIC) sudah menyatakan bantahannya. Sekarang bagus jika semua parti politik menyatakan pendiriannya kerana parti-parti politik lebih berpengaruh menggerakkan minda rakyat. Lihat apabila parti politik meminta rakyat berdemo sekalipun menyalahi undang-undang, ya… banyak yang sanggup berdemo juga!


Parti induk Barisan Nasional, Umno patut mendahului mana-mana organisasi politik. Parti ini yang banyak mencorak dasar negara, tambahan pula parti ini dikatakan berteraskan Melayu. Umno tentulah menyokong kuat hasrat menggunakan Bahasa Melayu dalam semua ruang pendidikan sebagai bukti parti Melayu ini memang menjadi nadi kelestarian Melayu. Nah buktikan!


Parti Islam, Pas juga wajib menyatakan sekongannya tanpa menoleh kiri dan kanan kerana selama ini Pas juga yang kuat membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Berapa banyak pemimpin dan ahli Pas yang menderita kerana berdemo melawan PPSMI? Pas juga menyokong semua NGO dan individu yang melawan dasar PPSMI. Tidak ada orang Pas yang gila mahukan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam pendidikan. Dengan sekolah satu aliran bahasa Melayu untuk semua kaum ini samalah meminta kerajaan agar membuang PPSMI. Nah, sekarang kerajaan memberi respon baik, PPSMI akan dimansuhkan di sekolah rendah dan menengah. Menteri Pelajaran sudah setuju sekolah aliran Bahasa Melayu sahaja, Pas kena sokong kerana itulah prinsip perjuangannya. Ya kan?


PKR? Berdasarkan ucapan dan kerja-kerja pemimpin besarnya seperti Anwar Ibrahim nampaknya patut menyokong sekolah satu aliran ini.


DAP? Parti politik yang katanya untuk semua kaum tetapi akan marah jika ada unsur kecinaan dalam Malaysia yang terguris. Jangan berharap besar DAP akan menyokong sekolah satu aliran berbahasa Melayu. Kalau sekolah satu aliran ini menggunakan bahasa Inggeris DAP setuju. Bukan fitnah, tetapi DAP sendiri setuju dasar PPSMI sedangkan Pas dan PKR menentang PPSMI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan