Pengikut

Sabtu, Ogos 15, 2009

PECUTAN terakhir kenduri-kenduri arwah

DALAM tempoh seminggu ini bukan main rancaknya orang sempurnakan adat bertahlil kirim arwah. Apa ini? Inilah adat resam Melayu yang sudah difahami sebagai ibadah sunat atau suruhan agama. Tambah menyeronokkan apabila ada ‘orang agama’ memberitahu kaum jahil bahawa melakukan kenduri tahlil kirim arwah ini sebelum munculnya Ramadan sangat disukai Allah. Apa maksud sangat disukai Allah? Contohnya kalau berubat, kata orang jawa ‘manjur’. Ertinya sangat menjadi. Maka kalau buat tahlil sebelum puasa difahami dan diyakini sangat diterima Allah. Maknanya kalau bertahlil dalam bulan Syaaban diyakini pahalanya tidak akan tersasar, persis kepada arwah-arwah! Fuyooo…

Dari mana semua kepercayaan dan fahaman ini? Seperti yang disebutkan, mengenang atau memuja arwah asalnya daripada amalan animisme sebelum datangnya Buddha dan Hindu lagi. Carilah buku dan baca bab amalan tradisi Melayu oleh Dr Abdul Rahman Abdullah (USM). Terbitan di Indonesia lagi banyak. Dengan datangnya Buddha (zaman Srivijaya) dan Hindu (Zaman Majapahit) fahaman pemujaan arwah moyang diperkuat. Kerana sudah menjadi adat kukuh. Apabila datangnya Islam adat ini tidak dapat dipisahkan sekalipun pendakwah tahu dengan sah bahawa perbuatan ini tidak ada contoh daripada Rasulullah mahupun para sahabat terdekat.

Pendakwah-pendakwah sufi zaman dahulu menyusupkan sahaja ayat-ayat alquran dalam kenduri arwah sebagai menggantikan bacaan mantera yang asalnya dalam bahasa Sanskrit. Konsepnya masih sama iaitu mengenang dan mengirim sesuatu kepada para roh di alam lain. Kemudian dikaranglah kitab-kitab atas nama agama Islam mengenai kenduri arwah ini, dan kelihatan sangat cantik dan dipercayai. Oleh kerana majoriti orang Islam di Nusantara ini beragama dengan mengikut kata-kata tokoh agama atau kiyai (bukan mendalami daripada sumber sah: alquran dan sunah), maka yakin sepenuhnya kenduri arwah itu adalah ajaran Islam, suruhan Allah dan rasul-Nya!

Mana ada tokoh dan wali tahlil yang berani mengatakan semua kerja ini dilakukan oleh Rasulullah. Akhirnya mereka akan mengatakan “oleh kerana amalan kenduri arwah ini sudah menjadi adat dan tradisi Melayu, maka tidak patutlah ada yang mempertikaikannya.” Saya pun pernah mendengar seorang wali tahlil mengatakan hal itu hanya adat. Katanya, “adat kematian ini berbezalah mengikut kampung ke kampung.” Ada puak yang baca surah ikhlas 100 ribu dalam tempoh tujuh malam. Ada yang buat tahlilan tiga malam saja. Ada yang buat kenduri sembelih kerbau, makan besar! Ada yang tidak mahu makan kenduri untuk tempoh tiga malam, tetapi malam keempat dan seterusnya mereka bedal habis-habisan. Inilah contoh dunia kartun tahlilan!

Lalu pembela adat tahlil kerap menghujah, “apa salahnya?” Ya, tidak ada enakmen, akta, common law atau doktrin duluan yang mengatakan bertahlil kirim arwah ( paling hebat dalam bulan Syaaban) adalah salah. Salahnya di sisi Allah dan rasul-Nya sebab hak menentukan apa bentuk, masa, tempat dan cara beribadah itu ada pada Allah dan rasul-Nya. Tidak ada sebab kita boleh mengambil hak Allah menentukan hukum. Tak percaya tanya tokoh-tokoh politik Islam. Mereka menghukum syirik sesiapa mengambil hukum lain selain hukum Allah! Itu sebab mereka berjuang hingga sanggup kena ISA, nak tegakkan hukum Allah dan rasul-Nya yang sebenar. Hukum lain itu jahiliyah, dari syaitan, hukum nafsu manusia.

Mengapa kita solat lima waktu, bukan enam waktu? Jawabnya quran dan sunah menjelaskan lima waktu. Kalau menambah satu waktu, bermakna menambah hukum Allah dan rasul-Nya. Mengapa solat subuh dua rakaat, bukan empat rakaat? Jawabnya dua rakaat itu sunah nabi. Kalau ditambah dua rakaat bererti khianat terhadap ajaran nabi. Adakah tambahan-tambahan tadi tidak baik? Baik, menurut akal dan nafsu tetapi salah menurut Allah dan rasul-Nya.

Oleh itu mengapa sibuk dan berkeras mengekalkan tradisi kenduri arwah kalau sudah mengaku pengikut Rasulullah? Sayang sunah nabi atau tradisi kuno? Jangan marah ha…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan