Pengikut

Jumaat, Februari 01, 2008

PERANG terhadap wahabi!

KESIMPULAN mudahnya ialah perang sudah diisytihar oleh jabatan agama Islam melalui media khutbah Jumaat hari ini 1 Februari 2008. Oleh kerana teks khutbah disediakan oleh penguasa agama Islam di Pahang, maka tentulah di masjid-masjid lain di Pahang juga memuat isi khutbah Jumaat yang mengisytiharkan permusuhannya dengan apa yang disebut ‘wahabi’.

Peringatan kepada jemaah (baca umat Islam) ialah ‘wahabi’ membawa ajaran baru yang berlawanan dengan ajaran Islam, antaranya

Tidak melafazkan niat sebelum solat.
Tidak membaca talqin di atas kubur.
Tidak membaca quran untuk dikirim pahalanya kepada si mati.
Tidak membaca qunut subuh.
Tidak menggunakan kaedah sifat 20 untuk mempelajari akidah Islam.
Tidak mahu bersalaman selepas solat jemaah.
Tidak melakukan solat sunat sebelum Jumaat.
Tidak mahu solat hajat berjemaah.
Tidak mahu bertahil arwah.
Tidak mahu membaca surah yasin pada malam jumaat.
Tidak berwirid beramai-ramai selepas solat jemaah.

Itu antara yang disebut dalam khutbah sebagai ajaran ‘wahabi’ yang katanya patut dijauhi oleh umat Islam. Isi khutbah juga mendakwa bahawa ulama-ulama telah sepakat bahawa semua yang tidak dilakukan oleh puak ‘wahabi’ di atas adalah sunah nabi. Umat Islam juga diseru supaya menerima ajaran al-Quran, hadis, ijmak, qias dan lain-lain (perkataan lain-lain memang jelas disebut dalam khutbah!). Juga didakwa bahawa apa yang menjadi amalan umat Islam di Pahang ialah mazhab Syafie.

Lagi, umat Islam diminta mematuhi hal-hal agama yang diputuskan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Umat Islam juga diminta lebih kerap menghadiri kelas-kelas agama untuk menghindari bawaan ‘wahabi’ ini.

Menurut khatib lagi, sebelum ini ada segelintir penceramah luar yang tidak beradab telah membangkitkan hal-hal yang telah lama disepakati oleh para ulama. Isi khutbah lagi ialah isu-isu yang dibangkitkan oleh ‘wahabi’ akan memecah-belahkan umat.

Begitulah kehendak pihak berkuasa agama. Buat sementara yang membuat saya tersenyum ialah apabila menyebut perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh puak ‘wahabi’ sebagai sunah nabi. Ini bermakna mengikut deklarasi isi khutbah, apa-apa yang tidak disukai oleh puak ‘wahabi’ sebenarnya telah jelas dalil-dalilnya daripada al-Quran dan hadis sahih Nabi, sebab itu misalnya membaca talqin dan mengirim pahala adalah sunah Nabi. Tentulah ada dalil al-Quran dan hadis sahih Rasulullah! Takkan sebuah jabatan agama hendak berbohong, tidak sama sekali!

Tak mengapa sahabat, kita dengarlah mereka membacakan dalil-dalil yang terkandung dalam kitabullah dan sunah nabi itu. Ada telinga dengar, ada mata pandang, ada akal fikir. Sesiapa pun berhak memetik dalil daripada al Quran dan sunah nabi.

Walaupun tulisan ini agak membela ‘wahabi’ saya bukanlah penganut wahabi. Samalah jika saya mengkiritik kapitalisme dan memberi kredit kepada sosialisme, tidak bererti saya seorang sosialis! Atau kalau saya membela kedudukan raja-raja, bukan bererti saya feudalis. Atau lagi, jika saya mahukan hak-hak manusia diberikan dengan adil, bukan juga bererti saya penganut demokrasi-liberal. Saya hanya seorang yang mahu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah nabi, sesuai dengan fitrah kejadian manusia.

1 ulasan:

  1. Salam Abg Mubin..
    Terima ksih atas maklumat ini. Saya nampak inilah hasil dari kejumudan minda dan gagal dalam berlapang dada menerima fiqh berdasarkan hujah dan dalil. Mereka akan menyesatkan siapa sahaja yg melakukan amalan agama yg tidak sama dengan mereka lalu menyerang habis-habisan. Tambahan pula skarang ini kelihatan ramai muda mudi lebih menhmapiri dan menyokong usaha tajdid untuk memperbaharui kefahaman agama supaya kembali kepada Islam yang asal yg dibawa oleh Rasulullah SAW dan dituruti oleh para sahabah dan tabi'in..

    Wallahua'lam.. Allah sajalah yang menunjukkan kebenaran kepada kita semua dan memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki..

    BalasPadam