Pengikut

Jumaat, Januari 04, 2008

BERGURU kepalang ajar (i)

APA fikiran anda sewaktu membaca buku bab agama seperti akidah dan ibadah, datang seorang dan mengatakan begini, “belajar agama dengan membaca buku bererti gurunya syaitan.” Orang itu menambah, “belajar agama mesti menghadap guru”. Saya tidak pernah ditegur begitu sekalipun lama mengamalkan membaca buku di tempat terbuka seperti di tepi jalan atau stesen bas! Tetapi ada menerima beberapa SMS dan emel yang mengandungi ayat-ayat berkenaan. Terus terang, saya lebih suka ditegur secara berhadapan, yang live, berbanding diusik dengan SMS.

Kalimah iqra’ dalam wahyu pertama bererti ‘bacalah’. Itu satu perintah daripada Allah supaya kita membaca. Saya pun lebih setuju dengan tafsir kalimah iqra’ itu sebagai mempelajari sesuatu yang baru, termasuk juga di sana membuat kajian sama ada secara hands on, membaca, menemu bual, berdebat dan membentang kertas kerja. Kalau ada contoh lain yang memberi maksud mendalami ilmu, harap saya paling awal memberi tanda bagus!!!

Saya membantah dua ayat yang ada dalam SMS kepada saya sekalipun maksud pengirimnnya baik. Kesan buruknya lebih besar daripada manfaat. Melalui pengalaman, saya percaya dalam bab agama kebanyakan kita akan cepat akur tanpa banyak soal. Jika dalam fikiran masih kelirupun, dipujuklah hati menerima saja kerana itu agama.

Bayangkanlah apabila disamakan membaca buku agama sebagai berguru dengan syaitan, siapa nak baca buku agama lagi? Persoalan sebenar ialah mereka membaca buku-buku agama bukanlah satu-satunya kaedah mendapatkan maklumat. Dengan fikiran bodoh saya pun, tidak percaya penulis buku agama berkenaan dapat menghafal semua perkataan dan ayat yang ditulis menjadi buku. Kita boleh cuba. Ambil satu buku bab wudhu Rasulullah mungkin tebalnya 100 muka. Cari penulisnya dan minta penulis itu menuturkan semula seperti yang ditulisnya. Kalau penulisnya (tentu ustaz atau ulama) sendiri tidak dapat menghafal semuanya, tentu orang yang membaca bukunya lebih bermanfaat daripada menghadap peribadi penulis itu. Itu premis pertama saya.

Belajar menghadap guru bagus kerana dapat membincang dengan mendalam, tentu itu maksudnya. Namun bukan bererti guru itu seperti malaikat pula. Tahun lepas dalam kuliah maghrib di sebuah surau, seorang jemaah bertanya apa hukum dibunyikan bacaan al Quran yang kuat sebelum azan Jumaat, tidakkah menganggu iktikaf jemaah? Saya agak ini kacang saja kepada ustaz, rupa-rupanya tidak. Dia sendiri keliru antara memberi hak nyaman kepada para pengiktikaf masjid atau memeriahkan hari Jumaat dengan bunyi-bunyian. Tidak selesai juga. Agaknya sebab itu jarang penceramah memperuntukkan 50 peratus masa pengajarannya untuk soal-jawab. Kelemahan manusia, dalam soal jawab pun guru berkenaan tidak dapat memperincikan jawaban dengan dalil-dalil atau petikan mana-mana fatwa ijtihad. Sebab itu jangan borong asal belajar agama wajib ambil daripada guru saja, bukan main baca-baca saja.

Jadi, bacalah buku-buku agama itu, bukan satu dua saja terus baca banyak-banyak. Sekarang ada set buku agama berkenaan “masalah remeh temeh dalam agama tapi malu bertanya”. Pengarangnya mencari soalan remeh temeh dan menjawabnya dengan baik. Ini pun satu kaedah menyelamatkan masa. Pokoknya, buku-buku telah ada dalam bentuk pelbagai.

Jangan juga memulau guru. Belajar tajwid dan qiraat mesti menghadap guru walaupun mempunyai susunan buku dan set CD maudhuk berkenaan. Guru berkenaan akan menilai suara dan kaedah bacaan kita, dan kita dapat melihat dengan sejujur-jujurnya pengajaran guru itu. Kan begitu.

Zaman kini ada internet. Ada pula kerana berlaku perbedaan pendapat dalam agama disabitkan dengan internet. Maksudnya belajar dengan internet bukan dengan menghadap guru. Zaman sebelum ada internet dan TV pun manusia sudah berbeda pendapat. Zaman permulaan Khawarij, Syi’ah, Murjiah dan Muktazilah muncul dalam tempoh kira-kira 100 hingga 200 tahun selepas wafatnya nabi. Mana ada internet lagi.

Percaya atau tidak, internet telah menjadi satu madrasah maya, yang lebih berkesan daripada belajar secara live menghadap guru: Kita dengar saja guru buka dan baca kitab. Internet menawarkan sistem audio, boleh dengar ceramah guru juga. Ada visual, gambar bergerak sama seperti melihat guru bergerak di kuliah maghribnya. Internet juga menawarkan rencana, e-book dan soal jawab.

Pengalaman saya, jawaban-jawaban melalui laman web yang dikendalikan oleh ustaz atau ulama lebih berdisiplin. Jawaban bertulis disertai dengan nas, jika hadis nabi disertakan sumber dan taraf hadis berkenaan. Jika rujukan fatwa, disertakan pula sumber web fatwa berkenaan. Jarang jawaban berdisilin seperti itu diberikan oleh seseorang guru dalam kuliahnya. Bukan salah guru yang secara live itu, biasalah manusia banyak kelemahan. Yang dalam internet itu guru berkenaan pun mengambil masa untuk menyiapkan jawaban yang paling afdal. Guru yang secara live juga memerlukan masa untuk jawaban yang terafdal, soalnya sanggupkah setiap soalan dijawab serinci itu?

Kembali kepada ayat-ayat mengugut jangan membaca buku agama dan mesti jumpa guru. Tidak perlulah buat begitu kerana orang akan menanggap si pengirim dalam kebimbangan kehilangan pengaruh, nampak takut hanya ada tiga orang datang kuliahnya. Memang zaman cepat berubah, tetapi kita seakan tidak terdaya mengejar atau melayan perubahan itu. Tapi jangan kerana kelemahan kita, lalu beban kita cuba dipindahkan kepada orang lain.

1 ulasan:

  1. Hari ini kedai jual buku agama tak laku,kitab agama tidak dibeli untuk dibaca sebab takut berguru dengan Syaitan. Tetapi bila baca majalah dan akhbar yang ada bahan bercangah dengan Islam tidak ada yang kata berguru dengan syaitan.

    BalasPadam