PELAJAR-pelajar yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada bulan September 2007 telah pun mendapat keputusannya semalam. Tidak ada berita PMR yang mengejutkan misalnya di sekolah menengah harian biasa 50 peratus calonnya mendapat 8A atau di kebanyakan sekolah, hasilnya antara 70 hingga 90 peratus mendapat 7A dan 8A. Ini tidak berlaku dan barangkali sehingga kiamat pun tidak akan berlaku jika sistem sedia ada terus diguna pakai. Bayangkan saja benar-benar berlaku, katakan 10 buah sekolah di Johor keadaannya seperti piramid terbalik, iaitu yang mendapat 8A paling banyak, kemudian diikuti 7A, kemudian 6A dan semakin mengecil yang gagal semua seorang saja! Jika ini berlaku barangkali Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat mengapa perkara aneh ini bisa terjadi.
Oleh itu kata orang filem, klise! Keputusan apa juga peperiksaan termasuk PTK untuk kaki tangan awam ialah mesti seperti pyramid, menajam ke atas. Yang paling sedikit atau kecil ialah yang diangap terpandai, terbaik atau paling cemerlang. Misalnya kalau dalam SPM, yang mendapat 17A atau 18A, mungkin tahun 2007 nanti 35A adalah di puncak. Dia seorang saja. Itu dinamakan klise. Dunia tidak perlu berhenti berputar kerananya.
Oh rupa-rupanya sudah tabiat alam, yang terbaik, terkenal, terpandai, dan segala yang paling-paling tinggi hanya satu atau dalam bilangan terkecil. Di balik itu yang paling tawar, hambar, paling tidak bernilai, paling murah atau apa saja yang sewaktu dengannya memiliki jumlah yang terbanyak. Majoritinya begitu. Gunakan saja grafik pyramid itu, senang faham.
Maka orang berlumba-lumba untuk meraih gelar yang terkecil itu. Contoh paling baik untuk memahami ini dalam sukan. Tahun hadapan Sukan Olimpik di Beijing sebagai contoh mencari yang terbaik di dunia dalam semua acara sukan.
Pernahkah atau sekurang-kurangnya beberapa kali setahun kita berfikir bahawa Allah juga akan memberi anugerah paling nikmat kepada hamba-Nya yang terbaik, terhormat, terbilang dan segala macam maksud menggambarkan tinggi nilainya di sisi Allah? Untuk mencari yang terbaik di sisi Allah, Tuhan manusia itu cukup adil kerana tidak pernah mengadakan kouta tertentu. Peluang dibuka seluas-luasnya untuk mencari nikmat abadi di sisi-Nya.
Kembali gunakan grafik pyramid itu untuk menganalisis apa yang di sisi Allah. Begitu banyak manusia kira-kira tiga billion, hanya satu billion sebagai muslim. Ertinya dua billion paling dasar, kemudian satu billion muslim. Di atas darjat muslim ialah orang beriman, jumlahnya lebih kecil berbanding satu billion tadi. Di atas darjat orang-orang beriman tadi ialah orang-orang taqwa, yang bilangannya lebih kecil berbanding orang-orang beriman tadi.
Dalam al Quran, Allah hanya mempersilakan orang-orang beriman dan bertaqwa menjejak kaki ke jannah atau syurga-Nya. Betulkan, tawaran itu tidak kepada orang Islam! Apa lagi kepada yang bukan Islam. Beragama Islam hanya sebagai pintu menuju beriman dan bertaqwa. Yang beriman dan bertaqwa itu bilangannya lebih kecil berbanding yang kufur.
Bagaimana secara mudah mengukur muslim ke tahap iman, kemudian taqwa. Ambil contoh paling mudah iaitu kewajiban solat. Kita andaikan saja semua muslim solat atau pernah solat sekali dua untuk seumur hidupnya. Baiklah, yang paling banyak ialah solat saja, tanpa tahu erti sebutannya, solat sekali-sekala dan segala macam solatnya muslim yang tidak berkualiti. Kan banyak begitu.
Kemudian, di atas darjat orang awam bersolat ini ialah mereka yang solat lima waktu, tapi tidak pada awal waktunya. Kemudian, di atas mereka ialah yang solat lima waktu pada awal masuk waktu solat. Kemudian di atas yang melakukan solat pada awal waktu ialah yang solat pada awal dan tahu benar erti sebutannya. Kemudian di atasnya lagi, yang lengkap solatnya berjemaah di masjid (ini edisi lelaki saja). Kemudian yang berjemaah, faham erti dan khusuk solatnya. Kemudian yang menjadi imam saban waktu, faham benar erti sebutan, mengamalkan semangat solat dan khusuk lagi! Wah dialah dianggap melakukan solat terbaik. Itu pandangan kasar manusia, di sisi Allah kita tidak tahu.
Namun mencari maksud orang beriman, Allah telah memberi garis panduan dalam al Quran ayat 2-3 surah al Anfaal bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang beriman ialah apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka. Apabila dibacakan ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal. Mereka ialah yang mendirikan solat dan menafkahkan (sedekahkan) sebagian rezeki yang kami berikan kepada mereka.”
Lagi dalam surah al Hujurat ayat 15 bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang beriman ialah mereka yang beriman (percaya) kepada Allah dan rasul-Nya saja tanpa ragu-ragu. Kemudian mereka berjihad (berkorban) dengan harta dan jiwa (nyawa) mereka di jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar.”
Wallahu’aklam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan