Pengikut

Rabu, Ogos 05, 2009

ULAMA: Buatlah kerja besar!

KEGILAAN berfikir, bercakap sehingga mencari orang untuk diajak debat hal yang memang samar-samar ertinya dalam alquran merupakan contoh terbaik ustaz atau ulama kehilangan fokus. Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, Pengarah Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) telah mengkritik kerja-kerja ulama yang terlalu menumpukan perkara fardu ain dan meninggalkan lapangan fardu kifayah.

Memang timbul rasa seronok adanya perkelahian, perbalahan dan pelbagai macam debat dan antara dua pihak. Tentu sekali sesuatu pihak akan berusaha menarik sebanyak mungkin sokongan dan pengaruh dalam perlawanan. Satu tragedi buruk apabila ada segelintir orang agama berdebat untuk untuk menentukan siapakah antara dua pihak yang sesat (kafir) dan muslim. Tambah menyedihkan apabila tajuknya memang perkara yang Allah sendiri nyatakan sebagai samara-samar. Rujuk ayat 7 surah Ali-Imran. Secara jelas Allah larang, kerana manusia tidak mampu menemukan jawaban hakiki.

Islam itu sudah disahkan lengkap (surah Al Ma’idah:3) bermakna hal berkaitan akidah dan ibadah sudah beres. Dalam hal mengenali Allah, prinsipnya sangat mudah iaitu ‘mengenali Allah sebagaimana Allah memperkenalkan dirinya dalam al-Quran dan diperkenalkan oleh Nabi-Nya’. Asasnya ialah ‘Allah tidak dapat diserupakan dengan apa pun (surah Syura:11)’. Allah dalam kebesaran dan kehebatan tersendiri yang tidak ada persamaan dengan apa-apa, cukup. Maka sebab apa ada orang yang ke hulu ke hilir berpolemik sama ada Allah istiwa (semayam) di Arasy atau tidak. Ayat harfiah Allah istiwa di arasy antaranya dalam surah As-Sajadah ayat 4.

Berapa banyak masa dan tenaga telah digunakan mereka yang berkenaan untuk menyediakan alasan bagai menyalahkan sesiapa yang tidak setuju dengan tafsirannya (sedangkan Allah sudah melarangnya)? Kos masa dan tenaga sepatutnya digunakan untuk menggerakkan minda muslim agar bergerak maju menguasai bidang kifayah yang memang sangat daif kepada semua muslim.

Jika kita ke hospital kerajaan pasti semua merungut kerana terpaksa menunggu begitu lama. Orang-orang agama pun merungut, dan kalau boleh mahu dirinya dilayan dengan cepat. Namun semua terpaksa akur bahawa kekurangan doktorlah menyebabkan semua pesakit menunggu lebih sejam untuk mendapat rawatan.

Mengapa orang-orang agama tidak berfikir bahawa anak-anak muslim wajib diasuh mindanya mencintai sains dan teknologi supaya kuat kecenderungannya untuk mempelajari ilmu kedoktoran dan banyak yang mahu menjadi doktor. Kerajaan memang sangat mengalu-alukan anak-anak Melayu muslim memilih bidang ini, sehingga tawaran biasiswa diberikan (sedangkan pengajian lain dipaksa menggunakan pinjaman). Melalui khutbah Jumaat dan ceramah-ceramah itulah diulang berpuluh-puluh kali pentingnya muslim menguasai bidang kifayah. Mereka patut membuat majlis-majlis yang memberi merit kepada anak-anak muda yang menceburi pelbagai bidang fardu kifayah agar membentuk satu budaya berfikir ke arah itu.

Di pekan dan bandar begitu kurang peniaga muslim, namun apakah peranan orang agama yang menguasai minda masyarakat muslim untuk mendorong pemikiran berteraskan perniagaan. Benar ustaz dan ulama bukan peniaga, tetapi apakah mereka tidak ada rasa tanggung jawab sama-sama berfikir membentuk paradigma niaga kepada masyarakat melalui institusi agama dan masjid.

Masyarakat sudah tahu Islam itu sebaik-baik cara hidup, maka mereka mengharap golongan agama menjadi pencetus ke arah Islam yang syumul itu. Cakap golongan agama sangat laku, tapi malanglah jika golongan yang sangat diharap untuk memperjelaskan bagaimana Islam menguasai dunia asyik membelek kitab fardu ain. Ke hulu ke hilir asyik dengan cakap, “siapa kata Allah di langit sesatlah dia, kafirlah dia.” Seronoklah dapat menentukan siapa kafir dan siapa muslim.

Adakah orang agama tahu bahawa imej mereka dalam pengurusan sangat rendah? Sekurang-kurangnya itulah pandangan awam, sebab itu kalau ada majlis tugas ustaz ialah baca doa saja!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan