Pengikut

Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan

Jumaat, Februari 08, 2019

ULASAN buku Para Sahabat menurut akidah Ahli Sunah


Penulis, Dr.  Muhammad bin Abdullah al Wahibiy
Penterjemah,  Abdul Wahab bin Bustami al-Banjari
Penerbit, Perniagaan Jahabesra, Johor Bahru. 
Tahun,  2011
Muka surat,  126
Harga RM 8.90

SAHABAT satu gelaran istimewa kepada orang-orang yang bersama Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam . Sahabat bukanlah kawan atau teman.  Sahabat Rasulullah diertikan sebagai muslim yang hidup pada zaman Rasulullah seperti berjumpa,  mendengar suara baginda walau hanya seketika.  Keistimewaan orang yang digelar Sahabat Rasulullah ini diberikan oleh Allah subhanallahu taala dan dijamin syurga, selain tidak boleh diperlekehkan. Malah jika sejarah merakam para Sahabat terlibat dalam perselisihan sesama mereka,  umat Islam dilarang mempersoalkan atau membicarakannya kerana mereka adalah sebaik-baik manusia selepas Rasulullah, Allah telah mengatur perjalanan hidup para sahabat sesuai dengan jaminan dan keredaan-Nya. 

Buku Para Sahabat Menurut Akidah Ahli Sunah wal Jamaah,  membicarakan hak keistimewaan,  jaminan Allah dan  apa sikap setiap muslim terhadap para Sahabat. Istimewanya para Sahabat ini Allah rakamkan dalam al-Quran surah al-Fath ayat 48, bahawa Allah reda terhadap orang-orang mukmin yang berjanji setia kepada Rasulullah di bawah pohon. Ini merujuk Perjanjian Ridhwan di Hudaibiah untuk berperang bersama Rasulullah walau pun tidak berkelengkapan perang. Rasulullah menyebut dalam hadis riwayat Imam Muslim,  bahawa Sahabat yang berjanji di bawah pohon itu tidak akan masuk neraka. 

Terdapat juga taraf kekananan para Sahabat Rasulullah,  misalnya yang utama ialah mereka yang awal memeluk Islam di Makkah. Ini dibuktikan daripada hadis al-Bukhari dan Muslim,  Rasulullah melarang Khalid al-Walid mencela Abdul Rahman bin Auf,  walhal kedua-duanya adalah sahabat Rasulullah.  Diketahui bahawa Khalid al-Walid memeluk Islam setelah pembukaan kota Makkah,  malah Khalid pernah menjadi pemimpin kaum kafir menyerang umat Islam di Madinah. 

Allah dan rasul-Nya juga memberi keistimewaan kepada para Sahabat yang pada zaman Madinah. Dalam hadis al-Bukhari,  Rasulullah menyatakan salah satu tanda keimanan muslim ialah mencintai golongan Ansar dan munafiklah sesiapa yang membenci Ansar.  Golongan Ansar merupakan pembantu Rasulullah dan muslim dari Makkah,  yang mereka tidak mengharap apa-apa keuntungan duniawi daripada pengorbanannya. 

Menurut kajian ulama Ahli Sunah wal Jamaah, termasuk dalam akidah yang sahih memuliakan para Sahabat Rasulullah disebabkan Allah dan rasul-Nya telah memberi keredaan kepada golongan Sahabat. Apabila Allah subhanallahu taala telah mengiktiraf kemuliaan Sahabat,  maka sesiapa yang ingkar bermakna mengingkari Allah. 

Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyah mengatakan,  mereka yang mengatakan sebahagian besar Sahabat telah murtad,  maka mereka yang berkata demikian nyata telah kufur sebab berlawanan dengan jaminan Allah terhadap para Sahabat Rasulullah. 

Berdasarkan surah al-Fath ayat 29 yang bermaksud,  "Muhammad ialah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya," Imam Malik menetapkan sebagai kufur orang yang membenci para Sahabat Rasulullah. 

Telah berlaku perang antara Sahabat pada zaman Khalifah Ali,  seperti Perang Siffin dan Perang Jamal. Rasulullah telah membayangkan awal berlakunya perselisihan antara para Sahabat baginda,  malah antara Sahabat yang dijamin syurga. Dalam hadis riwayat ath-Tabrani,  Rasulullah meminta umat menahan lidah daripada mempersoalkan Sahabat-sahabat baginda, sama seperti baginda melarang persoalkan qada dan qadar. 

Penulis mengutip catatan daripada kitab Minhajus Sunnah (6/254) supaya umat Islam memohonkan keampunan kepada para Sahabat Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam. 

Selasa, Februari 05, 2019

ULASAN buku Fanatik Mazhab Kesan Kepada Pemikiran Umat


Penulis,  Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Penerbit,  Karya Bestari Sdn Bhd, Shah Alam
Tahun 2007
Muka surat 39
Harga RM3.00

Penulis seorang sarjana berkelayakan Phd dalam hadis juga seorang Mufti di Perlis,  sangat menyedari ketaksuban sebahagian umat Islam telah menimbulkan kesan kesan negatif. Sesuai dengan kedudukan penulis sebagai mufti negeri Perlis yang undang-undang tubuhnya tidak terikat dengan sebarang mazhab fikah,  telah menulis buku  kecil tapi sangat penting.

Penulis telah memulakan mukadimahnya dengan mencatat ayat 8 surah al-Maidah berkenaan kebenaran dan keadilan tidak boleh disembunyikan disebabkan kecintaan seseorang kepada kaum atau kumpulannya. Beliau mengomentari pandangan Prof Dr Muhammad Raft Uthman bahawa seseorang tidak boleh berpegang kepada sesuatu pandangan sedangkan dia tahu pandangan itu lemah atau tidak sahih (ms 2).

Penulis juga mengutip pandangan Dr Said Ramadan al-Buti yang mengatakan tiada dalil syarak yang mewajibkan muqallid beriltizam secara berterusan dalam taklidnya kepada sesuatu mazhab fikah. Malah penulis  menguatkan hujah dengan menggunakan ayat 43 surah an-Nahl yang bermaksud, "maka bertanyalah kamu kepada ahli zikir jika kamu tidak mengetahui.

Antara kesan fanatik mazhab kepada pemikiran umat ialah menyebabkan al-Quran dan Sunnah dipinggirkan.  Hal ini disebabkan pengikut mazhab lebih mengutamakan mazhab beragama sekali pun dalam hal berkenaan pendapat mazhabnya berlawanan dengan nas al-Quran dan Sunnah.

Kesan kedua ialah menyempitkan ruang hukum dan ijtihad. Menurut penulis,  para intelektual dalam sesuatu mazhab hanya akan berijtihad yang sesuai dengan dasar mazhab yang dianuti. Beliau memberi contoh hukum taharah dalam mazhab Syafie dan kehalalan haiwan lsun dalam mazhab Hanafi yang agak membebankan (ms 26).

Kesan ketiga ialah enggan mendengar pendapat lain dan bersikap keras.  Penulis memberi contoh ada segolongan konservatif di Nusantara yang menganggap sesiapa yang tidak bermazhab Syafie dihukum sesat.

Buku kecil ini sesuai dijadikan bacaan ringan tetapi membaqa mesej yang sangat mendalam kepada keintelektualan umah dalam negara.

Selasa, April 10, 2018

BUKU PRU, umat diseru mentaati pemerintah


PANAS Pilihan Raya Umum (PRU) kali 14 sedang nyata. Masyarakat berusia 21 tahun ke atas memang terlalu kepingin terlibat dalam politik, sekurang-kurangnya sebagai pengundi. Sebagian besar menganggap PRU satu pesta besar tetapi ada yang menaruh curiga mengenai nasib warga dan negara selepas PRU.

Buku Pilihan Raya Malaysia Antara demokrasi dan tuntutan Agama oleh Ustaz Idris Sulaiman, Ustaz Dr Fadhlan bin Othman dan Dato' Dr Fathul Bari bin Mat Jahya, setebal 254 kaca dengan harga RM30.00 diterbitkan oleh Almisykaat Enterprise, 2018.

Buku ini membicarakan teori hubungan antara rakyat terhadap pemerintah daripada ajaran al-Quran dan As-Sunnah, kewujudan sistem demokrasi berpilihan raya serta kewajiban untuk mengundi pemerintah dengan dalil agama, serta kaul ulama zaman silam.

Panel penulis telah mendedahkan sistem demokrasi berpilihanraya sebagai satu ancaman keamanan dan kelestarian pemerintahan Islam di Malaysia apabila masyarakat Melayu Islam berpecah kepada lima partai politik, sedangkan kaum bukan Islam sedang menyatu kuat dalam satu partai.  Ini bermakna, sekalipun Masyarakat Melayu itu majoriti, tetapi dengan berpecah kepada lima parti yang saling bertelingkah, membayangkan kaum bukan Islam boleh berkuasa melalui PRU14 ini.

Panel penulis menjelaskan kedudukan pemerintah dan pembangkang dari sudut agama. Jelas, pembangkang tidak diperlukan dalam kehendak Allah dan rasul-Nya sebab jelas arahan ketaatan umah kepada pemerintah.

Umah juga sangat dilarang menjadi pembangkang atau pengkritik terbuka, dibimbang terjebak dalam perjuangan kaum.khawarij yang membantah pemerintah atas nama agama.

Seterusnya panel penulis secara terbuka mengatakan wajib umat Islam mengundi partai Barisan Nasional yang selama ini menjadi pemerintah atas nilaian agama. Hal ini, sekurang-kurangnya atas prinsip 'mengambil mudarat kecil daripada mudarat besar'.

Beruntung meneliti hujahan panel penulis buku ini kerna setiap hujahan disandarkan pada ayat al-Quran, al-Hadis atau kata-kata ulama zaman salaf. Mungkin buku ini menjengkelkan para pendukung demokrasi, tetapi buku ini nyata mula menggugat minda sebagian anak muda yang cenderung beragama dalam politik.

Sabtu, Februari 17, 2018

WAHABI: Salafi atau tajdid?


BERLAKU perbedaan antara mereka yang disebut wahabi, walaupun secara umum kedua-duanya tidak berakidah Asya'irah Sifat 20 dan membenci bid'ah.  Ini sebahagian daripada isi akhir buku "Evolusi Gerakan Penyelewengan Dalam Islam" yang ditulis oleh Muhammad Asrie Sobri.  Buku ini diterbitkan oleh Karya PiS Sdn Bhd, tahun 2018 tebalnya 174 halaman muka surat.

Buku ini tampak jelas sebagai buku sejarah, fakta penyelewengan yang menyusup ke dalam kefahaman beragama sejak zaman Rasulullah masih hidup hinggalah zaman kini.  Penulis memilih standard Al-Quran, hadis sahih, kefahaman para sahabat Nabi shallallahu alaihi wasallam dan salafus saih sebagai ukuran adanya penyelewengan atau tidak.

Penulis Muhammad Asrie Sobri menemui peranan pemerintah seperti khalifah, sultan atau wakil khalifah merupakan faktor utama berkembang atau surutnya penyelewengan dalam kefahaman umat Islam sepanjang zaman.

Antara isi penyelewengan ialah al-Qadariah, al-Irja, Muktazilah, al-Ta'til dan Jahmiyah pada zaman khilafah Bani Umayyah. Pada zaman Bani Abasiyah pula terdapat aliran ilmu kalam dengan peranan beberapa orang khalifah.

Syiah pula jelas satu penyelewengan dalam kefahaman umat Islam dan disebarkan oleh kerajaan Bani Buwaih dan Bani Ubaid. Malah dibuktikan kaum syiah punya aktiviti besar membantu tentera Mongol menghancurkan khilafah Bani Abasiyah.

Penulis juga berjaya membuktikan amalan sekularisme di Turki bukanlah semata-mata dikaitkan dengan Mustafa Kamal Ataturk, malah dimulakan oleh beberapa khalifah Usmaniyah kurun ke-19.

Tokoh yang dikatakan pencetus gerakan tajdid dunia Islam seperti Syeikh Jamaludin Al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Redha, dan di Nusantara seperti Syed Syeikh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaludin dan Hamka juga disorot pegangan akidahnya, sama ada menepati manhaj salafus salih atau tidak.

Kesimpulannya, buku Evolusi Gerakan Penyelewengan Dalam Islam satu pendedahan sejarah yang panjang. 

Sabtu, September 02, 2017

SYEIKH MUHAMMAD tokoh agung wahabi


MUHAMMAD BIN ABD AL-WAHHAB tajuk buku tulisan Zakaria @ Mahmod Daud diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 2014. Buku ini setebal 216 berkulit keras. Zakaria @ Mahmod Daud adalah seorang pensyarah kanan di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kota Bharu Kelantan.

Muhammad bin Abd al-Wahhab adalah nama besar dalam dunia Islam. Beliau dilihat dari sisi positif, seorang tokoh pembaharuan Islam di semenanjung Arab dan dari sisi negatifnya, beliau dilihat sebagai tokoh yang membawa keburukan dan perpecahan umat. Umumnya, beliaulah tokoh ulung pada satu ideologi yang disebut Wahabi.

Penulis telah mencatat
Bab 1: Muhammad bin Abd-Wahhab: Keturunan dan sejarah hidup.
Bab 2: Dakwah Muhammad bin Abd al-Wahhab dan perkembangannya.
Bab 3: Pemikiran Muhammad bin Abd al-Wahhab.
Bab 4: Pandangan ulama dan sarjana mengenai pemikirannya.

Antara lain penulis mendedahkan kerjasama Syeikh Muhammad bersama amir Dir'iyah iaitu Bani Saud mendakwahkan manhaj Salafus salih serta menyatukan daerah-daerah di Najd di bawah kekuasaan Bani Saud. Penulis juga menjelaskan prinsip dan isi dakwah yang menyamai bawaan Nabi shallalahu alaihi wasallam.

Dipaparkan juga kritikan ulama dan musuh dakwah Syeikh Muhammad, bersama jawaban daripada Syeikh Muhammad, anak cucunya serta ulama-ulama yang mendukung dakwah Syeikh Muhammad.

Begitu juga dalam bab ke-4, penulis mencatat ulama sesudah zaman Syeikh Muhammad yang menyokong Syeikh Muhammad dan yang menentangnya. Secara adil, penulis telah mengambil jawaban kritikan daripada ulama-ulama yang bersama dakwah Syeikh Muhammad.

Buku ini dapat membantu meluruskan pandangan sisi hitam terhadap dakwah wahabi.

Khamis, Disember 15, 2016

MAKA ahli agama itu diseret syaitan

SESUNGGUHNYA syaitan adalah musuh kamu (manusia) yang nyata" (maksud surah Yusuf:05) Musuh artinya suatu yang tugasnya menewaskan manusia.


Jika manusia mahu kebaikan, maka syaitan akan menewaskannya, sehingga manusia lebih suka keburukan.  Jika manusia mahu mentauhidkan Allah, maka syaitan akan menewaskannya sehingga manusia itu berada dalam kesyirikan kepada Allah.  Apa saja kemahuan manusia untuk menyahut seruan Allah iaitu 'bertakwa' maka pasti syaitan akan mengitari manusia itu sehingga manusia itu pasti bukan dalam kehidupan yang bertakwa kepada Allah.

Perhatikan perkabaran Allah dalam al-quran berkaitan syaitan yang sangat jelas mahu menjerumuskan manusia dalam kebinasaan dunia dan akhirat.

"... (syaitan) itu mengatakan, 'pasti aku akan mengambil bahagian tertentu daripada hamba-hamba-Mu' " (surah an-Nisaa: 118)

"(Syaitan) itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, padahal syaitan itu hanya menjanjikan penipuan kepada mereka." (An-Nisaa: 120)

Dalam Perang Uhud satu pasukan yang telah ditarbiyah oleh Rasulullah pun berjaya diperdaya syaitan. "....Sesungguhnya mereka digelincirkan oleh syaitan disebabkan sebagian kesalahan (dosa) yang dibuat (pada masa lalu) tetapi Allah benar-benar telah memaafkan mereka..." (surah Ali Imran: 155).

Ayat 268 surah al-Baqarah pula syaitan menjanjikan kemiskinan kepada manusia dan menyuruh kita bersifat kikir atau kedekut.

Begitulah citra dan kerja-kerja musuh utama manusia. Dari sudut mana pun syaitan akan masuk membelit manusia sehingga manusia itu tewas dan nanti bersamanya dalam kehinaan hari akhirat.

Buku Talbis Iblis buah tangan ulama besar abad keenam Hijrah, Ibnu Jauzi menelusuri banyak hal kehidupan yang tidak disangka-sangka, rupanya masih tidak terlepas bidikan sang syaitan. Berusahalah menghabisi pembacaan buku ini untuk mengkoreksi diri sendiri, di manakah kita telah ditewaskan oleh syaitan.

Ahad, Disember 06, 2015

PEMIKIRAN Dr Faisal Othman boleh diterima sekarang

TAHUN 1989 hingga 1992 nama penulis  Dr  Faisal Othman memang popular sebagai penulis di akhbar Utusan Malaysia. Tahun-tahun berkenaan sebagian daripada zaman pergolakan sengit politik Melayu yang ditunjangi Umno dan Pas. Semenjak Pas di bawah kepemimpinan ulama, perjuangan parti Islam itu ialah melaksanakan undang-undang syariah atau popularnya: Hudud.

Dr Faisal Othman sebagai pensyarah UKM waktu itu memberikan ‘kuliah’ pemkiran Islam dari sudut lain, yang sebenarnya sebagai jawaban kepada semua yang diwarwarkan oleh Pas.  Tulisan-tulisan beliau dalam Utusan Malaysia sebenarnya telah dibukukan dan diterbitkan oleh Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, di bawah tajuk ISLAM DAN PERKEMBANGAN MASYARAKAT, tahun 1997.

Pada zaman penulisan di koran itu, Dr Faisal Othman sering didakw sebagai anak orientalis Barat atau pendukung sekular Barat oleh penyokong-penyokong Hudud.  Namun saya yakin jika tulisan-tulisan beliau dimasukkan semula dalam koran harian, pandangan masyarakat sebelah Pas atau NGO Islam tidaklah seperti dahulu.

Apa yang ditulis Oleh Dr Faisal Othman sebenarnya adaptasi Islam dalam dunia masyarakat majmuk dan kontemporeri.  Beliau menjawab bahawa apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan Malaysia bukan suatu yang terpisah daripada pemahaman ilmuan-ilmuan Islam silam dan semasa.

Antara tajuk rencana yang sudah dibukukan itu:
Islam dan Perkembangan Masyarakat
Permasalahan Akal dan Ijtihad dalam Syariah Islam
Dinamika Ijtihad
Ijtihad Masa Kini dan Akan Datang
Umat Islam Meninggalkan Amalan Ijtihad yang Positif
Permasalahan Islam dan Pemodenan
Umat Islam Tidak Dalam Menghadapi Perubahan Dunia
Masalah pemahaman dan Pelaksanaan Sunah
Asas Perubahan Hukum Dalam Islam
Panduan Asas Bagi Aplikasi Perubahan Hukum
Pengajaran Daripada Perkembangan dan Normatif Islam
Perubahan Nilai yang Diiktiraf oleh Islam
Perubahan Pentafsiran Ayat yang Membawa Perubahan Hukum


Zaman telah berubah, budaya dan pemikiran juga berubah. Penerimaan masyarakat terhadap sesuatu hal juga berubah.

Selasa, Julai 21, 2015

KITAB Tauhid Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab


NAMA Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, seorang ulama dan  tokoh tajdid dari Arab Saudi kurun ke-18 tidak popular berbanding nama nama Syaikh Hassan al-Banna dari Masir atau Al-Maududi dari Pakistan. Tumpan dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab ialah memurnikan akidah, memperjelas sunah Nabi disamping membanteras hal-hal buruk dalam beragama.

Buku Kitab TAUHID MEMURNIKAN LA ILAHA ILLALLAH oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab terjemahan bahasa Melayu Indonesia sebanyak 216 muka surat terbitan Media Hidayah, Jakarta.  Terdapat  67 bab dengan  tuntas memperjelas perkara yang dibenarkan dan dilarang dalam agama: kedua-duanya prinsip itu sangat memurnikan perjanjian muslim menyebut ‘tiada  tuhan melainkan Allah’

Pengarang kitab tidak banyak menelurkan bicara untuk setiap bab, cukup beliau memberikan tajuk bab dan penjelasannya adalah ayat al-Quran dan hadis sahih.  Daripada dua sumber itu, pengarang memberi penjelasan ringkas  tapi tepat membawa panduan hidup yang persis kepada janjisebut La ilaha illallah (tiada tuhan melainkan Allah).  Apa saja permasalahan tauhid yang mengagungkan Allah sebagai Tuhan, pengarang memberikan hujahnya daripada al-Quran dan hadis sahih.  Oleh itu permasalahan tauhid itu dilunasi dengan cara yang betul mengikut kehendak Allah dan rasul-Nya.

Sebagai misal, bab 19 ialah ‘Bahaya Sikap Berlebih-lebihan Terhadap Orang Shalih’.  Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab menuliskan ayat 171 daripada surah An-Nisa’ (maksudnya), “Wahai ahli kitab, janganlah kalian melampaui batas dalam agamamu. Janganlah berkata tentang Allah kecuali yang benar.”

Surah Nuh: 23, “mereka (ahli kitab) menyatakan, ‘janganlah sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) sesembahan kalian. Janganlah sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) terhadap wadd, suwa, yaghuts, Ya’us dan Nasr’ “.

Disusun pula hadis berkaitan tajuk bab seperti:

Daripada Umar r.a., telah bersabda Rasulullah (maksudnya), “Janganlah kalian memujiku dengan berlebih-lebihan seperti pujian orang-orang Nasrani kepada Ibnu Maryam.  Sesungguhnya aku adalah hamba.  Oleh itu katakanlah (Muhammad) adalah hamba Allah dan rasul-Nya.” (HR al-Bukhari 2445 dan Muslim).

Kitab terjemahan ini sangat bermanfaat dan mudah difahami oleh pembacanya. Dianjurkan juga kitab ini dijadikan teks akidah atau tauhid dalam kalangan ahli usrah.


Jumaat, Disember 05, 2014

BUKU Irfan Hamka kisah Buya Hamka

Irfan Hamka menulis kisah ayahnya

NAMA ulama besar, Hamka tidak perlu diperkenalkan kepada umat seluruh Nusantara. Putera Minang kelahiran Danau Maninjau Sumetera Barat menjadi ulama milik Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura.

Saya menghabiskan pembacaan sebagian kisah hidup Buya Hamka melalui pena anak lelaki Buya iaitu Irfan Hamka, buku berjudul AYAH Kisah Buya Hamka masa muda, dewasa, menjadi ulama, sastrawan, politis, kepala rumah tangga, sampai ajal menjemputnya. Buku setebal 323 halaman diterbitkan Republika Penerbit, Jakarta.

Irfan Hamka, usia 70 tahun saat menulis buku itu tahun 2013. Anak kelima Buya Hamka daripada 12 beradik.  Dua saudaranya wafat sewaktu kecil, yang 10 terus mendewasa dan mewariskan zuriat Buya Hamka. Catatan Irfan sangat bersahaja tetapi mengesankan pembaca yang sedia mengetahui besarnya nama Buya Hamka. Maka Irfan Hamka berjaya menimbulkan kisah-kisah balik tabir yang suka, duka, dramatik dan melankolik.

Sejujurnya pembaca tidak teranggap buku AYAH oleh putra Buya Hamka sebagai projek menambah agungkan nama ulama besar dari Indonesia.  Ini beliau singgung sendiri dan menampilkan kebesaran jiwa Buya Hamka sebagai contoh manusia pemaaf kepada yang memusuhinya. Irfan memberikan kita cerita balik tabir Buya Hamka menerima permintaan Sastrawan prokomunis Prammoedya Ananta Toer agar bakal menantunya (asalnya belum muslim) belajar agama daripada Buya Hamka. Walhal sebelumnya Pram dalam koran/akhbar membabat nama Buya Hamka sebagai pencuri karya dari Perancis untuk novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk. 

Kemudian umum tahu dalamnya pertelingkahan antara Buya Hamka dengan Moh Yamin. Buya Hamka mahukan dasar Islam untuk Indonesia sedangkan Moh Yamin mewakili Presiden Soekarno mahukan Pancasila. Apabila Buya Hamka menyatakan ‘ambil Pancasila membawa ke neraka’ itu merupakan kemuncak permusuhan politik kedua-duanya. Namun saat akhir ketika Moh Yamin sakit dan sakarat, dia meminta Buya Hamka di sisinya. Buya Hamka berjiwa besar dan memimpin kalimah tauhid di kuping Moh Yamin sambil tangan mereka berdua bergenggaman. Jelasnya Moh Yamin wafat dalam bimbingan tauhid Buya Hamka.

Yang ketiga, Buya Hamka mengeluarkan fatwa haram muslim menyambut Hari Natal Kristian, yang tidak sejalan dengan Presiden Soekarno. Sampai-sampai Buya Hamka meletak jawatan daripada ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI). Malah pada zaman itu Partai Komunis Indonesia (PKI) turut berpengaruh sehingga mudah saja maksud PKI agar Buya Hamka ditahan atas tuduhan merancang pembunhan Bapak Presiden! Tanpa pengadilah Buya Hamka dipenjara lebih dua tahun. Pada  zaman Presiden Soeharto, Buya Hamka dilepaskan dan ulama ini memenuhi wasiat besar mantan Presiden Soekarno: mengimami solat jenazahnya.  Maka Buya Hamka menjadi imam solat jenazah Soekarno.

Selain itu kehidupan Buya Hamka sewaktu remaja yang berkelana je Jawa dan Makkah semata-mata mahu mendalami agama dan Bahasa Arab, juga disorot kehebatan Buya Hamka sebagai pemimpin pejuang kemerdekaan Sumatera Barat dan pengamal silat.

Membanggakan pengkagum Buya Hamka, tokoh ini tidak pun memiliki segulung diploma atau ijazah dalam agama sekalipun beliau bergelar ulama dan dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Al-Azhar.  Malah Buya Hamka menebarkan ilmu dan pemikirannya dalam 10 jilid Tafsir Al-Azhar, satu tafsir al-Quran yang berjiwa Melayu Nusantara atau tafsir yang sejadi dengan umah Nusantara.

Pengajaran prinsip sebagai ulama, kata Buya Hamka yang dirakam  Irfan Hamka, “kita sebagai ulama telah menjual diri kepada Allah semata.  Ulama yang menjual diri kepada Allah, tidak  bisa dijual lagi kepada pihak mana pun.”  Satu lagi, “Ulama ibarat kue bika (kuih bingka). Dari bawah dipanggang api dari atas pun dibakar api. Begitu juga ulama, dari bawah oleh umat dari atas oleh pemerintah.”

Betapa pun tekanan dan penghormatan daripada mana-mana pihak, Buya Hamka tidak goyah. Tidak sejalan dengan pemerintah sehingga membawa penahanannya, tidaklah Buya Hamka menjadi pemuka menentang pemerintah. Dia umpama Imam Ahmad bin Hanbal, diam dan sabar dalam penjara.

Berbaik dengan pemerintah sehingga ditawar sebagai Duta Besar ke Arab Saudi, dia masih menolak dengan aman dan dihormati pemerintah. 

Namun buku AYAH tidak dapat membekas dalam jiwa pembaca jika sebelumnya tidak terdahulu mengenal karya-karya Buya Hamka. Pembaca akan seperti membaca cerita seseorang yang tidak ada tapaknya dalam diri. Kosong dan hampa!  Maka antara keindahan membaca AYAH disebabkan sudah mengetahui kehebatan Buya Hamka, putera terbilang Nusantara.


Buya Hamka meninggal dunia pada 24 Julai 1981.  Semoga Allah mengampuni dan merahmati Buya Hamka serta  seluruh keluarganya.

Isnin, November 17, 2014

PULANGKAN Bible, edarkan buku Ahmad Deedat

TELAH sah kitab-kitab Bible dalam bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah telah dipulangkan kepada pemilik asalnya.  Ini bermakna penganut Kristian boleh memahami kitab Bible dalam bahasa Melayu dengan baik.  Positifnya, ini membuka dialog terbuka antara Islam dengan Kristian.  Oleh kerna kalimah Allah diguna merujuk tuhan, sebagaimana penganut Islam merujuk kalimah Allah sebagai Tuhan, mahu tidak mahu dialog atau debat akan berlaku mengenai sifat dan kebenaran Allah antara dua agama langit ini.

Mengapa takut dengan dialog sekalipun debat? Bukankah sejak 10 tahun terakhir ini masyarakat Malaysia sudah diasuh dengan perbedaan pendapat yang sangat tajam sehingga antara kedua-dua pihak tidak boleh bertolak ansur, sehingga ada yang sanggup berguling-guling di atas jalan untuk mempertahankan kebenaran pemikirannya. Syabas, hanya berguling-guling sebagai imej keperwiraan, bukan menggambarkan kesan keganasan atau kemusnahan!

Maka elok dicadangkan agar buku tulisan Ahmad Deedat tajuk The Choice atau Pilihan terbitan Al-Hidayah House Of Publishers Sdn Bhd berharga RM26.00 diedarkan kepada orang Kristian juga. Buku ini dalam bahasa Melayu, sebab penganut Kristian yang bukan Melayu sudah memiliki Bible dalam bahasa Melayu.

Sudah sampai masanya semua berlapang dada saling teroka-menerokai agama selain yang dianutinya. Kepada muslim, tetap digalakkan meneroka agama sendiri untuk membuktikan pilihan Islam sebagai agama adalah berdasarkan ilmu, bukan warisan emosi semata-mata.

kulit depan

kulit belakang


Khamis, Disember 19, 2013

AYUH baca Sirah Nabawiyah Ar-Rahiq al-Makhtum

SEMUA ada sejarahnya. Dengan mengetahui sejarahnya, jadilah sesuatu itu sangat bernilai. Nabi yang agung Muhammad Pesuruh Allah punya sejarah hidup dan perjuangannya. Mengetahui sejarah Nabi dan perjuangannya, tidak boleh hanya dengan duduk di hadapan seorang guru memasang telinga.  Selain berguru, yang lebih banyak ialah dengan membuat penyelidikan sendiri. Maka, bacalah sejarah Nabimu!


Syaikh Shafiyyurrahman Al-Mubarakfuri menghasilkan sebuah karya sejarah Nabi dan perjuangannya yang dikira lengkap.  Selama ini, kita mungkin hanya mengetahui siri peperangan dalam sejarah Nabi bermula dengan Perang Badar, kemudian Perang Uhud, Khandak dan pembukaan Makkah.  Buku Sirah Nabawiyah ini mencatatkan lebih daripada empat atau lima perang utama yang menjadi pengetahuan utama setiap muslim.

Misalnya, selain Perang Badar yang menyaksikan 313 tentara muslim mengalahkan 1000 tentera musyrikin Quraisy, ada Perang Badar kedua selepas Perang Uhud.  Perang Badar kedua memang dijanjikan oleh Abu Sufyan selaku ketua musyrikin Makkah. Dan Nabi telah membawa tentera jauh lebih besar daripada tentara Badar pertama.  Cuma, tidak berlaku pertempuran dalam Badar kedua, sebab Abu Sufyan memilih untuk mengelak perang dan membawa sejumlah besar tenteranya pulang ke Makkah.

Mungkin sebagian besar muslim hari ini membayangkan kehidupan Baginda Nabi s.a.w. di Madinah yang aman dan lebih senang, setelah melalui kepayahan hidup di Makkah.  Oh tidak rupanya. Madinah di kelilingi kabilah-kabilah yang masih belum memeluk Islam, maka sejumlah itulah musuh-musuh Nabi dan kaum muslimin di Madinah.  Di sana Baginda Nabi memimpin sendiri gerakan-gerakan mengertak atau memerangi kabilah berkenaan.  Maka tidak hairan apabila Baginda Nabi s.a.w. sangat berharap memenangi Perang Badar untuk menjadi senjata politik Madinah, menaikkan imej negara Madinah dan menggerunkan kabilah-kabilah yang bersikap permusuhan terhadap Madinah.

Antara perang atau penyerbuan yang paling rinci ialah tindakan terhadap semua kabilah Yahudi di Madinah.  Ulah kaum Yahudi tidak sempurna juga jika tidak diseret ulah kaum munafik bumiputera Madinah. Hampir semua sikap permusuhan Yahudi, di belakangnya ada peranan kaum munafik.  Malah ada waktunya Rasulullah mengambil kira juga permohonan maaf yang diajukan oleh kaum munafik terhadap kabilah Yahudi berkenaan.

Buku Sirah Nabawiyah Ar-Rahiq al-Makhthum dimulakan dengan penulis memberi gambaran geografi jazirah Arab dan kuasa-kuasa politik di sana.  Buku setebal 864 kaca diakhiri dengan babak Sifat dan Akhlak Baginda Nabi s.a.w. melalui kaca mata para sahabatnya. 

Yang lebih istimewa buku ini ialah terdapat komentar mengenai status peristiwa atau hadis, misalnya selepas usai Perang Uhud, Rasulullah memerintahkan Ali binAbi Talib untuk mengekori pasukan Makkah.  Kebimbangan Rasulullah ialah jika pasukan Makkah yang sudah melumpuhkan tentera muslim di Uhud tidak pulang ke Makkah sebaliknya menuju ke Madinah, sedangkan semua kekuatan pertahanan Madinah sudah kucar-kacir di Uhud.  Di situ Ali memberitahu bahawa pasukan musuh menuju ke Makkah.  Peristiwa ini terus diberi komentar sebagai dhaif dengan sekian jelah hujahannya.  Inilah keistimewaan buku ini, memberi ketepatan sumber sejarah.


Bacalah, sekalipun ada orang seakan curiga kepada orang awam membaca buku agama tanpa duduk menghadap seorang guru. Bacalah, kemudian berbicaralah dengan sejujurnya.

Jumaat, November 29, 2013

SITI Aishah hamba komunis dan novel Anwar Ridhwan

SEKONYONG-konyong ada cerita timbul berkaitan dengan pejuang komunis dari Malaysia di luar negara. Siti Aishah binti Abdul Wahab, 69 tahun dikesan menjadi hamba kepada satu keluarga di Britain.  Lalu dibongkar kisahnya sewaktu muda menjadi komunis dan berhijrah ke luar negara untuk mengamalkan ideologinya serta aktif dalam perjuangan komunisme.  Menurut Ketua Polis Negara, wanita itu memang menjadi buruan polis pada tahun 1970-an.


Sebelumnya saya baru tamat membaca novel Penyeberang Sempadan karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan.  Setelah tamat membaca novel berkenaan, seakan mudah saya memahami bagaimana wanita Melayu yang lahir daripada keluarga desa, beragama Islam sampai ke Britain semata-mata kerna perjuangan komunisme.

Dalam Penyeberang Sempadan, Anwar Ridhwan mengemukakan watak lelaki Melayu kelahiran sebuah desa di Perak.  Kuay, lelaki itu terdidik sebagai orang yang beragama sebagaimana anak-anak Melayu yang lain.  Kematian ayahnya di tangan penjajah British menyebabkan dendamnya kepada British membara.  Dendamnya membawa dirinya ke Pahang untuk menyertai perjuangan politik radikal antipenjajah British, API.  Oleh kerna API cenderung kiri atau sosialis, mudah saja anggotanya diresapi fahaman komunis.  Anwar menggunakan seorang watak lelaki dari Jawa untuk mengubah pemikiran kiri Kuay kepada komunisme. 

Kuay menjadi buruan British kerna keaktifannya bersama gerombolan-gerombolan anggota Parti Komunis Malaya.  Kerna diyakini Kuay seorang anak muda yang kuat perjuanga komunisnya, parti telah menghantarnya ke China untuk meggaji komunisme dengan lebih mendalam. Bertahun-tahun di China, kemudian dia behijrah ke Soviet Union juga dalam rangka perjuangan komunisme.

Dari Soviet Union, Kuay menjadi salah seorang delegasi komunis kuasa besar itu untuk satu persidangan komunis antar bangsa di Mesir. Di negara Gamal Abdel Naseer itu dia dicolek oleh ejen Amerika dan di bawa ke negara kepala demokrasi. Tujuan Amerika mencoleknya  dan dibawa ke sana supaya Kuay melihat kejayaan demokrasi-kapitalis.  Inilah kerja Perang Dingin antar Amerika dengan blok Komunis. Lalu Kuay menganut pula demokrasi-kapitalis.  Sehinggalah Kuay diketemukan dengan seorang perempuan Palestin di Amerika. Kedua-duanya pindah pula ke Jordan. Di Jordan, dengan bantuan perempuan Palestin itu, Kuay menemui dirinya yang dahulu hilang, iaitu Islam. Tak lama Kuay menukar ideologinya kepada Islam pula. Di Timur Tengah itulah Kuay ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi atas kerjasma dengan pihak keselamatan Malaysia.

Oleh kerna Kuay sudah jelas pendiriannya membuang komunisme dan memilih ideologi Islam yang juga menjadi amalan biasa dalam sistem bernegara di Malaysia, maka Kuay dibenarkan pulang ke Malaysia bersama isterinya, perempuan Palestin itu.

Siti Aishah juga penyeberang sempadan, tetapi kita masih tidak jelas apakah ideologinya sekarang. Komunisme sudah ambruk dan manjadi simpanan di museum, dan Siti Aishah pula menjadi hamba.  Sangat ironis kepada seorang pejuang komunis yang berjuang menghapuskan kasta dan kapitalis, akhir hidupnya menjadi hamba pada saat saudara-saudaranya di Malaysia menikmati kemakmuran dan kesenangan hidup.


Harap-harap Siti Aishah dapat diselamatkan, dibawa pulang untuk mengakhiri hidup sebagai wanita muslimah.  Semoga akhir hayatnya dia menikmati iman, dan dengan itu kepayahan sepanjang hidup dapat Allah ganti dengan yang sebaiknya di akhirat kelak.

Rabu, Julai 03, 2013

SEJARAH Utusan Melayu yang panjang

ORANG tidak kenal nama syarikat tetapi akhbarnya. Akhbar Utusan Malaysia adalah salah satu produk syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.  Sejarahnya, bukanlah kemunculan akhbar Utusan Malaysia yang menjadi trade mark syarikat Utusan, tetapi akhbar Utusan Melayu tulisan Jawi pada tahun 1938 di Singapura.  Hari ini akhbar Utusan Melaysia dikaitkan dengan parti Umno dan sering menjadi sasaran cerca dan saman parti-parti pembangkang.  Hakikatnya, syarikat Utusan Melayu dan akhbarnya pada awal penubuhannya bukanlah ditubuhkan  untuk menjadi lidah mana-mana parti politik.


Itu antara kesimpulan sejarah syarikat Utusan Melayu sebagai pengeluar akhbar Melayu sejak tahun 1938.  Membaca buku ‘Di Depan Api Di Belakang Duri, kisah sejarah Utusan Melayu’ yang ditulis oleh Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) akan lebih memahami bahawa akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia memang tidak dapat dipisahkan daripada suara politik orang Melayu.

Buku yang diterbitkan pada tahun 2013 oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd setebal 512 muka surat juga membawa pembaca memahami sejarah politik di Singapura sehingga beberapa siri pergolakan politik negara.

Boleh dimudahkan bahawa Zam telah membahagikan zaman Utusan Melayu sebagai akhbar yang dipengaruhi pemikiran politik kiri sejak penubuhannya sehingga peristiwa mogok 1961, dan zaman selepas mogok.

Sebenarnya Utusan Melayu ditubuhkan atas semangat nasionalisme Melayu tulen, akibat pandangan rendah Melayu Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan Keling (DKK).  Tahun 1930-an masyarakat Melayu keturunan Arab dan India (dulu disebut Keling) memandang rendah bangsa Melayu yang tulen.  Oleh kerana semua akhbar Melayu yang ada dimiliki oleh Melayu keturunan Arab dan Peranakan yang kaya maka seorang wartawan Warta Malaya, Yusuf Ishak telah membuat keputusan menubuhkan akhbar yang dipunyai oleh bangsa Melayu tulen (tiada darah campuran bangsa lain).  Setelah bersusah payah mencari dana daripada pembeli saham (tentunya Melayu tulen), maka terbitlah akhbar jawi Utusan Melayu dengan harga 10 sen senashkah.

Buku berkenaan juga mendedahkan watak dan pergerakan tokoh wartawan dan politik Tan Sri A Samad Ismail.  Zam telah mencatat A Samad sebagai wartawan Warta Malaya yang berpindah ke Utusan Melayu  dan menjadi sangat terkenal.  A Samad dicatatkan sebagai tokoh politik Melayu Raya yang aktif di Malaya, Singapura dan Indonesia.  A Samad juga berkawan dengan penguam Harry Lee Kuan Yew untuk sama-sama menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura. 

Utusan Melayu digambarkan menjadi sarang para wartawan dan pemikiran politik Melayu kiri.  Antara mereka ialah Said Zahari, Usman Awang, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam dan lain-lain.  Memang benar Utusan Melayu telah berjaya menggembleng tenaga seluruh rakyat Melayu melawan Malayan Union  dan penubuhan Umno, tetapi apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk tahun 1948, Utusan menentang pula  dan memperjuangkan politik yang berlawanan dengan dasar Umno.

Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur secara rasmi pada tahun 1958, dan pada tahun 1961 Said Zahari mengetuai pemogokan kerana membantah Utusan Melayu yang dikawal oleh Umno.  Sejak tamat mogok Utusan yang gagal, Utusan menjadi lebih cenderung menjadi suara Umno di samping mengekalkan kedudukan sebagai akhbar nasional.

Kata penulisnya, zaman selepas Pilihan Raya Umum 2008 merupakan zaman pancaroba bagi Utusan Melayu sebab akhbar Utusan Malaysia telah diserang bertubi-tubi oleh pakatan pembangkang.  Kempen pembangkang memboikot akhbar Utusan begitu hebat termasuk mempengaruhi langganan harian di negeri-negeri yang diperintah pakatan berkenaan, pembelian iklan oleh syarikat-syarikat besar dan tindakan-tindakan saman.

Namun sepanjang sejarah Utusan, semua Perdana Menteri Malaysia telah menunjukkan pendirian yang menyokong Utusan sebagai wahana penyebaran maklumat kerajaan.  Yang terbaru sikap prihatin DYMM Raja Muda Perak dan DYMM Sultan Selangor dianggap oleh semua warga Utusan sebagai satu sokongan moral dari peringkat atasan negara.


Utusan telah melahirkan tokoh yang hebat dalam sejarahnya.  Pengarang pertama Yusuf Ishak menjadi Presiden pertama Singapura, adiknya Aziz Ishak yang asalnya wartawan menjadi Menteri Pertanian pada zaman Tunku Abdul Rahman Putra. 

Jumaat, Jun 29, 2012

WAHABI atau ulama sultan yang bencikan Khilafah Turki Usmaniyyah?


Di negara ini istilah ‘wahabi’ telah berjaya dijadikan satu momokan atau memberi gambaran buruk dalam hal agama.  Jika seseorang itu tidak disukai pemahaman agamanya, jalan paling mudah untuk menjauhkan masyarakat kepadanya ialah memberi label atau gelaran ‘dia wahabi’.  Di samping memberi gelaran ‘wahabi’, orang itu akan memberi apa saja maksud mereka yang dilabel wahabi.  Maka tidak hairan jika sudah banyak orang membuat kesimpulan Kejatuhan Khilafah Turki Usmaniyyah adalah disebabkan pemberontakan kaum ‘wahabi’ di semenanjung Hijaz.  Tidak ada sekolah yang mengajarkan sejarah Turki Usmaniyyah secara lengkap menyebabkan apa saja yang dikhabarkan mengenai kerajaan Islam itu diterima bulat-bulat, tambahan pula jika yang mengatakan hal khilafah Turki Usmaniyyah itu orang yang berwatak agama atau ‘lebai’.


Di sekolah anak-anak hanya didedahkan mengenai perkembangan Khilafah Turki Usmaniyyah dan sumbangannya.  Kalaulah anak-anak dapat berfikir apabila mendapati wilayah pemerintahan khilafah Turki itu meliputi utara benua Afrika, Mesir, pesisir timur jazirah Arab, lembangan sungai Diljah dan Furat serta wilayah Balkan di Eropah, nescaya pecahlah pembohongan sesetengah ‘lebai’ bahawa keluasan wilayah itu hancur hanya disebabkan oleh satu puak di padang pasir jazirah Arab atau Hijaz!

Pembohongan bahawa ‘wahabi’ yang meruntuhkan Khilafah Turki Usmaniyyah telah dijawab dengan tuntas dan ilmiah oleh Ibnu Ahmadain al-Barlisi dalam bukunya ‘Kejatuhan KERAJAAN Turki Uthmaniyyah: Suatu Analisa Ke Atas Peranan Gerakan “Wahhabiyyah” terbitan Jahabesra (2011) Johor Bahru.  Penulis telah mendedahkan peristiwa sebenar pergolakan di Hijaz yang mungkin dijadikan hujah bahawa itulah faktor besar kejatuhan Khilafah Turki Usmaniyyah.  Namun penulis juga telah mendedahkan bukti-bukti ketaatan kaum’wahabi’ (atau Muwahidun) terhadap Sultan Turki di Istanbul.

Suka saya memaparkan hasil kajian penulis yang selama ini disorokkan oleh pembenci ‘wahabi’ demi meracun pemikiran orang yang bersih mencari kebenaran agama.  Misalnya gerakan wakil Sultan Turki di Mesir, Muhammad Ali Pasya jauh lebih dahsyat sebagai pemberontak sebenar terhadap Turki Usmaniyyah.  Kuasa Muhammad Ali Pasya sangat kuat di Mesir sehingga beliau bersama anaknya Ibrahim Pasya menyerang  wilayah Syam pada tahun 1831. Setelah itu Muhammad Ali Pasya meneruskan penaklukannya (dalam wilayah Turki Usmaniyyah) hingga ke Anatolia!  Sultan Mahmud II (1808-1839) terpaksa mengemis bantuan kuasa-kuasa Eropah untuk menyelamatkan kuasanya di Istanbul (muka surat 153).  Mengapa pemberontakan Muhammad Ali Pasya tidak diceritakan kepada orang ramai sebagai satu sebab besar yang menjadikan Khilafah Turki terpaksa sujud kepada kuasa Eropah? Keturunan Muhammad Ali Pasya inilah yang menjadi raja di Mesir sehingga zaman Raja Farouk digilingkan oleh Gamal Abdul Nasser.

Fakta Turki Usmaniyyah memihak kepada Jerman dan Austria dalam Perang Dunia Pertama (1914-1919) memang diajar di sekolah menengah.  Jelas dalam sejarah bahawa persekutuan Turki-Jerman-Austria kalah tersungkur kepada kuasa Eropah yang lain.  Dari situ cukup menjadi bukti bahawa yang mencincang Khilafah Turki Usmaniyah adalah kuasa British dan Perancis, bukannya puak ‘wahabi’ di Hijaz!  Namun orang lebih percaya bicara orang berkopiah walaupun pembohong!

Ibnu Ahmadain al-Barlisi mendedahkan pula pakatan Muhammad Ali Pasya dengan Perancis dalam penaklukan Perancis ke atas Algeria, walhal Algeria adalah wilayah kekuasaan Khilafah Turki Usmaniyyah.  Pelik tapi benar bahawa wizurai Khilafah Turki Usmaniyyah di Mesir iaitu Muhammad Ali Pasya membiarkan saja Perancis menakluk Algeria (muka surat 149).

Penulis juga mendedahkan perkara yang tidak banyak diketahui orang mengenai sikap sullan-sultan Melayu serta para ulama yang bernaung di bawah istana, khasnya ulama-ulama pondok yang menyerang pemikiran dan idea ‘kaum muda’ di Tanah Melayu.  Pada masa Perang Dunia Pertama, British berkuasa penuh di Tanah Melayu.  British juga sedang berperang dengan kerajaan khilafah Turki Usmaniyyah di Eropah. Jadi apakah sikap pemimpin agama di Tanah Melayu, sokong Turki atau British?

Bukan sahaja Sultan Kelantan telah menulis surat kepada alim ulamanya supaya menyebelahi kerajaan British, malah melarang rakyat menunjukkan perasaan cinta kepada Turki Usmaniyyah.  Tidak boleh menolong kerajaan Turki Usmaniyyah juga. Sahibus Samahah Mufti Kelantan sewaktu Perang Dunia Pertama juga memihak kepada British yang menghancurkan Khilafah Turki Usmaniyyah (muka surat 245).  Majalah Pengasuh yang menjadi suara ulama  menyerang ‘kaum muda’ juga mencatat “bahwa berbahagialah negeri Kelantan ini mendapat penaungan di bawah panji-panji Great Britain, dan semenjak ia duduk di bawah bayangan perintahnya terlebih aman dan limpah makmur keadaannya” (muka surat 247).

Sewaktu British berperang dengan Turki Usmaniyyah itulah Sembilan raja-raja Melayu telah menghadiahkan sebuah kapal perang (HMS Malaya) bernilai $22,000.000.00 kepada kerajaan British (muka surat 247).  Untuk apa? Untuk berperang dalam PD1 termasuk memusnahkan Turki Usmaniyyah.  Pemikir Melayu Za’aba pun menyindir perbuatan berkenaan. 

Eloklah buku ini dibaca oleh anak-anak muda di sekolah dan universiti sebagai memberi maklumat yang ilmiah dan adil terhadap ayat-ayat retorik yang tujuannya memesongkan pemikiran umah.  Sila membaca buku ini kepada yang berani menerima maklumat.

Jumaat, April 27, 2012

BUKU Pengajaran Shalat oleh A Hassan, 1977.


INILAH buku Pengajaran Shalat yang saya miliki mulai tahun 1987 ketika di Kuala Pilah.  Buku ini mengandungi teori dan praktik solat yang disertai dalil-dalil sahih. Kendatipun tajuk pada kulit buku sebagai pengajaran solat, namun kandungan buku ini merangkumi bab keimanan kepada Allah, Rukun Islam  dan urusan jenazah. 


Buku setebal  368 muka surat ini disusun oleh ulama ‘Kaum Muda’ yang terkenal pada zamannya iaitu A Hassan atau Hassan Bandung. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Abas Bandung di Melaka pada tahun 1977.  Tidak pasti, adakah Pustaka Abas Bandung ini masih wujud atau tidak.

Menariknya, semua pergerakan solat yang diajarkan dinyatakan dalil-dalil atau hadisnya oleh A Hassan.  Ini sangat sesuai dengan pemahaman penulis yang hanya menerima amal ibadah yang mempunyai dalil sahih, serta menolak sebarang amal ibadah tanpa dalil.

A Hassan merupakan pendiri Persatuan Islam (Persis) di Bangil Jawa Timur, satu gerakan pembaharuan atau tajdid dalam agama.

Rabu, Februari 08, 2012

BUKU: 40 Hadis Palsu Popular


SEMUA muslim boleh mendakwa sebagai pencinta Nabi s.a.w.  kita semua akan berusaha mengikuti jalan hidup Nabi s.a.w. yang dikenali sebagai sunahnya. Sebagai pencinta Nabi s.a.w. juga pastilah sangat marah dan dukacita apabila ada pihak yang tidak bertanggung jawab mendakwa baginda Nabi s.a.w. telah berkata sekian-sekian sedangkan sebenarnya nabi s.a.w. tidak pun menyatakan demikian.  Inilah yang dinamakan Hadis Palsu atau Hadis Maudhu.


Sebagai perbandingan bolehkah seorang suami yang sangat sayang isterinya, juga sentiasa menerima pembohongan isterinya itu?  Tentu tidak! Suami pasti akan menyaring setiap perkataan isterinya, dan hanya menerima ucapan yang benar.

Seorang sarjana tempatan Abdul Razak Muthalib telah berjaya menyusun sebuah buku berjudul 40 Hadis Palsu Popular sebagai peringatan dan panduan kepada muslim supaya menghindari amalan berdasarkan hadis-hadis berkenaan. Hadis-hadis popular bermakna hadis yang kerap dibaca, ditulis dan digalakkan kepada orang ramai beramal dengannya.  Malangnya hadis-hadis itu adalah palsu! Antara hadis palsu yang popular ialah berkaitan kelebihan membaca surah Yasin, solat dengan berserban, perselisihan pendapat adalah rahmat, talak menggegar Arasy, menyapu muka selepas solat dan lain-lain lagi.

Pada bahagian awal, penulis telah menerangkan secara ringkas mengenai pembahagian hadis.  Hadis terbahagi kepada Hadis Sahih. Hadis Hasan, Hadis Dhaif (lemah) dan Hadis Maudhu (palsu).  Oleh kerana focus buku ini ialah mengenai Hadis Palsu, maka penulis telah mencatat pendapat sarjana mengenai hukum mengamalkan Hadis Palsu.  Kesimpulan catatan beliau ialah muslim dilarang menyatakan dan menggunakan Hadis Palsu kerana hadis-hadis berkenaan sebenarnya bukanlah daripada Nabi s.a.w. melainkan direka-reka atas nama baginda Nabi s.a.w.

Buku 40 Hadis Palsu Popular diterbitkan oleh PTS pada tahun 2011, dijual pada harga RM9.00.

Isnin, Oktober 24, 2011

MEMBACA larangan Allah dan rasul-Nya

BUKU atau kitab Ensiklopedi Larangan Menurut Al-Quran dan As-Sunnah yang ditulis oleh  Syeikh Salim bin Ied-Al-Hilali ada tiga jilid.

Jilid Pertama berkaitan Akidah, Ilmu, Manhaj dan Fiqih. Hurai fiqih termasuk Taharah, haidh, waktu solat, azan, masjid, solat witir dan ied.

Jilid Kedua berkaitan Fiqih yang termasuk jenazah, zakat, haji, puasa, iktikaf, jual beli, sewa beli, nutang piutang, barang temuan, persekutuan, perhambaan, wasiat, penciptaan makhluk, nabi-nabi, keutamaan sahabat dan keutamaan al-Quran.

Jilid Ketiga berkaitan Fiqih. Antaranya termasuk nikah, talak, makanan, minuman, akikah, qurban, pengubatan, busana, warisan, jenayah (pidana) dan tebusan. Dalam bab Akhlak termasuklah adab, etika, doa-doa, hati dan mimpi. Bab akidah termasuk takdir, sumpah dan taubat.

Oleh kerna semua yang terkandung dalam semua jilid kitab ini berupa larangan, tentulah itu berupa amaran daripada Allah dan rasul-Nya.