Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Bukan PST. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bukan PST. Papar semua catatan

Ahad, Jun 10, 2012

CARI wang dengan bayaran baca Al-Quran sudah bermula


SEMAKIN dekat pada Ramadan, ada persiapannya. sudah menjadi kebiasaan pula, projek pada bulan Ramadan ialah mengumpul dana melalui perniagaan bacaan al-Quran.  Pengalaman tahun lepas, masjid di tempat saya tinggal mengenakan caj RM10.00 untuk dibacakan tahlil seorang arwah.  Dua tahun lepas parti Islam di desa saya juga mencari wang dengan cara ini. Tidak pasti sama ada orang kita sudah mewah atau percaya pahala boleh dibeli seumpama membeli sayur di pasar!  Pasaran perniagaan pahala untuk orang mati nampaknya lumayan untuk bulan Ramadan.


Mungkin ini antara ramalan sahaja kerna berada pada bulan Ramadan.  Membaca al-Quran pada bulan Ramadan sebagai satu ibadah tidak dapat disangkal lagi. Namun menjadikan bacaan al-Quran sebagai satu perniagaan?  Kemudian, mendakwa bacaan al-Quran itu pahalanya boleh dipindahkan kepada orang mati?

Saya pernah ‘diserang’ dengan label wahabi dan macam-macam apabila menyatakan pembacaan al-Quran atau bacaan modul tahlil untuk arwah sebagai adat Melayu sahaja, bukan daripada Islam. Antara yang mengecam tulisan saya ialah orang yang mengajar agama di masjid sewaktu orang beriktikaf hari Jumaat.  Saya  hanya memberikan ayat-ayat al-Quran untuk mereka memadankan semua pemahaman mereka mengenai pemindahan pahala itu atau (sekarang) perniagaan pahala.  Nampaknya tidak ada seorang pun yang sudi memberi penjelasan: Sama ada pemahaman saya salah sebab tidak percaya pahala boleh dipindahkan kepada roh orang mati atau pemahaman mereka betul walaupun sekian banyak ayat al-Quran tidak sama dengan pemahaman mereka.

Ini antara ayat al-Quran yang jelas memberitahu bahawa setiap amal sama ada baik atau buruk adalah milik sendiri dan tidak boleh diagih-agih kepada orang lain.

Maksud surah at-Tur:16 “Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan atas apa yang kamu usahakan.”  Ayat 21 pula “Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal (kebajikan)  mereka.  Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

Maksud surah Fusilat:46 “Barang siapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.”

Maksud surah an-Najm:38-39 “Bahawa seseorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain.  Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.”

Ini pula satu hadis maksud satu hadis nabi berkaitan juga.  Adakah nabi s.a.w. memberi lampu hijau kepada mencari wang dengan membaca al-Quran?

Rasulullah SAW bersabda: “ Bacalah Al-Quran dan berdoalah memohon pertolongan dari Allah Ta’ala setelah membacanya, sebelum datang suatu kelompok manusia yang membaca Al-Quran kemudiannya mereka meminta-minta upah dari manusia kerana bacaan mereka. ( Riwayat Imam Ahmad dan At-Tabarani).

Ahad, Mac 18, 2012

"PUAK sana sekular, kami tidak..."


BIARLAH saya memberikan makna ‘sekularisme’ sebagaimana yang biasa diberikan orang.  Kata orang, sekularisme ialah pemisahan hidup daripada agama.  Orang yang sekular itu mempunyai agama (Islam), mendirikan solat, berpuasa dan berhari raya tetapi kehidupannya tidak berlandaskan hukum halal-haram agama.  Dikatakan orang sekular berpakaian tidak menutup aurat, melakukan pembohongan, rasuah dan pelbagai dosa kehidupan!

Yang berani menyatakan kehidupan seseorang itu amalan sekularisme hanyalah orang-orang yang yakin dirinya tidak sekular.  Dia yakin tidak memisahkan agama dengan kehidupan, malah biasa mengatakan bahawa Islam adalah satu sistem hidup manusia yang lengkap.  Dia pasti berani menyebut maksud surah al-Baqarah ayat 208: “Wahai orang-orang beriman, masuklah dalam Islam keseluruhannya…(hingga akhir ayat).” Atau ayat 3 surah al-Ma’idah: “….Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku untukmu, dan Aku reda Islam sebagai agamamu…

Orang yang didakwa hidup secara sekular tidak berani membela diri mengatakan dirinya bukanlah berfahaman sekularisme.  Dia juga pasti tidak berani pula membalikkan tuduhan sekularisme kepada penuduh yang asal sebelumnya.  Dia hanya membisu sebab dirinya sedar tidak ada sijil agama untuk bercakap hal agama, malah pakaiannya pun tidak melambangkan elemen agama seperti kopiah, serban, jubah atau tudung labuh warna gelap.

Perkataan ‘sekularisme’ kerap disebut oleh ahli politik di kampung-kampung, tidak di kota.  Orang kampung dilihat oleh ahli-ahli politik sebagai lebih mengamalkan kehidupan beragama berbanding orang kota.  Sejahil-jahil agama perempuan kampung mereka menjaga aurat kepalanya, berbanding perempuan kota yang terpelajar yang mendedahkan rambut berwarna perangnya.  Bab pakaianlah yang sering dijadikan ukuran sama ada seseorang itu sekular atau tidak.  Bukanlah sangat hendak melihat ‘syumul’nya Islam seperti penjagaan kebersihan rumah (halamannya), kesihatan (merokok?), menepati masa, sentiasa rajin, menjaga hak jiran tetangga dan sebagainya.  Mana ada penceramah agama memberikan maksud sekular kepada yang melalaikan anjuran-anjuran berkenaan.

Cuba perhatikan peribadi orang yang mengatakan puak itu dan ini sekular. Perhatikan juga orang yang ‘syok’ apabila dikatakan ‘kita tidak sekular, puak sanalah yang sekular’.  Perhatikan kebersihan rumah mereka termasuk tong sampahnya, kebersihan dalam kenderaan, gelak tawanya serta ketepatan dia terhadap masa.

Moga-moga kita memahami kesyumulan Islam tidak seperti kisah orang-orang buta mengenali gajah.  Seorang memegang badan dikata gajah seperti dinding.  Seorang lagi memegang kaki dikata gajah itu seperti tiang.

Jumaat, Disember 23, 2011

Rabu, Oktober 26, 2011

"JANGAN belajar agama daripada buku..."


SAYA membeli satu set 10 jilid Tafsir Al-Azhar tulisan Prof Hamka pada tahun 1991 di KL dengan harga RM180.00.  10 jilid itu semuanaya 8171 muka surat. Hamka sebenarnya telah meninggal dunia pada tahun 1981, sewaktu saya di Tingkatan Lima.  Oleh itu saya tidak dapat sama sekali duduk di hadapan beliau untuk mendengar tafsir itu diajarkan.  Tambahan lagi, sebagian besar Tafsir al-Azhar ditulis dalam penjara, maknanya sebagian besar tafsir ini bukan hasil kuliah atau pengajaran beliau yang dihadap oleh sejumlah murid-murid belajar agama.

Sepanjang menjadi tetamu di masjid dan surau, sejak memiliki Tafsir Al-Azhar, hanyalah pada tahun 1992 seorang ustaz bernama Ustaz Nawi mengajarkan Tafsir Al-Azhar di surau Taman Sepakat, Jalan Gambang, Kuantan.  Selepas berpindah dari Taman Sepakat, (1996) sampai sekarang tidak terdengar lagi ustaz yang mengajarkan Tafsir Al-Azhar. 

Nampaknya saya kena membaca sendiri kitab tafsir ini untuk mengetahui kandungannya.  Ada masalah besar tau.  Entah siapa yang memulakannya, beberapa kali juga saya mendengar dan membaca dalam nota kecil di internet (maksudnya kira-kira) “belajar agama dengan membaca buku maknanya berguru dengan syaitan”. Tahun 2006 dulu ada ustaz lepasan Universiti al-Azhar Mesir hantar emel kepada saya. Tulisnya “jangan belajar agama dengan buku”.  Dalam blog ini pun ada yang bertanya saya “belajar agama dengan baca buku ke?”

Jadinya, kitab tafsir ini nampaknya kena jual saja dengan alam flora (untuk dikitar semula) sebab tak mahu berguru dengan syaitan. Lepas ini nampaknya kena nasihat kepada murid-murid supaya jangan baca buku agama. Bukan senang nak buka buku agama (mendengar syarahnya) sampai habis depan ustaz. Buku-buku terbitan PTS siri ‘Perkara remeh-temeh yang anda malu bertanya’, itulah syaitan paling besar.  Sebabnya, nyata orang yang malu bertanya kepada ustazah, ustaz atau ulama diminta mencari jawaban agama dengan membaca buku!

Hai, untung ada cerdik pandai yang prihatin, beri nasihat.

PENGARUH akhbar dalam minda

SAYA pelanggan akhbar ini, dan agaknya sudah terpengaruh cara penulisan di dalamnya menyebabkan saya  'asyik menyalahkan orang lain saja'. Siapa nak kata ini akhbar Profesor Serba Tau?






TERIMA kasih pembaca yang merespon blog ini


CATATAN ini merupakan respon beberapa pembaca. Sekalipun yang saya maksudnya itu hanya beberapa orang, namun itulah pelanggan blog saya yang sangat daif.  Sebabnya, bukan banyak orang yang membaca blog saya, jadi apabila beberapa orang itu merespon, besarlah ertinya kepada saya.  Sama ada komen itu menyenangkan hati atau tidak, soal kedua. Terus terang saya tidak tersinggung apa-apa dengan komentar, sama ada yang dilakukan oleh orang yang jauh atau yang dekat.  Tak pentinglah siapa mereka, semua diterima.

Yang saya catat di bawah ini adalah respon saya dalam salaah satu entri sebagai menjelaskan seorang pembaca yang memberi gelaran saya prof serbatau seperti dalam majalah gila-gila. Saya paparkan semula di sini sebab respon dalam nota kaki sangat terpencil dan tidak semua dapat mengetahuinya.

Ini komen saya itu (dengan sedikit saja pindaan ejaan)

Saya hanya menulis apa yang diajarkan juga oleh ahli2 agama. Mereka pun selama ini komen di hadapan kita begitu-begitulah. Apa tujuannya? Tidak lain memberi tahu itu salah dan ini salah. Oleh itu, mengapa hanya disalahkan saya yang menulis dalam blog apa yang selama ini bebas diucapkan oleh ahli2 agama di masjid, surau atau dalam mana2 ceramah?

Antara yg kerap saya dengar kritikan di mana2 tempat:
1.mengutuk hukum jahiliah dan mendesak dilaksanakan hukum syariat (hudud, qisas dan takzir)
2. pendedahan aurat.
3. rasuah.
4. judi.
5. mengumpat.
6. penipuan.
7. curi, rogol, maksiat.
8. ibu bapa tidak ajar agama kepada anak2.
9. program TV maksiat dan melalaikan.
10. fitnah untuk jatuhkan ahli politik.
11. melepak di kedai kopi.
12. merokok membazir, haram. Malah dijadikan khutbah jumaat.
13. malas solat berjamaah.
14. anak2 banyak tidak solat.
15. pergaulan bebas.
16. berpakaian tapi telanjang.
18. politik jahiliah.
19. siapa tidak berhukum dengan hukum Allah, kafir!

Itu antara yg sering ditulis atau diceramahkan. Dan ahli-ahli agama begitu banyak menyeru agar manusia kembali kepada Islam. Muslim diseru kembali kepada ajaran alquran dan sunah. PAS sendiri menulis perlembagaannya untuk mendaulatkan alquran dan sunnah. Pas sendiri kritik orang umno mendedahkan aurat, melakukan fitnah, tidak mahukan hudud.
 

Maka saya pun berperangai seperti mereka ahli-ahli agama. Bukankah ahli-ahli agama itu idola, dan yang berstatus ulama itu disebut pewaris nabi.
 

Maka saya menulis ayat al-Quran dan hadis nabi yang selama ini disebut (lisan saja) oleh ahli agama. Hanya kerna saya tidak terdahulu memaparkan sijil atau ijazah agama, maka apa yg saya tulis (walhal sama seperti yg diajarkan oleh ahli agama), saya digelar sebagai 'profesor serba tau'.

Maka saya minta kepada mereka yang tidak mahu saya menulis seperti itu lagi, eloklah juga menasihati ahli-ahli agama termasuk yang juga memasuki dunia politik agar tidak lagi mengkritik perbuatan orang lain.
 

Terima kasih atas teguran itu, semoga sangat berguna kepada saya. Dan semoga Allah merahmati tuan2 yang sangat prihatin kepada saya. Kalau tidak ada teguran, tentulah saya akan terus terbabas.

Biarlah..., orang lain...mereka terus melakukannya tanpa apa-apa teguran. Kita pun sebenarnya tak mampu menegur orang yang dirasakan lebih hebat. Mujur Allah menghidupkan saya dan mentakdirkan saya menulis di blog, maka adalah ruang yang bebas dan terbuka tuan2 menegur saya. alhamdullah.

wallahu aklam.