Pengikut

Rabu, Ogos 05, 2009

FIKIRKAN kalah atau menang

INI catatan kecil perjuangan saya. Jam 10.30 malam tadi (5 Ogos) baru masuk rumah dalam keadaan berfikir: Aku kalah atau menang. Ini bukan hal dialog dengan orang Pahang itu. Ini hal anak-anak Melayu muslim yang masih hingusan yang masih sekolah. Kerap sangat mereka lepak di hujung taman perumahan yang jarak dari rumah saya hanya kira-kira 40 meter! Mereka naik motor, bawa makanan, buang sampah dan merokok. Malam ini bukan main lagi, kebanyakannya berbaju Melayu pakai kopiah lagi, tanpa silu atau hormat saya, mencabarlah…., depan saya lagi dibanyakkan asap rokok itu.

Ini bukan kali pertama saya seorang diri berada di tengah-tengah semua mamat itu untuk bercakap dan meminta supaya mereka semua pulang ke rumah. Dua bulan lepas ada sekali sudah jam 11.00 malam, saya terpaksa keluar rumah untuk meminta orang-orang yang lepak agar pulang, hormat kami yang mahu berehat. Hari itu lebih 20 orang anak muda keturunan India! Saya cakap dengan baik, mereka terima. Sebelum jam 12.00 mereka hilang.

Malam ini semua budak bawah umur, tak sangka mereka tunjuk gedebe pula. Ada seorang yang mereka rasa tercabar kot, maka terus merokok dan bagai tidak ada apa-apa. Sebagian rakannya pulang, tapi adalah lima orang lagi buat tidak perduli saja. Saya pun berkeras tidak akan pulang jika mereka tidak bubar. Tak boleh mengalah juga, nanti akan datang mereka ketawakan saya.

Ada yang perli saya, dan saya basuh cukup-cukup. Tak berani menjawab pula. Adalah seni atau caranya yang menyebabkan mereka tidak ada jawaban. Antara yang saya cakap ialah saya dah kenal dan tahu kebanyakan muka mereka sebab kerap sangat berlepak di situ. Saya pun ada sebut pasal polis.

Mereka memang ‘melawan’ saya. Tetapi mereka tidak maki atau juihkan bibir, namun mereka bercakap sesama mereka yang seolah-olah saya tidak berada dalam kalangan mereka. Tapi saya bukan dayus, dan tahu risikonya. Itu yang membuat kepala saya berfikir: Aku menang atau kalah!

Apa hendak buat, saya balik dan sengaja biarkan pintu pagar tidak ditutup. Ada mesej tu! Dalam fikiran saya, kalau mereka tidak bubar, maka saya akan telefon polis. Tapi eh, apabila saya keluar rumah semula, mereka sudah hilang.

Tidak mengapa, hari ini kebanyakan mereka tidak suka nasihat saya. Saya yakin fitrah manusia ialah mahu kebaikan dan kesejahteraan. Kelak, apabila mereka mula dewasa dan mendapat petunjuk Allah, tentu mereka mula faham mengapa orang seperti saya sanggup mengambil risiko di tengah malam secara sendirian.

Yang penting saya ada usaha, tidak hanya merungut di belakang atau di kedai kopi saja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan