Pengikut

Rabu, Julai 28, 2010

DOSA warisan Kristian dan hantar pahala muslim

WARISAN dosa merupakan akidah dalam agama kristian.  Dosa Nabi Adam dan Hawa yang melanggar larangan Allah di syurga menjadi bebanan seluruh manusia sepanjang zaman.  Ertinya, kita yang tidak menganut agama Kristian juga dibebani dosa Nabi Adam kerana kita adalah keturunan Nabi Adam.  Kemudian Allah yang sangat Penyayang menjelmakan dirinya sebagai Jesus (versi Islam adalah Nabi Isa), lahir ke dunia untuk membasuh dosa keturunan ini.  Lantaran itulah Jesus merelakan dirinya disalib sehingga mati demi membasuh dosa ini. Dengan tersalibnya Jesus, menurut akidah Kristian lenyaplah dosa keturunan ini.  Mesejnya di sini ialah berdasarkan agama Kristian, dosa orang lain dibebankan kepada kita!  Dosa atau kesalahan boleh dipindahkan dari satu keturunan manusia ke keturunan manusia yang lain, dari satu zaman ke satu zaman yang lain

kubur muslim dan Kristian berjiran!

Adakah Islam menerima konsep dosa yang diwariskan atau diberikan kepada generasi kemudian? Tidak. Adakah Islam memberikan hak manusia yang masih hidup mengirimkan dosanya kepada orang lain yang telah lama mati? Tidak.

Perhatikan pula, adakah Islam menerima konsep pahala kebajikan orang zaman dahulu diwariskan kepada generasi sekarang atau kemudian?  Ada yang tidak berani mengatakan ya atau tidak.  Lagi, adakah Islam memberikan hak kepada manusia zaman kini untuk menyerahkan pahala amal ibadahnya kepada generasi muslim terdahulu?  Masih tidak dapat menjawabnya.  Yang tidak berani menjawabnya kerana bingung. 

Pada asalnya semua muslim menolak konsep dosa warisan dalam akidah Kristian sehingga sesiapa muslim yang menerima konsep dosa warisan itu bermakna akidahnya lebur!  Apabila ditanyakan konsep pahala warisan dalam Islam, bingung sebab sebagian sudah menjadi adat dan diterima sebagai agama bahawa pahala manusia generasi sekarang boleh dipindahkan kepada generasi terdahulu.

Apabila berlaku kontroversi seperti ini, eloklah kembali kepada al-Quran, jika kita masih beriman dengan sebenar-benarnya dengan wahyu Allah ini. Saya catatkan satu contoh ayat Allah dalam surah al-Fusilat ayat 46 ertinya: Sesiapa yang mengerjakan kebajikan, maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka (dosanya) menjadi tanggungan diri sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hambanya.

Padankanlah konsep dosa warisan dalam akidah kristian dan adat menghulur pahala kepada generasi terdahulu oleh umat Islam sekarang terhadap ayat al-Quran di atas.

Akan banyak bertanya semula: Adakah kami selama ini bersalahan dengan ayat Allah itu?  Adakah tuan guru kami tidak faham ayat al-Quran?  Jawabnya mudah, jika berlaku pertentangan antara Allah dan sesiapa juga, jawabnya Allah yang menang! Muktamad.

Emmm, ada kaedah lain untuk mengatakan firman Allah di atas salah?  Saya berlepas diri daripada pemikiran seperti itu.

Isnin, Julai 26, 2010

JANGAN marah haa, kenduri arwah hanya adat Melayu

DALAM bulan Syaaban ini antara yang rancak dilakukan atas nama ibadah yang dikatakan sunat ialah mengadakan kenduri arwah.  Semakin ke hujung bulan ini, semakin terdesaklah orang yang sudah berniat awal. Semua ini kerana mereka memahami hendak berkenduri sebelum bulan Ramadan.  Tentu ada tok gurunya yang mengajarnya begitu, sebab masyarakat Melayu sangat bergantung kepada keputusan tok guru agamanya. Kalau tak guru kata afdal buat pada bulan Syaaban, berasak-asak buat.  Jika tok guru berdalil kata kenduri ini 1000 kali lebih pada bulan Ramadan, penuhlah jadual bulan puasa itu.  Mujur tok guru tidak tentukan menu hidangannya sekali, kalau ditentukan pasti dibuatnya pula oleh masyarakat kita. Ini bukan dongeng, sebab di kampung saya dahulu mereka tak berani membuat sayur berkuah sebab bimbang kubur si arwah akan dipenuhi air! Mak datuk sadisnya.


foto: contoh borang nama arwah untuk diberi pahala oleh pambaca Quran, kena bayar tau!

Kenduri arwah ini sebenarnya adat resam Melayu saja, bukanlah tuntutan dalam agama. Yang kita lakukan kenduri arwah dengan bertahlil selama tiga malam, tujuh malam, hari ke-100, hari ke-1000 atau sebelum bulan puasa tidak ditemui dalam Sunnah nabi kita. Berkumpul-kumpul di rumah si mati dengan makan-makan pun adat tradisi sebelum masyarakat Melayu memeluk Islam dulu-dulu.  Dahulu lagi hebat, sebelum jenazah dibawa ke kubur mesti kena sembelih binatang untuk jamuan makanan malamnya.  Kawan saya yang pernah bertugas di Sabah ada pengalaman dipaksa menjadi tukang sembelih kerbau sewaktu layad orang mati sebab dia seorang saja berkopiah putih. Jadi meriah pula dengan kematian. Aduhai.., kematian sudah menjadi seperti kenduri berseronok makan-makan.  Percayalah, ini hanya adat, bukan suruhan agama Islam.

Yang nampak seperti urusan ibadah sebab sebelum makan-makan, mereka ada membaca beberapa ayat al-Quran, zikir dan tasbih yang diakhiri dengan doa.  Ada kumpulan yang membacakan surah Yassin sekali.  Ha, nampaklah seperti urusan ibadah khusus untuk mengingati si arwah sama ada yang baru mati atau sudah lama.

Kali ini saya tak mahu berhujah dengan al-quran, hadis atau pendapat Imam besar, nak guna akal atau kepala otak saja.  Kalau nak dalil, search tulisan yang lepas ada, atau dalam mana-mana web cukup banyak. Pilih, nak terima atau tolak, itu saja. Jangan marah haaa.

Dalam, kenduri ini mesti ada baca-baca yang pahalanya dipindahkan kepada si arwah. Ini komentar saya. Logik ke kalau kita tidak bekerja tapi diberi upah?  Masuk akal ke orang lain yang bekerja tapi gaji dan bonusnya diberi kepada kita yang tidak bekerja atau berehat saja?  Tidak logikkan!  Mustahil Islam yang dikatakan agama penuh keadilan menerima pemindahan pahala daripada seseorang kepada orang lain.  Jadi begitulah, walaupun urusan pahala dan dosa adalah hal ghaib yang hanya Allah saja yang tahu, tetapi konsepnya akal kita boleh tahu.  Konsepnya, amal salih adalah tanggung jawab sendiri, maka ganjarannya adalah hak sendiri. 

Kalau nak diguna pakai boleh diagih-agihkan pahala dan dosa daripada seseorang atau keluarga kepada anggota keluarga masing-masing seperti harta pusaka, untunglah orang kaya sebab dia boleh upahkan orang membaca al-Quran ratusan kali asal dia membayar upahnya. Sekali khatam upahnya RM1000.00, kalau dia jutawan boleh upah berapa banyak ustaz untuk baca al-Quran dan pahalanya akan dipindah dalam akaun pahala si jutawan. Setuju?  Budak-budak sekolah tahfiz pun dah boleh buat bisnes, buka syarikat seperti Pindah Pahala Enterprise yang menawar khidmat membaca al-Quran kepada mereka yang malas atau buta kayu al-Quran.  Zaman ini banyak orang sibuk, malas nak buka al-Quran atau memang tak tahu langsung membaca al-Quran sedangkan mereka mahu pahala bacaan kitab itu.  Apa macam?

 Minta maaflah, yang menerima konsep dosa dan pahala boleh diwariskan kepada manusia lain ini adalah ajaran Nasrani.  Sekali lagi jangan marah haaaa.

Sabtu, Julai 24, 2010

PERANGAI yang sama Pas-Umno

YALAH, nampak berkecamuk cara berpolitik bangsa Melayu, sebenarnya bukan sekarang saja malah sejak zaman dahulu.  Janganlah kita fikir ini luar biasa sebab Allah sudah menyebut dalam al-Quran sewaktu ‘menurunkan’ Nabi Adam dan Hawa ke bumi. Ayat 36 surah al-Baqarah ertinya, “….Turunlah kamu, sebahagian menjadi musuh bagi yang lain….”.  Sebelum kedatangan penjajah British pun peperangan politik antara puak-puak Melayu biasa berlaku, buktinya dengan muncul beberapa negeri yang mempunyai raja-rajanya sendiri.  Banyak negeri dengan raja-rajanya sendiri itulah bukti perpecahan politik Melayu. Tanah Melayu bukan besar sangat, tetapi ada sembilan raja. Negara Thai yang jauh lebih besar itu ada satu raja saja. 


Setelah disatukan dalam Malaysia, ‘hak berpecah’ bangsa Melayu itu pun dibuat melalui parti politik. Wujudlah Umno, Pas dan PKR. Sebelumnya ada parti-parti Melayu yang sudah mati.  Parti-parti Melayu ini berbalah, pemimpinnya bertengkar-tengkar dalam banyak perkara.  Kena faham juga mengapa Pas dan Umno saling marah-marah.  Umno memang marah Pas sebab Pas hendak mengalahkannya sebagai pemerintah. Umno pun banyak rekod menggasak, mengenakan dan seribu kerja yang menyulitkan Pas.  Jadi, kalau Pas hari ini 1001 kali tak sudi berkawan dengan Umno pun kerana hanya mengikut putaran roda, balas-membalas.

Cerita-cerita bertengkar dan berbalah-balah antara parti Melayu ini sudah seperti perkelahian kabilah zaman Jahiliah.  Cuba perhatikan antara ciri konsep asabiyah Arab jahiliah yang dikeji oleh al-Quran dan sabda-sabda Rasulullah.  Ada banyak nama kabilah berdasarkan nama keluarga seperti bani Umayyah, Bani Hasyim, Bani Tamin, bani apa-apa lagi.  Banyak…, tak terkira.  Setiap kabilah diketuai oleh syeikh dan anggota kabilah akan mempertahankan ahlinya tak mengira perangai ahlinya betul atau salah!  Inilah asas salahnya dalam Islam.  Maka banyaklah perang antara mereka.  Yang di Madinah, Aus dan Khazraj pun pernah berperang sebelum disaudarakan sebagai muslim.

Perhatikan pula parti politik Melayu hari ini.  Setiap parti ini walaupun Melayu akan mempertahankan ahlinya tidak mengira betul atau salah.  Umno membelasah Pas dengan kuasa-kuasa yang ada, kemudian Pas pun membalas jugalah setakat mana yang ada. Kalau dengan air liur sebab tidak ada banyak kuasa, semburlah Umno denga air ludah itu.  Kalau ada orang Umno yang masuk Pas, Pas akan puji dan jilat-jilat.  Begitu juga kalau ada ahli Pas yang masuk Umno, jilatlah macam semasa dalam Pas tidak pernah mengutuk dan memakinya.  Mufti Perak TS Harussani yang bercakap macam memihak kepada Umno, puak Umno menjilatnya….sebaliknya Mufti ini menjadi bahan umpat keji Pas pula.

Nanti semasa kenduri kahwin atau majlis hari raya, antara ahli Umno dan Pas bersalam-salam sebagai menghormati tetamu. Hahaha, macam juga kabilah Arab dahulu yang sangat memuliakan tetamu walaupun tetamu itu musuh politiknya. Semua ini ada dalam buku sejarah budak-budak sekolah, cuma tidak diajarkan bahawa amalan berpolitik demokrasi moden ini pun sama seperti berkabilah Arab sebelum mereka Islam.

Memang Pas kata mereka betul sebab mendakwa dasarnya Islam.  Umno pun mendakwa betul kerana mendakwa perjuangakan Islam juga.  Kalau ada lagi parti Melayu, parti ini pun akan mendakwa lebih betul daripada Pas dan Umno.  Yang penting mesti mendakwa parti selainnya adalah salah, khianat, tolol, goblok dan macam-macam.  Hahahaha, dah sempurna  kehendak nasrani dan yahudi untuk melihat pergaduhan dan perpecahan sesama muslim.

Kalau Arab Jahiliah dahulu belum Islam, tak berpengetahuan patutlah mereka berbalah ratusan tahun.  Ini puak Pas dan Umno sama-sama muslim, sama-sama menunaikan haji ke baitullah, sama-sama berakidah Tuhan yang satu, dan sama-sama menerima al-Quran sebagai panduan.  Ohoo, jangan hairan, sebab nafsu serakah sudah mengatasi iman dan taqwa. Jangan salahkan Pas sahaja sebab tidak mahu joint Umno, banyak sangat luka-luka pada Pas kerana keserakahan hawa nafsu Umno.  Tapi Pas yang ngaku Islam pun sombong juga, tak boleh memaafkan sikit-sikit perangai jahat Umno.  Yalah, jadi beginilah seterusnya dan seterusnya. Bertengkar, berbalah, berpecah antara Pas dan Umno. Untuk menambah ‘nikmat’ bergaduh ini, Pas dan Umno saling membentuk gabungan dengan kabilah-kabilah bukan Islam lain pula. 

Itu sebablah kalau betul-betul beriman kepada al-Quran dan sunnah Nabi, tak berlaku perpecahan. Kalau berlaku pun, dan sedar kemudian utamakan iman kepada Allah dan rasul-Nya, tolak kepentingan hawa nafsu, bolehlah kembali ke jalan lurus.  Larangan mengutuk dan mengumpat orang ada, anjuran berbaik-baik ada, seruan untuk memaafkan kesalahan orang ada.  Kalau nak denda kerana telah buat salah pun ada dalam quran, mahu apa lagi? Mahu ajaran dan panduan hidup yang mana lagi.

Jangan tahu marah kepada Hj Kahar sebab mendakwa Rasul Melayu, atau mengejek-ejek Ayah Pin sebab mendakwa macam Tuhan, sendiri mahu ingatlah….

Khamis, Julai 22, 2010

SERONOK jadi orang muda

APABILA sudah dewasa begini, saya mengingat semula mengenai zaman remaja atau anak muda. Orang berkata, zaman muda adalah zaman penuh idealism.  Saya tanya kepada sekumpulan  pelajar-pelajar baru prauniversiti: Apa itu idealisme?  Tidak ada sesiapa yang menjawabnya, cuba menjawab pun tidak ada.  Ilmiah sangat agaknya, tak sesuai dengan kebiasaan minda yang santai dan suka yang ciput-ciput. Perkataan ‘ciput' tahu pula…

Dahulu surau di kampung saya ditambah sebuah lagi, dijejerkan.  Maka surau yang lama dialih ke sebelah kanan dan diguna untuk kaum wanita, surau baru untuk lelaki. Beberapa lama kemudian seseorang ahli berkata yang sepatutnya orang lelaki berada di surau lama supaya solatnya di sebelah kanan pihak perempuan.  Menurutnya, itulah yang sepatutnya.  Otak saya pun segera mengiakan sebab pernah melihat kedudukan itu di beberapa buah masjid.  Maka saya pun terus mencadangkan agar pihak lelaki segera berpindah ke surau lama! Bagi saya, kalau itu yang betul kita buat.


Cadangan saya tidak mahu dilaksanakan oleh pihak lelaki dewasa walaupun mengakui sepatutnya begitulah.  Sekarang saya berfikir: Masa saya remaja itu saya ada idealisme.  Saya hannya mahu yang terbaik, tidak perdulikan hal-hal lain.  Bagi orang dewasa, walau tahu yang saya sebutkan itu betul, ideal atau unggul, namun mereka ada perkiraan lain untuk tidak setuju dengan idealisme saya. 

Bab idealisme ini juga banyak kenangan saya terutama dalam bab membentuk pemikiran dan tindakan.  Kata orang darah muda dan panas, hanya mahu cepat dan terbaik.  Orang muda katanya hanya mahu orang lain juga berfikir pantas dan berubah dengan cepat tanpa memikirkan faktor-faktor lain yang menjadi penghalang.  Misalnya dulu, kesan budaya membaca dan pentingnya ilmu, saya pernah terus mencadangkan kepada pentadbir surau supaya  orang kampung membaca. Baca apa? Baca buku macam saya baca buku. Baca buku pun jenis buku yang saya baca sebagai orang muda yang sedang berada di universiti.  Pada fikiran saya waktu itu, hanya dengan membaca dan kerap berdiskusi barulah orang kampung akan mempunyai perubahan paradigma! Itulah namanya pemikiran idealisme.   Hari ini di kampung yang sama, setelah 30 tahun fahamlah saya mengapa idealism saya gagal dijayakan.

Saya tidak menyesal mempunyai idealisme pemikiran sebegitu sebab perkara itu adalah lumrah sebagai anak muda.  Kalau masa muda pun tidak ada idealisme, bila masanya lagi?

Idealisme dalam pemikiran boleh diasuh dan dikembangkan.  Modalnya ialah berani berfikir di luar kotak, yang tidak biasa difikirkan oleh kebanyakan orang.  Misalnya masalah remaja yang tidak suka ke masjid.  Kalau remaja diseru dengan hadis-hadis mengenai fadilat bersolat di masjid, tidak sesuai dengan pemikiran remaja.  Sejak dulu lagi yang namanya remaja lebih pentingkan keseronokan, maka layanlah emosi mereka ini.  Bagus kalau kita, termasuk AJK masjid berfikir cara remaja untuk membawa mereka ke masjid.  Cuba sediakan set permainan ping-pong di anjung masjid, ajak mereka bermain di sana.  Uruslah dengan baik dan bersangka baik dengan mereka walaupun wataknya bukan seperti budak-budak sekolah tahfiz, insya Allah mereka akan solat berjemaah pabila tiba waktunya.  Siapa yang hendak lakukan ini?  Kita ketawa dahulu, hahahaha….

Untuk mencanai idealisme, kita canai pemikiran dengan debat isu-isu.  Kita biarkan orang bercakap mewakili mana-mana pemikiran.  Biarlah ada yang berfikiran seperti sosialis atau fasis. Kalau kita sedang berucap, berkuliah atau berceramah, sila galakkan orang lain memintas pengucapan kita sama ada dengan memberi soalan, menyampaikan pendapatnya yang pro atau kontra.  Ha, kan seronok majlis ilmu seperti ini. Hahahaha…, tapi kebanyakan penceramah letakkan masa suntuk di hujung ceramahnya untuk soal jawab.  Hmmm, kebanyakan yang hadir sudah hilang mood.  Balik sajalah…

Selasa, Julai 20, 2010

SUSAHkah memulakan solat?

SEPERTI biasa, setiap Selasa malam ada pengajian fikah atau tauhid di masjid kampung saya.  Terbaru, ustaz mengajarkan solat jamak. Agak panjang penerangan mengenai solat jamak ini meliputi yang ta’khir dan ta’dim, termasuk keadaan-keadaan yang menyebabkan kita menjamak solat.  Saya perhatikan yang susah daripada mempelajarinya ialah bab melafazkan niat kemudian menterjemah lafaz Arab ke dalam bahasa Melayu sewaktu mengucapkan takbir ‘Allahu Akbar’.  Aduh, ustaz pun mengakui susahnya untuk memasukkan niat seperti ini: sahaja aku bersolat jamak ta’dim Maghrib tiga rakaat diikuti Isyak mengikuti imam  kerana Allah taala!

Saya ada pengalaman melihat seorang ustaz di Jengka, Pahang,  yang setiap kali bersolat akan takbir berulang-ulang seperti: Allah…, Allah, Allaaahh, Allahu…, Allahu ak,  Allahu Akbar… begitulah berulang-ulang. Kadang-kadang sudah sedakap tangan pun boleh membatalkan solat dan bertakbir lagi.  Biasalah kalau imam sudah habis membaca fatihah barulah dia dapat solat dengan aman.  Yang saya rasa pelik, apabila ustaz ini ‘terpaksa’ menjadi imam…, tidak pula tergagap-gagap dalam takbirnya. Sekali takbir saja sudah masuk solat! Siapalah tok gurunya dulu, siksa betul nampaknya!


Urusan solat ini adalah ibadah khusus dan Rasulullah telah memberikan pesanan yang sangat mudah difahami. Maksud hadis Nabi: Solatlah kalian (kamu) sebagaimana kalian melihat aku solat. (HR Bukhari dan Muslim).  Maka ikutlah saja bagaimana nabi bersolat dari permulaan hingga akhirnya.  Jika Nabi memulakan solatnya dengan membaca “Usalli….” maka bacalah “usali sekian-sekian…..” kerana itulah cara Nabi bersolat. Jika tidak ditemui hadis yang Nabi membaca lafaz niat itu dan ini, maka patuhlah pesanan asal baginda, tak perlu lafaz apa-apa.  Yang sahih Rasulullah memulakan solat dengan takbir “Allahu Akbar”, maka kita pun ikutlah. Alahai, siapalah kita hendak mengatasi Nabi, kan!

Jika ditemui dalam sunah yang Rasulullah berkali-kali membaca takbir  atau panjang takbirnya seperti “Alllllaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaahu akbar” mungkin sampai 30 saat, maka ikutlah baginda sebab nabi itulah ikutan kita.  Begitu Rasulullah solat, begitulah laku solat kita.  Kalau sebenarnya tidak ditemui begitu cara Rasulullah memulakan solat, eloklah jangan mengada-ngada membentuk cara baru membaca takbir atau membina identiti sendiri dalam solat. 

Maksud hadis: Daripada Ibn Umar katanya Rasulullah apabila telah berdiri untuk solat, beliau mengangkat kedua-dua tangannya, kemudian baru bertakbir. (HR Muslim).  Begitulah permulaan Rasulullah bersolat: Berdiri kemudian bertakbir.  Ada pula orang bertanya (dulu masa belajar): Mungkin masa Rasulullah berdiri itu dia membaca lafaz niat “Usalli…” dan semasa takbir dalam fikirannya membayangkan solat apa yang dikerjakan dan bilangan rakaatnya.  Ya tak ya juga, tetapi kawan ini guna perkataan ‘mungkin’, tak pasti juga namanya.  Tak mengapa, carilah hadis-hadis sahih untuk kepastian yang Nabi ada melafazkan niat dan membayangkan niatnya dalam masa bertakbir.  Cuma, kalau sudah penat kerana  bertahun-tahun dan jauh kembaranya masih tidak ditemui hadis itu, eloklah ikut pesanan Nabi: Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.  Kalau Nabi tak ada menceritakan apa yang digambarkan sewaktu takbir, maka mudahnya tak adalah.  Cuma kita orang Melayu kena faham maksud takbir: Allah maha besar.

Alahai mudahnya hendak memulakan solat ya. Solatlah sayang….

Sabtu, Julai 17, 2010

TENTERA Hitler dan Islam

BIARLAH foto berbicara untuk hal Tentera Jerman dalam Perang Dunia Kedua (1939-45) yang selama ini diketahui melalui kaca TV sebagai sekejam-kejam tentara. Hitler pula sebagai sejahat-jahat makhluk.  Ada yang mengucapkaan terima kasih kepada Hitler kerna membunuh kira-kira enam juta jiwa Yahudi di Eropah dalam PD2.

ulama memeriksa baris hormat tentara.

Tentera Jerman yang muslim solat berjemaah di lapangan. Tentera Malaysia?

Selesai solat bersama.
Apa yang dibicarakan antara ulama dengan Hitler?

Tentera mengkaji Islam.

Rabu, Julai 14, 2010

TIDAK bosan bermusuh sesama muslim

APA contoh kebejatan yang tidak ada lagi?  Barangkali semua sudah ada sebab antara keburukan itu sudah berlaku dalam kalangan orang-orang yang membaca Kitab Allah.  Lihatlah orang-orang yang baru sahaja keluar dari masjid terus melakukan tunjuk perasaan, menunjukkan kemarahannya terhadap kumpulan muslim lain.  Ini bermakna sudah wujud permusuhan antara sesama muslim dan sedang menunggu masa untuk berlaku tindak kekerasan pula.  Media juga digunakan sepenuhnya untuk saling membela pihaknya dan menyalahkan sehitam-hitamnya pihak yang dimusuhi.

 foto hiasan

Adakah semua ini suasana yang dibenarkan oleh Allah dan rasul-Nya?  Adakah pertengkaran dan demontrasi melawan kumpulan muslim lain cocok dengan ajaran al-Quran dan Sunnah nabi? Sekalipun ada orang agama antara yang terlibat dalam suasana permusuhan antara sesama Islam, dapatkah ini dijadikan hujah perlakuan yang diredai Allah dan mendapat ganjaran baik sebagai bekalan di akhirat kelak?  Adakah mereka yang bertengkar-tengkar dan bermusuh-musuh pula boleh disahkan sebagai satu cara membedakan antara pihak yang beriman dan munafik?

Dahulu, sebelum Rasulullah berhijrah ke Yastrib (Madinah) dua pihak (kabilah) Arab iaitu Aus dan Khazraj memang bermusuh-musuhan sehingga berlaku perang Bu’ath.  Apabila dakwah Rasulullah diterima, Rasulullah telah menyatukan mereka sebagai satu saudara seolah-olah satu keluarga yang tidak mempunyai rasa dendam mengenai sejarah permusuhan dan peperangan.  Kemudian datang pula kaum penghijrah (Muhajirin) dari Makkah bersama Rasulullah.  Nabi agung telah mempersaudarakan pula muslim Madinah (Aus+Khazraj=Ansar) dengan Muhajirin. Jika dibacakan ayat al-Quran (bermaksud): Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, itulah sebaik-baik contoh.

Tidak lama datanglah ujian mengenai ketahanan persaudaraan itu.  Aktivis Yahudi di Madinah yang terpinggir dengan pemerintahan Islam telah cuba membuka sejarah hitam antara Aus dan Khazraj.  Keutuhan ‘saudara’ dalam Islam mula pecah, lalu pemuda-pemudanya bertengkar-tengkar mengungkit sejarah silam yang dikatakan belum beres.  Kerugian-kerugian silam dibacakan untuk membangkit semangat melawan sehingga antara kedua-duanya cukup bersedia pula hendak berlawan senjata menumpahkan darah!  Ingat, waktu itu Aus dan Khazraj masih muslim, masih mentauhidkan Allah dan menjadi anggota Madinah yang dipimpin Rasulullah.  Keadaan itu tak banyak beda dengan permusuhan di negara kita yang ada sekarang, yang masing-masing muslim, bertuhankan Allah yang satu dan selalunya bersama solat jemaah di masjid-masjid.

Kasus di Madinah dirakam dalam al-Quran ayat 103 surah Ali Imran (maksudnya): Dan berpegang teguhlah kamu semuanya dengan ‘tali Allah’ dan jangan kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuhan, lalu Allah menyatukan hati kamu sehingga dengan kurnianya kamu menjadi bersaudara, sedangkan kamu (waktu itu) berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada kamu agar mendapat petunjuk.

Ayat itu menunjukkan perintah Allah supaya semua muslim bersatu dalam agama Allah (Islam), Allah sangat melarang bercerai-berai.  Maka Allah larang sama sekali sesama muslim melakukan tindak permusuhan seperti pertengkaran, dendam kesumat dan tekanan-tekanan agar muslim yang dimusuhi itu menjadi lemah.  Allah menyatakan bahawa kesepaduan dalam beragama, berfikir dan apa tindakan termasuk urusan keduniaan adalah nikmat!  Perseteruan pula adalah jalan ke neraka!  Apabila sudah bermusuh, semua cara dan pendapat sebelah sana dibuang saja, sekalipun baik.  Itulah kerugian dan jalan kemusnahan.

Sedih sekali, sebab dalam permusuhan antara sesama puak atau parti politik muslim ini ada yang kerap membacakan ayat-ayat Allah.  Malah, ayat di atas juga kerap dijadikan hujahan untuk membina persatuan, namun pada waktu yang sama menyediakan syarat yang jelas tanpa tolak ansur agar pihak di sebelah sana mengakui kejahatan (baca sifat munafik) dan bersatu dengan pihaknya yang didakwanya sangat soleh dan bertakwa.  Dengan kaedah tafsiran inilah maka ayat 103 surah ali Imran ini hanya tinggal bacaan di mulut dan tidak membawa jalan permuafakatan. Dalam usaha membina kesatuan, dipandangnya pihak muslim yang selama ini dimusihi sebagai durjana. Kaedah ini bukanlah berasaskan takwa, melainkan memenuhi dendam yang belum beres.  Sangat berlawanan dengan sikap pihak Aus dan Khazraj yang bersedia menerima seadanya, demi nama persaudaraan walhal mereka semua sedia maklum memang ada hal yang belum beres berasaskan fahaman jahiliah sebelum mereka beriman kepada ayat Allah.

Syaitan tidak akan senang jika ada manusia benar-benar beriman kepada Allah. Kepada orang yang tampak ada ilmu agama, maka syaitan akan menghasutnya berdasarkan ilmu agamanya juga. Maka terlihatlah orang-orang yang berwatak agama dalam memimpin manusia lain merasakan persatuannya sahaja seperti yang digambarkan sebagai orang-orang beriman.  Pihak lain terutama yang mengancam kepentingan diri dan persatuannya (puaknya) dilihat sebagai golongan sesat, munafik dan lebih dahsyat digambarkan sebagai golongan yang diperangi oleh Rasulullah di medan perang Badar dan Uhud!  Ya, syaitan yang menang!  Kita kaum muslim sedang bersedia untuk terus bermusuh-musuhan.

Ahad, Julai 11, 2010

ANGELINA Jolie membuka al-Quran

BERITA daripada http://mystar.com.my ahad 11 Julai 2010.


PASANGAN pelakon Hollywood Angelina Jolie (gambar) dan Brad Pitt mengaku memberikan pendidikan agama kepada anak-anak mereka.  Jolie tidak membataskan pendidikan itu pada satu atau dua agama sahaja, malahan enam anaknya mendapat pendedahan terhadap semua bentuk agama yang ada.

"Brad dan saya membesarkan anak-anak kami untuk menghargai sesama manusia," ujar ibu kepada Maddox, Pax, Zahara, Shiloh dan si kembar Vivienne dan Knox itu kepada majalah Parade. Jolie dan Pitt memperkenalkan semua agama yang ada di dunia ini kepada enam anak mereka dengan menyediakan rak yang memuatkan pelbagai buku dan kitab agama di rumah mereka. "Kami ada Injil, al-Quran dan semuanya. Kami juga mengajak anak kami ke gereja, kuil, menghadiri upacara ajaran Buddha, pergi masjid, mengajar mereka tentang semua kepercayaan," katanya pada Sabtu.

Menurut Jolie, walau apapun agama yang dipilih oleh anak-anaknya kelak, dia tidak akan membantah. "Pilihannya (agama) terletak pada tangan mereka," ujarnya.

KOMENTAR: Mudah-mudahan mereka memahami Islam dengan betul.  Harap-harap apabila membaca al-Quran, mereka menemukan ayat surah Ali Imran ayat 19 maksudnya, “Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah adalah Islam.  Orang-orang yang telah diberi kitab (kitab-kitab sebelum al-Quran) tidaklah berselisih, kecuali setelah mereka mendapat ilmu kerana dengki antara mereka.    Siapa yang ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”

Kemudian diharap mereka satu keluarga dapat memahami juga surah al-Baqarah ayat 213 yang menerangkan umat manusia asalnya dalam kesatuan yang Allah mengutus para nabi untuk memberikan khabar gembira dan peringatan.  Harap-harap mereka berfikir.

Sabtu, Julai 10, 2010

STATUS hadis Rejab bulan Allah, Sya'ban bulan Nabi

Hadith Rejab Bulan Allah, Sya’ban Bulan Nabi
Soalan: Saya keliru mengenai hadith yang selalu disiarkan oleh media kita apabila datang bulan Rejab dan Sya’ban:“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”, ada kata sahih, ada kata bukan, tapi ramai juga penceramah yang selalu baca. Apakah kedudukan hadith ini sebenarnya?

Jawapan: Ini adalah hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Syria: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah)
Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid. Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173,Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut:
Ada beberapa golongan yang membuat hadith palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir)
Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa hendaklah berhati-hati agar tidak menjadi agen penyebaran hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):
Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

TOK Nujum sotong buat kufur

8 July 2010 sumber http://el-ilmy.net

Firman Allah S.W.T di dalam ayat 65, Surah An-Naml:
Maksudnya: “Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).”
Disebut juga di dalam hadith Riwayat Imam Muslim,
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاةٌ اَرْبَعِيْنَ لَيْلَةً
Ertinya:
“Barangsiapa yang mendatangi tukang tenung, lalu dia menanyakan tentang sesuatu, tidak diterima Allah solatnya selama 40 malam.”
Disebut juga di dalam hadith lain oleh Imam Ahmad;
مَنْ أَتَى عَرَّافًا اَوْ كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِما يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِما اُنْزِلَ عَلى مُحَمَّد
Maksudnya:
Barangsiapa mendatangi tukang ramal atau tukang nujum / bomoh / dukun lalu membenarkan kata-katanya maka sungguh dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad.”

Itu adalah antara dalil-dalil larangan mendatangi, bertanya serta meminta ramalan akan sesuatu perkara. Menerusi Buletin Utama TV3, masyarakat kita telah dihidangkan ramalan sotong kurita bernama Paul dari Jerman berkenaan pasukan mana yang akan menang jika melibatkan perlawanan dengan pasukan Jerman. Sekiranya pertama kali tertonton ramalan itu, janganlah mempercayainya. Kemudian, janganlah ternanti-nanti ramalan berikutnya oleh sotong kurita itu kerana ia boleh menyebabkan kita jatuh ke lembah kekufuran.
Memang terdapat ramalan-ramalan yang dibenarkan di dalam Islam. Ia terbatas kepada ramalan berdasarkan sunnatullah, hukum alam yang tidak berubah. Hanya saja bagaimana tepatnya kiraan dibuat untuk menjangka apa yang akan berlaku. Firman Allah dalam Surah Fathir ayat 43:
Maksudnya:
“Sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat (terhadap Rasul itu), sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya. (Dengan keadaan yang demikian, maka) tidak ada yang mereka tunggu selain daripada berlakunya kebinasaan menimpa mereka (sebagaimana yang telah menimpa) orang-orang kafir yang telah lalu. Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi ‘Sunnatullah’ (undang-undang peraturan Allah) dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan ‘Sunnatullah’ itu.

Oleh kerana hukum alam tidak berubah, kita boleh menjangka apa yang akan berlaku bersebabkan sesuatu perkara. Seperti contoh cuaca akan turunnya hujan, tanda-tandanya kita lihat pada perkara zahir yang menerangkan cuaca, contohnya angin, awan dan suhu. Jangkaan dibuat berdasarkan sebab-sebab atau punca-punca hujan akan berlaku.
Bagaimana pula dengan ramalan yang langsung tiada kaitan sebab-sebab atau punca-punca sesuatu perkara itu berlaku? Contohnya, menang kalahnya pasukan Jerman. Apa kaitan sotong itu dengan perlawanan bola sepak? Maka ramalan begini adalah tertolak. Sotong itu tidak mengetahui perkara ghaib.
Perkara pada masa akan datang hanya Allah saja yang tahu. Jika benar pun ramalan-ramalan yang tidak berdasarkan sebab zahir sesuatu perkara itu terjadi, harus ianya adalah daripada bangsa Jin yang mencuri-curi dengar berita langit.
Di dalam hadith Riwayat Imam Muslim disebutkan;
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ الْكُهَّانَ كَانُوا يُحَدِّثُونَنَا بِالشَّيْءِ فَنَجِدُهُ حَقًّا قَالَ تِلْكَ الْكَلِمَةُ الْحَقُّ يَخْطَفُهَا الْجِنِّيُّ فَيَقْذِفُهَا فِي أُذُنِ وَلِيِّهِ وَيَزِيدُ فِيهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ
Maksudnya:
Dari ‘Aisyah, dia berkata; “Aku pernah bercerita kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, bahwa para tukang tenung berkata begini dan begitu dan kadang kami lihat kenyataannya memang benar.” Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: “Kata-kata yang benar itu ditangkap oleh bangsa jin, lalu dibisikkannya ke telinga tukang tenung dan ditambahkan ke dalamnya dengan seratus kedustaan.”
Sama-samalah kita menegur rakan-rakan kita yang telah terpercaya dan jatuh minat dengan ramalan si Paul. Perbanyakkan istighfar dan pelajarilah lagi, apa yang boleh menyebabkan akidah kita rosak dan bagaimana untuk menjauhinya. Selalulah berdoa dengan doa di bawah, yang diriwayatkan hadithnya oleh Imam Ahmad:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu, agar tidak menyekutukan kepadaMu, sedang aku mengetahuinya dan minta ampun terhadap apa yang tidak aku ketahui.”

Khamis, Julai 08, 2010

SEPANYOL vs Belanda: Apa sejarah Islamnya?

PERLAWANAN akhir sepak bola Piala Dunia akan tiba. Sepanyol akan berlawan dengan Belanda.  Saya belum menggila mengenai kedua-dua pasukan, dan entah siapa-siapa nama para pemain serta bagaimana skil mereka.  Pemikiran saya sedang menerobos berkaitan sejarah negara-negara itu terhadap Nusantara yang saya kasihi.  Tidak kurang saya meneliti perihal Islam di kedua-dua negara Eropah itu. 


Yang membaca sejarah tahu, Sepanyol pernah menjadi kuasa politik dunia sebelum kemunculan Britain dan kuasa Eropah lain. Sepanyol muncul sebagai peneroka laut bangsa Eropah kerana mewarisi ilmu daripada pakar-pakar Islam yang memerintah negara itu sejak tahun 711M hingga 1031M.  Negara-negara Amerika Latin seperti Brazil, Argentina, Paraguay, Uruguay, Chile dan Amerika Tengah seperti Mexcico dan Honduras sangat terkesan dengan kebudayaan Sepanyol. Perhatikan nama-nama kota  dan penduduk di sana yang mirip nama-nama di Sepanyol atau Portugal. 

Di Nusantara, kepulauan Filipina merupakan wilayah jajahan Sepanyol sejak kurun ke-16.  Nama Philipinnes itu sendiri diambil daripada nama Raja Sepanyol: King Phillips!  Filipina dibaptiskan, dan hari ini 90 persen penduduknya Kristian Khatolik, manakala di Mindanao tetap muslim tetapi ada pemberontakan Melayu di pulau itu sampai hari ini.  Istilah Melayu di Mindanao sudah digantikan sebagai Moro. Nama Moro sebenarnya diberi oleh Sepanyol kerana persamaan pemberontakan di Afrika Utara oleh bangsa Moors (yang muslim).

Sekalipun dahulu Sepanyol pernah menjadi pusat tamadun Islam dunia, hari ini penduduk muslim di Sepanyol belum sampai sejuta jiwa daripada 40 juta penduduk.  Dua tahun lepas kerajaan Arab Saudi membina sebuah masjid di Sepanyol.  Jumlah orang yang menjadi muslim di Sepanyol tinggi setiap tahun, sama seperti di negara-negara Eropah lain.

Belanda sebuah negara di bawah aras laut, negara kecil dengan penduduk hanya 16 juta. Ada sejuta muslim di Belanda hari ini.  Kepada umat Islam, kontroversi filem FITNA yang dibikin ahli politik Belanda  tidak dilupa. Saat warga muslim luar marah-marah, muslim Belanda tenang dan tidak membalas dengan dendam dan amarah!  Ada seorang ahli politik Belanda yang berasal dari Somalia Hirsi Ali (perempuan) yang telah murtad dan menjadi musuh Islam pula. Dia ini sama seperti Salman Rushdi di Britain!

Wilayah Indonesia hari ini betul-betul warisan jajahan Belanda.  Indonesia merdeka daripada Belanda secara rasmi pada tahun 1949, walaupun tanggal 17 Ogos 1945 adalah tarikh prolakmasi kemerdekaannya. Tak sempurna mengkaji peranan Belanda merosakkan Islam di Indonesia jika tidak menemui nama Snouck Hurondje yang menyamar sebagai muslim bernama Abdus Salam. Dia berangkat juga ke Makkah mahu melihat aktiviti muslim Indonesia ketika berhaji.  Hari ini Indonesia dengan 230 jiwa yang 90 persen adalah muslim. Indonesia sebuah negara paling banyak penduduk muslim di dunia, tetapi tidak pun mencatat Islam sebagai agama rasmi atau agama paling utama!

Belanda juga mengusung banyak penduduk Jawa ke Surinam di Amerika Selatan pada zaman penjajahannya.  Sampai sekarang umat Islam di Surinam ini sinonim dengan orang Melayu dan nama-nama Melayu-Jawa dicatat untuk tempat dan penduduknya.

OK, yang mahu nonton bola antara Belanda dan Sepanyol, ya silakan.

Rabu, Julai 07, 2010

MUNGKIN anak luar nikah itu menantu kita!

JUMLAH 257 ribu anak yang tidak dicatat nama ayahnya ada dalam daftar rakyat Malaysia. Data itu muncul antara tahun 2001 hingga 2008.  Angka ini juga telah secara rasmi diucapkan oleh seorang anak raja.  Tak banyak! Hanya lebih suku juta daripada 28 juta penduduk Malaysia.  Mereka akan membesar menjadi manusia dan kemungkinan besar ada antara mereka akan menjadi menantu kita!  Tak ada salahnya, sekalipun dianggap semua anak itu lahir atas hubungan lelaki dan perempuan luar nikah.  Yang salah ialah lelaki dan perempuan yang berhubungan secara gelap di luar nikah, maka lahirlah 257 ribu baby ……


Kepada umat Islam, kelahiran anak-anak luar nikah adalah kesan masalah sosial dalam masyarakat. Pergaulan bebas antara muda-mudi punca utamanya.  Norma masyarakat telah berubah daripada mengharamkan pergaulan bebas, kepada menerima secara sah sedikit demi sedikit hari demi hari.  Orang muda, kehendaknya terhadap yang berlawanan jenis sangat kuat dan panas.  Mudahnya mereka bertemu dan bercanda, itulah permulaan zina.  Zina tidak terancang inilah yang menambah penduduk Malaysia dengan 257 ribu baby yang comel-comel itu!

Punca pergaulan bebas apa?  Keluarga setuju begitu!  Punca keluarga setuju pergaulan bebas apa? Jiran tetangga dan sanak saudara kata ok saja!  Punca jiran tetangga dan sanak saudara menerima pergaulan bebas sebab apa?  Masyarakat berubah mengikut arus dalam dunia global! Kuno sangatlah, anak gadis keluar ke pekan memakai baju kurung!  Media memberi wahyu baru – seluar sendat tanda bahagia dan gumbira! Iklannya menggiurkan, ikon anak muda pun menunjukkan.  Perawan, kalau berseluar sendat mesti nampakkan seluar dalamnya!

Mengapa jadi begitu semuanya?  Orang kata tak ada pendidikan agama! Bohonglah..! Orang Melayu mana yang mahu anak-anak mereka tak tahu agama?  Sekalipun mereka jahil, tak tahu membaca quran, ,mereka akan hantar anak mereka belajar fardu ain.  Pusat fardu ain sudah menjadi lubuk duit pula.  Sekolah kerajaan pun apa kurangnya, dulu nama pelajaran ialah Pengetahuan Agama Islam diubah kepada Pendidikan Islam. Sekarang ada ujian amali fardu ain, bukan teori-teori lagi (yang murid bukan Islam pun boleh dapat A jika mereka mendaftar masuk untuk peperiksaan).  Sekolah rendah agama, jangan ceritalah hebatnya di Selangor dan Johor. Apa yang berzina dan dapat anak itu bukan anak Selangor dan Johorkah?

Bagi orang muda lain yang sama panas dan kemaruk cinta, mengapa agaknya mereka dapat bertahan?  Mengapa mereka tidak mahu terkinja-kinja dengan pakaian sendat bersama lelaki-lelaki perokok itu?  Mereka pun ada perasaan, dapat membayangkan rasa seronok dibuai kata cinta gelora asmara dana.  Ustaz kata, mereka ada akidah dan iman!

Itulah sebabnya yang membedakan antara orang yang berilmu dengan berilmu disertai akidah.  Daripada akidah, kemudian iman.  Kadang-kadang diperhatikan, orang yang mengaji akidah setiap minggu di masjid pun perangainya tidak banyak beda dengan yang tidak mengaji akidah.  Kalau diuji soalan: apa itu iman? Apa agaknya mereka jawab.

Keadaan ini semua merupakan krisis, yang bermula dengan kaedah pengajaran akidah.  Akidah Islam itu betul, hanya satu sejak zaman nabi.  Masalahnya ialah metodologi pengajaran akidah itu sangat kaku dan teoristik. Ertinya, pelajaran akidah itu lebih kepada pemahaman teori yang payah dibawa dalam kehidupan. Maafkan saya, mempelajari akidah bukan sekadar menghafal sifat-sifat Allah (yang dikatakan ada 20 sifat itu).  Akidah itu satu pengakuan yang membentuk kepercayaan.  Kepercayaan itu dibuktikan dengan kerja penghambaan kepada Allah.  Pengakuan-kepercayaan-penghambaan itulah yang mengubah manusia bernama Bilal bin Rabah dahulu menjadi manusia yang tinggi nilainya di sisi Allah.

Isnin, Julai 05, 2010

PENGHINAAN terhadap umat Islam.

PERHATIKAN foto-foto ini, iaitu iklan daripada sebuah rumah ibadah bukan Islam di Kedah yang dihantar kepada banyak umat Islam.  Bagi pengurus rumah ibadah itu, iklan ini mungkin hanya strategi pemasaran untuk menambah kewangannya.  Mungkin juga satu usaha yang disengajakan kepada umat Islam.  Kotak surat rumah saya kerap sangat disumbat surat seperti ini sama ada dari Perlis atau Kedah.

Perhatikan!
Pertama:  Kuil Buddha itu menawarkan perbuatan yang memang diketahui salah kepada penganut Islam, iaitu menilik nasib kepada Tok Gurunya. Menilik nasib ini dosa besar, sama seperti judi dan meminum arak.  Kemudian, menilik nasib itu untuk berjudi pula.  Iklan ini sengaja dihantar kepada sekian banyak umat Islam. Tidakkah kita terasa dihina dengan perbuatan kuil ini?  Keadaan ini sama seperti  (jika ada) iklan sate babi dimasukkan ke setiap kotak surat umat Islam dengan tujuan umat Islam membeli dan memakan sate babi itu!  

Kedua:  Dalam iklan itu dipaparkan wajah seorang perempuan Melayu-Islam, lengkap bertudung yang kononnya telah berjaya menang judi melalui tilikan Tok Guru kuil berkenaan.  Tidakkah ini penghinaan kepada umat Islam? Perhatikan, wajah seorang wanita yang menjaga aurat kerana mengikut perintah Allah dalam Al Quran. Imej wanita yang taat bab aurat dieksploitasi untuk memujuk umat Islam lain menilik nasib dan berjudi.  Keadaan ini sama seperti (jika ada) gambar Kaabah dijadikan latar belakang pusat judi atau pelacuran.

Kalau nak marah bukan kepada semua orang bukan Islam, atau penganut agama Buddha. Marahlah kepada pengurus kuil berkenaan yang sama sedar atau tidak telah menghina Islam dan umatnya.  Hal ini sudah lama, dan setiap minggu entah berapa ribu pucuk sampul surat mengandungi iklan itu masuk ke rumah umat Islam.  Saya pernah menelefon nombor yang ada, dan pihak sana hanya meminta maaf dengan apa juga yang saya kata.  Itu saja, dan buat semula berulang-ulang kami hingga kini.