Pengikut

Ahad, Ogos 23, 2009

Ayat 36 al-Isra' untuk diam atau buat amal

SEMASA bulan Syaaban lagi, pelbagai acara bersifat keagamaan dilakukan sebagai pecutan akhir sebelum Ramadan. Kemudian dalam Ramadan ini, atas nama kemuliaan bulan dan musim orang membanyakkan amal ibadah, bertambah lagi acara keagamaan. Bagi mereka yang mengekor sahaja atas nama agama, mereka ini menggunakan prinsip ‘kami dengar dan patuh’.

Sepatutnya sesiapa pun dan di mana keadaannya, semua tidak terlepas daripada membawa dalil atau menemukan dalil untuk dibawa ke medan umum. Kita berasa puas dengan sesuatu amalan yang benar-benar disandarkan kepada dalil kerana urusan akidah dan ibadah ini benar-benar hak Allah dan rasul-Nya. Selain dua sumber di atas, manusia biasa hatta imam besar sekalipun tidak mempunyai hak untuk mengurangkan atau menambahkan mana-mana urusan berkenaan.

Mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri telah mengupas bab puasa yang wajib didasari dalil. Sekalipun ada yang menyalahi kebiasaan seperti waktu imsak, namun apabila dalilnya daripada alquran dan sunnah, kita menjadi ‘kami dengar dan patuh’. Kupasan lain ada dalam link ini http://drmaza.com/home/?p=75 .

Ayat 36 surah al-Isra’ bermaksud, “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta tanggung jawab atasnya.”

Ayat ini memberi pengajaran seperti berikut:

Pertama: Kita wajib mencari ilmu atau mempunyai pengetahuan sebelum melakukan atau mengikuti sesuatu amalan yang dicadangkan. Allah menegah kita melakukan sesuatu amal tanpa pengetahuan. Inilah prinsip ilmu dan amal yang kerap dijadikan slogan pertubuhan atau institusi Islam. Namun kebanyakan kita akhirnya lupa untuk memegang prinsip ini. Melanggar sahaja prinsip ini atau dengan mengekor sahaja orang lain melakukan amal akidah dan ibadah tanpa pengetahuan bermakna melanggar tegahan Allah.

Atas nama mendekatkan diri kepada Allah pelbagai modul solat, wirid dan doa dibawa ke tengah masyarakat. Para penganjur sendiri memang tidak berani mengishtiharkan apa yang dibawanya adalah sunnah Rasulullah atau jelas ada petunjuk daripada sunnah.

Kedua: Penganjur mana-mana urusan akidah dan ibadah, wajib mengajarkan pengetahuan atau memberi ilmu berdasarkan alquran dan sunnah dengan jelas supaya orang awam tidak mengikuti secara membabi buta. Sudah menjadi adat bahawa orang awam bergantung kepada pemimpin agama, maka orang agama wajib memberikan dalil-dalil yang sahih untuk membawa masyarakat dalam ibadah yang betul. Namun kebanyakannya hanya menerangkan cara-cara beribadah yang langsung tidak disandarkan kepada hadis-hadis sahih. Perhatikan cara orang memberitahu cara solat hajat dilaksanakan, entah berapa puluh cara. Adakah ini cara yang Rasulullah ajarkan kepada umatnya?

Ketiga: Ayat berkenaan memberi hak kepada kita untuk diam atau tidak mengikuti apa-apa aktiviti ibadah yang meragukan, sekalipun disponsor oleh yang bergelar ulama dan dihujah dengan banyaknya yang melakukan itu. Berdasarkan timbangan akal sahaja cukup munasabah bahawa kita tidak bolah melakukan perkara yang kita tidak tahu hujung pangkalnya. Jika dalam urusan keduniaan pun kita tidak akan melakukan tanpa ilmu, apakah istimewanya urusan ibadah dilakukan secara taklid sahaja?

2 ulasan:

  1. subhanallah.. setuju sekali saya dengan penjelasan tersebut

    BalasPadam