Pengikut

Rabu, April 29, 2009

DALAM perut si pemakan babi

Allah dah kata jangan makan babi, nak makan juga. Tengoklah apa dalam perut mereka yang menelan daging babi. Indah kan?



Banyak lagi haiwan ternak (al-an'am) atau haiwan liar seperti seladang, rusa dan lain-lain yang boleh dimakan, kenapalah babi juga jadi pilihan. Nah sekarang dah ada flu babi. Sebelumnya di Negri Sembilan ada demam Jepun yang berpunca daripada babi juga, virus nipah. Berapa banyak kes babi sudah susahkan hidup kita daa....

Selasa, April 28, 2009

HODOHnya Mahsuri....

MAHSURI nama yanag disebut-sebut sebagai lagenda. Nama itu boleh menjadikan orang kaya kerana pandai mengeksploitasi cerita benar dan karutnya. Cerita itu menjadi besar konon ada ‘sumpahan tujuh keturunan’ kerana masih ada orang berijazah tapi rela dijadikan lembu bodoh. Boleh percaya 100 peratus cerita karut.. Oleh kerana sudah biasa dengan cerita, maka mudahlah menerima cerita-cerita karut lain. Tambah-tambah atas nama Mahsuri. Bacalah di bawah.


http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/4/28/mstar_hiburan/20090428121340&sec=mstar_hiburan

KETIKA menonton Teater Muzikal Mahsuri baru-baru ini, ada sumber yang mendakwa ternampak jelmaan Mahsuri semasa muzikal tersebut dipentaskan.

“Mahsuri ada menjelma semasa pementasan ini dilakukan. Dia hanya duduk memerhati dan tidak membuat apa-apa yang boleh menakutkan orang,” kata sumber itu.

Seorang lagi peminat teater pula mendakwa bertembung dengan jelmaan Mahsuri di dalam lif.

Katanya, "Mahsuri sempat berpesan supaya tenaga produksi membuat muzikal ini dengan baik-baik dan jujur."

Disebabkan perkara mistik yang melanda muzikal ini, pengarahnya, Fauziah Nawi telah merungkai segala-galanya.

Ditanya kepada wanita yang mesra dengan panggilan ‘ibu’ ini, Fauziah tidak menafikan kewujudan mistik dalam Muzikal Mahsuri.

“Mistik memang ada tetapi Insya-Allah, tiada apa-apa perkara tidak baik berlaku.
“Saya rasa ada orang yang merasa benda-benda (mistik) itu. Ia bukan roh tetapi kita boleh katakan ada ‘kupu-kupu besar’.

“Ada dalam dua, tiga orang yang tidak takut apabila melihatnya.

“Benda-benda macam ni, saya sendiri tak boleh nampak tetapi saya dapat rasa yang ia ada,” jawab Fauziah.

Cerita Fauziah, ada orang yang berkata tiada benda menakutkan dan buruk, cuma memberitahu dia nampak perempuan cantik kat belakang Vee.

Lebih menguatkan dakwaan itu, Fauziah berkata cucu perempuannya yang berusia enam tahun juga ada menyebut tentang hal itu.

“Cucu perempuan saya tanya, ‘Siapa kat belakang mak nek tu?’ Bila saya berpaling, tiada siapa pun kat belakang saya. Lepas tu saya tanya cucu saya semula, ‘Siapa tadi?’. Tetapi, dia hanya mendiamkan diri.

“Lepas tu baru dia kata ada perempuan tetapi apabila difikirkan, saya rasa mungkin imaginasinya sahaja kerana dia ada juga ternampak kelibat seseorang yang disangka bapanya sedangkan tiada sesiapa pun di situ,” jelas Fauziah lagi.

Tambah Fauziah, awal-awal lagi dia sudah berpesan kepada 64 pelakon dan sesiapa yang terlibat dalam muzikal itu agar membaca ayat-ayat al-Quran sebelum memulakan pementasan.

Ramai rakyat Langkawi yang meratapi pemergian Mahsuri yang dihukum bunuh akibat difitnah.
“Kadangkala ada penonton yang berkata seolah-olah mereka nampak ramai pelakon sedangkan yang berada di atas pentas itu tak ramai sangat.

“Oleh itu, saya berpesan supaya semuanya membaca Selawat Nabi dan ayat pendinding,” katanya. Apa yang berlaku, pesanan Fauziah, janganlah menganggap mistik ini sebagai suatu yang tidak baik tetapi lebih memahami apa yang ingin disampaikan.

“Mahsuri tu baik dan kita perlu faham sebab kita tidak tahu. Ini yang saya cuba sampaikan yang dia itu bersih dan difitnah....,” ulas Fauziah yang mengimpikan untuk membuat Mahsuri musim kedua jika berpeluang.

Tegasnya, ‘Saya nak buat Muzikal Mahsuri musim kedua dengan menggunakan duit sendiri. Insya-Allah, biarlah saya cukup kumpul duit dan mendapat bantuan pihak penaja dahulu..’

Fauziah berkata dia menganggap Muzikal Mahsuri yang sedang dipentaskan di Istana Budaya mulai 24 April hingga 30 April ini ibarat ‘miracle show’.

“Saya juga bersedia muzikal ini dihentam oleh penonton...Tetapi apa-apa yang berlaku, anggaplah sebagai kelemahan saya,” akhirinya.

Saksikan Muzikal Mahsuri di Istana Budaya mulai 24 April hingga 30 April ini yang menampilkan pelakon Vanida Imran, Arja Lee, Azliyuszaini Mohd. Noor, Sabera Shaik, Azizah Mahzan, Cico Harahap dan ramai lagi.

Ahad, April 26, 2009

TERLEBIH masa belajar agama?

BARU-baru ini saya melihat anak-anak sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Sabak Bernam menyertai pertandingan mewarna lukisan. Cara mereka melukis dan hasilannya jauh lebih matang daripada apa yang kerap saya perhatikan daripada yang anak-anak Melayu hasilkan. Senang cakap, kualiti pendidikan dalam bidang seni, membandingkan yang terbaik anak-anak Melayu dan keturunan Cina, anak-anak Melayu kalah. Oh, jangan baca tulisan ini dengan perasaan perkauman. Saya tanya seorang ibu yang membawa anaknya dan mengatakan anak-anaknya mengikuti tuisyen, ya tuisyen pendidikan seni. Lihat, orang Cina menghantar anak-anak yang berumur tujuh dan lapan tahun ke pusat tuisyen melukis. Ada anak Melayu di luar bandar dihantar ke sana?

Ibu bapa Melayu menghantar anak-anak ke sekolah agama rendah atau pendidikan fardhu ain. Di Selangor sudah menjadi budaya yang anak-anak Melayu akan bersekolah dua sesi setiap hari. Paginya ke sekolah kebangsaan dan petangnya ke sekolah agama rendah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor. Boleh dikatakan tidak ada kerja rumah dari sekolah kebangsaan kerana anak-anak sudah terbeban dengan sekoleh rendah agama.

Anak-anak sekolah jenis kebangsaan Cina punya waktu yang banyak untuk lebih mendalami apa yang dipelajari di sekolah termasuk latihan sukan. Bukan sahaja guru-guru membekalkan kerja rumah untuk memantapkan pemahamannya, malah ada waktu lagi untuk pergi ke tuisyen pendidikan seni. Kalau tuisyen pendidika seni pun dijenguk, tuisyen bahasa Inggeris, matematik dan sains jangan ceritalah. Inilah satu etnik di Malaysia yang boleh dicontohi tanpa rasa cemburu dan malu.

Dengan sejujur-jujurnya, apa yang anak-anak Melayu dapat selama enam tahun bersekolah agama pada setiap petang sehingga ada kompromi tiada kerja sekolah di rumah daripada sekolah kebangsaan? Saya belum menemui hasil penyelidikan mengenai baik buruknya sekolah dua sesi ini yang sebenarnya hanya sesuai pada zaman penjajahan.

Apabila anak-anak bersekolah menengah, adakah ilmu dan akhlak anak-anak Melayu Selangor lebih baik daripada anak-anak Melayu Pahang? Di Pahang tidak ada trend sekolah agama sebelah petang. Hal ini amat kontradik antara Selangor dan Pahang.

Namun dengan pemerhatian dan pengamatan jujur, masalah remaja Melayu di Selangor dan Pahang tidak ada bedanya. Jika lumba motor dalam kalangan remaja sekolah menengah ada di Pahang, sama juga di Selangor. Kalau di masjid-masjid Pahang suasana bising sewaktu khatib berkhutbah, sama saja keadaan di Selangor. Jika remaja-remaja Pahang tidak faham apa maksud bacaan dalam solat dan doa-doa yang dilafaz, sama saja dengan remaja-remaja di Selangor.

Saya suka kalau ada yang tersentak dengan tulisan ini dan mahu membawa ke pengetahuan umum. Biar sesuatu yang kita lakukan dengan korban masa, tenaga dan wang dinilai seadil-adilnya. Jangan meneruskan kerja-kerja berdasarkan retorik dan persepsi. Dalam dunia sudah banyak universiti dan begitu banyak orang ada ijazah, sangat memalukan jika sandaran-sandaran abad ke-18 masih digunakan.

Buat sementara saya berpendirian, cukuplah pendidikan akidah dan ibadah di sekolah rendah kebangsaan, kemudian dibawa ke sekolah menengah. Saya sudah melihat isunya bukan ilmu akidah dan ibadah, tetapi sikap dan persepsi yang dianut orang-orang Melayu.

Letakkanlah apa material atau teknologi yang terbaik dalam semua bidang kehidupan, jika sikap dan pemikiran masih kuno selama itulah sikap malas dan takut diwariskan kepada generasi seterusnya. Kata orang, biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Namun, di balik itu etnik Cina begitu cekap membaca perubahan zaman dan mengaplikasikan modal insan mereka untuk menguasai suasana zaman. Sedarkah figur-figur Melayu? Janganlah taksub sangat dengan politik tu… cukuplah!

Atau ada orang belajar agama bertahun-tahun kemudian meleret-leret bercakap hal akidah sehingga memerangkap orang awam dalam bab tuduhan sesat dan kafir. Ini sajakah yang mampu dilakukan orang yang mengaku ada ilmu agama. Kalau etnik Cina, sudah lama puak seperti ini dimasukkan dalam bakul sampah!

Rabu, April 22, 2009

MAULIDUR rasul di Tanah Jawa

OLEH kerana banyak pihak masih membicarakan perihal maulidurrasul, maka saya mapankan beberapa foto sambutan maulid nabi atau maulud di Tanah Jawa. Di Tanah Jawa khasnya di kawasan keraton (istana) atau kota Jogja, masyarakatnya memang ternanti-nanti hadirnya perayaan maulidurrasul. Kalau di Malaysia, mungkin yang seronoknya ialah ada makanan percuma setelah majlis ceramah atau baca berzanji, di Tanah Jawa lebih daripada itu.

Masyarakat di Jawa sekalipun berbangga dengan mendepani Islam sejak zaman Kesultanan Demak dan kemudian Matarram, namun akidah dan ibadah sudah dicampur baur dengan adat dan budaya. Ini berlaku di mana-mana jika tidak diwaspadai.
Di Malaysia sekalipun ada majlis maulidurrasul sempena mengingati kelahiran Nabi Agung Muhammad, tidaklah dikaitkan dengan ritual dan keberkahan istana atau orang-orang tertentu. DI Jawa, orang siap menunggu ‘gunungan’ iaitu makanan yang disusun meninggi bagai bukit dan kemudian diarak ke jalan. Oh ya, sebelumnya sudah dibacakan mentera dan dibakarkan kemenyan. Ini persis upacara perbomohan.
Orang bersiap akan merebut atau merayah gunungan makanan itu bukan kerana mereka lapar banget, tetapi kerana mahu mendapatkaan berkah daripada makanan gunungan itu. Barangkali nanti musim panennya bagus, kesihatannya panjang atau menjadi kaya dan dihormati. Itu kepercayaan mereka dan semua itu diladeni dengan baik saban tahun, termasuk oleh para kiyai!

Kalau di Malaysia, siaplah kamu para kiyai yang menginggihi (mengiyakan) kerja-kerja bid’ah dan syirik. Oh ya, inilah contoh apabila masyarakat rusak sehingga kepala-kepala agama juga rusak, tetapi mereka ingat dalam taqwa yang sangat disukai ALlah. Di Malaysia juga ada pemikiran seperti itu, sengaja mencipta atau mereka bentuk ibadah baru untuk disesuaikan dengan keadaan tertentu. Oleh kerana penghormatan tinggi oleh orang-orang awam yang jahil, maka rekaan cara agama ini dipatuhi. Mereka fikir inilah jalan taqwa….. Yang hebatnya, mereka membentuk pertahanan untuk mempertahankan aturan baru agama yang dikatakan sebagai mendekati Allah. Ya, akal kamu sajalah….


Selasa, April 21, 2009

DAHSYATNYA tokok tambah agama

Seorang tokoh ilmuwan Islam terkenal Dr. `Abd al-Karim Zaidan dalam buku yang masyhur Usul al-Da’wah menyebut:

“Amalan soleh adalah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah. Apa yang sahih itu adalah yang menepati syarak, maka membuat bid`ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah. Bid`ah itu lebih buruk daripada maksiat. Ini kerana bid`ah itu mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, pengurangan dan mengubahan. Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu al-Rasul S.A.W memberi amaran mengenai bid`ah, sabdanya:“Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang diada-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah di dalam neraka” (sahih: riwayat Abu Daud). Maka segala kebaikan apa yang bawa oleh syarak dan berpada dengannya. (m.s. 41, Beirut : Muassasah al-Risalah)

sumber http://drmaza.com/

Ahad, April 19, 2009

SUNNAH hari Jumaat

Buku kecil ini menjelaskan amalan sunat yang wajar dilakukan bagi seseorang muslim pada hari tersebut. Amalan yang dilakukan ini turut disokong oleh Sunnah dan bukannya sekadar sangkaan dan anggapan yang dilakukan oleh majoriti masyarakat kini.


Kandungan

1- Mukadimah
2- Kelebihan dan Keistimewaan Hari Jumaat
3- Perkara Sunnah yang dilakukan pada hari Jumaat
4- Bacaan Surah al-Quran yang digalakkan dalam solat Subuh Pagi Jumaat
5- Bacaan Surah al-Quran yang digalakkan pada siang dan malam Jumaat
6- Bacaan Surah al-Quran yang digalakkan imam membacanya semasa solat Jumaat (I)
7- Bacaan Surah al-Quran yang digalakkan imam membacanya semasa solat Jumaat (II)

Harga: RM4.50
Penulis: Mohd Fikri Che Hussain

Khamis, April 16, 2009

MUNGKIN itu judi hasanah?

LAMA sudah saya berfikir mengenai judi yang diharamkan oleh Allah dalam alquran, tetapi masih diberi ruang berjudi dalam ekonomi. Emm…, betul ada larangan kepada orang Islam berjudi di kedai-kedai nombor ramalan. Hal ini bermakna premis judi itu untuk bukan Islam. Kawan saya seorang Cina berkata, masyarakatnya tidak dapat dipisahkan daripada budaya berjudi. Tapi dia pun mengakui bahawa kesan judi itu teruk sangat. Dialah yang memberitahu saya kes-kes orang bunuh diri di pusat judi yang iklimnya sejuk itu.

Kalau kawasan majoritinya orang Melayu-Islam dan jumlah orang bukan Islamnya tidak sampai 1000 orang, tetapi ada dua premis judi, untuk siapa kedai judi itu? Kalau jawabannya, kedai judi itu untuk orang bukan Islam, marilah kita ketawa terbahak-bahak. Ha ha ha ha….. ini betul-betul, bukan cobaan!

Kalau tanya yang melanggan di kedai judi ini, mereka mengakui pernah menang beribu-ribu juga. Ada kes terbaru di satu daerah (negeri pantai barat), bilal masjid menang judi nombor ini dan terus membeli sebuah kereta. Hebohlah sedikit, sekejap saja. Maka judi ini bagai benci tapi rindu!

Apa salahkah istilah baru diberikan kepada judi sebagai judi hasanah. Judi memang haram tapi dah banyak juga orang Melayu beragama Islam pun asyik berlanggan dan ada yang menang, boleh buat rumah, beli kereta dan bayar sekolah anak di kolej. Lagi pun banyak mana yang ditangkap dan didakwa kerana berjudi ini. Adakah jabatan agama menangkap penjudi sebulan seorang, setahun 12 orang? Di daerah mana itu? Tak adalah…, kan, kan!

Emm.., ustaz-ustaz janganlah marahkan saya yang mencadangkan judi hasanah, sebab selalu didengar ada kalimah bid’ah hasanah, kan! Kalau bid’ah itu yang jelas haram tapi masih ada bid’ah hasanah (bid’ah yang baik) atas sebab-sebab kehendak manusia, maka janganlah marah kepada kaki judi yang buat union untuk war-warkan judi hasanah (judi yang baik)! Kaki judi ini pun ada hujah juga.

Mari kita tengok siapa yang kena…!

INILAH jalan sunnah nabiku

SESEORANG yang berkeyakinan tinggi suka menggunakan kata-kata ‘inilah jalan hidupku’ apabila berdepan cabaran yang mahu menggugat idealismenya. Tetapi, adakah dia bersedia menggunakan istilah lebih tepat, ‘inilah jalan sunnah Nabiku’ atau ‘inilah jalan Nabi SAW’ untuk mewakili seluruh amal dilakukannya dengan membawa hati penuh cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW.
Seseorang mungkin akan mencapai tahap kecintaan utuh kepada Nabi SAW selepas membaca berpuluh-puluh kitab sirahnya daripada pelbagai perspektif kajian dibawa ulama. Ada pula gigih menguatkan keyakinan dengan menyelami hati Baginda SAW melalui ribuan hadis menjanjikan sentuhan kasih sayangnya.
Seperti seorang hamba Allah membaca al-Quran dan merasai rahmat Allah menitis ke dalam jiwa, begitu pula ketika ia membuka kitab hadis Nabi SAW seolah-olah dia rasa berhadapan dengan Baginda.Mendengar sabdanya, berasa apa dirasa Rasulullah SAW. Gembira ketika Baginda SAW membawa khabar gembira, menangis bersama sahabat yang menangis, bersemangat ketika membaca sabda jihad dilaungkan, berwaspada saat Rasulullah berwasiat, meneliti setiap patah perkataan Baginda dengan berhati-hati dan penuh minat.
Inilah cinta, hakikatnya bersimpul dalam ikatan ilmu, kajian, muzakarah, amal dan perjuangan menegakkan sunnah Rasulullah SAW.Ironinya, ramai Muslim terjebak dalam memahami maksud sunnah, seolah-olah mereka menganggap sunnah itu adalah perkara yang dikaitkan dengan isu panas, konflik dan pecah belah dalam masyarakat. Perkara itu berbahaya kerana boleh jadi mereka sudah menghina tanpa sedar akan sunnah Rasulullah SAW.Padahal, ancaman bagi sesiapa mencela sunnah Nabi SAW adalah berat seperti firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu mengolok-olok? Tidak usah kamu meminta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang selalu berbuat dosa.” (Surah al-Taubah, ayat 65-66)
Celaan orang jahil mengenai poligami, isu wanita kelas kedua, tohmahan bidaah, wahabi, menuduh sesat, orang awam mencela ulama, semua itu perbuatan yang tidak memahami jalan hidup sunnah yang sebenar. Sehingga orang awam pun tanpa mereka sedari menconteng kesucian sunnah disebabkan keringnya ilmu. Rasulullah SAW adalah sebaik-baik makhluk mewakili setiap keadaan manusia. Beliau adalah suami yang dalam tempoh lama hanya beristeri seorang wanita, iaitu Khadijah, ini adalah sunnahnya. Jadi jangan katakan tidak ikut sunnah bagi sesiapa yang memilih monogami sebagai jalan hidup kerana Rasulullah SAW pun mengamalkannya ketika hidup bersama Khadijah.
Baginda pula mengamalkan poligami yang juga sunnahnya bagi sesiapa kuat iman dan takut kepada Allah sehingga dia boleh berlaku adil. Ia diamalkan bagi menyelesaikan masalah wanita pada zamannya, bukannya untuk kepuasan nafsu lelaki.Umat Islam sepatutnya tidak menganggap orang kaya dan terkenal itu tidak ikhlas dan tamakkan dunia. Kononnya mereka menganggap Baginda SAW adalah Nabi bagi orang miskin dan membenci harta tersimpan di rumah.Padahal ketika Baginda diangkat sebagai Rasul, saat itu Rasulullah SAW sudah memiliki empayar perniagaannya bersama Khadijah dan dengan harta itu dakwah Islam berkembang.
Bahkan, orang kafir Quraisy tetap mempercayai Baginda sebagai pemegang amanah harta mereka sehingga Baginda berhijrah.Sirah Nabi SAW menceritakan bahawa menjadi kaya dan berkuasa adalah sunnah Rasul jika dipergunakan untuk kemajuan agama, tetapi hati dan perbuatan mesti berasa sentiasa miskin, tawaduk lagi warak kepada Allah supaya dunia tidak mudah menipu.
Sesungguhnya Muhammad SAW adalah Nabi bagi orang kaya dan miskin, teladan untuk lelaki monogami dan poligami, contoh bagi sesiapa memperjuangkan Islam dengan ilmu, harta, politik dan ekonomi. Sunnahnya umpama penunjuk arah berfungsi meluruskan jalan hidup dipilih setiap insan.Isu bidaah dan wahabi pula dilontarkan bagai peluru mahu mematikan amalan sunnah Rasulullah SAW.
Orang yang suka memberi nama ‘wahabi’ kepada individu tertentu biasanya masuk dalam salah satu kategori, iaitu orang jahil tidak mengerti hukum hakam dan dalil syarak yang pelbagai atau orang alim yang dengki sesama ulama kerana inginkan pengaruh dunia.Konflik wahabi dan bidaah boleh diubati dengan cara mendekati orang jahil dengan ilmu dan dalil kerana selama ini mereka mengenal Islam melalui pendekatan tengok dan ikut-ikutan saja tanpa didedahkan fakta serta dalil sahih mengikut al-Quran dan al-Hadis.
Antara ulama berbeza pandangan pula mestilah dijalin semangat kejujuran, hormat menghormati, kasih sayang dan takut kepada Allah.Menurut Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Shaydul Khatir, “Tabiat mendengki adalah sifat semula jadi manusia yang perlu diluruskan, apabila ia boleh membangkitkan sikap berlumba-lumba ke arah kebaikan maka ia menjadi dengki yang baik tetapi yang tercela apabila sifat ini melahirkan keinginan mahu mencelakakan orang lain sama ada dengan kata-kata ataupun perbuatan.”Diharapkan tohmahan bidaah dan wahabi tidak sekali-kali menyurutkan langkah mereka yang mahu memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW.
Sesungguhnya dalam diri Rasulullah SAW ada teladan baik dalam usaha menghadapi orang awam yang jahil.Sahabat ramai yang alim, tetapi mereka tidak menafikan wujudnya perbezaan pendapat sebagai bentuk kekayaan ilmu, keluasan pemikiran, pandangan dan fahaman dalam Islam. Sunnah Rasul bukan terletak pada dalil hukum-hakam dan cara ibadat saja bahkan akhlak dan hubungan kemanusiaan dipamerkan Baginda sememangnya mesti diikut, disanjung dan diamalkan sebagai suatu sunnah yang turut dituntut.
Teladan dalam mencintai Rasulullah SAW bolehlah dilihat melalui kehidupan sahabat dan salafus salih. Mereka adalah generasi paling tahu mengenai Rasulullah SAW dan melalui merekalah kita tahu sunnah Baginda SAW.Suatu ketika, Rasulullah SAW duduk bersama Umar dan sahabatnya. Lalu Umar berkata: “Wahai Rasulullah, dirimu sangat kukasihi melebihi segala-galanya melainkan diriku sendiri. Kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak akan beriman seseorang sehingga ia mencintai diriku melebihi cintanya kepada dirinya sendiri. Mendengar sabda Rasulullah ini Umar lantas berkata: Demi Allah, sekarang aku lebih mencintaimu daripada diriku sendiri. Rasulullah bersabda: Sekarang saatnya wahai Umar (iman kamu sudah sempurna).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Imam Malik sudah mengumpulkan hadis Rasulullah SAW dalam al-Muwatta’. Beliau pernah merasai gigitan kala 30 kali dalam suatu majlis ilmu tetapi masih membacakan hadis Rasulullah SAW seraya berkata: “Aku malu menghentikan bacaan hadis Rasulullah SAW semata-mata untuk kepentingan diriku.”
Sa’id bin Musayyab pernah ditanya suatu hadis, ketika itu dia dalam keadaan sakit tenat. Beliau menyuruh keluarganya mendudukkannya dan berkata: “Bagaimana mungkin aku membaca hadis Rasulullah SAW sedangkan aku dalam keadaan berbaring?”Kasih sayang, cinta dan perjuangan ulama terhadap Sunnah Rasulullah SAW sudah berhasil menghidupkan kembali ajaran Baginda SAW di tengah-tengah umat. Sekali gus menghapus segala bentuk penyelewengan bertentangan sunnahnya.
Rasulullah SAW pernah mengingatkan supaya umat berhati-hati terhadap penyelewengan halus yang menyusup masuk dalam akidah mereka. Baginda bersabda yang bermaksud: “Janganlah terlalu berlebih-lebihan dalam memujiku seperti yang dilakukan kaum Nasrani terhadap Isa Ibnu Maryam, sesungguhnya aku hanyalah hamba biasa dan katakanlah aku sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Umat Islam mesti meletakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sesuai dengan tuntutan al-Quran dan al-Hadis, bukannya mengikut hawa nafsu. Jika mereka melebihkan daripada sepatutnya, sesungguhnya jerat iblis sangat halus hatta di belahan dada orang alim, inikan mereka yang jahil.

Isnin, April 13, 2009

HANYA rutin ke masjid....

TELAH beberapa bulan saya perhatikan banyaknya anak-anak asrama sekolah ke masjid waktu subuh. Tentulah seronok kerana pada usia remaja mereka telah memilih masjid sebagai salah satu destinasi, tambahhan pula waktunya yang sangat getir! Bayangkan kalau mengharap orang dewasa hanya kira-kira 30 orang waktu subuh, tetapi dengan kehadiran anak-anak asrama sekolah menjadi kira-kira 200 orang jemaah subuh!

Setelah diamati, anak-anak ini memang hadir dengan terpaksa. Sebaik saja sampai ke masjid setelah solat sunat kerna masuk masjid, mereka duduk dan terlena. Kemudian apabila waktu solat, bangun dan lena lagi selepas salam menunggu imam wirid dan berdoa. Begitulah hari-hari, namun sekurang-kurangnya mereka sudah selesai solat berjemaah.

Apakah keadaan ini hanya dialami oleh anak-anak yang masih mentah, tidak oleh orang dewasa? Jawabnya, sama saja. Anak-anak akan remaja dengan hanya memahami ibadah sebagai acara yang diwarisi daripada ibu bapa. Kemudian mereka membesar, menjadi dewasa dan tua tanpa ada apa-apa perubahan pemahaman terhadap yang dinamakan ibadah. Sejak remaja, semua ayat alquran dan doa dalam solat dihafal tanpa difahami ertinya. Kebanyakan orang ke masjid kerana rutinnya begitu sebagai orang lelaki muslim.

Kalaulah tidak kerana paksaan penguasa asrama, tidak ada anak-anak sekolah yang dengan suka rela bangun jam 5.30 pagi dan bergegas ke masjid setiap hari. Untuk mendapatkan 150 anak sekolah secara suka rela ke masjid setiap subuh adalah suatu yang mustahil! Percayalah, mustahil!

Orang dewasa yang dikatakan sudah matang dan sadar kian hampir lubang kubur pun majoritinya tidak perduli solat berjemah subuh di masjid. Tuan-tuan haji pun sama, sekalipun semasa di Makkah dahulu tidak pernah cuai solat berjemaah.

Mengapa jadi begini? Bagi para ustaz, jawabnya ialah kerana lemahnya iman. Bagi orang awam, hendak membedakan antara iman yang kuat dan lemah pun payah. Malah sebenarnya kebanyakan tidak tahu apa itu iman. Sungguh, pergilah tanya orang di mana-mana, “Encik, Puan…, apa itu iman?” Kalau ditanya “Fahamkah kehendak tauhid rububiyyah dan uluhiyyah dalam hidup?” lagi mereka tidak dapat menjawabnya.

Inilah antara punca rasa rendah pemilikan nilai dalam beribadah kepada Allah. Kemudian, apabila nilai ibadah sudah rendah, jadilah ibadah itu hanya upacara ritual, mengikut sahaja arus yang membawanya. Oleh itu kalau dikaji mengapa orang Melayu yang beragama Islam yang tauhidnya dikatakan betul di sisi Allah, yang kerap berdoa agar dimasukkan dalam syurga masih gagal dalam banyak hal, itulah sebabnya. Ilmunya dalam hal yang sangat wajib mereka tahu sangat tipis, lalu apalah diharap dengan ketipisan ilmu dan imannya.

Jumaat, April 10, 2009

MENCARI sekolah yang menyelamatkan jiwa

SATU tulisan saya sebelum ini mendedahkan kegagalan pelajar-pelajar sekolah berorientasikan agama Islam dalam persaingan sukan. Sebenarnya ada lagi bukti kekalahan sekolah-sekolah agama itu dalam akademik jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah menengah harian biasa. Saya tidak mahu mendedahkan lebih banyak, memalukan saja.

Memang situasi ini tidak enak, tetapi pengharapan orang terlalu tinggi terhadap sistem pendidikan Islam untuk menangani masalah kebejatan sosial. Kalau kita rajin bertanya kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat-pusat tahfiz, sekolah agama menengah dan sekolah pondok (sekalipun sangat daif fizikalnya), jawaban mereka ialah mahu memberi pendidikan agama Islam kerana banyak penghujah memberikan faktor kurangnya pendidikan agama menjadikan anak-anak bejat sosialnya.

Surat Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) kepada Majalah I (April 2009) secara jelas mahukan sistem pendidikan Islam yang holitistik. Gamis telah menghujah kegagalan pelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah sehingga pelajar sekolah (tentunya sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan) sudah terjebak dalam kebejatan sosal. Sebagaimana orang dewasa menerima hujah miskinnya ilmu agama dan iman, maka Gamis juga sependapat dengan ibu bapa itu.

Dalam dunia moden dan maklumat sudah terdedah dengan sebanyak-banyaknya, ibu bapa sebenarnya seakan buntu menghadapi masalah sosial remaja. Hendak menghantar anak ke sekolah-sekolah agama negeri, masalah prestasi akademik dan kokurikulumnya tidaklah membanggakan. Malah sering sekolah-sekolah agama ini kalah dengan sekolah-sekolah menengah biasa. Hendak terus menghantar ke sekolah menengah biasa, dikatakan pendidikan agamanya sedikit dan tidak mampu menjadi benteng kepada anak-anak mereka.

Jika kita mahu terus berpegang kepada pendapat bahawa pendidikan agama sahaja yang mampu mengawal kemerosotan akhlak remaja, maka para pemikir Islam mestilah melihat semua sistem persekolahan agama dengan adil. Bagaimana mahu menjadikan pendidikan berorientasikan Islam sebenarnya benar-benar menjadi bukti keunggulan pelajar dalam semua bidang. Ada kes (mungkin terpencil) pusat tahfiz alquran hanya menyediakan dua orang guru yang tidak terlatih (jika dibanding dengan guru sekolah Kementerian Pelajaran) untuk mengajar semua subjek dalam Penilaian Menengah Rendah – PMR. Yang begini adalah satu penyakit dalam pendidikan yang menjadi harapan umah.

Sesunguhnya yang sedang ditunggu-tunggu ialah apakah model sebenar sistem pendidikan Islam yang holistik menepati kehendak dunia dan akhirat. Orang bercakap mudah, laksanakan seluruh ajaran Islam. Lebih baik dirincikan apakah modelnya dan bagaimana hendak dilaksanakan di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran. Barulah kita keluar daripada retorik.

Mungkin ada yang memberikan beberapa contoh sekolah integrasi yang dilaksanakan oleh jabatan agama Islam negeri, atau sekolah-sekolah Islam swasta yang dilaksanakan oleh NGO. Untuk menghidupkan sistem, bolehkan sistem itu dilaksanakan di sekolah biasa yang muridnya pelbagai kaum dan agama. Kita kerap mendengar Islam sesuai untuk semua kaum kerana Islam itu menyelamatkan atau mensejahterakan. Malangnya belum ada satu contoh hakiki sekolah yang dikatakan berorientasikan Islam digunapakai untuk pelbagai murid (Islam dan bukan Islam).

Setelah dikatakan sekolah kerajaan tidak Islam dan salah, maka cari sekolah lain yangideal itu. Adakah sekolah swasta milik NGO berorientasikan Islam yang menampung sehingga 40 peratus murid bukan Islam? Kemudian apa produk orang yang terhasil dari sekolah itu?

Khamis, April 09, 2009

APAKAH keraguan itu Islah? (Bahagian 5 - Akhir)

Oleh: Saiful Islam

ISU GERAKAN ISLAM

Sebahagian daripada saranan gerakan Salafi itu memang benar. Ahli-ahli gerakan Islam sepatutnya mengambil serius terhadap bentuk kefahaman mereka terhadap beberapa nas penting yang mendasari perjuangan mereka. Kesilapan memahami perbezaan maksud Jamaatul Muslimin dan Jamaah min al-Muslimin, mempunyai implikasi yang serius.

Akan tetapi ada di antara saranan yang dikemukakan, menimbulkan tanda tanya. Golongan ultra Salafi bermati-matian memaksa gerakan Islam agar memberhentikan serangan mereka terhadap pemerintah dengan alasan tidak syar'ie untuk menegur pemimpin secara terbuka. Saya kira, bukan sahaja gerakan Islam yang tersentak, malah pemerintah juga jadi terkejut. Tidak sangka, selama ini mereka tidak boleh ditegur oleh pembangkang secara terbuka. Mereka perlu ditegur di dalam majlis yang hanya disaksikan oleh Allah dan Malaikat. Rakyat tidak perlu tahu apa yang ditegur, dan di manakah kepincangan pemerintah.

Apakah rasionalnya pemikiran seperti ini?

Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, tokoh gerakan Islam Ikhwan al-Muslimin di Jordan, dan amat teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah di dalam pemikiran, penulisan dan tindakannya, pernah menulis sebuah buku bertajuk "Pembetulan Kefahaman Terhadap Beberapa Ayat al-Quran". Di dalam buku tersebut, beliau telah mengulas tentang kefahaman umat Islam tentang ayat 44-47 surah al-Maidah iaitu:

"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang kufur" (Al-Maidah: 44)

"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang zalim" (Al-Maidah: 45)

"Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah golongan yang fasiq" (Al-Maidah: 47)

Pandangan pertama terhadap ayat ini, ditolak sepenuhnya oleh Sheikh Solah. Golongan pertama ini beranggapan bahawa ayat ini khusus diturunkan untuk orang Yahudi dan tidak teraplikasi ke atas umat Islam. Kefahaman ini bertentangan dengan kaedah tafsir yang utama iaitu "Pengiktibaran ayat adalah berasaskan umumnya lafaz, dan bukan khususnya sebab (turun ayat itu)".

Tetapi Sheikh Solah amat skeptik dengan pandangan kedua. Pendukung pandangan kedua ini membezakan hukum pemerintah yang tidak melaksanakan Syariat Allah. Sama ada mereka tidak melaksanakannya kerana takut, tidak faham, lemah semangat, sedang berusaha, atau sememangnya menolak hukum itu. Kata Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, "siapakah pendakwah yang berani dan mampu bertanya kepada pemerintah secara aman, mengapa beliau tidak melaksanakan hukum Allah? Dan jika ada yang berani bertanya, jujur pulakah jawapan pemerintah itu?"

"Sesungguhnya perbuatan pemerintah, adalah lebih benar dalam menunjukkan maksud mereka berbanding dengan kata-kata pengakuan (pemerintah)", ujar Sheikh Solah.

Inilah pendirian seorang tokoh Salafi yang digeruni King Hussein dan kerabatnya. Harapan rakyat kepada Islam berputik apabila adanya gerakan yang memantau secara telus tindak tanduk pemerintah yang absolute.

Jika isu "jangan lawan pemerintah" seperti ini diwar-warkan oleh pendukung Salafi untuk meluruskan gerakan Islam, jika menang di medan debat sekali pun, apakah kesannya kepada masyarakat?

Jika isunya adalah isu teguran yang tidak berakhlak, maka yang perlu diperbetulkan adalah akhlak ahli gerakan Islam, dan bukannya memberikan cadangan yang diketawakan pemerintah.

USAHA PEMURNIAN GERAKAN ISLAM

Gerakan Islam yang keahliannya bersifat terbuka, menerima kemasukan ahli yang pelbagai. Dari pemanjat pokok kelapa, suri rumah yang buta huruf, hinggalah kepada profesor di IPT, kesemuanya memerlukan kepada hikmah kebijaksanaan di dalam membentuk mereka ini. Ada yang masuk melalui pintu politik, ada juga yang masuk melalui pintu Tarbiah. Tokoh-tokoh gerakan Islam seawal Hasan al-Banna di Mesir, hingga kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Malaysia, mempunyai pendekatan yang mengambil kira realiti ini.

Selama ini, gerakan-gerakan Islam berlapang dada. Mereka boleh menerima konsep Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah di dalam diskusi perkaderan mereka, walaupun di kalangan anggota gerakan itu, bukan kecil jumlah yang datang dari aliran Khalaf. Hasan al-Banna, ketika mensyarahkan Usul 20 kepada rukun bai’ah yang pertama iaitu al-Fahm, secara jelas mengambil manhaj Salafi tetapi ia dikemukakan selepas bersungguh-sungguh mengenengahkan persamaan yang boleh dikongsi di antara Salaf dan Khalaf. Di dalam gerakan Islam, ada pimpinannya yang Salafi, ada yang Khalafi. Mereka menggunakan manhaj masing-masing secara harmoni dalam menyusun saf perjuangan.

Sebelum aliran pembaharuan Salafi semasa ini popular, tokoh-tokoh Salafi boleh berada di dalam pelbagai organisasi. Ia tidak berhasrat menjadi satu kelompok yang berasingan kerana Dakwah Salafiah adalah gerakan pembetulan proses yang boleh dan perlu ada di mana-mana. Ia perlu ada dalam parti-parti politik, NGO, institusi pengajian tinggi, surau dan masjid. Tetapi apabila kesabaran generasi matang tidak dapat dicontohi oleh kegopohan anak muda, satu demi satu ahli yang Salafi itu menarik diri dan pergi kepada pembentukan entiti yang berasingan.

Menyeru ahli gerakan Islam agar lebih ilmiah dan sahih sandaran, bukanlah suatu kerja yang boleh berlaku sekelip mata. Ia soal paradigma dan cara berfikir. Saya berpandangan, ahli-ahli gerakan Islam yang meninggalkan kumpulannya kerana tidak sabar terhadap islah dalaman, adalah berjiwa sempit dan kurang mahu memikul tanggungjawab secara yang berwibawa. Melontar batu dari luar pagar, memang mudah kerana kesan lontaran itu boleh dilupakan. Tidak perlu peduli kepada akibat lontaran itu.

Kesan lontaran itu telah mengakibatkan segelintir ahli gerakan Islam dibelenggu keraguan. Keraguan itu telah membocorkan masa dan tenaga untuk tujuan yang tidak turun ke alam nyata.

Cabaran terus menerus berlaku di dalam masyarakat. Kelompok yang menarik jauh manusia dari agama semakin aktif. Tetapi ahli-ahli dakwah dan islah hilang momentum dan terdorong kepada mencari kemenangan di medan debat, bukannya jihad.

Akhirnya, sebagaimana Eropah menyesali over confident mereka kepada tradisi Enlightenment, kita juga mula dijangkiti kekhuatiran yang sama.

“REASON PROMOTES DOUBT, ENFEEBLES THE WILL, AND HINDERS INSTINCTIVE, AGRESSIVE ACTION”
- Pendalilan (yang keterlaluan) mempromosikan keraguan, melemahkan tekad, memperlahankan tindak balas spontan dan agresif -


Keraguan. Adakah ia jalan Islah?
Saya masih memikirkannya...

Selasa, April 07, 2009

ANTI-PPSMI yang menang pilihanraya.

TAHU dan sah sudah yang BN kalah di Gukit Gantang dan Bukit Selambau, tapi menang di Batang Air. Dua bukit itu amat menjadi perhatian kerana hasil keputusan itu dapat mengubah dasar parti-parti politik dan kerajaan. Dalam pilihan raya itu banyak isu yang dipertaruhkan. Blog ini Cuma mahu mencuplik isu anti-PPSMI yang dibawa oleh GMP (Gerakaan Mansuhkan PPSMI). Foto Sasterawan Negara merayau-rayau di dua bukit sebagai ikon menentang PPSMI, bermakna menentang dasar Kerajaan Persekutuan (baca BN) yang dilihat berkeras mahu meneruskan PPSMI. Pak Samad (baca GMP dan mereka yang mengundi parti lawan BN) menjadi lambang kehendak dasar Bahasa Melayu dalam pendidikan semua peringkat mesti dikembalikan seperti sebelum 2003! Dan pendirian Pak Samah melawan pendirian BN sudah ditentukan. Pak Samad disokong dan menang, BN dengan dasar PPSMInya kalah! Maka apa lagi…?

Tunggulah apa pendirian Perdana Menteri yang baru, yang katanya mahu membawa perubahan besar-besaran. Adakah mesej yang rakyat menolak PPSMI (tolak secara total, bukan terpilih sebagaimana yang dicatat dalam media) akan diambil kira? Jika betul kerajaan benar-benar mahu mendengar suara rakyat, inilah masanya. Jika kerajaan memilih mengekalkan keadaan PPSMI, lihatlah gelombang rakyat, khasnya Melayu. Hal ini bukan permainan politik, tetapi citra dan maruah bangsa Melayu. Tidak dapat tidak, ke jalan politik juga. Itulah sebabnya Pak Samad yang sudah renta, sanggup menggagah diri untuk mengangkat citra bangsa Melayu.

Mengapa Bahasa Melayu untuk menuntut ilmu sains dan matematik? Jawabnya al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab kepada bangsa Arab, demi memudahkan bangsa Arab faham wahyu. Demi ilmu anak-anak Malaysia, maka jawabnya gunakan Bahasa Melayu.

Isnin, April 06, 2009

SALAHKAH orang bukan Islam baca al-Quran?

SAYA kaget dengan khabar laporan polis dibuat terhadap seorang nonmuslim yang membaca alquran. Bertambah kaget kerana hujah mereka terhadap manusia nommuslim bernama Nga Kor Ming (Setiausaha DAP Perak) ialah hamba Allah yang belum Islam itu, “orang bukan Islam itu dianggap biadap kerana membaca al-Quran, sedangkan dia tidak beriman!”

Emm…, kalau yang melenting marah sehingga meminta polis menyiasat Nga ialah persatuan murid-murid tadika Bukit Gantang mungkin dimaafkan kerana semua itu pandangan dan pemikiran kanak-kanak. Namun apabila yang berhujah dan membuat laporan polis ialah Badan Bertindak Perpaduan Melayu dan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) yang mestinya dipimpin oleh orang bersekolah tinggi, itu yang kaget. Lihat laporan di sini:
http://malaysiakini.com/news/101789 . Yang menambah kaget ialah Tuan Mufti Perak yang dianggap disegani oleh semua pihak juga membuat laporan polis. Lihat di sini: http://msomelayu.blogspot.com/2009/04/salahkah-orang-kafir-baca-quran-para.html

Persoalannya ialah: Salahkah orang bukan Islam membaca ayat al-Quran dan kemudian menterjemahkannya dalam bahasa yang dia dan khalayak memahaminya. Dikatakan hamba Allah yang belum Islam itu salah menyebut kalimah al-Araf. Hanya kerana itu dia wajib disiasat, kemudian didakwa dalam mahkamah atas sesuatu tuduhan menghina Islam!

Alangkah ngerinya pemahaman Islam oleh segelintir elit Melayu dan muslim. Rupa-rupanya mereka cukup anti jika ada orang bukan Islam mendekati al-Quran. Dengan kedudukan persatuan dan jawatan penting itu, mereka sedang membina tembok (mungkin sekukuh Tembok Berlin) pemisah antara orang Islam dan bukan Islam mengenai al-Quran.

Mungkin selepas ini kumpulan ortodoks Islam ini akan mempengaruhi pula Kementerian Pelajaran agar Mata Pelajaran Tasawur Islam tidak ditawarkan kepada murid bukan Islam mengambilnya dalam peperiksaan. Tentulah alasannya sama seperti terhadap Nga iaitu, murid itu tidak beriman kepada al Quran. Tambah hujah lagi, murid itu mengambil mata pelajaran Tasawur Islam hanya untuk lulus periksa. Mungkin ini akan berlaku, jika khalayak menerima pendirian dan tindakan puak-puak tersebut.

Inilah akibatnya apabila taksub dengan ayat: Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Apabila ada seruan tajdid untuk mengajak kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah manhaj Salaf, dikatakan ‘pandai-pandai’. Membuat tembok kepada orang belum Islam terhadap al-Quran itu manhaj apa?

Ahad, April 05, 2009

APAKAH keraguan itu Islah (Bahagian 4)

Oleh: Saiful Islam

DALIL YANG MENGUNDANG KERAGUAN

Sekiranya kita masih mahu mencontohi Pencerahan Barat, maka kita perlu berhenti sejenak untuk merenung kesimpulan Eropah terhadap tradisi Pencerahan itu.

“REASON PROMOTES DOUBT”

Seruan kita kepada masyarakat agar mereka mencari sandaran hujah kepada setiap urusan agama, tidak pernah dinafikan keperluan dan kebaikannya. Tetapi ia haruslah bersesuaian dengan keupayaan masyarakat untuk mengatasi keraguan itu. Jika kita hanya rancak menggalakkan keraguan, ia akan mengundang keresahan (anxiety) masyarakat dalam beragama. Ironinya, Eropah juga mengalami era yang disebut sebagai the Era of Anxiety. Daripada usaha murni mahu membetulkan masyarakat, ada sesuatu yang tidak kena hingga umat Islam hari ini, ditimpa keresahan, the Era of Anxiety. Keresahan Sosial (Social Anxiety) itu adalah "an experience of fear, apprehension or worry regarding social situations and being evaluated by others". Maksudnya, "mengalami ketakutan, kekhuatiran atau kebimbangan berkaitan situasi masyarakat apabila sentiasa merasa dinilai oleh orang lain".

Sahihkah agamaku selama ini?

Bagi penuntut agama, yang dekat dengan ilmu sumber buku, internet medan debat, mungkin ada yang ketawa bila masyarakat bertanya begitu.

“Hah, memang patut pun begitu. Senang hati sahaja mereka selama ini. Tak peduli sama ada amalan itu sunnah ke bid’ah”, ulas seorang pendakwah di sebuah kampung.

Komen seperti itu sesuai untuk suasana persekitaran yang kaya ilmu dan maklumat. Tetapi untuk seorang pendakwah yang menjenguk kampung sebulan sekali dan kemudian melontarkan keraguan terhadap keberagamaan penduduk kampung itu, ia mengundang RESAH.

Mampukah pakcik-pakcik di kampung menelaah sendiri kitab Rijal untuk mengenal kredibiliti perawi hadith? Mudahkah untuk penduduk kampung memberhentikan bacaan Yasin pada waktu-waktu tertentu dan digantikan dengan surah yang lebih afdhal atau amalan yang lebih bersandaran?

Persoalan seperti ini tidak bermaksud menggesa pendakwah memberhentikan kerja Islah dan memurnikan keagamaan masyarakat. Tidak sama sekali. Tetapi ia lebih kepada menyeru pendakwah agar lebih bertanggungjawab terhadap dakwah mereka. Jangan hanya membuat persiapan ceramah pada tahap melontarkannya kepada ahli masjid. Tetapi perlu juga difikirkan sama, bagaimanakah kesan lontaran itu? Jangan pula kemungkaran yang mahu dihapus, menimbulkan kemungkaran dan mudarat yang lebih besar dan di luar kawalan (out of hand).

Saya berpendapat secara peribadi, gerakan Islah bermanhajkan apa yang disebut sebagai aliran Salafi di Malaysia ini, bergerak melebihi had laju yang mampu ditampung oleh sebahagian masyarakat kita. Sebahagian yang mampu itu mungkin berada di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Georgetown malah Kangar dan Seberang Jaya. Tetapi pendakwah perlu sedar bahawa ada sebahagian penduduk kampung seperti Kampung Changkat Larang, Kampung Tengah dan Kampung Teluk Sira yang keresahan. Pendakwah datang berkuliah sebulan sekali, meninggalkan penduduk kampung dalam keraguan terhadap keseluruhan agama mereka selama ini.

Di surau pakcik saya di Ipoh, orang-orang tua mengeluh, "kami pun dah pening kepala. Datang seorang ustaz, marah kami berqunut. Datang seorang ustaz yang lain, tegur kami sebab kami tak berqunut. Rasanya lebih baik kita batalkan sahaja aktiviti kuliah subuh sebab ada sahaja masalah yang timbul".

Inilah keresahan sosial yang saya maksudkan.

MEMATIKAN KESUNGGUHAN MENCEGAH MUNGKAR

Kita sukar untuk bertindak sepenuh hati terhadap perkara yang dijangkiti keraguan. Berbelah bagi... menyukarkan tindakan. Keraguan menghalang hidayah. Kerana itulah di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa al-Quran ini hanya boleh menjadi petunjuk kepada ahli taqwa, jika al-Quran itu diterima tanpa ragu (Al-Baqarah: 2)

Al-Mutanabbi juga pernah berkata:

إذا كنت ذا رأي فكن ذا عزيمة
فإنَ فساد الرأي أن تترددا
“Jika kamu mahu menjadi seorang yang berpandangan, maka jadilah seorang yang berpendirian. Sesungguhnya kerosakan pandangan itu, adalah apabila kamu berbelah bagi”

Masyarakat hari ini berhadapan dengan pelbagai kemungkaran. Ada kemungkaran yang berlaku di kalangan orang ramai, banyak pula yang dipelopori oleh pemerintah dan penguasa. Cara hidup Islam semakin terperosok di dalam lipatan sejarah, dan generasi hari ini semakin memandang asing kepada Islam. Gejala murtad merebak seperti selsema dan batuk kering.

Untuk umat ini bangun dan berdepan dengan kemungkaran ini, mereka perlu kepada keyakinan yang tinggi terhadap garis pemisah di antara Islam dan Jahiliyah. Seumpama seorang yang sedang ghairah berceramah tentang hutang dan keburukannya, tiba-tiba dewan ceramahnya didatangi oleh pegawai bank tempat beliau sendiri berhutang. Tentu sahaja hilang yakin dan ceramah pun menurun kualiti dan keberkesanannya. Pejuang Islam mesti berani dan yakin dengan perjuangan Islamnya.

Tetapi kebelakangan ini, gerakan Islam menjadi salah satu subjek asakan gerakan Salafi. Asas perjuangan mereka dikritik, kefahaman mereka terhadap perjuangan dipersoalkan, kesahihan dakwah mereka dipertikaian.

Jumaat, April 03, 2009

MADRASAH Muhammadiyah Sabak Bernam


DALAM buku sejarah peringkat menengah rendah ada dipaparkan foto sebuah bangunan madrasah yang berjasa kepada dunia pendidikan orang Melayu sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Itulah Madrasah Muhammadiyah al Diniyah yang disiapkan pembinaannya pada tahun 1937 di Batu 40 Sabak Bernam Selangor. Madrasah ini pembinaannya dibiayai sepenuhnya oleh Penghulu Mukim Sabak pada tahun berkenaan iaitu Haji Muhammad. Salasilah Haji Muhammad masih dapat ditemukan kepada keluarga diraja Sultan Selangor. Fakta-fakta ini saya temui daripada cucu Haji Muhammad, iaitu Encik Moohd Hatta bin Haji Abdul Hamid, 58 tahun pada 2 April 2009. 

Menurut Encik Mohd Hatta lagi pelan madrasah memang idea asal Haji Muhammad dan kontraktornya seorang keturunan Cina bernama Ah Doi dari Pulau Pinang. Madrasah ini yang menelan belanja RM15,000.00 disiapkan pembinaannya dalam masa dua tahun. Semua kayu untuk membina madrasah ini dari balak yang ada di Sabak Bernam, manakala semua pasir dan simennya didatangkan dari Pulau Pinang. Bangunan madrasah ini setinggi tiga tingkat, dengan tingkat tiga merupakan ruang melaungkan azan. Tingkat kedua merupakan dewan solat manakala di bawah adalah ruang kelas pengajian. Di tingkat dua terdapat beranda dan ukiran tradisi Melayu.



Dalam tahun 1950-an DYMM Sultan Selangor Tuanku Hishamuddin telah merasmikan Madrasah Muhammadiyah al Diniyah. Nama Muhammadiyah adalah bersempena nama Haji Muhammad sendiri. Sejak ditubuhkan pada tahun 1937, madrasah ini menjadi pusat pendidikan Islam terawal di Sabak Bernam. Penghulu Haji Muhammad telah membawa guru-guru agama dari Bukit Mertajam seperti Ustaz Salleh. Ustaz Sulaiman Bin Haji Sood, Sheikh Ali Balidram, Sheikh Ahmad Balidram dan Ali Yamami datang dari Pulau Pinang manakala Ahmad Darmawi dari Bagan Serai Perak.

Pada zaman selepas merdeka antara guru yang terkenal mengajar di madrasah ini ialah Haji Yunus. Haji Abdul Hamid bin Haji Muhammad dan Haji Salleh bin Haji Muhammad merupakan dua orang anak Haji Muhammad yang menjadi guru di sana. Madrasah ini mempunyai kaitan dengan Madrasah al Masyhoor yang terkenal di Pulau Pinang. Hal ini dibuktikan dengan Kehadiran Sheikh Hussein Kafeek yang bertaraf Nazir menjadi pelawat dan pemantau pendidikan di Madrasah Muhammadiyah al Diniyah.

Pelajaran yang diajarkan di madrasah ini ialah hal berkaitan dengan pendidikan agama Islam seperti pembacaan al-Quran, Tafsir al Quran dan Hadis dan Bahasa Arab. Antara tokoh yang dapat dikesan pernah mendapat pendidikan di madrasah ini ialah mantan Imam Besar Masjid Negeri Perak, Haji Mohd Nor bin Mansor.

Madrasah Muhammadiyah al Diniyah terus berperanan sebagai pusat pendidikan Islam di Sabak Bernam sehingga Jabatan Agama Islam Selangor membina sebuah Sekolah Agama Menengah Batu 40 berhampiran dengan madrasah ini untuk menampung jumlah murid yang banyak. Oleh itu mulai tahun 1980-an peranan madrasah Mauhammadiyah al Diniyah sebagai pusat pendidikan Islam untuk murid-murid terhenti. Di balik itu madrasah ini masih berperanan menjadi pusat pendidikan kepada remaja dan orang dewasa yang tidak mengikuti pelajaran secara formal di sekolah kelolaan jabatan agama.

Hari ini Sekolah Agama Menengah Muhammadiyah telah dimodenkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dengan sistem pendidikan terancang merangkumi pendidikan akademik dengan nama Sekolah Agama Integrasi Muhammadiyah di Batu Satu Tebok Pulai, tidak jauh dari Batu 40 Sabak Bernam.

Bangunan dua tingkat Madrasah Muhammadiyah al DIniyah masih utuh dengan senibina Melayu yang dibanggakan. Hari ini madrasah ini menjadi pusat pendidikan Tahfiz al-Quran dengan 10 orang murid.

Diharap Jabatan Muzium Negeri Selangor dapat mengambil inisiatif untuk mewartakan bangunan madrasah ini sebagai khazanah Negara yang mempunyai nilai sejarah. Tidak dapat dinafikan bahawa madrasah inilah satu-satunya bangunan bersejarah yang berjasa kepada pendidikan orang Melayu berpuluh-puluh tahun sebelum pemodenan sekolah seperti hari ini.


Beberapa foto berkaitan dalam http://kendedes.fotopages.com/

Rabu, April 01, 2009

LEMAHKAH murid-murid Islam?

CARTA seribu makna, dan itulah yang dipaparkan dalam tulisan ini. Ya, apalah sangat dengan kejohanan olah raga yang memang setiap tahun diadakan. Sukan adalah kegiatan perlawanan dan kesihatan. Dengan sukan imej kekuatan institusi dan negara menjadi taruhan. Sebab itulah semua negara mahu mendapat sebanyak mungkin pingat emas di Sukan Olimpik. Kejayaan pingat di sukan berpestij adalah cermin pemikiran dan budaya rakyat.

Oleh itu bacalah bahawa sekalipun ini hanya sukan sekolah-sekolah, namun itulah cermin pemikiran, mental, pengurusan, tahap kewangan dan kesungguhan memenangi apa juga persaingan. Untuk apa memasuki pertandingan kalau bukan untuk memenanginya.

Apakah yang mahu difikirkan dengan data pada carta di atas? Perhatikan kedudukan sekolah-sekolah agama (SAM) dengan sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran (SMK). Saya tidak akan menulis perbandingan ini jika para ustaz selama ini mengatakan bahawa agama Islam hanya agama ritual, tidak ada kena mengena dengan kesihatan, kekuatan dan persaingan. Saya tidak akan gusar dengan imej ini jika para pemikir dan pendakwah tidak mempromosikan bahawa Islam adalah sejahtera dan penyelamat umah.

Selama ini ulama, ustaz dan ustazah sering berkata bahawa Islam adalah kekuatan, Islam paksi profesionalisme, Islam lambang keagungan, Islam segala-gala kejayaan dan kecemerlangan! Kerana Islam dikatakan sebagai satu cara hidup, maka banyak penggerak Islam mendesak ditubuhkan institusi Islam dari peringkat rendah, menengah dan tinggi. Kewujudan Sekolah Agama Menengah adalah sebagai memenuhi tuntutan yang dikatakan Islam adalah universal dan tempat berteduh yang abadi.

Dengan kewujudan sekolah berteraskan Islam tentulah secara lahiriahnya dapat dilihat semua sektor dalam sekolah-sekolah agama mencapai taraf jempolan! Nah apa jadi dengan semangat melawan murid-murid sekolah agama? Melawan apa? Tentulah dalam kegiatan sukan. Apa gunanya diceritakan mengenai kegigihan dan kesungguhan para pejuang Islam dahulu, kalau di atas padang semua murid Islam lembik!

Sebenarnya dengan angka-angka sifar pungutan pingat sukan, merupakan lambang ekonomi yang rendah, pengurusan yang lemah, tiada semangat juang dan banyak lagi masalah yang bersarang di sana. Nak marah, marahlah. Memang pedih dengan kritikan, tetapi itulah keadaan sebenar jika dibuat bandingan dengan sekolah-sekolah yang bukan dilabelkan agama Islam.

Jangan merungut dan marah jika lepasan sekolah agama hanya diberi peranan baca doa!