Pengikut

Khamis, Ogos 27, 2009

RAPATKAN saf mengikut sunah

KESEMPATAN masih Ramadan dan banyaknya orang solat berjamaah di masjid pada waktu malam, bagus diperhatikan bagaimana saf-saf solat mereka. Akan didapati banyak fesyen masing-masing berdiri dalam saf yang semua berfikiran dan yakin itulah berdirinya seseorang dalam saf solat berjemaah.

Ada yang renggang, terpisah dengan sahabat-sahabat lainnya. Kemudian ada rapat bersentuhan dan bukan asing pula melihat ruang kosong antara beberapa orang dalam saf, khasnya di bahagian belakang sekali. Bagus sekali jika melihat sunah dalam mendirikan saf dalam solat berjamaah ini. Daripada sahabat Jabir bin Samarah r.a, mengatakan Rasulullah bersabda (maksudnya), “Tidakkah kalian berbaris seperti para malaikat berbaris di hadapan Tuhannya?” Kemudian kami bertanya, “Bagaimana ya Rasulullah?” Maka jawab Nabi s.a.w. “Mereka menyempurnakan saf-safnya baris demi baris.” Hadis riwayat Muslim, Nasa’i dan Khuzaimah.

Kemudian untuk melihat lebih dekat kedudukan kaki dan bahu boleh diperhatikan hadis ini. Daripada Al-Nu’man bin Basyir r.a. berkata (maksudnya), “Dahulu Rasulullah menghadap orang banyak seraya berkata, ‘dirikanlah saf-saf (baginda mengulangnya sebanyak tiga kali). Demi Allah kamu meluruskan saf-saf kamu atau Allah mencerai-beraikan hati kamu. Al Nu’man berkata, “aku melihat seorang menempelkan (merapatkan) bahunya dengan bahu temannya, menempelkan lututnya dengan lutut temannya dan menempelkan mata kaki (buku lali)nya dengan mata kaki temannya.” Hadis riwayat Abu Dawud, Ibnu Hibban, Ahmad Hanbal dan al Daulabi.

Dalam satu kisah di sebuah masjid dengan poster berkenaan saf ini, menjadi perbincangan baik. Memang majoritinya cepat faham akan kesilapan dalam bersaf terutama sewaktu berdiri. Kata mereka, kaki dan bahu tidak rapat. Demikian secara fitrahnya dalam beragama kita menerima dalil dan hujah yang diberikan. Ada sedikit yang susah hendak menerima perubahan dengan alasan masjid yang luas dan tidak perlu rapat sampai bersentuh-sentuh. Itu hanya pandangan akal.

Tentulah puas hati kita jika dapat beramal dengan panduan dalil yang jelas, bukan dengan sangkaan fikiran semata-mata. Sesungguhnya Islam itu dibuktikan dengan amal, dan amal itu dikuatkan dengan dalil serta hujah. Maka Islam pun langgeng hingga akhir zaman.

3 ulasan:

  1. Syabas, diatas usaha tuan ini. Pekara begini nampak kecil tetapi besar kesannya apabila bercakap mengenai penyatuan ummah. Cuma ,ramai yang mungkin tidak peka dan ambil peduli.

    BalasPadam
  2. masaalahnya kita belajar mendirikan solat sendirian atau berjemaah melalui pembacaan sahaja tetapi para sahabat menunjukkan cara caranya melalui pratikalnya sekali.

    BalasPadam
  3. abang long... makasih ade ni... nk tampal kat masjid since makcik2 solat xnak rapatkan saf... letih dah nk kabo kat diorg...

    _amy anak eteh_

    BalasPadam