Pengikut

Memaparkan catatan dengan label kreatif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kreatif. Papar semua catatan

Sabtu, Mac 21, 2015

KEKASIH alam pencinta kelulut


TERNAK kelulut untuk madu!  Itulah yang unik di Min House Camp, Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan.  Mungkin ada yang sukar percaya kelulut yang begitu kecil dan membuat sarang di lubang-lubang kecil dapat menghasilkan ‘penawar’ seperti yang disebut dalam surah An-Nahl.  Terima kasih kepada Kak Yah selaku pengurus Min House Camp yang memberi ‘kuliah’ khas kepada saya berkenaan kelulut. Daripada kuliah itu, saya simpulkan bahwa penternakan kelulut bukan sahaja untuk penghasilan madu malah ada beberapa karenah (petanda) lain yang jarang diperhatikan.

Pertama: Orang yang menternak kelulut merupakan pencinta alam dan sangat menghargai kelestarian alam dan isinya sebagai anugerah Tuhan.  Nampak mudah untuk mengambil satu sarang kelulut dengan kuasaa kita sebagai manusia. Oh tidak rupanya. Satu kesalahan menebang pokok yang di batangnya ada sarang kelulut semata-mata untuk dibawa ke pusat penternakan. Lalu, dipastikan hanya pokok atau dahan yang dinilai sebagai sudah mati atau dalam proses pembuangan, jika ada sarang kelulutnya barulah boleh dipotong.

Tidak boleh dipotong dan terus dibawa ke tempat baru. Kita wajib menunggu semua kelulut masuk ke sarangnya supaya semua satu keluarga kelulut dapat dibawa pindah ke tempat yang kita inginkan. Jika sarang dipindahkan pada waktu siang, pasti ada ahli-ahli keluarga kelulut yang terpisah kerna belum pulang ke sarangnya. Tidak berperikemanusiaan jika kita membawa anak-anak kelulut dalam sarang sewaktu ibu-ibunya berpergian mencarikan makan untuk anak-anaknya. Maka kita mesti membawa pindah mereka pada waktu malam!

sarang kelulut dalam kotak papan yang tebal

Kedua: Tempat penternakan kelulut  pula mestilah sangat bersih daripada sebarang pencemaran. Kawasan itu mestilah terdapat cukup makanan kelulut seperti bunga-bungaan atau apa juga tumbuhan yang menghasilkan bunga.  Daripada bunga-bunga itulah kelulut mendapat madu sebagai makanan anak-anaknya.  Untuk memastikan udara bersih pastikan tempat itu bukan kawasan yang disembur racun serangga seperti ‘fogging’ semburan untuk membunuh nyamuk.  Juga bukan kawasan yang terdedah dengan pengapungan karbon monoksida daripada kenderaan bermotor.

Ketiga: Menternak kelulut adalah untuk manusia yang penyabar.  Mungkin ada yang mendakwa pengusaha kelulut mudah menjadi jutawan sebab madu seberat 230 gram dijual pada harga RM80.00.  Namun untuk mendapatkan madu seberat itu bukanlah mudah kerna ‘setor’ madu dalam sarang kelulut kecil, jauh lebih sedikit dibandingkan dengan setor madu lebah tualang misalnya.  Setiap sarang, selalunya akan diambil madunya tiga bulan sekali. Pengambil madu pula tidak boleh merosakkan sarangnya, jika mahu keluarga kelulut itu terus tinggal dalam kawasan yang disediakan.  Terlalu seni untuk melakukan kerja-kerja ini.

madu kelulut tulen yang dibotolkan seberat 230 gram

Keempat: Kita sebagai manusia sebenarnya ‘mencuri’ hak anak-anak kelulut. Seperti manusia mencuri susu pada lembu yang Tuhan sediakan untuk anak lembu, kita juga mencuri madu yang ibu-ibu kelulut sediakan untuk anak-anaknya. Oleh itu kita wajib tahu hak atau bahagian wajib madu untuk anak-anak kelulut berkenaan, dan mana yang kita sebagai manusia mahu mengambilnya.


Begitulah sebagaian yang dapat saya sampaikan. Rasa beruntung saya mengembara satu hari sejauh 460 kilometer dan sampai ke Min House Camp, menikmati penginapan dalam ‘hutan’ dan berguru hal yang sangat mengasyikkan.

Selain penernakan kelulut, Min House Camp merupakan tempat penginapan dan perkhemahan yang lengkap. Pembaca boleh menghubungi Pengurusnya, Kak Yah di talian 0139225440.

bengkel rumah kelulut

Isnin, Ogos 18, 2014

KEDAI elektrik milik jutawan Melayu

SAYA mungkin perkauman apabila resah melihat kurangnya premis perniagaan Melayu/Islam di kota-kota.  Dan apabila berada di Bandar Jengka yang hampir semua premis perniagaan di sana dimiliki oleh Melayu/Islam saya berasa syukur dan senang. Maafkanlah jika tuan-tuan tidak menyukai sikap saya.

Dahulu pada awal tahun 1990-an terdapat seorang anak muda dari Jengka yang mendapat ‘duit terpijak’ sebanyak satu juta ringgit melalui satu rancangan di TV. Tidak tahulah wang itu digunakan untuk membeli apa, namun khabarnya dia membuka perniagaan. Hari ini dia bersama saudaranya telah lama memiliki kedai barangan elektrik.  Tahniahlah, sebab mereka tidak mensia-siakan peluang perniagaan di sebuah bandar yang dikhaskan untuk anak-anak Melayu/Islam.


 Namun saya masih keciwa apabila melihat kedai elektriknya jika dibandingkan dengan kedai-kedai elektrik milik kaum Tionghua di mana-mana pun.  Bukanlah pertama kali ini saya membeli barangan elektrik di kedainya sekalipun sejak beberapa tahun dahulu saya sudah sedar mengenai ‘tidak syoknya’ kedai itu.  Tapi itulah, mungkin saya perkauman menyebabkan saya masih membayar kepadanya untuk mendapatkan jenis-jenis barangan elektrik.


Beberapa perkara yang pada pandangan saya sangat menyakitkan hati dan mata yang memandang. Pertama, susun atur barangan dalam kedai.  Di situlah barangan utama dipamerkan, disitulah kotak-kotak barangan stok dan kotak yang telah dibuka diletakkan.  Malah komponen barangan yang dibaiki juga diletakkan di mana ada ruang bahagian utama kedai.


Kedua, barangan utama yang dijual seperti TV, mesin basuh, kipas dan lain-lain memang berdebu.  Faham sajalah, jika susun atur barangan tidak tentu hala, bab debu tidak dihiraukannya.

Ketiga, tauke dan pembantu kedainya tidak kemaskini pengetahuan mengenai barangan yang dijual.  Mereka masih menggunakan sistem Astro lama yang menunjukkan gambar kabur apabila dipadankan dengan peralatan TV yang terkini.  Pembantunya pula seperti tidak mahir memulakan sistem TV yang saya pesan (saya membeli TV di sana).  Malah saya terpaksa ‘campur tangan’ meminta dia menukar beberapa set supaya mudah saya menggunakannya apabila dibawa pulang. Jangan haraplah dia menjadi pemudah cara kepada saya mengenai barangan baru dari kedainya.  Saya berkata sendiri, ‘tak mengapalah, saya boleh membetulkan settingnya nanti.’ Begitulah tebalnya ‘perkauman’ saya sehingga masih bertolak ansur di sana.



Catatan ini sepatutya dibaca sebagai satu teguran kepada peniaga Melayu/Islam agar berani bersaing dan kreatif untuk memajukan perniagaannya. Janganlah berfikir semua pelanggannya adalah berjiwa ‘perkauman’ Melayu/Islam seperti saya.  Satu masa mungkin saya akan berubah juga…, ke kedai Melayu/Islam lain yang mesra pelanggan dan ceria!

Isnin, Jun 15, 2009

KESIKAL si Marham juara





TIGA foto di atas hanya membuka cerita seorang anak desa yang sarat dengan idea kreatif dan tak pernah jemu untuk berkarya. Perekanya Sdr Marham bin Dollah Kanan, tinggal di Kg Sepintas Sabak Bernam Selangor. Kerana dia tidak ada kemudahan komputer dan IT, maka dia meminta saya menguruskan kemasukan ke pertandingan inovasi negeri Selangor secara online. Saya pun tergesa-gesa pula membuat PDF untuk menghantar abstrak bersama tiga foto itu. Boleh rujuk web pertandingan itu http://www.fesstis.com/ .
Kemudian saya mendapat balasan emel daripada penganjur yang mahukan Sdr Marham menghubunginya untuk tujuan pameran. Saya pun tidak tahu, status pameran itu. Saya terus menghubungi Sdr Marham berkenaan itu. Kebetulan masuk cuti sekolah, saya membawa anak-anak berjalan jauh dan apabila Sdr Marham meminta tolong menaipkan surat rasmi, saya tidak dapat menolongnya.
Tup-tup 13 Jun 2009, saya dapat mesej daripada sepupu yang tinggal di Kelang memaklumkan KESIKAL (Kenderaan Basikal) yang dibawa dan dipamerkan di pertandingan itu menjadi juara! Saya telefon Sdr Marham, terasa dia sangat gembira. Saya sangat berharap kemenangan ini dapat menjadi titik tolak nasib hidupnya yang memang bergantung sangat kepada kerja-kerja teknikal. Tinggal di kampung dan kekurangan modal, apalah sangat untuk menjadikan dirinya kaya dengan hasil rekaan. Harap apabila sudah berjaya ini, pihak yang berkenaan tidak menamatkan cerita hasil rekaan di situ sahaja.
Sdr Marham sedia menerima tempahan pelbagai jenis kenderaan untuk OKU berdasarkan kesesuaian. Yang berminat boleh menghubungi beliau 013-3395834 atau 017-3793287.
Sebelum itu saya telah memuatkan hasil rekaan Sdr Marham dalam http://kendedes.fotopages.com/ . Sila berkunjung ke sana.