Pengikut

Memaparkan catatan dengan label sosial. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sosial. Papar semua catatan

Selasa, Januari 31, 2012

12 tahun penjara, nilai cintamu!


SEORANG remaja perempuan berusia 19 tahun, jika meneruskan persekolahannya sedang berada di Tingkatan Enam Atas.  Jika sedang mengikuti mana-mana kursus di kolej, dia sedang berada di semester dua Tahun Pertama  pengajiannya.  Media melaporkan seorang perempuan 19 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM5000.00 oleh sebuah Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor.


Dia didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 309B yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun  dan denda jika sabit kesalahannya.

Dia dituduh menyebabkan kematian bayi yang dilahirkannya dengan cara mencampakkan bayi itu dari tingkat dua rumahnya di Selayang Segar.  Oleh kerana dia telah mengaku bersalah, iaitu tidak melalui perbicaraan maka dia tidak membuat rayuan terhadap hukuman oleh Mahkamah Sesyen itu.  Lagi pula dia tidak diwakili mana-mana peguam.  Ini bererti dia hadir ke mahkamah dengan menyerahkan sepenuh nasibnya kepada keputusan hakim.

Cerita pembuangan bayi sudah menjadi kebiasaan sekalipun semua catatan berita itu amat menyedihkan dan mengundang amarah masyarakat.  Gadis malang itu juga adalah sebagian masyarakat yang sebelum mengandung (tentu) pernah berkali-kali mendengar atau membaca berita bayi dibuang di pelbagai tempat kerana kehadiran bayi itu membawa malu besar.  Saya pasti asalnya dia tidak menduga akan menjadi pelaku ‘tidak berperikemanusiaan’ itu, namun takdir menentukan dia salah seorang pelakunya.

Saya yakin dahulu semasa bersekolah, dia juga pernah mendengar penjelasan guru-guru mengenai kes pembuangan bayi.  Jika dijadikan tajuk karangan, kes pembuangan bayi boleh dilihat daripada pelbagai aspek seperti sebab-sebab dan kesan kejadian.  Tentu dia juga pernah tahu melalui pendengaran dan perbincangan sumbang-saran sesama rakan di kelas, antara punca pembuangan bayi itu ialah mengandung tanpa nikah.  Tentu saja dia mengetahui bahawa mengandung tanpa nikah itu boleh terjadi melalui persetubuhan haram (zina) dengan kekasih atau menjadi mangsa rogol.

Jika dahulu semasa bersekolah dia bertanya guru mengenai tindakan yang patut dilakukan sekiranya menjadi mangsa rogol, jawabannya ialah melaporkan kepada polis supaya si pengganas itu boleh dihukum penjara  dan denda.  Perogol boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan 24 kali sebatan!  Namun saya agak, jarang sekali pelajar perempuan yang bertanya mengenai cara yang patut dilakukan sekiranya hamil hasil perzinaan.  Oleh itu, cara mengatasi masalah hamil di luar nikah, dia mendapati melalui laporan media iaitu: Setelah usaha menggugurkan kandungan gagal (mungkin takut), maka lahirkan bayi itu secara sembunyi dan buang di mana saja asalkan bayi itu tidak ditemui di sisinya.

Saya yakin, ketika saya sedang mencatat tulisan ini dia sudah berada dalam penjara wanita di Kajang.  Dia akan bermukim di sana selama 12 tahun, atau 12 kali hari raya!  Hari ini umurnya 19 tahun, kelak apabila umurnya 31 tahun barulah dia dibebaskan sebagai manusia biasa.

Apakah punca kehidupan yang sangat tragis ini kepada seorang remaja perempuan yang sewaktu kecil bermanja dengan ibu bapanya.  Sewaktu bersekolah begitu ceria dengan rakan-rakan.  Kini dia akan menjadi seorang banduan.  Oh Tuhan…

Jawaban daripada saya ialah CINTA!  Cinta itulah yang memerangkap dirinya sehingga merasa ‘perlu sangat’ mempunyai teman lelaki.  Cinta itulah yang menyebabkan dia bertemu saja-saja buat pertama kalinya.  Apabila dinasihati oleh orang lain, dia pasti akan menjawab, “kami tak buat apa-apa.”  Cinta itulah yang merelakan dirinya dibelai manja oleh teman lelakinya dan dia merasakan betapa nikmat dan bahagianya menempuh percintaan.  Buat sementara, cinta itu jugalah yang menyebabkan 12 tahun kehidupan masa mudanya di balik tembok batu.  Itulah cerita pengorbanan cinta.  Teman lelakinya mungkin setia menunggu 12 tahun di luar tembok sebagai setia cinta. Mungkin saja!

Khamis, September 08, 2011

AKIDAH orang mati kemalangan jalan raya


SETIAP kali musim perayaan pihak kerajaan melalui Jabatan Polis melaksanakan Ops Sikap.  Operasi yang terkini ialah siri ke-24.  Ops Sikap sempena Hari Raya tahun 2011 ini berakhir pada 9 September 2011, namun pada hari ini (8 september) sudah ada rekod 280 kematian akibat kemalangan di jalan raya.  Ertinya, untuk sehari terakhir pasti akan ada lagi pengguna jalan raya yang bakal menjadi arwah. Siapa? Mungkin kita antaranya, cuma menunggu masa yang akan tiba! 

Begitulah rekod setiap kali Ops Sikap dengan purata kematian selama 15 hari itu ialah 250 kematian.  Pihak kerajaan atau NGO sudah tahu sangat punca kemalangan maut yang sudah menjadi berita biasa di Malaysia. Punca utamanya ialah sikap pengguna. Teras sikap pengguna yang teruk itu ialah melanggar peraturan jalan raya.  Jika peraturan hanya membenarkan pemanduan maksimum 80 km/jam, maka pemandu memandu lebih daripada hadnya.  Jika lampu trafik merah tanda semua wajib berhenti, ada pemandu yang terus memandu tanpa menghirau apa warna pun.  Jika dilarang memintas di garisan kembar, di situlah pemandu menunjukkan kehandalan melanggar undang-undang. Yang mengantuk masih terus memandu kenderaan.  Yang menunggang motorsikal kerap menunggang  dengan cara yang membahayakan diri dan orang lain, tetapi kepada mereka itulah kepuasan menunggang motorsikal sekalipun melanggar undang-undang jalan raya!


Polis Trafik telah mengeluarkan  statistik kematian akibat kemalangan di jalan raya, iaitu purata 18 orang mati (segera) kerana kemalangan kenderaan.  Oleh itu dalam sebulan mesti 540 orang mati di atas jalan, dan setahun jumlahnya menjadi 6480 orang.  Jika 10 tahun, jumlah yang mati kemalangan di jalan sebanyak 64, 800 orang.  Dengan jumlah itu, hampir semua keluarga di Malaysia mempunyai wakil kematian akibat kemalangan jalan raya.  Jika bukan ayah dan ibu, mungkin adik-beradiknya. Jika bukan saudara kandung, mungkin saja sepupu atau anak saudaranya.

Persoalannya, bolehkah masalah ini diatasi oleh sistem Islam?  Sistem Islam ialah berasaskan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi.  Ada yang memberi senyum sinis apabila persoalan akidah dikaitkan dengan cara pemanduan kenderaan di jalaan raya.  Jangan lupa, akidah adalah pintu masuk seseorang dalam Islam dan akidah yang sejahtera pasti membentuk peribadi seseorang termasuk ketika menggunakan jalan raya.

Ada yang sudah ‘bosan’ dengan kes langgar undang-undang jalan raya sehingga mereka mengatakan “undang-undang Allah pun dilanggar, inikan pula undang-undang manusia”.  Adakah melanggar undang-undang jalan raya seperti yang terkandung dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 merupakan perbuatan harus atau haram di sisi Allah?  Memang kandungan akta berkenaan langsung tidak tercatat dalam al-Quran mahupun hadis sahih nabi.

Asasnya ada pada surah An-Nisa ayat 59 (maksudnya): Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah, Rasul (Muhammad) dan Ulil Amri (pemerintah) di antara kamu……”

Berdasarkan al-Quran, orang-orang beriman wajib mentaati pemerintah dalam negara.  Pemerintah diberi amanah mengurus negara dan rakyat, maka dikeluarkan peraturan atau undang-undang termasuk undang-undang jalan raya untuk menjaga keselamatan dan kebajikan pengguna-penggunanya.  Sebagai rakyat muslim yang beriman, wajib patuh undang-undang jalan raya kerana itulah arahan Allah.  Arahan Allah ialah ‘taatilah Ulil Amri’ atau pemerintah.

Mengingkari undang-undang dalam akta berkenaan bererti ingkar terhadap seruan Allah supaya kita patuh kepada undang-undang dibuat oleh pemerintah.  Bukankah ingkar arahan Allah bererti rosak akidahnya?  Sebab itulah, mereka yang akidahnya sejahtera pasti terpancar pada keindahan perilaku kehidupannya termasuk cara mereka menggunakan jalan raya.

Sengaja-sengaja melanggar undang-undang jalan raya (yang dibuat oleh pemerintah) merupakan satu pemberontakan terhadap arahan Allah dalam ayat di atas.  Kes masyarakat kita tidak begitu faham dosa melanggar arahan Allah sama juga seperti tidak berapa kisah ingkar arahan supaya solat.  Namun, arahan Allah yang paling ditaati ialah ‘tidak memakan babi’.  Oleh itu, jika masyarakat dapat diubah kepada memahami penggunaan jalan raya termasuk perkara antara halal dan haram, sikap yang ‘sombong’ terhadap undang-undang jalan raya dapat dikikis sedikit demi sedikit.  Tambahan pula dengan data setiap hari 18 orang mati di jalan, wajiblah bimbang saat akhir hidup seseorang itu benar dalam kebaikan atau keburukan.  Jika kita bimbang mati pada saat ingkar terhadap arahan Allah, wajiblah kita berjaga-jaga agar kematian di jalan raya bukan kerana ingkar arahan Allah.

Wallahu’aklam

Selasa, Mac 29, 2011

ORANG tak beriman adalah pendusta besar!


Rencana ini dimulakan dengan rakaman wahyu Allah dalam al-Quran.  Saban waktu kita diperingatkan mengenai al-Quran sebagai panduan hidup.  Moga-moga dengan peringatan antara sesama kita, bertambahlah rasa takwa kepada Allah.

Maksud firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 70-71: Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki amalan-amalan kamu dan mengampuni dosa-dosamu.  Dan sesiapa yang mentaati Allah dan rasul-Nya, sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.

Orang kerap mengatakan masalah kebobrokan sosial manusia adalah hal biasa pada akhir zaman, beberapa ketika dunia sebelum kiamat.  Oleh itu kerap didengar orang beralasan ‘inilah keadaan akhir zaman’ untuk menggambarkan rasa putus asanya.  Hal ini menggambarkan apabila berlaku keburukan yang luar biasa, orang banyak diajak menerima situasi itu sebagai ‘keadaan biasa akhir zaman’.  Mujur orang yang pandai berkata-kata itu tidak menyeru kita untuk menyertai pesta keburukan atas alasan ‘akhir zaman’.

Media massa kerap kali menyiarkan kenyataan orang-orang besar dan ternama.  Yang menjegilkan mata orang biasa adalah apabila orang saling naïf-menafi sesuatu isu atau perkara untuk menggambarkan dirinya tidak terbabit dalam hal kebobrokan.  Dalam satu isu besar,  misalnya si A mengatakan si B yang melakukan.  Kemudian si B menafikan tuduhan itu.  Dalam hal lain, ada perkara benar telah berlaku dan amat memalukan.  Misalnya si C mengaku tahu hal itu melibatkan si D, namun si D menafikan pula.  Banyaklah perkara bersimpang siur, diperkatakan banyak orang sedangkan tidak pasti apa sebenarnya.

Oleh itu kembalilah kepada ayat di atas, namun itu untuk orang-orang yang beriman.  Kalau tidak beriman….ya silakan untuk menambah pendustaan di merata-rata.   Kepada yang beriman, yang mengaku dan mahu taat sebagai muslim, tentu mahu berkata benar!  Berkata benarlah walau pahit, mungkin selepas itu kita mati. Titik!

Ahad, Mac 06, 2011

MENCARI pahala maulidur rasul


SEMUA orang yang beragama sangat mengharap pahala daripada Allah.  Secara umum, pahala itu merupakan ganjaran atau hadiah istimewa yang menjadi hak Allah untuk diberikan kepada sesiapa atas amal ibadahnya.  Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui bentuk dan gambaran pahala itu.  Maka jelas semua sependapat bahawa soal pahala (dan sebaliknya: dosa) adalah hal ghaib.  Dalam mana-mana amal ibadah, jika tidak dicatat apa dan berapa pahalanya, tidak ada sesiapa yang tahu apa dan berapakah pahala yang Allah akan berikan. Soal banyak dan sedikit pun, jika tidak ada firman Allah dan sabda Nabi, tiada siapa yang tahu soal pahala itu.

 foto hanya hiasan

Allah dan nabi-Nya pula memberi pemahaman yang mudah kepada manusia untuk mengetahui ajaran agama.  Justeru, akan ditemui istilah dan angka yang biasa difahami oleh manusia untuk menggambarkan hal ghaib seperti bilangan pahala di sisi Allah.  Namun angka-angka itu bukanlah seperti menurut perhitungan manusia di dunia ini.  Semua hanya untuk memahami darjat di sisi Allah.  Lihatlah contoh firman Allah dan sabda Rasulullah berkenaan darjat atau nilaian pahala.

Maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 261: Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan (infak) hartanya di jalan Allah umpama sebutir biji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai,  pada setiap tangkai ada seratus biji.  Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui.

Daripada Imran bin Hussein (r.a.) berkata: ‘Seorang lelaki datang kepada Rasulullah (s.a.w.) dan mengucapkan “Assalamualaikum”, kemudian banginda Nabi menjawabnya dan ia (lelaki itu) duduk.  Baginda Nabi berkata “sepuluh”.  Kemudian datang orang lain dan mengucapkan “Assalamualaikum warahmatullah”.  Baginda Nabi menjawab salamnya kemudian ia (lelaki itu) duduk.  Baginda Nabi berkata “dua puluh”.  Kemudian datang orang lain dan mengucapkan “Assalamualaikum warahmatullahi wabaharakatuh”.  Baginda Nabi menjawab salamnya, dan ia (lelaki itu) duduk.  Baginda nabi berkata “tiga puluh”.

Baru-baru ini dua kali orang yang diberi gelar mulia iaitu ustaz memberikan ‘jaminan’ bahawa menganjurkan majlis maulidur rasul mendapat banyak pahala.  Malah seorang yang mengaku sudah menjadi selibriti TV Hijrah mengatakan, “kalau majlis ini tidak ada pahala, tidak perlu kita melakukannya. Selama ini kita melakukan amal kerana kita telah yakin adanya pahala.”

Seperti biasa dan sejak dahulu, saya diajar memahami yang majlis maulidur rasul mendapat ‘kelebihan’ di sisi Allah.  Susah saya hendak melepaskan pemahaman bahawa maksud banyak pahala dan yakin ada pahala merupakan pahala yang banyak lebih daripada biasa. Malangnya sejak dahulu juga saya tidak pernah dimaklumkan firman Allah dan sabda Nabi yang menjelaskan lebih banyaknya pahala sebagaimana contoh dua di atas.

Akhirnya saya cenderung membuat kesimpulan  bahawa banyak pahala dan yakin ada pahala hanya andaian semata-mata.

Mengapa saya tulis hal ini (banyak orang yakin ini soal kecil)?  Jawabnya ialah tidak mahu ada orang yang dengan mudah membuat kenyataan yang selama ini difahami menjadi hak Allah dan rasul-Nya.  Secara jujur, adakah sesiapa yang ikhlas beragama akan sengaja mendakwa berapa jumlah pahala solat subuh, berapa pula pahala solat Isyak dan sebanyak mana pula pahala solat Jumaat?

Oleh itu, kepada yang sudah tidak boleh mengundurkan diri daripada melaksanakan majlis maulidur rasul itu, lebih elok difahami sebagai majlis keduniaan yang sama taraf dengan majlis ceramah agama biasa yang tanpa bersempena apa-apa.  Jadilah itu sebagai majlis ilmu yang tidak ada siapa pun berani mendakwa berlebih-lebih gandaan pahalanya.

Wallahu aklam

Khamis, Mac 03, 2011

AKHIRNYA saya berjiran tetap dengan bukan Muslim


MULAI tanggal 1 Mac yang lalu saya sekeluarga berpindah ke rumah sendiri yang jaraknya daripada rumah sewaan selang sebuah rumah saja.  Tidak ada bedanya dengan rumah yang sebelumya kecuali status rumah atas nama sendiri.  Kebanyakan orang Melayu Muslim suka jika berjiran tetangga dengan sesama Melayu Muslim atas sebab-sebab yang sedia dimaklumi.  Saya dengan sedar memilih sebuah rumah di tengah-tengah kawasan yang penghuninya kaum Tionghua, bukan Muslim!


Sejak saya menjejak di kawasan perumahan di pekan Sabak itu  pun yang menjadi jiran untuk ‘melihat-lihat’ rumah sewa saya adalah keluarga Tionghua, yang kini sudah menjadi jiran sebelah kanan betul.  Sebelumnya juga saya menyewa rumah daripada kenalan baru, seorang Tionghua.  Kini dia sudah menjadi salah seorang yang akrab dengan saya sehingga masalah hal yang peribadi pun mahu dikongsikan dengan saya.

Apabila saya memilih sebuah rumah yang betul-betul dilingkungi pemilik-pemilik bukan Muslim tentulah saya sudah menjangka mengenai baik dan buruknya.  Dalam minda saya lebih banyak membuat persepsi mengenai kebaikan berjiran dan bersahabat dengan kaum Tionghua itu.  Sejarahnya, walaupun saya anak desa yang membesar dalam lingkungan budaya Melayu Jawa Muslim, bersekolah rendah dan menengah bercampur dengan kaum Tionghua dan India.  Paling menjadikan saya betah dengan budaya mereka apabila bertugas dalam organisasi yang majoritinya kaum berkenaan dan itu sama sekali tidak melunturkan kejiwaan saya sebagai Muslim dan Melayu.  Maka, kini tidak kekok terus berfikir mengenai sosialisasi dengan kaum bukan Melayu.

Moga-moga wahyu Allah surah al-Mumtahanah ayat 8-9 menjadi pedoman hingga akhir hayat ketika bersosialisasi dengan jiran tetangga bukan Muslim.  “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada yang tidak memerangi kamu kerna agama (kamu), dan tidak menghalau kamu dari kampung halamanmu.  Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.  Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerna agama (kamu), dan menghalau kamu dari kampung halamanmu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu, dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat,maka mereka itulah orang yang zalim.”

Rabu, Julai 07, 2010

MUNGKIN anak luar nikah itu menantu kita!

JUMLAH 257 ribu anak yang tidak dicatat nama ayahnya ada dalam daftar rakyat Malaysia. Data itu muncul antara tahun 2001 hingga 2008.  Angka ini juga telah secara rasmi diucapkan oleh seorang anak raja.  Tak banyak! Hanya lebih suku juta daripada 28 juta penduduk Malaysia.  Mereka akan membesar menjadi manusia dan kemungkinan besar ada antara mereka akan menjadi menantu kita!  Tak ada salahnya, sekalipun dianggap semua anak itu lahir atas hubungan lelaki dan perempuan luar nikah.  Yang salah ialah lelaki dan perempuan yang berhubungan secara gelap di luar nikah, maka lahirlah 257 ribu baby ……


Kepada umat Islam, kelahiran anak-anak luar nikah adalah kesan masalah sosial dalam masyarakat. Pergaulan bebas antara muda-mudi punca utamanya.  Norma masyarakat telah berubah daripada mengharamkan pergaulan bebas, kepada menerima secara sah sedikit demi sedikit hari demi hari.  Orang muda, kehendaknya terhadap yang berlawanan jenis sangat kuat dan panas.  Mudahnya mereka bertemu dan bercanda, itulah permulaan zina.  Zina tidak terancang inilah yang menambah penduduk Malaysia dengan 257 ribu baby yang comel-comel itu!

Punca pergaulan bebas apa?  Keluarga setuju begitu!  Punca keluarga setuju pergaulan bebas apa? Jiran tetangga dan sanak saudara kata ok saja!  Punca jiran tetangga dan sanak saudara menerima pergaulan bebas sebab apa?  Masyarakat berubah mengikut arus dalam dunia global! Kuno sangatlah, anak gadis keluar ke pekan memakai baju kurung!  Media memberi wahyu baru – seluar sendat tanda bahagia dan gumbira! Iklannya menggiurkan, ikon anak muda pun menunjukkan.  Perawan, kalau berseluar sendat mesti nampakkan seluar dalamnya!

Mengapa jadi begitu semuanya?  Orang kata tak ada pendidikan agama! Bohonglah..! Orang Melayu mana yang mahu anak-anak mereka tak tahu agama?  Sekalipun mereka jahil, tak tahu membaca quran, ,mereka akan hantar anak mereka belajar fardu ain.  Pusat fardu ain sudah menjadi lubuk duit pula.  Sekolah kerajaan pun apa kurangnya, dulu nama pelajaran ialah Pengetahuan Agama Islam diubah kepada Pendidikan Islam. Sekarang ada ujian amali fardu ain, bukan teori-teori lagi (yang murid bukan Islam pun boleh dapat A jika mereka mendaftar masuk untuk peperiksaan).  Sekolah rendah agama, jangan ceritalah hebatnya di Selangor dan Johor. Apa yang berzina dan dapat anak itu bukan anak Selangor dan Johorkah?

Bagi orang muda lain yang sama panas dan kemaruk cinta, mengapa agaknya mereka dapat bertahan?  Mengapa mereka tidak mahu terkinja-kinja dengan pakaian sendat bersama lelaki-lelaki perokok itu?  Mereka pun ada perasaan, dapat membayangkan rasa seronok dibuai kata cinta gelora asmara dana.  Ustaz kata, mereka ada akidah dan iman!

Itulah sebabnya yang membedakan antara orang yang berilmu dengan berilmu disertai akidah.  Daripada akidah, kemudian iman.  Kadang-kadang diperhatikan, orang yang mengaji akidah setiap minggu di masjid pun perangainya tidak banyak beda dengan yang tidak mengaji akidah.  Kalau diuji soalan: apa itu iman? Apa agaknya mereka jawab.

Keadaan ini semua merupakan krisis, yang bermula dengan kaedah pengajaran akidah.  Akidah Islam itu betul, hanya satu sejak zaman nabi.  Masalahnya ialah metodologi pengajaran akidah itu sangat kaku dan teoristik. Ertinya, pelajaran akidah itu lebih kepada pemahaman teori yang payah dibawa dalam kehidupan. Maafkan saya, mempelajari akidah bukan sekadar menghafal sifat-sifat Allah (yang dikatakan ada 20 sifat itu).  Akidah itu satu pengakuan yang membentuk kepercayaan.  Kepercayaan itu dibuktikan dengan kerja penghambaan kepada Allah.  Pengakuan-kepercayaan-penghambaan itulah yang mengubah manusia bernama Bilal bin Rabah dahulu menjadi manusia yang tinggi nilainya di sisi Allah.

Ahad, Julai 04, 2010

BLOG ini tidak ada pengaruhlah....

SAAT ini nama Anwar Ibrahim sedang diganyang untuk dilihat seburuk-buruk manusia dalam negara.  Mengapa begitu?  Jawabnya ialah kerana orang bernama Anwar Ibrahim boleh menyebabkan orang-orang yang hari ini senang-lenang memerintah Negara bakal merana kelak.  Maka, propaganda sedang ditiup supaya dia berbau busuk.  Kalau Anwar Ibrahim tidak membawa apa-apa macam saya, nama dia aman sebagaimana saya. 

Bacalah yang sebaliknya daripada kisah yang dipaparkan ya!


Kemasukan ustaz sebanyak 40 orang ke dalam Umno pun rupa-rupanya menggelisahkan orang.  Ada ulama dalam Umno sendiri yang berang dan menuduh mereka mempunyai agenda untuk menerapkan satu ideologi agama, bukan untuk menaiki tangga politik.  Maknanya, ulama tua itu sudah menghidu masalah dengan masuknya anak muda dalam Umno.  Ada blog yang pantas menyamakan 40 ustaz (kalau tak mahu memberi gelar ulama) sebagai 40 penyamun tarbus seperti dalam filem P Ramlee.  Mengapa begitu? Jawabnya ialah 40 orang muda itu selama ini memang sudah dikenali mempunyai pendirian tersendiri dan dimusuhi oleh pihak-pihak berkenaan.  Kalaulah ustaz-ustaz itu tidak berpotensi membawa apa-apa kesan dalam Umno dan kerajaan (tentunya fikrah agama), tak perlulah ada yang meraung-raung dengan menjual propaganda.  40 orang muda itu tentu ada bisanya tersendiri.

Bacalah yang sebaliknya daripada kisah yang dipaparkan ya!

Blog ini?  Saya pun tidak tahu menjejaskan siapa sehingga ada yang berminat untuk merosakkannya.  Emel saya juga diceroboh untuk merosakkan peribadi saya terhadap rakan-rakan.

Ahad, Mei 09, 2010

HUKUM merayakan Hari Ibu

SABAN tahun tanggal 9 Mei sudah diterima sebagai Hari Ibu seantero dunia.  Kecuali Nabi Adam dan pasangan Hawa, semua manusia lain ada ibu yang mengandungkan dan melahirkannya ke dunia.  Kelahirannya sama ada secara normal, atau melalui pembedahan.  Kalau melalui pembedahan, maka perut ibu dipotong untuk mengeluarkan bayinya. Sakitnya ibu!

Saya dilahirkan secara normal oleh perempuan bernama Hunainah bt Idris (foto). Dialah ibu saya.  Apakah hukum saya lebih banyak mengenang jasa ibu pada hari ini 9 Mei 2010?
Soal: Apa hukum memuliakan ibu pada hari ibu? Apakah di sana terdapat tegahan dari syarak untuk merayakan perayaan ini?
Jawab (Syeikh Faisal Mawlawi): Memuliakan ibu adalah dituntut sepanjang tahun sepenuhnya. Menghormati ibu, menuntut keredhaannya, berkhidmat dan berbuat apa sahaja kebaikan kepadanya adalah dituntut dengan tuntutan yang tegas (wajib) sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Perkara ini sudah diketahui umum oleh mana-mana manusia.
Cuma, orang-orang Barat menjadikan sebagai adat dan budaya dengan menetapkan satu hari dalam setahun untuk dijadikan sebagai Hari Ibu. Di mana pada hari itu anak-anak menghulurkan hadiah kepada ibu mereka untuk memuliakan dan sebagai tanda penghormatan.
Orang Islam pula, dari sudut syarak, tidak ada perayaan/hariraya melainkan Idul Fitri dan Idul Adha. Selain perayaan/hariraya ini, iaitu yang mengambil sempena sesuatu perkara, maka ia tidaklah lebih dari hanya sekadar merayakan sempena sesuatu itu sahaja. Contohnya, seperti apa yang dinamakan sebagai hari ibu, atau perayaan untuk peringatan sesuatu peristiwa tertentu.
Jika kita menganggap bahawa apa yang dinamakan oleh orang-orang barat sebagai hari ibu itu sebagai hari memuliakan/menghormati ibu hanya sebagai tambahan sahaja (kewajipan menghormati ibu telahpun siap kita laksanakan), maka di sana syarak tidak menghalangnya. Yang ditegah oleh syarak ialah jika perayaan berkenaan dianggap sebagai ‘id/perayaan dengan maksud syar’i. Begitu juga ditegah jika pembatasan menghormati dan memuliakan ibu hanya pada hari berkenaan sahaja. Jadi, jika dua perkara ini ternafi, maka tidak ada halangan untuk memuliakan atau menghormati ibu pada hari ibu.
Dilarang juga merayakan hari ibu kerana bertaklid kepada non muslim dan bertasyabbuh/menyerupai/meniru2 mereka.
Kita berpegang bahawa meniru-niru non muslim dan menyerupai mereka adalah tidak dibenarkan pada perkara-perkara yang khusus untuk mereka sahaja serta tidak mempunyai asas di dalam syariat kita. Adapun memuliakan ibu sebagaimana diketahui umum memang mempunyai asasnya di dalam syariat. Oleh itu, perkara ini tidaklah dapat dianggap sebagai meniru-niru/menyerupai non muslim yang ditegah.
Sumber: http://www.islamonline.net/livefatwa/arabic/Browse.asp?hGuestID=uQ3lCv

Jumaat, Februari 12, 2010

GONG xi fa cai 2010

SELAMAT Tahun Baru Cina.  Saya tahu yang membaca blog ini terlalu sedikit daripada keturunan Cina.  Dalam al-Quran surah al-Hujuraat ada menceritakan Allah menjadikan manusia bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya saling kenal-mengenal antara satu sama lain.  Maka TBC ini sebagian daripada budaya hidup bangsa dan keturunan Cina.  Di Malaysia, keturunan Cina merupakan etnik kedua banyak selepas Melayu. Maka wajar sangat orang Melayu (Islam) meneliti cara hidup kaum ini kerana dengan memahami cara hidup mereka memudahkan mengenali perwatakannya.  Dengan mengenali perwatakan dan tasawur hidupnya, memudahkan para duat menyampaikan dakwah Islam.

Dahulu saya mengangggap bahawa TBC adalah upacara agama Buddha. Tanggapan ini pun daripada ustaz yang mengajarkan dalam salah satu kuliah agama. Katanya kita dilarang berada dalam majlis TBC kerana dianggap turut merayakan agama lain.  Saya pun faham tafsir surah al-Kafirun itu: Bagi kamu agama kamu, bagai kami agama kami. Baru-baru ini pun seorang rakan saya yang memilih manhaj salaf masih beranggapan seperti itu. Tak tahulah, apakah setelah saya menerangkan TBC itu budaya bangsa, bukan agama, dia akan menerima atau tidak.

Jiran saya baru memberi saya kuih-muih kebesaran mereka.  Oh ya, semasa hari raya lepas, saya memberikan jiran saya ini (Keluarga Ong) kuih-muih Melayu.

Khamis, Oktober 15, 2009

APABILA pesakit menjadi produk dagangan


APABILA pelanggan tidak dianggap sebagai raja! Dalam teori perniagaan sepatutnya pelanggan dilayan sebagai raja, peniaga mengikut kehendak pelanggan, bukan sebaliknya. Hari ini saya tidak sihat, maka perlu berjumpa doctor. Untuk ke hospital di bahagian pesakit luar, pasti memakan masa dua jam kerana kesesakan. Itu dimaklumi dan semua faham.


Saya ke klinik swasta dengan harapan tidak menunggu sampai dua jam. Saya sampai jam 11.00 pagi, kena tunggu 30 minit, mengunggu giliran. Saya akur dan faham. Jam 11.30 pagi saya masuk ke kamar konsultansi dan mendengar nasihat doctor selama kurang 10 minit. Untuk menunggu mendapat ubat pun kena tunggu 20 minit, ikut giliran. Saya akur dan faham. Dalam giliran yang sepatutnya saya mendapt ubat, pembantu klinik melayan satu pelanggan yang baru masuk untuk sekadar membeli ubat. Maka saya kena tunggu selepasnya. Yang ini saya tidak faham.


Kemudian setelah ubat diterima, saya tanyakan surat cuti sakit. Maka pembantu tercari-cari yang katanya tiada. Doktor pula sudah keluar. Pembantu klinik berkata supaya saya menunggu sebentar sahaja, doctor akan masuk semula ke klinik. Dalam pada itu ada sepasang warga emas masuk untuk mendapat rawatan dan segera didaftarkan tanpa memberitahu doctor tiada dalam klinik. Maka dua warga emas itu pun seperti saya menunggu orang sihat si doctor.


Apabila saya sudah kepanatan, sejam lebih dalam klinik yang tidak sibuk mana, saya tanya lagi, “lama lagikah saya kena tunggu?”


Jawab si pembantu klinik, “sekejap lagi…, kalau encik nak balik boleh, nanti datang semula untuk ambil surat cuti.”


Barulah dua warga emas tahu tidak ada doctor, dan yang lelaki memberitahu bahawa kalau tahu tidak ada cari klinik lain, yang sedia ada doctor! Itu adalah hak pengguna, kan?


Moral pengalaman saya ini ialah orang di klinik melayan pasakit seperti orang sihat bugar segar dan betul-betul bermatlamatkan wang. Memang masuk klinik swasta kena bayar lebih mahal daripada klinik kerajaan. Namun klinik bukan macam kedai makan KFC yang pelanggannya suka ria sanggup berbaris setengah jam mandapatkan ayam gorengnya.


Saya yang sakit dipaksa mengikut rentak peniaga (doctor) yang sihat, sampai disuruhnya saya datang semula sekadar untuk mendapatkan sijil cuti sakit. Warga emas itu pula diperangkap menjadi pelanggannya sedangkan mereka yang sedang sakit wajib menunggu kehadiran doctor yang sihat. Itulah apabila pelanggan bukan diangap sebagai raja!


Akhirnya saya mendapat surat doctor itu jam 12.15 tengah hari dalam keadaan lemah. Badan macam bertambah sakit kerana deraan mental di klinik.

Jumaat, Oktober 09, 2009

MARAH membuak terhadap pencopet


TADI, selepas maghrib ketika saya dan keluarga sampai di pasar malam di pekan Sabak, sekonyong-sekonyong melihat seorang lelaki diburu beberapa anak muda. Lelaki burunon ini terpeleset, terjatuh lalu dikeroyok oleh pengejar-pengejarnya. Tampak seperti sadis, tapi itulah yang mesti dibayar oleh lelaki buronan apabila dia mengambil jalan nekad menjadi pencopet di tengah-tengah kesibukan manusia. Foto di atas ialah yang terdakwa sudah digari oleh polis.


Sebelum ini dalam media sudah acap dipapar nasib buruk mangsa copet, yang luka parah, yang hamil jadi keguguran, yang mati kerana kemalangan lain berpunca kerja si pencopet dan pelbagai. Maka saya perhatikan rasa geram dan marah orang kepada pencopet membuak. Itulah yang berlaku tadi.


Dengan terkesannya perasaan masyarakat terhadap kerja-kerja jenayah ini maka harapan baik masyarakat untuk bersatu membanteras kerja-kerja mungkar jenayah. Mengharap pasukan polis sahaja untuk menangani kejadian jenayah adalah kesilapan kerana pasukan polis sendiri sangat mengharap kerjasama masyarakat. Maklumat atau sumber-sember jenayah berada dalam kalangan masyarakat, bukan semua di sisi pasukan polis. Oleh itu masyarakatlah sebenarnya menjadi benteng dan pemberi maklumat terbaik kepada pasukan keselamatan.


Sebelum ini ada individu yang tercedera kerana terkena tembakan apabila secara sukarela membantu pasukan polis menangkap yang terdakwa pencuri. Ada insan mulia yang cuba menangkap pencuri di bangunan tinggi, lantas terpeleset dan jatuh lalu maut. Inilah antara lambang kegigihan dan pengorbanan anggota masyarakat yang bertanggung jawab bersama-sama menjaga keamanan negara. Salut untuk mereka!

Selasa, September 29, 2009

MARI beribadah di jalan raya

SABAN tahun musim perayaan idulfitri angka kematian di jalan raya memang tinggi antara 250 hingga 270 jiwa. Untuk musim terbaru pun angkanya 261 kematian dan kebanyakan yang maut itu adalah penunggang dan pembonceng motorsikal. Untuk rekod juga majoriti yang maut dalam tempoh dua minggu ini ialah orang Melayu beragama Islam.

Sejak lama hasil kajian mendapati punca terbesar kemalangan maut ini kerana sikap pengguna kenderaan di jalan raya. Lantaran itu saban tahun juga pasukan polis (PDRM) melaksanakan Operasi Sikap atau Ops Sikap. Dalam operasi ini banyaklah saman dikeluarkan untuk memberi peringatan, amaran dan denda kepada pesalah-pesalah trafik itu.

Persoalan yang tidak terjawab: Bilakah masalah kematian di jalan raya kerana sikap pengguna dapat dihentikan? Tidak ada siapa dapat menjawabnya kerana umum mengetahui bahawa kelakuan para pemandu dan penunggang kenderaan ini masih sukar untuk disiumankan. Sekalipun ancaman maut sentiasa terbuka luas, para pemandu memang berstatus ‘berani mati’.

Cuba anda menjadi pemandu ‘jujur’ terhadap undang-undang jalan raya. Anda akan mendapati seperti ketinggalan dan sangat hina kerana sering dipintas beratus-ratus kali dalam perjalanan jauh. Anda berasa seperti sangat lama berada dalam giliran kerana banyak kenderaan akan menyusuri apa saja ruang untuk maju dan mendahului semua kenderaan yang berbaris.

Kemudian perhatikan anak-anak muda Melayu Islam menunggang motorsikalnya. Lebih baik anda mengalah dan memberi ruang kepada terjahan motorsikalnya supaya umurnya sempat mencecah 40-an. Moga-moga selepas usia itu kegilaannya mempamer aksi maut berkendur. Secara tidak langsung anda membantu keluarga mereka agar terus senang iaitu tidak bersedih dengan kematian anak jantannya yang sangat diharap sumbangannya.

Mengapa keburukan ini berlaku? Jawabnya tidak ingat hari akhirat atau mati. Dalam alquran banyak nian Allah menawarkan sesuatu kepada manusia dengan satu syarat ‘kalau benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat’. Sangat sedikit yang mahu benar-benar merasakan saat kematiannya sudah dekat di tenggorokan. Maka sangat sedikitlah pengguna jalan raya yang berwaspada untuk mengelak kematian mendadak itu. Sejahat-jahat manusia, kalau tahu usianya akan berakhir, pasti kelakuannya menjadi syahdu dan sangat mengharap Tuhan membalas dengan kebaikan. Perhatikan orang yang pasti akan menghadapi hukuman mati, yang menghidap sakit AIDS dan barah (kanser). Mereka tahu saatnya akan menghadap Tuhan kian hampir, maka kelakuannya tidaklah seganas pelumba haram di jalan raya!

Selain itu tidak banyak yang mengerti dan tulus bahawa kepatuhan terhadap peraturan jalan raya bererti kepatuhan kepada perintah Allah. Dalam surah an-Nisaa ayat 59, Allah memerintahkan supaya orang beriman taat kepada ulil amri (pemerintah). Arahan-arahan pemerintah ialah melalui undang-undangnya. Dan undang-undang jalan raya merupakan arahan ulil amri. Namun sedikit banget yang faham dan menghayati kepatuhan terhadap undang-undang ini bererti kepatuhan terhadap Allah. Oleh itu sedikit jugalah yang merasakan dalam menggunakan jalan raya sama seperti melakukan ibadah kepada Allah. Ini bermakna juga sedikit banget yang bertertib di jalan raya. Yah, maka patut benar jalan raya seperti menjadi medan melanggar arahan Allah, mendurhakai Maha Pencipta.

Maka begitulah keadaannya jalan raya ini, antara keperluan dalam hidup sebagai medan beribadah kepada Allah dan juga tempat mendurhakai Allah. Untunglah yang sadar. Kalau begitu jangan peduli mereka yang tidak mendapat hidayah di jalan raya, terus menjadi pengguna yang berakhlak kerana itulah perintah Allah.

Rabu, Ogos 05, 2009

FIKIRKAN kalah atau menang

INI catatan kecil perjuangan saya. Jam 10.30 malam tadi (5 Ogos) baru masuk rumah dalam keadaan berfikir: Aku kalah atau menang. Ini bukan hal dialog dengan orang Pahang itu. Ini hal anak-anak Melayu muslim yang masih hingusan yang masih sekolah. Kerap sangat mereka lepak di hujung taman perumahan yang jarak dari rumah saya hanya kira-kira 40 meter! Mereka naik motor, bawa makanan, buang sampah dan merokok. Malam ini bukan main lagi, kebanyakannya berbaju Melayu pakai kopiah lagi, tanpa silu atau hormat saya, mencabarlah…., depan saya lagi dibanyakkan asap rokok itu.

Ini bukan kali pertama saya seorang diri berada di tengah-tengah semua mamat itu untuk bercakap dan meminta supaya mereka semua pulang ke rumah. Dua bulan lepas ada sekali sudah jam 11.00 malam, saya terpaksa keluar rumah untuk meminta orang-orang yang lepak agar pulang, hormat kami yang mahu berehat. Hari itu lebih 20 orang anak muda keturunan India! Saya cakap dengan baik, mereka terima. Sebelum jam 12.00 mereka hilang.

Malam ini semua budak bawah umur, tak sangka mereka tunjuk gedebe pula. Ada seorang yang mereka rasa tercabar kot, maka terus merokok dan bagai tidak ada apa-apa. Sebagian rakannya pulang, tapi adalah lima orang lagi buat tidak perduli saja. Saya pun berkeras tidak akan pulang jika mereka tidak bubar. Tak boleh mengalah juga, nanti akan datang mereka ketawakan saya.

Ada yang perli saya, dan saya basuh cukup-cukup. Tak berani menjawab pula. Adalah seni atau caranya yang menyebabkan mereka tidak ada jawaban. Antara yang saya cakap ialah saya dah kenal dan tahu kebanyakan muka mereka sebab kerap sangat berlepak di situ. Saya pun ada sebut pasal polis.

Mereka memang ‘melawan’ saya. Tetapi mereka tidak maki atau juihkan bibir, namun mereka bercakap sesama mereka yang seolah-olah saya tidak berada dalam kalangan mereka. Tapi saya bukan dayus, dan tahu risikonya. Itu yang membuat kepala saya berfikir: Aku menang atau kalah!

Apa hendak buat, saya balik dan sengaja biarkan pintu pagar tidak ditutup. Ada mesej tu! Dalam fikiran saya, kalau mereka tidak bubar, maka saya akan telefon polis. Tapi eh, apabila saya keluar rumah semula, mereka sudah hilang.

Tidak mengapa, hari ini kebanyakan mereka tidak suka nasihat saya. Saya yakin fitrah manusia ialah mahu kebaikan dan kesejahteraan. Kelak, apabila mereka mula dewasa dan mendapat petunjuk Allah, tentu mereka mula faham mengapa orang seperti saya sanggup mengambil risiko di tengah malam secara sendirian.

Yang penting saya ada usaha, tidak hanya merungut di belakang atau di kedai kopi saja.

Isnin, Julai 20, 2009

MINUM arak dapat enam sebatan

BERITA di Kuantan Pahang ialah Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhi hukuman denda RM5000.00 dan enam sebatan kepada Kartika Sari Dewi Shukarnor (namanya pun hebat, macam nama anak Presiden Sukarno: Kartika Sari anak dengan Ratna Sari Dewi). Kartika mengaku salah meminum arak di Cherating Bay Lounge, hotel Legend. Saya pun pernah beberapa kali menginap di hotel itu. Sebenarnya di mana-mana hotel, kalau rajin menyiasat akan ditemui anak-anak Melayu (tentulah muslim), yang meneguk arak. Pernah sekali saya di sebuah resort di Cherating, mendengar suara perempuan meracau jam 11 malam di tepi kolam mandi. Heh, rupa-rupanya mabuk kerna minum arak.. Tengok mukanya Melayu dan daripada risikan, memang ada beberapa orang Melayu tempatan sengaja masuk ke lounge hotel waktu malam untuk minum.

Saya ada pengalaman di Pekan Pahang semasa banjir tahun 1997. Oleh kerana bandar Pekan digenangi air dan saya memang perlu untuk ke kedai menjual alatan memancing, terpaksalah masuk ke laluan kedai pancing melalui sebuah restoran milik orang Cina. Kebetulan saya memakai pakaian kerja rasmi dan bersongkok hitam. Apabila saya masuk ke restoran itu, saya pun terkejut melihat beberapa orang lelaki Melayu macam kaget dan seperti hendak beredar melihat saya. Oh rupa-rupanya di atas mejanya ada botol arak. Dan mereka menyangka saya ini pegawai penguatkuasa agama!

Sebenarnya semakin lama arak itu biasa diteguk oleh orang Melayu Islam, bukan hanya di pub, lounge atau restoran bukan Islam. Misalnya di Perkampungan Permatang Badak Kuantan, pernah kedai Seven Eleven menjual arak sedangkan kawasan itu 100 peratus penduduk Islam. Saya tegur dan rasa marah dengan penjual di kedai berkenaan. Sebelum kedai itu menghentikan jualan araknya, banyak botol arak ditemui di kawasan tempat tinggal saya itu. Dan pernah melihat dengan mata sendiri dua lelaki muda Melayu sengaja membuang botol arak di tepi jalan waktu siang, dalam kawasan rumah yang semua muslim. Saya yakin mereka minum arak di rumah dan membuang botolnya di simpang jalan.

Berkenaan hukuman sebat enam kali di Malaysia, tidak pasti pula bolehkah hukuman ini dilaksanakan terhadap perempuan. Berdasarkan pengetahuan saya, kalau kesalahan jenayah yang hukumannya ada sebatan rotan, hukuman rotan ini tidak dikenakan terhadap perempuan.

Sabtu, Julai 18, 2009

BAGAIMANA hamil sebelum nikah?

PERUBAHAN nilai. Hanya itu yang dapat disimpulkan mengenai penerimaan hamil sebelum nikah, sekalipun dalam masyarakat bukan Islam. Berdasarkan pemahaman tradisi kaum Cina, seks luar nikah adalah larangan. Namun perubahan dunia modern mula mengubah pemikiran dan nilai hidup sesuatu masyarakat.

Inilah yang berlaku rentetan kematian Teoh Beng Hock. Tunangnya, Soh Sher Wei sudah hamil sedangkan mereka belum berkahwin. Mungkin itu mengejutkan, tetapi yang lebih mengejutkan ialah apabila ayah mendiang Teoh Beng Hock iaitu Teoh Liang Fai yang berusia 61 tahun telah menerima keadaan ini sebagai biasa. Katanya, "perkara biasa, tolong jangan pandang serong,"

Kalau seorang lelaki berusia 61 tahun boleh menerima seks luar nikah, tentulah generasi muda hari ini dalam kalangan mereka lebih terbuka. Semua ini sedang berlaku dalam sebuah negara bernama Malaysia, yang terletak di Asia Tenggara. Dalam sejarah konflik nilai antara tamadun Barat dan Timur senantiasa berlaku. Namun sedikit demi sedikit, nilai Barat mula diterima.
Penerimaan nilai Barat dalam masyarakat bukan Islam di negara ini juga menjelaskan mengapa pembuangan bayi tidak berlaku dalam kalangan mereka. Masyarakat Melayu Islam masih tidak dapat menerima kehamilan luar nikah, akibatnya banyak bayi tidak dipinta kehadirannya dibuang begitu saja!

Soalnya yang benar-benar ialah bolehkah budaya barat seks sebelum kahwin diterima di Malaysia sekalipun dalam kalangan masyarakat bukan Islam?

Rabu, April 29, 2009

DALAM perut si pemakan babi

Allah dah kata jangan makan babi, nak makan juga. Tengoklah apa dalam perut mereka yang menelan daging babi. Indah kan?



Banyak lagi haiwan ternak (al-an'am) atau haiwan liar seperti seladang, rusa dan lain-lain yang boleh dimakan, kenapalah babi juga jadi pilihan. Nah sekarang dah ada flu babi. Sebelumnya di Negri Sembilan ada demam Jepun yang berpunca daripada babi juga, virus nipah. Berapa banyak kes babi sudah susahkan hidup kita daa....

Khamis, April 16, 2009

MUNGKIN itu judi hasanah?

LAMA sudah saya berfikir mengenai judi yang diharamkan oleh Allah dalam alquran, tetapi masih diberi ruang berjudi dalam ekonomi. Emm…, betul ada larangan kepada orang Islam berjudi di kedai-kedai nombor ramalan. Hal ini bermakna premis judi itu untuk bukan Islam. Kawan saya seorang Cina berkata, masyarakatnya tidak dapat dipisahkan daripada budaya berjudi. Tapi dia pun mengakui bahawa kesan judi itu teruk sangat. Dialah yang memberitahu saya kes-kes orang bunuh diri di pusat judi yang iklimnya sejuk itu.

Kalau kawasan majoritinya orang Melayu-Islam dan jumlah orang bukan Islamnya tidak sampai 1000 orang, tetapi ada dua premis judi, untuk siapa kedai judi itu? Kalau jawabannya, kedai judi itu untuk orang bukan Islam, marilah kita ketawa terbahak-bahak. Ha ha ha ha….. ini betul-betul, bukan cobaan!

Kalau tanya yang melanggan di kedai judi ini, mereka mengakui pernah menang beribu-ribu juga. Ada kes terbaru di satu daerah (negeri pantai barat), bilal masjid menang judi nombor ini dan terus membeli sebuah kereta. Hebohlah sedikit, sekejap saja. Maka judi ini bagai benci tapi rindu!

Apa salahkah istilah baru diberikan kepada judi sebagai judi hasanah. Judi memang haram tapi dah banyak juga orang Melayu beragama Islam pun asyik berlanggan dan ada yang menang, boleh buat rumah, beli kereta dan bayar sekolah anak di kolej. Lagi pun banyak mana yang ditangkap dan didakwa kerana berjudi ini. Adakah jabatan agama menangkap penjudi sebulan seorang, setahun 12 orang? Di daerah mana itu? Tak adalah…, kan, kan!

Emm.., ustaz-ustaz janganlah marahkan saya yang mencadangkan judi hasanah, sebab selalu didengar ada kalimah bid’ah hasanah, kan! Kalau bid’ah itu yang jelas haram tapi masih ada bid’ah hasanah (bid’ah yang baik) atas sebab-sebab kehendak manusia, maka janganlah marah kepada kaki judi yang buat union untuk war-warkan judi hasanah (judi yang baik)! Kaki judi ini pun ada hujah juga.

Mari kita tengok siapa yang kena…!

Isnin, Mac 09, 2009

MEREKA hanya mahu 'mansuh PPSMI'


BUNYINYA Perdana Menteri seperti mengarahkan Kementerian Pelajaran menimbang desakan orang Melayu agar PPSMI dihapuskan. Kemudian semua menunggu Menteri Pelajaran membuat pengumuman mengenainya. Orang Melayu tidak menunggu berita PPSMI diteruskan, tetapi sanggup bersengkang mata untuk mendengar berita kerajaan mengumumkan PPSMI dihapuskan daripada system pendidikan negara.

Malangnya orang Melayu masih tercungap-cungap mencari berita itu. Sekalipun Menteri Pelajaran ada bercakap mengenai PPSMI, tetapi melencong ke sudut-sudut lain. Orang Melayu tidak mahu mendengar apa-apa selain ‘PPSMI akan dimansuhkan secepat mungkin’.

Hal ini bermakna orang Melayu tiada pilihan kecuali mahu PPSMI dihapuskan. Kehendak dan pendirian ini tidak salah kerana tidak menyalahi undang-undang. Malah sewaktu PPSMI mahu dipaksakan pada tahun 2003 dahulu, orang-orang Cina membantah. Orang-orang Cina banyak bersyukur bahawa bantahan mereka hanya dengan air liur saja, guna mulut dan kemudian dicatat dalam media. Dengan bantahan yang tidak berpeluh itu kerajaan menerima bantahannya dan tidak menggunakan sepenuhnya PPSMI di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina.

Untuk orang Melayu menyuarakan bantahannya telah memakan kos yang tinggi. Malah kini sudah memasuki fasa kritikal apabila sudah terpaksa berdemontrasi di jalan raya, berdepan dengan gas pemedih mata dan tangkapan polis. Jelaslah orang Melayu sebenarnya tidak mahu memasuki frasa lebih dahsyat iaitu kehilangan nyawa hanya untuk mendapatkan hak pendididikan dalam bahasa Melayu. Sebab itulah orang Melayu kini tiada pilihan lain: PPSMI dimansuhkan.

Berdasarkan iklim dan respon kerajaan, nampaknya seperti belum bersedia memansuhkan PPSMI. Kementerian Pelajaran nampaknya lebih cenderung untuk meneruskan PPSMI. Oleh itu apa akan apabila kerajaan mengambil keputusan mengekalkan PPSMI. Apa akan jadi kepada kaedah penentangan PPSMI?

Apa yang akan dilakukan oleh warga emas Sasterawan Negara A Samad Said ketika itu?

Sabtu, Mac 07, 2009

DEMI bahasa bundaku!

152 daripada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjamin Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ohh..., akhirnya Sasterawan Negara A Samad Said mendapat anugerah gas pemedih mata kerana mahu menjaga Bahasa Melayu, bahasa berbuyutan Nusantara.


Yang menembak gas pemedih mata adalah Melayu yang bertutur Bahasa Melayu dengan keluarganya di rumah. Mereka sedang mengegaspedihmatakan orang-orang yang berjuang untuk anak-anak mereka.



Rabu, Mac 04, 2009

SAKSI kata tidak sah

INI kisah cinta di Ipoh Perak. Semua manusia normal ada rasa cinta, sayang kepada orang yang hatinya telah terpaut. Adakah salah kalau Salman jatuh cinta kepada Sabariah? Salman lelaki dan Sabariah itu perempuan, dan mereka belum berkahwin.

Tapi Sabariah tidak ada perasaan cinta kepada Salman! Hati Sabariah tawar saja dengan Salman pun bukan salah. Entah, dah dicubanya untuk menerima pelawaan cinta Salman, tetapi gagal. Hatinya lebih condong kepada pemuda lain iaitu Zain. Zain pun ada perasaan kepada Sabariah. Ah, mudahkan cerita keluarga Zain dan Sabariah pun bersetuju menikahkan mereka berdua.

Sewaktu majlis pernikahan entah atas idea siapa dicadangkan Salman sebagai saksi pernikahan Zain dan Sabariah. Tak mengapa, orang kata ini kerja professional. Setelah Zain melafazkan “aku terima dinikahkan dengan Sabariah” Imam nikah bertanya kepada Salman sebagai salah seorang saksi.

Salman kata “Tak sah!”

Pernikahan diulang untuk kali kedua, dan Salman masih mengatakan tidak sah. Buat kali ketiga juga Salman mengatakan tidak sah. Habis, bila hendak sah?

Zain marah, lalu meminta Salman saja bernikah dengan Sabariah. Salman tersenyum dan setuju. Imam nikah tidak kisah sebab yang penting setelah nikahkan orang dapat duit upah nikah.

Setelah Salman melafazkan nikah ‘aku terima dinikahkan dengan Sabariah’ Imam bertanya saksi nikah, sah atau tidak. Zain yang menjadi saksi nikah ini mengatakan tidak sah. Maka nikah diulang semula. Zain masih mengatakan tidak sah.

Hah, semua jadi bingung dan pening kepala. Sejak Islam zaman Sultan Melaka sampai sekarang baru inilah berlaku bolak-balik nikah sah tidak sah. Orang-orang yang hadir pula menjadi saksi kepada saksi yang mengatakan nikah Sabariah sentiasa tidak sah.

Apabila ada orang luar datang bertanya, “betulkah saksi nikah sini sentiasa mengatakan tidak sah?”

Orang ramai menjawab, “sah…, kami mengesahkan saksi yang suka cakap tidak sah.”

Imam dah berpeluh, kalau tidak selesai nikah ini upah tak dapat.