Pengikut

Rabu, Januari 30, 2008

MANA satu yang benar?

BISAKAH dua hal yang berbeda diterima sebagai benar semuanya? Ini mengingat saya ketika menyusup masuk dalam diskusi akidah Kristian di sebuah web dari seberang. Seorang mencatat bahawa ajaran Bible mengatakan matahari mengelilingi bumi dan sains pula mengajar bahawa bumi yang mengelilingi matahari. Sambutan daripada rakannya mengatakan apa yang diajar oleh Bible adalah benar kerana Bible adalah kitab iman, dan sains juga benar kerana bukti-bukti yang dihamparkan!

Saya mencelah dengan mengatakan kebenaran hanya satu, tidak bisa bertentangan sama sekali. Dalam kasus matahari dan bumi, harus ada penentu atau pemenang yang benar. Agak lama, hampir sepekan komentar saya tidak disinggung, baru kemudian si pencatat asal mengakui sudah tersalah memberi erti sehingga amat payah untuk mencari mana yang benar. Namun pokok soalnya tidak tuntas: masih diterima ajaran Bible dan pembuktian sains.

Seperti kehendak fitrah akal yang mahukan yang benar hanya satu, bukan dua, maka di sisi Allah juga kebenaran hanya satu. Sepatutnya ini menambah kefahaman bahawa al Quran yang terakam sejumlah 114 surah itu tidak berlawanan antara satu dengan yang lain. Asas ini juga memberi pengertian tidak mungkin ada maksud berbeda antara al Quran dan hadis. Jika antara ayat al Quran dan hadis berbeda maksud, maka hadis itu perlu diundurkan menjadi hadis yang tidah sah.

Perhatikan bagaimana Allah memberi tanda benar terhadap Nabi Sulaiman dalam perbedaan pendapat antara baginda dengan Nabi Dawud berkenaan tanaman yang dimakan haiwan. Maksud surah al Anbiya: 78-79: “Dan ingatlah kisah Dawud dan Sulaiman waktu kedua-duanya memberi keputusan mengenai tanaman kerana tanaman itu dirosakkan oleh kumpulan kambing kaumnya. Dan Kami menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka. Maka Kami memberi pengertian kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat). Dan kepada masing-masing telah Kami berikan hikmah dan ilmu, dan telah Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semuanya bertasbih bersama Dawud. Kamilah yang melakukannya.”

Daripada ayat itu dijelaskan bahawa yang benar antara dua pendapat hanya satu. Namun bukan bermakna keputusan yang salah itu berdosa, kerana pendapat atau ijtihad itu hasil penelitian untuk menyelesaikan masalah. Prinsip utamanya ialah dalam berijtihad, masing-masing berusaha mencari keputusan paling benar dan mujtahid bukanlah semestinya benar. Dalam satu hadis Rasulullah pernah mengatakan ijtihad yang benar mendapat dua pahala dan yang salah satu pahala.

Namun ada satu ‘hadis’ yang disandarkan kepada Rasulullah dan sering digunakan orang untuk membenarkan perselisihan dan mempertahankan pegangan mazhab masing-masing. Maksud hadia itu ialah:

“Perselisihan yang berlaku pada umatku adalah satu rahmat.”

Saya turunkan tulisan Mohd Khairil Anwar b Abd Latif dalam buku ‘Amalan berzikir: Antara sunnah & rekaan manusia’ (2007).

“Syeikh Albani telah mengklafikasikan hadis ini sebagai tidak ada asal. Beliau (Albani) berkata para ulama hadis telah berusaha mencari sanadnya, malang mereka tidak menjumpai…..
“Almunawi menukilkan daripada al Subkiy bahawa: Hadis ini tidak diketahui oleh para ulama hadis dan aku tidak menjumpainya dalam sanad sahih juga daif, dan tidak juga maudhu (palsu).
“Kemudian makna hadis ini diingkari oleh para ulama muhaqiqin (peneliti). Imam Ibn Hazm dalam kitabnya al-Ihkam fi Usuli al-ahkam berkata: Perkataan ini (ikhtilaful umati rahmah) merupakan seburuk-buruk perkataan, kerana kiranya ikhtilaf atau perselisihan itu rahmat, maka sudah tentu ittifaq (penyatuan) itu satu kemurkaan. Dan perkataan ini tidak mungkin diucapkan oleh seseorang muslim.”

Hadis ‘perbedaan pendapat satu rahmat’ adalah tidak benar daripada Rasulullah, malah matan hadis itu berlawanan pula dengan maksud al Quran yang banyak menyeru kepada penyatuan.

Maka fahamlah bahawa para Imam Empat Mazhab juga tidak sama sekali meminta para pengikut mereka kemudian hari menjadi pentaksub mazhab sehingga seolah-olah kebenaran hanya ada di sisi mazhab. Selain itu, tambah tidak praktikal jika soal uslub dakwah dijadikan satu keputusan muktamad seperti itu sebagai kehendak wahyu. Lebih menyeramkan jika cara kita belajar, di kolej mana dan siapa gurunya dijadikan penentu kebenaran! Astaga!

Wallahu’aklam

Isnin, Januari 28, 2008

KIRIM pahala bukan sunah Nabi

BARU-baru ini saya kematian ahli keluarga. Maka datanglah ucapan takziah daripada sahabat dan taulan. Orang di desa sedia menyempurnakan adat selepas kematian bertahilan tujuh malam untuk membantu roh si mati di dalam kubur sana. Adik saya bertanya bagaimana mahu menggantikan puasa arwah ayahanda. Ada juga yang memberitahu sudah mengirim bacaan al Fatihah kepada arwah.

Semua ini memberi maksud, manusia yang masih hidup sangat prihatin dengan perjalanan roh di alam barzakh. Kepada adik saya beritahu: Dalam Islam semua menanggung amal yang berpahala dan berdosa sendiri-sendiri. Yang hidup tidak dapat menghulur pahala dan tidak pula dapat mengambil sedikit sebanyak dosa yang dipikul si mati. Si mati pula, sekalipun manusia baik dan diketahui banyak amal solehnya, tidak juga dapat menjadikan pahala amalnya sebagai harta pusaka kepada waris-waris.

Guru agama berkata sejujurnya
Pandangan ini tidak kasar atau aneh. Dalam keadaan sedar, kebanyakan para guru agama juga kerap memberitahu bahawa tidak ada apa yang dibawa masuk ke kubur, kecuali amal-amalnya. Amal-amalnya itu baik yang salih atau keji, ertinya pahala atau dosa. Terus terang saya kerap mendengar guru-guru agama berkata lebih kurang begini: “Apabila mati, segala harta, pangkat, kuasa, kaum keluarga dan kebesaran tidak berguna lagi kecuali pahala dan dosa daripada amalnya. Oleh itu kita yang masih hidup, berfikir-fikir dan bersiap sedialah menghadapi saat kematian yang tidak diketahui kapan datangnnya.”

Saya belum pernah mendengar guru-guru agama berkata kira-kira begini: “Kalau manusia mati semua sudah tidak berguna kecuali amal salihnya (pahala) yang akan membantu dia di sana. Dan kalau mendapat kiriman pahala daripada mereka yang masih hidup lebih aman dan bahagialah arwah di alam barzakh sana.”

Mengapa guru-guru agama tidak segera menawarkan bantuan kepada murid-muridnya bahawa kalau sesiapa mati dahulu, mereka yang masih hidup akan menghantar sebanyak mungkin pahala bacaan yasin, khataman beberapa kali alquran, puasa-puasa, solat-solat sunat, sedekah-sedekah dan segala macam amal soleh orang hidup dan diniat supaya pahalanya dihantar kepada si mati.
Jawabnya ialah fitrah dalam diri manusia mengenai amal dan kehidupan adalah menepati kehendak al Quran dan sunah Nabi. Dalam keadaan kudus mencari keredaan Allah, manusia berfikiran menyerupai kehendak Allah dan Rasul-Nya iaitu semua manusia menanggung amal baik dan buruk sendiri-sendiri. Akal fikiran yang sihat pun memberontak jika dipaksa menerima ajaran begini: Orang tak buat amal tapi mendapat upah atau pahala. Orang tak bersalah tetapi harus menanggung dosa pula!

Dalam keadaan bercelaru dan dihadap dengan budaya turun-temurun, maka kekudusan iman goyang sehingga lupa bahawa akal dan kekudusan hatinya tadi pernah mengakui manusia menanggung segala perbuatannya sendiri.

Cuba perhatikan maksud ayat-ayat al Quran di bawah, adakah salah satunya membingungkan dan berlawanan dengan fitrah manusia yang normal?

1. Surat Al Baqarah, ayat 286. "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebaikan) yang dikerjakannya dan mendapat siksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya….”

2. Surat Al Baqarah, ayat 123. "Dan takutlah kamu pada suatu hari yang seseorang tidak dapat menggantikan (memindahkan pahala) seseorang lain sedikitpun dan tidak akan diterima sesuatu tebusan daripadanya, juga tidak akan memberi manfaat sesuatu syafa’at kepadanya dan tidak pula mereka akan ditolong (oleh kebajikan orang lain)”

3. Surat Al Ankabut, ayat 6 "Sesiapa berjihad (melakukan kebajikan), sesungguhnya jihadnya hanya untuk dirinya sendiri…..”

4. Surat Yaasin, ayat 54 "Maka pada hari itu (kiamat), tidak seorangpun akan teraniaya, dan kamu tidak akan dibalas, melainkan apa yang kamu sendiri telah kerjakan".

5. Surat Al Isra’ , ayat 15 "Sesiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah Allah, maka sesungguhnya perbuatan itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri. Sesiapa sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan Kami tidak akan mengazab (sesuatu pihak) sebelum Kami mengutus seorang rasul.”

6. Surat An Najm, ayat 38 dan 39 "Bahwa seseorang tidak berkuasa menanggung dosanya orang lain dan sesungguhnya seorangpun tidak akan memperoleh (ganjaran) melainkan daripada perbuatannya sendiri".

7. Surat Luqman, ayat 33. "Hai Manusia bertakwalah kepada Allah dan hendaklah kamu takut kepada suatu hari (kiamat) seorang ayah tidak berkuasa menolong anaknya (daripada perbuatan anaknya), seorang anak pula tidak dapat menolong bapaknya sedikitpun."

Kirim pahala bukan sunah Nabi
Sunah Nabi? Pernahkah mana-mana guru agama memberikan contoh bahawa misalnya jika ada kematian, Rasulullah dan para sahabatnya berkumpul di rumah si awrah dan membuat tahlil atau membaca surah ikhlas 100 ribu kali dan dihadiahkan kepada arwah itu? Kalau ada yang mengatakan Rasulullah dan para sahabatnya melakukan sebagaimana kebanyakan kita lakukan, itu bukan guru agama, tetapi pendusta!

Tidak ada contoh daripada sunah Nabi, maka habis di situ, noktah! Kita tidak perlu menyelidik dan mentakwil mana-mana ayat atau huruf untuk dipadankan dengan amalan adat Melayu dalam kematian. Hal kematian adalah hal besar. Ayat-ayat Makiyyah kerap mengaitkan kehidupan dan keimanan dengan ‘percaya pada hari akhirat’. Sebegitu hebat amaran Allah, mustahil bab mengantar pahala kepada arwah tidak ditunjukkan oleh Nabi, sehingga ada antara kita yang terkial-kial mencari kata dan perbuatan sahabat dan tabi’en.

Di bawah satu contoh diskusi antara sahabat selepas kewafatan Rasulullah. Ada sahabat mengatakan mayat disiksa kerana tangisan para ahli keluarganya. Hadis ini ada diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud: Daripada Umar dan Abdullah bin Umar mengatatakan bahawa Rasulllah bersabda, “sesungguhnya mayat disiksa lantaran ditangisi oleh keluarganya”.

Syaidatina Ai’syah r.a. yang mendengar perkara itu berkata, “cukuplah buat kamu ayat al Quran (bermaksud) Dan seseorang tidak berkuasa menanggung dosa orang lain.

Dengan kata lain, sesuatu hadis yang berlawanan dengan maksud al Quran juga dengan sendirinya gugur ketegarannya. Inilah prinsip yang sangat jelas mengenai penerimaan hadis sahih iaitu matannya sesuai dengan isi al Quran, selain mempunyai perawi-perawi yang sangat dipercayai.
Wallahu’aklam

Sabtu, Januari 26, 2008

TG NIK AZIZ dan tahlil arwah

Tazkirah: 'Perlukah saya buat kenduri arwah?'Azamin Amin www.harakahdaily.net/

"Perlukah saya sediakan makanan dan buat kenduri arwah kepada orang kampung sedangkan keluarga saya tengah sedih sangat sebab baru sahaja kehilangan ayah tersayang?" tanya seorang remaja kepada saya yang baru kehilangan ayahnya yang tercinta kerana sakit kronik.
Terkedu dan pernah juga terfikir dalam benak hati, namun kerana kenaifan saya di bidang agama saya diamkan sahaja sehinggalah muncul kembali soalan yang terbit daripada anak muda belasan tahun ini yang datang daripada keluarga yang susah.


Lantaran itu, walaupun sedikit kesibukan dengan tugasan, saya meluangkan masa mencari jawapan yang mungkin atau mengundang pelbagai pandangan dan polemik serta emosi kurang senang banyak pihak. Namun atas landasan mencari ilmu termasuk mahu berkongsi bersama, saya kutip beberapa pendapat yang boleh dijadikan panduan kepada semua khususnya kepada anak muda yang bertanya itu sehingga saya membiarkan dia termanggu tanpa sebarang jawapan sebelum ini.(segala kesilapan dan kelemahan mohon tunjuk dan maafkan)


Amalan membebankan keluarga si mati
Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis) seorang Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan kenduri arwah ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang.

Katanya Rasulullah s.a.w ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, baginda bersabda: "Persiapkan makanan untuk keluarga Ja'far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan)." - Hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud.

Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah(al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu.
Amalan di sesetengah tempat ini adalah salah, kerana katanya kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.

"Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam," katanya yang dipetik dari laman web tersebut.

Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim malah Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan.

Ulama mazhab Syafie melarang kenduri arwah
Rujukan katanya boleh dibuat terhadap Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377.
Katanya lagi Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji.

Antara petikan kitab tersebut yang berbunyi:"Daripada bidaah apa dibuat keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya."

"Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram.

"Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya." ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).

Dalam pada itu pada Jun 2005 blog tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di bawah tajuk 'Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama' oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu Al-Qurtubi berhubung isu kenduri arwah.
"Dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah.
"Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan, " kata Nik Aziz.

Kenyataan pahit dan mengejutkan
Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin agak keras dan pahit serta boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah.

"Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah," katanya

"Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian," katanya lagi.

Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.

"Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w.?" katanya membangkitkan persoalan.

Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.

"Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya," katanya.

Bagi umat Islam marilah berlapang dada dalam menghadpi persoalan agama dengan menghayati petikan ayat daripada surah An-Nisaa' 4:59 :"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." - mks.

Jumaat, Januari 25, 2008

MAZHAB Syafi'e tentang solat Jumaat

Solat Jumaat pertama dalam sejarah Islam dilakukan di Madinah. Maksud firman Allah dalam surah Jumu’ah ayat 9, ”Hai orang-orang beriman, apabila diserukan solat pada hari Jumaat, segeralah mengingati Allah dan tinggalkanlah perniagaan. Yang demikian lebih baik bagi jika kamu mengetahui”.

Mengikut sejarahnya pada zaman Rasululah, apabila telah masuk waktu zuhur, Rasulullah masuk ke masjid dan terus berdiri di tangga mimbar. Baginda mengucapkan salam kepada jemaah. Baginda duduk di anak tangga mimbar yang lebih tinggi. Bilal melaungkan azan di hadapan pintu masjid. Selepas azan, Rasulullah pun berdiri, berkhutbat memberi peringatan kepada hadirin. Selepas beberapa ketika, baginda berhenti memberi nasihat, dan duduk. Beberapa ketika setelah duduk, baginda berdiri semula dan berkhutbah semula sehingga tamat. Khutbah baginda Rasululah tidaklah panjang kerana baginda sendiri telah berkata dalam hadisnya yang masyhur, (maksud), “pendekkanlah khutbah dan panjangkanlah solat kamu”.

Mengikut sunah Rasulullah, azan hanya dilaungkan sekali sahaja, apabila imam sudah mengucapkan salam di mimbar. Cukup jelas, tidak ada solat sunat selepas azan hari Jumaat itu. Sunat juga tidak khutbah panjang dan lebih memanjangkan solatnya.

Sunah Rasulullah dalam Solat Jumaat ini diteruskan oleh Khalifah Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. Pada zaman Usman r.a., keadaan di Madinah semakin sibuk terutama urusan ekonomi di pasar. Beberapa ketika, penduduk seakan terlupa hadir awal ke masjid kerana urusan perniagaan. Khalifah Usman berkeputusan supaya seorang pergi ke tengah-tengah pasar sebelum masuk waktu zuhur dan melaungkan azan di sana. Para sahabat yang ada tidak membantah keputusan Khalifah Usman kerana memahami keadaan dan faham azan di pasar itu bukan satu syariat baru dalam ibadah. Kemudian seperti biasa di masjid, Khalifah Usman masuk masjid sebaik sahaja masuk waktu zuhur dan mengucapkan salam di mimbar. Muazzin pun berazan, dan seterusnya. Amalan sunah Rasulullah diteruskan sebagaimana difahami.

Kemudian, pada zaman-zaman setelah khalifah Usman (zaman Khalifah Ali kwh, azan sekali sahaja), orang telah membawa azan di pasar tadi ke dalam masjid. Maka berlakulah azan dua kali di masjid pada hari Jumaat separti hari ini. Oleh kerana azan pertama dilaungkan di masjid, maka jemaah yang ada di masjid tadi melakukan solat sunat sebelum Jumaat, satu solat yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah dan para sahabat baginda. Mereka menganggap azan pertama juga satu syariat (kononnya sunah).

Pada zaman kehidupan Imam Safie r.a., berlaku pertikaian mengenai siapakah yang memulakan azan dua kali hari Jumaat. Jawaban Imam Syafie yang dicatat dalam kitabnya iaitu Al Umm ialah beliau tidak mengira siapakah yang memulakan azan dua kali, kerana baginya azan sekali pada zaman Rasulullah sangat beliau sukai. Itulah mazhab Syafie dalam hal ini.

Kita perlu faham mengapa Khalifah Usman mengarahkan azan dilaungkan di pasar. Tujuannya untuk menyedarkan umah waktu itu mengenai hari Jumaat dan mereka perlu bersiap-siap untuk Solat Jumaat. Itulah media yang paling wajar, pada zaman sebelum terciptanya jam dan pembesar suara.

Sekarang, ada orang yang tidak melakukan solat selepas azan pertama semata-mata kerana menuruti sunah Rasulullah, para sahabat dan Imam Syafie. Terpulanglah kepada yang lain menentukan, yang penting setiap amal ibadah mesti ada asas yang jelas, berupa syariat.

Sumber: Prof. Hamka, Tafsir al Azhar, (Singapura: Pustaka Nasional). Sayyid Sabiq, Terj. Fikh Sunnah, (Kuala Lumpur, Victory Agencies). Prof. Hasbi As Siddique, Solat Jumaat, (Batu Caves, Thinkers Library), A Hassan, Pengajaran Solat, (Melaka: Pustaka Abas Bandung), Imam As Syafie, Terj. Al Umm, (Kuala Lumpur, Victory Agencies)

Khamis, Januari 24, 2008

SUSAHNYA mahu solat

MENGAPA mesti seorang muslim menunaikan solat? Pertanyaan lain yang sama maksud mungkin ialah, apa salahnya muslim tidak bersolat? Pertanyaan ini bukan sahaja ditanya oleh orang bukan Islam, malah di kalangan muslim pun muncul persoalan ini. Baguslah bertanya, kerana bertanya menandakan keperihatinan terhadap sesuatu.

Solat adalah tanda seorang itu muslim atau sebaliknya. Hal ini sebagai satu mercu tanda akidah yang disandangnya. Sama seperti pengenalan sesuatu bangsa dilihat pada bahasanya, sehingga kekal ungkapan ‘bahasa jiwa bangsa’. Bahasa menggambarkan identiti bangsa, seperti juga solat indentiti muslim di mana-mana juga.

Solat juga pelengkap akidah muslim. Setelah pengakuan rububiyah, mengakui Allah sebagai penguasa segala-galanya yang tidak dapat diingkari atau disyirikkan dengan apa-apa, maka uluhiyahnya ialah membuktikan kepatuhannya dengan melakukan ibadah penyembahan kepada-Nya. Justeru, solat tidak dapat dipisahkan dengan kesempurnaan akidah. Lantaran itu di mana-mana juga para pendakwah akan menekankan amalan solat kepada khalayak setelah penekanan terhadap tauhid rububiyah.

Soalnya mengapa tampak di mana-mana sebagian muslim bagai tidak perduli mengenai solat. Dalam temasya perhimpunan banyak manusia yang melanggar beberapa waktu solat, jarang dimaklumkan mengenai waktu-waktu solat dan di mana ibadah itu mahu dilaksanakan. Mengurus pertualangan atau musafir ke tempat jauh, soal solat bukan dalam agenda utama, malah makan dan tempat tidur sentiasa menjadi perhatian. Di hospital yang pesakit sudah di pintu maut juga terus tidak perduli solat, malah ada yang berfatwa sendiri bolehnya melupakan atau menangguhkan solat kerana sakit! Kaum keluarga pun ‘sporting’ tidak bertanya tentang solat si pesakit. Aduhai…!

Saya ada pengalaman menemu bual pelajar-pelajar menengah yang tidak bersolat. Antara alasan mereka ialah: Tidak sempat, bangun lewat, pakaian kotor, tidak tahu melaksanakannya, tidak hafal bacaannya, tidak tahu nak baca niat, tidak hafal bacaan qunut dan malas!

Bagaimana mahu mengatasi masalah ini? Hemat saya ialah menyelesai masalah ini sangat berkait dengan punca solat tidak dilaksanakan oleh seseorang. Misal, jika alasannya tidak tahu bacaan fatihah, tentulah kita mengajarkan bacaan fatihahnya. Kalau alasan meninggalkan solat kerana pakaian kotor, wajib pula diterangkan jenis kekotoran yang tidak boleh terkena diri atau pakaian semasa solat. Barangkali beres begitu. Mungkin ya, atau masih perlu lanjutan.

Hemat saya lagi, akidah seseorang muslim mestilah jelas dan kukuh dalam menangani masalah ini. Ini hal pembuktian ketauhidan kepada Allah, maka hal tauhid mesti diselesaikan. Mungkin seseorang tidak solat kerana merasakan sudah selesa, mewah dan berakhlak baik. Maka jawabnya yang sesuai mungkin, menunaikan solat sebagai tanda terima kasih kepada Yang Maha Kuasa pemberi nikmat kekayaan itu.

Mungkin seseorang tidak bersolat kerana keciwa, gagal dan menderita miskin. Maka pendekatannya mungkin memberitahu di mana-mana juga orang gagal dan menderita, kemudian mati. Mungkin jiwanya tersentuh jika digambarkan kekayaan Allah yang akan dinikmatinya di alam akhirat kerana menjadi manusia taat sekalipun semasa hidup tidak mewah seperti jiran-jirannya.

Lagi, pendakwah mestilah memberi jalan dengan 1001 sebab supaya khalayak muslim melihat solat sebagai mudah saja dilaksanakan. Solat juga harus dilihat sebagai kembalinya manusia muslim kepada fitrah kehidupan. Solat akan meredakan kekacauan dalam perjalanan hidup.

Sebaik-baik penjelasan adalah solat sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. dan dalam alquran. Kita diajak menjadi jujur bahawa melafazkan niat dan membayangkan semua rukun solat dalam takbir pertama bukanlah daripada sunah Nabi. Hal-hal yang bukan sunah Nabi tetapi menjadi beban kepada muslim menunaikan solat wajar diasingkan ke tepi. Seperti juga menekankan bacaan qunut subuh, sedangkan menurut hukum mazhab hanyalah sunat. Perkara hukum sunat dijadikan alasan tidak solat, satu pengajaran kurang tepat.

Banyak yang beranggapan solat jamak hanya untuk para musafir, sehingga melupai tujuan solat jamak. Wajib benar dipecahkan kebuntuan minda itu dengan memberi contoh para pesakit juga mendapat hak menjamak solat. Begitu juga kaedah bertayamum yang selama ini hanya tercatat dalam buku dan bayangan minda. Set minda ini wajib dirungkai, bahawa tayamum adalah juga hak pesakit dan musafir selain kerana masalah ketiadaan air. Dan cara bertayamum yang dicontohkan oleh Nabi dengan menepuk telapak tangan pada dinding, meniup debu di telapak tangan dan kemudian menyapu ke muka dan dua tangan hingga ke pergelangan saja. Ya, mudah sekali.

Tidak kurang memberi alasan takut tertinggal kenderaan, maka solat dinyahkan. Surah al Baqarah: 239 memberi kelonggaran bersolat dalam keadaan seadanya kerana ketakutan ini. Takut apa? Penulis Tafsir al Azhar, Buya Hamka menafsir dengan pengalaman peribadinya semasa menaiki kereta api di Perancis. Kerana takut ketinggalan kereta api, maka dia terus duduk saja dalam gerabak, lalu bertayamum dengan menepuk dinding gerabak, kemudian solat dalam keadaan duduk. Dia melakukan semua pergerakan solat seadanya sebagai penumpang kereta api. Nah beres begitu!

Apa pun, harap segala kegiatan mendakwahi muslim supaya solat masih dalam orbit nas-nas alquran dan sunah Nabi. Anjuran dibenarkan mengkadha semua solat dan solat menghormati waktu yang tiada dalam aturan sunah bukanlah keutamaan, malah hal itu boleh menyebabkan pengabaian solat atau memandang enteng saja.

Wallahu’aklam.

Selasa, Januari 22, 2008

BELASUNGKAWA

SEMALAM tanggal 21 Januari, ayah mentua saya Kadri bin Sentol, 65 tahun kembali ke alam baqa jam 4.30 pagi. Sebagai anak sekalipun sudah dewasa tentu kehilangan yang tidak akan berganti (sebenarnya tidak kembali), terasa juga kehilangan.

Pergilah satu insan yang sebelumnya berjasa kepada sesiapa yang bermuamalat dengannya. Dia insan kecil, orang besar di negeri atau persekutuan tidak tahu pun kewafatannya, tapi di sisi Allah semua sama. Saya meminjam kata-kata Sdr Baha Zain dalam Dewan Sastera bahawa insane kecil sepertinya juga berjasa, bukan yang bergelar-gelar dan semasa hidupnya disanjung. Tulis Baha Zain lagi, kalau dia menanam sepohon pisang dan dia menyiram, membaja pohon itu kemudian berbuah. Buah pisang itu sekalipun akhirnya dimakan monyet, dia merasa telah berjasa juga kepada negara. Betul Baha, sekurang-kurangnya monyet yang kenyang tidak akan menceroboh rumah seorang menteri atau VVIP, dan VVIP itu dapat meneruskan kerja mengurus syarikat besar atau menteri mentadbir negara tanpa ada gangguan perasaan rumahnya diceroboh seekor monyet yang lapar!

Benarlah kita terlalu diwarnai adat sekalipun pergerakannya dilihat dari sudut agama. Di desa itu adat tradisinya mayat akan dikubur hanya selepas solat zuhur. Ertinya, mereka kurang ambil kira kehendak ahli keluarga supaya menyegerakan pengurusan jenazah, sekalipun semua ahli keluarga sudah ada sejak jam 10 pagi, namun kena menunggu juga. Itulah status quo yang terlembaga sehingga susah dirungkai.

Jangan ceritalah soal mengapa dibacakan yasin di atas kubur dan kemudian ada majlis sehingga tujuh malam di rumah si mati. Meski diakui semua itu bukan perkara wajib (malah di kalangan penggiatnya pun kata bukan wajib), kerana sudah terlembaga begitu, maka begitu-begitu sajalah. Pada saya, kalau soal hendak menyegerakan jenazah dikebumi pun mereka beralah dengan kehendak tradisi desa, maka fahamlah jika lebih jauh daripada itu.

Benarlah Rasulullah meminta jiran tetangga membawakan makanan kepada keluarga si mati kerana keluarga si mati dalam tanggungan sedih dan kelam kabut. Ini bukan majlis kenduri yang bisa dirancang terdahulu. Kematian, sekonyong-konyong sanak saudara kembali ke rumah dan mengucap takziah. Yang jauh-jauh mengambil masa juga di rumah. Maka terpaksalah keluarga si mati ini menyiapkan juga sekalipun segelas minuman. Jadi, keadaan bertambah rumit juga dengan urusan si mati dan sanak saudara yang kembali. Maka saya dan keluarga terdekat terpaksa menanggung dua perkara, kesedihan kerana kematian dan kesibukan meladeni sanak saudara dari jauh. Tidak ada jiran tetangga membawa makanan kepada kami sebagaimana yang Rasulullah anjurkan!

Semoga Allah mengampuni segala dosa almarhum dan dimudahkan urusannya di alam sana. Yang tinggal akan menyusul juga, entah cepat atau lambat.

Sabtu, Januari 19, 2008

SAF kanak-kanak dalam solat jemaah (ii)

Seringkali kita melihat kanak-kanak apabila memasuki masjid, mereka dipisahkan dari ibubapa mereka. Sudah menjadi kelaziman, kanak-kanak ditempatkan di saf yang terbelakang. Tidak kurang juga kita melihat terdapat AJK masjid ditugaskan khas bagi memastikan agar kanak-kanak ini pergi ke tempat yang dikhusus untuk mereka.

Tidak kiralah, sama ada mereka sampai awal atau pun tidak, mereka tetap akan diletakkan di saf belakang, Keadaan yang lebih sedih lagi, terdapat kanak-kanak yang sampai awal, duduk di saf pertama disuruh berpindah ke saf belakang. Tindakan ini disebabkan dikhuatiri kanak-kanak ini mungkin akan mengganggu jemaah yang bersolat di saf hadapan. Ada kemungkinan mereka akan bermain-main atau menangis, dan ini akan mengalih konsentrasi jemaah yang berada di saf tersebut.

Alasan ini yang menyebabkan masjid mempunyai saf khas untuk kanak-kanak bersolat. Ada juga antara pihak masjid yang melaksanakan larangan ini disebabkan terdapatnya riwayat yang melarang membawa kanak-kanak ke masjid. Dalam Sunan Ibn Majah, kitab masjid dan jemaah, bab apa yang tidak disukai dalam masjid, dikatakan Nabi saw bersabda,
جنبوا مساجدكم صبيانكم ومجانينكم وشراركم وبيعكم وخصوماتكم ورفع أصواتكم وإقامة حدودكم وسل سيوفكم واتخذوا على أبوابها المطاهر وجمروها في الجمع
"Jauhi masjid kamu dari kanak-kanak kamu, orang gila, jual beli kamu, pertengkaran kamu, ketinggian suara kamu, perlaksanaan Hudud dan mempamerkan pedang kamu. Jadikan tempat membasuh dan wudhu' berdekatan dengan pintunya dan mewangikannya pada hari Jumaat" [Riwayat Ibn Maajah #750].


Hadith ini dhaif menurut Ibn al-Jauzi, Munziri, Haitaimi, Ibn Hajar al-Asqalani dan Busyairi. Syeikh Abdul Haqq al-Ishbeli mengatakan bahawa hadis ini tidak berasas. Maka hadis di atas ini tidak boleh dijadikan dalil melarang kanak-kanak dari pergi ke masjid.

Di sana terdapat satu hadis sahih menjelaskan siapakah yang harus berada di belakang Imam. Riwayat dari Abdulllah bin Mas'ud ra, Nabi :saw bersabda :-
يَلِني منكم أُولُو الأحْلامِ والنُّهى
"Jadikan di belakangku mereka yang kalangan kamu yang alim dan matang" [Hadith Riwayat Muslim, #432]


Syeikh Ibn Baaz rh semasa menjelaskan hadis ini mengatakan bahawa ini bermakna orang yang alim dan matang digalakkan datang awal dan melakukan solat di hadapan jemaah-jemaah lain [1]. Hadis ini tidak menunjukkan larangan kepada kanak-kanak untuk duduk di saf awal.

Malah Imam al-Nawawi rh. juga menjelaskan bahawa adalah mustahak bagi seorang kanak-kanak berdiri di antara dua orang dewasa agar dia dapat mempelajari pergerakan solat dari mereka. [2].

al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani menjelaskan bahawa Ibn Abbas bersama-sama dengan jemaah bersolat jenazah semasa Nabi :saw melakukan Haji sedangkan beliau belum baligh.

Peristiwa di atas ini jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak dilarang berada di saf hadapan. Bagaimana pula dalam situasi kanak-kanak yang berada di saf hadapan itu dipindahkan kepada saf yang ke belakang? Syeikh Abdul Aziz bin Baaz rh mengatakan bahawa perbuatan ini menyalahi hadis sahih bahawa Abdullah bin Umar ra, meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda :-
لا يقيم الرجل الرجل من مجلسه ثم يجلس فيه
"Tidak boleh seorang lelaki menyuruh seorang lelaki yang lain berdiri dari tempat duduknya, kemudian dia pun duduk (menggantikannya) ditempatnya" [Hadith Sahih Riwayat al-Bukhari, al-Jaami' al-Sahih, no: 6269].


Syiekh bin Baaz rh [1] menegaskan bahawa jika kanak-kanak itu telah duduk di saf hadapan, mereka tidak boleh dipindahkan ke saf yang yang belakang, dan makmum tersebut pula menggantikan tempat mereka. Adalah menjadi hak kepada sesiapa saja yang sampai awal untuk duduk di saf yang hadapan.

Syiekh Ibn Utsaimin rh. [4] mengatakan bahawa pandangan mengalihkan kanak-kanak yang telah duduk di saf awal perlu dikaji semula. Beliau berpandangan bahawa kanak-kanak pergi awal ke masjid dan duduk di saf yang awal perlulah dihargai perbuatan mereka. Mereka mempunyai hak untuk duduk di mana-mana ruang yang dibenarkan di dalam masjid.

Kedua-dua Syiekh ini menyatakan beberapa implikasi kepada perbuatan mengalihkan kanak-kanak ini, berkemungkinan akan mengakibatkan perkara dibawah ini :-
Kanak-kanak akan patah semangat untuk pergi ke masjid Kanak-kanak akan membenci orang yang memindahkan mereka.


Ibn Utsaimin mengatakan bahawa kanak-kanak ini akan ingat peristiwa yang berlaku ke atas mereka. Perbuatan ini juga akan menjejaskan semangat berlumba-lumba untuk pergi ke masjid. Ibn Utsaimin menyatakan bahawa jika kanak-kanak yang di tempatkan di bahagian belakang, ada kemungkinan juga mereka akan bermain-main dan membuat bising kerana tiada orang dewasa disebelahnya.

Ada di kalangan ulama' mencadangkan di dalam saf yang panjang, yang betul-betul berada di belakang Imam adalah mereka yang alim dan matang, dan disamping itu, jemaah yang lain termasuklah kanak-kanak boleh berada pada barisan hadapan. Bapa juga berperanan mendisplinkan anak-anaknya agar mereka tidak bertindak nakal didalam masjid. Kanak-kanak perlu digalakkan bersolat di masjid oleh ibu-bapa mereka. Ia menjadi kewajipan ibu-bapa mengajar anak mereka bersolat, sebagaimana semua diantara kita sudah maklum dengan hadith berikut :-
مروا أولادكم بالصلاة لسبع واضربوهم عليها لعشر وفرقوا بينهم في المضاجع
"Suruhlah anak-anak kamu bersolat apabila umur mereka 7 tahun, dan pukullah mereka apabila mereka berumur 10 tahun, dan pisahkan mereka dari tempat tidur [kamu]" [Riwayat Abu Daud].


Syeikh Saleh al-Fawzan [5] mengatakan bahawa kanak-kanak yang telah masuk umur 7 tahun boleh dibawa ke masjid bagi tujuan latihan, proses pembesaran mereka dan menjelaskan amalan-amalan sunat kepada mereka. Bagi mereka yang bawah 7 tahun, tidak perlu bawa ke masjid melainkan mereka ini jenis yang tidak mengganggu orang sedang bersolat di masjid.

Kesimpulannya, tidak ada larangan bagi kanak-kanak untuk duduk di saf awal. Kanak-kanak yang telah duduk di saf awal, tidak boleh dipindahkan ke saf yang belakang. Bapa hendaklah memastikan anak-anak mereka berdisplin semasa membawa mereka ke masjid. Diharap pihak-pihak surau dan masjid dapat mengambil kira pandangan-pandangan yang membenarkan kanak-kanak dibawah umur ini bersolat di saf-saf yang awal. WA.
------------

1. Majmu’ Fataawa wa Maqaalaat Mutanawwi’ah li Samaahat al-Sheikh Abdul Aziz ibn Baaz, 12/399
2. Kitab al-Majmu jilid 4. Jeddah : Maktabah Irsyad, ms.186
3. Fath al-Bari Jilid 4. Kaherah : Dar al-Hadith, 1998. ms. 244
4. Fatwa Ibn Utsaimin. الصف الأول بين الصبية وكبار السنالعنوان. URL : http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528621924
5. Fatwa beberapa mufti. اصطحاب الأطفال للمساجد. URL :
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528620774

Moderator Mr. Kamin. 20 Mei 2007

SAF kanak-kanak dalam solat jemaah (i)

Soalan
Apabila saya membaca artikel fikrah ahkam yang mengatakan seseorang tidak boleh diubah dari kedudukan safnya walaupun dia masih kanak-kanak sebagaimana yang dibincangkan dan penjelasan daripada ulama timur tengah, saya faham akan masalah tersebut.
Namun seorang ustaz di tempat saya telah membangkang apa yang telah dibincangkan kerana katanya apabila kanak2 yang masih belum baligh berada di dalam saf bersama orang dewasa, kemungkinan katanya akan berlapik atau pun tertindih mana-mana bahagian badan kanak-kanak (yg masih belum baligh) dengan orang dewasa akan menyebabkan batalnya solat kerana kanak-kanak tersebut masih belum baligh dan dikira menanggung najis sekiranya tertindih, contoh tangannya..sebab itulah katanya kita perlu memastikan kanak-kanak berada dalam saf yang berlainan dengan kita..apa komen panel ahkam?

Jawaban panel al Ahkam.

Ada dua isu di sini:

1. isu kanak-kanak belum baligh dalam saf, dan
2. isu kanak-kanak yang menanggung najis dan menyentuh org yg bersolat.

Isu 1: Tidak ada masalah dalam hal ini. Bahkan isu ini sudah dibahaskan tidak lama dahulu. Adapun tertanggunya najis pada kanak2 belum baligh itu adalah sangkaan sahaja.

Isu 2: Di sini lampirkan jawaban Ustaz Zaharudin Abdul Rahman yang pernah dikeluarkan dalam harian metro.

Soalan dalam akhbar Metro.
Assalamualaikum ustaz, saya seorang ibu yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Saya pernah diberitahu bahwa solat akan terbatal sekiranya anak-anak yang membawa najis (memakai lampin) dan anak-anak yang belum berkhatan tersentuh pakaian kita semasa kita sedang sembahyang, apatah lagi jika tersentuh tubuh badan. Tetapi, saya pernah melihat ada orang yang terus solat apabila keadaan itu berlaku. Saya mohon penjelasan, adakah perselisihan pendapat dalam hal ini? Terima kasih.
Drpd: Ibu musykil -


Jawaban Ust Zaharuddin.
Menurut Mazhab Syafie bersentuhnya anak yang menanggung najis di dalam lampin atau belum bersunat dengan seseorang dewasa yang sedang solat adalah tidak membatalkan solat. Keadaan yang seperti ini ada disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam Rawdah at-Tolobin dengan katanya: " Sekiranya seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci (pada jasanya seperti kanak-kanak ) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka TIDAK BATAL SOLATNYA" (Rujuk Rawdah at-Tolibin, hlm 123 cet : Dar Ibn Hazm).

Pada hemat saya ini adalah kerana:
i. Bersentuh itu tidak secara langsung dengan najis yang di tanggunginya. Jika secara langsung batallah solat seseorang tapi tidak wudhunya. Jika tersentuh najis secara langsung, ia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih, dan tiada wudhu baru diperlukan.

ii. Bersentuh secara tidak langsung dengan budak yang menanggung najis seperti memegang tangannya atau ia menyentuh pakaian kita, adalah tiada membawa sebarang masalah kerana kanak-kanak itu bukannya najis bergerak dan tidak pula tubuhnya bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali, ia hanya menanggung najis sahaja. Bagaimanapun, solat boleh terbatal sekiranya kita menanggung kanak-kanak ini (ia disebut dalam mazhab Syafie sebagai : "Haamil limuttasil binajastin") sama ada dengan mendukungnya atau ia memanjat belakang kita semasa sujud atau ia duduk di atas riba semasa kita sedang duduk tasyahhud akhir. (Mughni Al-Muhtaj, 1/ 264 cet Dar al-Fikr )

Akan tetapi jika kita menanggung sesuatu najis lalu bertindak membuangnya dengan cepat, solat tidak dikira batal . Ia berdasarkan peristiwa para sahabat bersolat bersama Nabi SAW dan Nabi SAW bersolat dengan memakai selipar, lalu tiba-tiba mereka melihat Nabi SAW (semasa dalam solat) menanggalkan seliparnya, maka seluruh sahabat yang melihat keadaan ini turut menanggalkan selipar mereka (kerana menyangka ia adalah perbuatan yang mesti diikuti), maka apabila telah selesai solat nabi bertanya kepada para sahabat : " Apakah yang menyebabkan kamu menanggalkan selipar-selipar kamu ?

Para sahabat menjawab : kerana kami melihat kamu melakukannya.
Nabi membalas : Telah datang kepadaku Malaikat Jibrail as lalu memberitahuku bahawa di seliparku terdapat kekotoran atau najis (maka aku tanggalkan kerana itu). (Riwayat Abu Daud , no 650 , hlm 92 : Shohih menurut Albani. cet : Bayt Afkar )

Dari hadis di atas jelas kepada kita jika dengan segara membuang penanggungan kita terhadap najis, maka solat tidak terbatal sebagaimana dengan sgeranya Rasulullah membuang seliparnya yang terdapat najis. Justeru, jika anak kecil yang menanggung najis duduk di atas riba kita dan dengan pantas kita mengelak, maka solat tidak batal. (Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji, bab perkara yang membatalkan solat)

Sekian. Ust Zaharuddin http://www.zaharuddin.net

Jumaat, Januari 18, 2008

CURAHAN darah Syiah bukan ajaran Islam.

INIKAH ajaran Islam yang meminta penganutnya mencederakan diri sendiri atau antara muslim saling cedera-mencederai hingga darah bercucuran menyiram bumi? Jawaban yang jelas: Itu bukan ajaran Islam!

Namun inilah yang berlaku pada saban 10 Muharam di kalangan mereka yang menganut Islam, sebenarnya Syiah! Tulisan ini tidak membicarakan mengenai akidah dan aliran-aliran dalam Syiah.

10 Muharam adalah saat sebahagian penganut Syiah saling melukai badan mereka atas alasan merasa bersalah dan tanda bertaubat kerana kesalahan mereka membunuh cucu Rasulullah Saydina Hussein bin Ali pada tahun 61H. Asalnya mereka panduduk Kufah telah mengundang Saydina Hussein supaya datang ke Kufah dari Madinah untuk dibaiat sebagai pemimpin. Tetapi kerana keteledoran para pengundang dan malah ahli sejarah dapat membuktikan pula bahawa watak pembunuh Saydina Hussein adalah orang Syiah sendiri: Syits bin Rab’ei.

Maka konon para syiah (pendukung ahlul bait – Ali) merasa sangat menyesal sehingga mereka menggunakan kaedah taubat yang Allah syariatkan kepada para pengikut Nabi Musa dalam menjalani proses taubat (al Baqarah: 54). Oleh itu sebaik sahaja Saydina Hussein terbunuh maka puak ‘at Tauwabun’ Syiah ini saling berbunuhan di tebing sungai. Jadi difahami bahawa pada hari ini pewaris at Tawabun ini mengalirkan darah mereka ke bumi sebagai tanda sangat menyesal kerana membunuh Saydina Husein bin Ali bin Abi Talib. Mereka, Syiah yang mendakwa pencinta ahlul bait adalah pembunuh cucu Rasulullah sendiri!

Tidak, tidak sama sekali, pengaliran darah kerana konon penyesalan ini bukan ajaran Islam. Jangan kaitkan fahaman sesat ini dengan Islam yang membawa kesejahteraan kepada manusia sejagat. Islam tidak menerima konsep dosa dan pahala warisan. Jika moyang Syiah di Kufah dahulu yang bersalah dan menyesal kerana membunuh Saydina Hussein, tidak ada sebab anak cucunya mewarisi kejahatan dan dosa mereka. Cukuplah mereka yang bersalah terhukum di dunia atau ditentukan oleh Allah, tidak untuk anak cucunya. Namun mereka meneruskan tradisi jahiliyah warisan dosa. Itu bukan ajaran Islam.

Rabu, Januari 16, 2008

10 Muharam datang lagi

Oleh: Mohamad Abdul Kadir b Sahak www.al-Qayyim.net

Tidak ada sebarang amalan yang memiliki kelebihan untuk dilakukan pada hari 'Asyura MELAINKAN PUASA seperti yang thabit di dalam beberapa hadith Nabi saw, antaranya satu hadith dari Abi Qatadah r.a. yang menceritakan seorang lelaki bertanya kepada Nabi saw tentang (kelebihan) puasa 'Asyura. Nabi saw menjawab, maksudnya: "Aku mengharapkan Allah mengampunkan dosa setahun sebelumnya." (HR Muslim)


Para ulama umat Islam telah bersepakat menyatakan puasa 'Asyura ini termasuk di dalam sunah yang thabit dari Nabi saw. Disunatkan bagi setiap muslim melaksanakannya, Ia adalah hari yang kesepuluh Muharram.

Adapun cara mununaikannya, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan: "Susunan (kelebihan) puasanya ada tiga, yang paling sempurna ialah puasa (dimulakan) sehari sebelumnya dan sehari selepasnya, berikutnya (boleh juga) puasa pada hari kesempilan (Tasu'aa) dan kesepuluh ('Asyura), terdapat banyak hadith dalam perkara ini, berikutnya pula (boleh juga) puasa pada sepuluh Muharram sahaja." (Zaad al-Ma'ad. 2/76)

Adakah Kelebihan-kelebihan yang lain ?
Tidak ada kelebihan lain pada hari 'Asyura melainkan puasa sahaja. Jika ada kelebihan-kelebihan lain ia datang dari sumber yang tidak sahih dari Nabi saw. Sebagai contoh satu riwayat yang dikatakan hadis:
Maksudnya: "Sesiapa yang meluaskan keluarganya pada hari 'Asyura, Allah akan meluaskan untuknya sepanjang tahun."
Hadis ini adalah diriwayatkan dalam beberapa bentuk, namun satupun daripadanya tidak sahih seperti yang telah dijelaskan oleh al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali di dalam Latoif al-Ma'arif (113). al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani berkata: "Demikian itulah kesemua jalan-jalan hadis ini, berlegar dengan periwayat-periwayat yang mungkar dan majhul, barangkali juga mereka daripada kalangan orang-orang yang memusuhi Hussain r.a. yang memalsukan hadith kelebihan memberi makan, memakai celak dan selainnya pada hari 'Asyura sebagai bertentangan dengan Syi'ah yang menjadikan hari ini hari kesedihan terhadap Hussain r.a. yang telah dibunuh pada hari tersebut." (Tamam al-Minnah : 411-412)

Perkara yang sama juga terhadap kelebihan menghidupkan malam 'Asyura atau solat sunat 4 rakaat padanya, ziarah kubur pada hari 'Asyura dan sebagainya yang bersumberkan hadis tidak sahih. Sebahagian orang ada juga yang mendakwa pada hari 'Asyura inilah berlakunya taubat Nabi Adam, berlabuhnya perahu Nabi Nuh atas bukit al-Juudi, kembalinya Nabi Yusuf kepada Nabi Yaakub, selamatnya Nabi Ibrahin daripada api dan sebagainya, semua ini diriwayatkan daripada hadis-hadis yang palsu. (Sila lihat al-Fatawa al-Kubra. 2/248-249)-(melalui perantaraan laman islamonline.net)

wallahua'lam.


MENCARI keteduhan dalam kepanasan

DALAM akhbar Berita Minggu lepas ada sisipan mengenai pembinaan Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu yang bernilai RM 249.3 juta. Jika TTI menjanjikan kita tidak perlu ke Agra untuk melihat Taj Mahal lambang cinta Shah Jahan – Mumtaz Mahal, namun itu memang hanya replika. Replika tidaklah sama saiz dan hebatnya dengan yang sebenar.

Katanya ada 21 replika bangunan bersejarah yang menjadi kebanggaan semua umat Islam telah dan sedang dibangunkan di Kuala Terengganu. Sebelum ini saya telah mencatat kunjungan ke Kompleks Sejarah Pasir Salak di hilir Sungai Perak. Di Komplek Sejarah Pasir Salak juga dibangunkan replica peristiwa penting sejarah negara. Antaranya replica Raja Abdullah sedang menanda tangani Perjanjian Pangkor dengan Sir Andrew Clarke, pembunuhan Birch, Datuk Maharaja Lela digantung, Parameswara membuka Melaka dan beberapa lagi.

Kepada yang pesimis dengan usaha-usaha kerajaan mengenai pembangunan replika sejarah, semua itu dipandang tidak berguna dan dianggap pembaziran. Pengunjung belum dibenarkan ke TTI, jadi belum dapat dirasakan apa yang dibangunkan di sana. Di Pasir Salak, kerajaan membangunkan muzium, tugu, rumah-rumah tradisional dan resort yang seratus peratus bercirikan tradisional Melayu. Berapa juta ringgit? Saya agak tidak cukup 10 juta ringgit. Untuk mengkritik kompleks itu sebagai tidak berguna pun mudah sebab jumlah penduduk di situ bukan banyak sangat. Masjidnya hanya sebesar sebuah surau di taman perumahan di bandar.

Negara umpama sebuah rumah. Rumah bukan hanya untuk berteduh daripada hujan dan panas, malah wajib menjadi tempat merasa damai dan bahagia. Manusia bukan hanya memerlukan sandang pangan demi hidup, malah keperluan emosi dan minda sekali. Di laman ada pohon orkid, lanskap, kolam ikan dan bahan-bahan seni yang lain. Untuk apa itu? Itulah sebahagian keperlan hidup manusia. Maka pembangunan TTI dan apa-apa pusat rekreasi, budaya, muzium sebagai keperluan pembangunan insan dalam negara. Hanya yang buta perasaan dan mindanya menafikan manusia memerlukan belaian alam untuk kelangsungan rasa kemanusiaannya.

Moral ceritanya, apa-apa yang kita tidak ketahui, sangat mudah dianggap tidak berguna. Misalnya pandangan seseorang terhadap seorang warga emas yang uzur berbeda antara satu peribadi dengan peribadi yang lain. Bagi anak-anak kepada warga emas itu, sekalipun dia sudah uzur dan tidak dapat menyumbang bakti lagi, namun warga emas itu sangat tinggi nilainya kepada semua anak. Sebab itu, apa sekalipun yang dialami oleh si tua renta itu tetap diterima dan diladeni sebaik mungkin. Kepada orang lain yang tidak mempunyai sejarah dengan warga tua itu, cukup merasa simpati, tidak lebih daripada itu.

Begitulah apa-apa barangan, bangunan, monumen, replika, muzium atau barangan seni dipandang dengan nilaian berbeda oleh setiap orang kerana didorong oleh perasaan dan sejarah berkaitan dengannya. Tidak keterlaluan supaya kita diajak jujur dan berlapang dada dengan kerja-kerja pemulihan tapak sejarah atau pembangunan yang dapat merangsang nilai-nilai sosial yang murni.

ANAKKU sayang!


Semoga Allah mempermudahkan usaha menyelamatkan adik Sharlinie. Ini kes kehilangan yang mungkin saja antara kita ada yang memilih jalan salah untuk menemukan permata yang hilang, iaitu menemui bomoh! Ini juga menjadi ujian keimanan dan akidah yang disandang. Jika bomoh begitu handal, mengapa kes Nurin sampai sekarang masih tidak dapat ditangkap sesiapa saja yang sebenarnya. Malah terpaksa pula kerajaan membawa bahan maklumat ke Amerika. Hindari bomoh, selamatkan akidah kita.




Catatan satu: Hari Isnin tanggal 7 Januari 2008, anak saya yang masuk darjah satu mula menaiki van sekolah buat kali pertama. Kesilapan saya ialah tidak menyusun dan memastikan tempat untuk dia menunggu van sekolahnya. Dan kerana itu hari pertama menaiki van dan kebetulan pemandu van bukan pula orang yang dikenali, maka terjadilah yang tidak diduga. Anak saya keluar pagar sendirian, terpinga-pinga. Dia dipelawa naik van sekolah oleh seorang makcik. Kerana menyangka itu vannya, anak saya terus naik, padahal itu bukan kenderaannya. Mujurlah orang yang membawanya manusia berjiwa jujur. Bersusah payah dia mencari rumah pengasuh anak saya, namun gagal. Dan mujur juga anak saya masih bertahan dan dapat mencari idea untuk kembali ke pangkuan pengasuh (abah dan mak angkatnya). Kata anak saya "pakcik hantarkan saya ke tempat basuh kereta abah saya." Di sanalah semua hati yang gementar berakhir!

Catatan dua: Sore tadi jiran memberitahu saya di lorong perumahan yang kami diami ada satu tragedi juga. Seorang kanak-kanak 7 tahun menaiki basikalnya sendiri, kemudian datang seorang budak lelaki yang lebih besar (lingkungan 11-12 tahun) menolak budak itu sehingga terjatuh, kemudian budak lelaki itu mengambil basikal anak yang malang itu. Basikalnya dibawa lari. Peristiwa itu berlaku di lorong perumahan yang meriah pada waktu sore. Nilailah sendiri teman-teman...

Isnin, Januari 14, 2008

DI mana bahasaku?

SAYA membaca dalam satu risalah kecil mengenai solat dan wirid yang diterbitkan oleh satu jemaah masjid di Batu Pahat. Antara petikan yang tertera dalam risalah itu ialah kata-kata Imam Syafie yang diambil daripada kitab Bahrul Mazi.

Perhatikan, “Di dalam alam dan barang mana imam berzikir ia dengan nyaring atau tidak atau dengan lainnya, maka iaitu elok dan aku pilih bagi imam dan makmumnya bahawa berzikir ia kemudian daripada sembahyang dan tidak nyaring oleh keduanya akan zikir itu melainkan bahawa ia imam yang wajib mengajar daripadanya, maka nyaring ia hingga melihat ia akan sungguhnya telah belajar daripada kemudian tidak menyaring ia.”

Imam Syafie menulis dalam bahasa Arab dan ulama Melayu kita yang menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Mudahkah terjemahan itu difahami?
(maksudnya secara ringkas Imam Syafie berpendapat selepas solat berjemaah, imam berzikir dengan suara nyaring hanya sebagai contoh mengajar kepada makmum, dan jika makmum sudah memahami bacaan zikir Imam Syafie lebih suka imam zikir secara senyap.)

Bagi saya ada dua faktor yang menyebabkan terjemahan oleh ulama kita menjadi sebegitu rupa.

Pertama: Laras bahasa Melayu zaman awal abad ke-19 dan ke-20 tidaklah tersusun sebagaimana anjuran buku Tata bahasa Dewan. Oleh itu jika sesiapa pernah membaca buku Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Dewa dan beberapa hikayat lama, maka begitulah laras bahasanya. Saya contohkan daripada Sejarah Melayu, (Sejarah Melayu:1977, KL, Fajar Bakti, ms 203) “Setelah hari siang, maka Feringgi pun naiklah ke darat. Maka Sultan Ahmad pun naik gajah. Juru Demang namanya; Seri Udani di kepala gajah, Tun Ali Hati di buntut. Maka baginda pun keluarlah dengan segala hulu balang. Maka peranglah dengan Feringgi beramuk-amukan.”

Kedua: Ulama menterjemah kitab Arab ke dalam bahasa Melayu secara harfiah, iaitu menterjemah setiap kalimah Arab ke bahasa Melayu klasik zaman berkenaan. Saya beri contoh terjemahan harfiah surah al Baqarah ayat 6 (Hashim Ghani, 1985, Kursus Terjemah al Furqan, Kuala Pilah), “Bahawa sanya segala yang telah ingkar mereka sama sahaja atas mereka, adakah telah memberi ancaman oleh engkau akan mereka atau telah tidak engkau beri ancam akan mereka, tidak mereka beriman.”

Kita tidak menyalahkan ulama silam, kerana itulah kemampuan mereka dan itupun sangat berharga kepada bangsa Melayu memahami ilmu-ilmu Islam. Kini bahasa Melayu telah berkembang pesat termasuk ilmu penterjemahan. Antara ciri penting ketika menterjemah ialah menjadikan terjemahan karya asing ke bahasa Melayu sebagai ‘sejadi’. Sejadi ini lebih didasari budaya bangsa dan nahu bahasa terjemahan (Bahasa Melayu). Jika konsep ‘sejadi’ ini diamalkan hasil terjemahan akan kelihatan tulen seperti karya asal daripada Bahasa Melayu.

Saya pernah menyunting terjemahan buku berjudul (kalau tidak silap) “Ikhwanul Muslimin di bawah Umar Tilmisani”. Penterjemahnya seorang ustaz yang mahir dalam Bahasa Arab, malangnya tiada asas penterjemahan moden ke dalam Bahasa Melayu. Sungguh merumitkan, kerana saya terpaksa menulis semula terjemahan yang harfiah ke bentuk ‘sejadi’ Bahasa Melayu. Akhirnya buku itu berjaya diterbitkan, tetapi menjadi begitu tipis!

Mana-mana ustaz atau ulama yang tidak menerima disiplin Bahasa Melayu dan penterjemahan modern akan cenderung menterjemah ayat-ayat al Quran atau petikan daripada Bahasa Arab dalam bentuk harfiah. Laras Bahasa Melayu mereka mirip nahu Bahasa Arab. Hal ini cenderung kepada pencemaran bahasa. Contoh klasik tata bahasa yang salah tetapi diterima kerana lahir daripada mulut orang agama ialah “Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan”. ‘Kamu’ bererti mayat, ‘disembahyangkan’ bererti didirikan untuk bersolat! Jika ayat itu bermaksud mayat yang baring saja, “Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangi”.

Bahasa bukan perkara remeh kerana bahasa merupakan alat berfikir. Bagus bahasanya, maka baguslah alat berfikirnya. Oleh itu hasil pemikirannya juga bagus sekali. Nah, jika bahasanya gawat, hasil pemikirannya pun gawat!

Jumaat, Januari 11, 2008

SEKULAR atau munafik?


ADAKAH munafik itu sekular? Surah al Baqarah ayat 8-21 menceritakan keperibadian orang-orang munafik. Mereka berpura-pura menerima iman, sebenarnya benci keimanan kepada Allah.

Sekular, orang-orang ini menerima keimanan kepada Allah dalam bidang yang sempit, misalnya ibadah khusus sahaja. Mereka memerlukan agama kerana ada fitrah manusia mencari Tuhan, tetapi mereka percaya ibadah atau urusan Tuhan tidak ada kena-mengena dengan hal-hal keduniaan.

Katakan manusia yang kuat beribadah tetapi ada urusan keduniaannya melibatkan rasuah. Kepada mereka rasuah, judi, pelacuran dan arak misalnya bukan urusan Tuhan. Semua itu dimasukkan juga dalam urusan keduniaan lain yang manusia mempunyai kuasa memilih dan menentukan. Manusia ini berfikiran sekular, iaitu memisahkan Tuhan dengan urusan keduniaan. Ingat, mereka percayakan Tuhan dan membuktikan dengan amal ibadah juga.

Orang-orang munafik, mereka sebenarnya tidak percayakan Tuhan. Mereka hanya menampakkan wajah sebagai orang beragama, sebagai orang yang mengenal Tuhan, tetapi hanya lakonan. Jika mereka punya kesempatan, mereka akan menzahirkan kebenciannya terhadap Allah atau Islam. Ini berbeda dengan manusia sekular yang masih beribadah sekalipun hidup terasing daripada orang. Mereka menerima Allah dan beribadah, tidak membenci agama, cuma bagi mereka urusan agama hanya di tikar solat atau di masjid dan kubur.

Tetapi jangan melihat manusia sekular ketika mereka berada di pentas dunia sahaja. Misalnya jika artis dan ahli sukan, mereka dikatakan manusia sekular. Untuk berlaku adil, lihat juga para ahli ibadah di masjid dan surau. Mereka termasuk yang sentiasa menjaga solat malah berjemaah di masjid, tetapi jika kehidupan sosialnya tidak diurus dengan Islam, mereka juga sekular.

Ada ahli-ahli ibadah yang merokok dan mengotorkan alam sekitar. Mereka itu buat tidak kisah mengenai undang-undang atau peraturan sosial dengan alasan itu undang-undang dunia, bukan undang-undang Tuhan. Maka mereka tidak perduli peraturan kebersihan, lalu lintas atau etika kerjaya. Tidak syak lagi, mereka juga manusia sekular.

Orang yang kuat beribadah kerap melihat mereka yang lalai dalam ibadah sebagai manusia sekular. Jaga-jaga, sebab kaki solat dan penceramah agama juga boleh saja menjadi manusia sekular juga jika terkena dengan kaedah contoh di atas.

Masjid dan rumah juga boleh menjadi pusat sekular. Masjid hanya menerima agenda ibadah khusus seperti solat, berbuka puasa, kursus haji tetapi menolak dijadikan pusat diskusi ekonomi atau sukan. Maka masjid pun dilihat berwajah sekular.

Pendidikan juga boleh cenderung menjadi sekular. Misalnya dengan memisahkan sains, bahasa, matematik, geografi daripada pengaruh al Quran dan Sunah, maka ilmu-ilmu itu akan menjadi sekular. Ilmu astronomi itu menjadi sekular atau tidak Islami dengan keyakinan semua planet bergerak sendiri atau semula jadi. Api semua sifatnya panas dan membakar, padahal dalam al Quran Allah ada memerintahkan api menjadi nyaman tidak membakar Nabi Ibrahim.

Ilmu fardu ain juga akan menjadi ilmu sekular apabila tidak digunakan dalam kehidupan. Belajar solat jamak qasar tetapi apabila musafir tidak solat. Al Quran diketahui ertinya dalam bahasa ibunda, tetapi tinggal dalam kotak ingatan sahaja. Jadilah ilmu hafalan itu sebagai ilmu sekular juga.

Semua ini memberi pengertian bahawa sekular itu ialah pemisahan antara urusan Islam dengan hal-hal keduniaan. Oleh kerana takrifannya berasaskan pemisahan, pengertian sekular boleh saja mengenai ahli dunia atau ahli ibadah. Mungkin ada yang tidak setuju, itu bergantung kepada pemahaman dan ilmu yang dimiliki. Ini sebahagian daripada wacana ilmu yang bebas diteroka. Pemahaman saya tidak akan memancung pengertian sekular yang di luar daripada skop yang saya bincangkan.

Khamis, Januari 10, 2008

REVOLUSI awal Muharam

AWAL Muharam kerap benar dikaitkan dengan penghijarahan Nabi s.a.w. dari Makkah ke Madinah. Bila berlakunya? 1429 tahun yang lampau. Patut benarlah sepatutnya antara penggerak minda umah dalam suasana Maah Hijrah ini melabrak minda khalayak mengenai kebangunan bangsa Arab daripada bangsa yang dihina oleh bangsa-bangsa lain, kepada satu bangsa yang sangat dihormati dan digeruni setelah menerima pakai modul Islam.

Kita mengetahui mengenai kebobrokan bangsa Arab di Hijaz itu melalui al Quran dan hadis-hadis nabi. Pembunuhan anak-anak perempuan, perjudian, perhambaan dan peperangan antara kabilah dan soal kekotoran yang dicatat dalam ayat-ayat larangan serta anjuran secara tidak langsung menceritakan mengenai keadaan lemah dan buruknya bangsa Arab. Jika ada hadis nabi mengenai orang kencing dalam masjid dan di teduhan pokok, itulah sebagian tabiat buruk mereka pada zaman jahiliah.

Nabi mula menerima wahyu pada 610M dan wafat pada 633M, kira-kira 23 tahun Allah mendidik manusia (dimulakan dengan bangsa Arab) dengan penurunan al Quran. Abu Bakr memerintah selama 2 tahun, dan Umar al Khattab selama 10 tahun. Sejarah merakam 10 tahun pemerintahan Umar sebagai zaman emas kerana cukup mapan dalam persaingan peradaban dunia. Maknanya 45 tahun selepas wahyu pertama diturunkan melalui Rasulullah, bangsa Arab sudah berada pada tahap lepas landas, tinggal meluncur maju ke hadapan.

Hanya 45 tahun (katalah saja 50 tahun, Malaysia merdeka pun sudah 50 tahun) satu bangsa yang asalnya begitu daif menjadi bangsa yang sangat dikagumi. Ini contoh revolusi paling tepat. Memang semua ajaran Islam adalah satu revolusi. Budaya peperangan kabilah diganti dengan persaudaraan sebagaimana dicontohkan oleh Ansar dan Muhajirin, contoh revolusi sosial terbaik. Rasulullah adalah orang luar kepada penduduk Madinah, tetapi dilantik menjadi Ketua Negara Madinah satu lagi contoh revolusi politik dunia!

Bagaimana Arab dapat dimajukan dengan begitu pantas? Jawabnya mereka dapat menghayati ajaran dan nilai Islam dengan tepat. Mereka menerima Islam bukan dengan retorik seperti kita, tetapi dengan sebenarnya. Kita lebih retorik dengan mengatakan Melayu mundur kerana mengabaikan Islam. Kita dijanjikan kalau Islam diterima 100 peratus Melayu pun akan menjadi sehebat Arab yang dididik oleh Rasulullah dan sahabat.

Bangsa yang dididik Nabi dan Sahabat itu, apabila dianjurkan mencari ilmu, mereka tidak berlengah lagi. Tamadun Islam tidak akan bergerak sepantas itu jika pembawanya masih jahil. Bayangkan saja semasa pra-Islam bangsa Arab yang lebih banyak buta huruf tetapi dapat mendepani tamadun dunia dalam tempoh setengah abad. Ilmu adalah asasnya, tambahan pula kuasa Rom dan Parsi telah lama membina tamadun yang juga berasaskan ilmu, ilmu dan nilai tamadun mereka. Dalam hal mencari ilmu, Arab dahulu tidak beretorik. Tawanan perang dapat menebus dirinya dengan mengajarkan ilmu kepada umat Islam!

Dalam hal kebobrokan sosial, apabila ditegah memutuskan silatur rahim, diharam membunuh saudara Islamnya dan dikeji hal-hal kekotoran, mereka bangkit meninggalkannya. Kita terlalu perlahan atau tidak peduli mengenai kesatuan ukhwah, malah ada yang menajamkan lagi atas nama parti, organisasi, kabilah dakwah atau aliran fikrah. Sedih apabila yang bercakap mengenai perpaduan, dimaksudkan dengan perpaduan dalam parti menghadapi parti lawan yang juga sahabat dan saudaranya yang Islam. Sampai bila-bila pun Islam hanya sebagai retorik penyelesai masalah umah.

Pemahaman Islam kita juga agak mengelirukan. Ada sebahagian yang menuduh segolongan lain sebagai ahli sekular dan wajib dilawan demi Islam yang syumul. Pada waktu yang sama ada kumpulan mengatakan sebagai Islam tetapi tidak perdulikan hal kemajuan dunia. Namun kumpulan ini tidak pula diserang sebagai sekular. Jika maksud sekular mengasingkan agama dan dunia, ahli ibadah yang menolak keduniaan atas nama zuhud dan sufi juga sekular.

Inilah dunia Islam di mana-mana pun. Menetapkan semua tarikh ibadah sebagai sama untuk umah sedunia pun gagal. Aneh sekali sekali 1 Ramadan dan 1 Syawal berbeda harinya, tetapi tarikh 1 Muharam sama di mana-mana. Set minda menyatukan umah terutama hal-hal keduniaan yang tiada halangan politik patut digerakkan dan dijadikan pandangan umum.

Selasa, Januari 08, 2008

APA ada pada hijrah Nabi

SALAM tahun baru 1429 Hijrah atau Awal Muharam atau juga disebut Ma’al Hijrah. Tahun Islam Hijrah berasas kepada perisitwa Rasulullah dan umat Islam berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masehi (kini 2008 Masehi). Sebelumnnya bermula tahun 610 Masehi Rasulullah mendapat wahyu. Rasulullah bersama Abu Bakr mengambil masa 12 hari untuk sampai ke Makkah. Hari ini dengan menaiki bas, dari Makkah ke Madinah boleh dilalui hanya 8 jam saja.

Mengenang Hijrah sewajibnya mengetahui perbandingan (persamaan dan perbedaan) antara kegiatan Islam di Makkah dan Madinah pada zaman Nabi. Jika seseorang tidak mengetahui apa-apa titik tolak Hijrah, maka dia kegersangan jiwa untuk merasa pentingnya Hijrah dalam jiwanya sebagai muslim.

Di Makah, Rasulullah dikeji, dihina dan umat Islam dikejar-kejar kerana menjadi muslim. Tetapi di Madinah Rasulullah diangkat sebagai Ketua Negara dan umat Islam dapat mengamalkan ajaran Islam dengan aman dan terbuka.

Di Makkah, umat Islam terpinggir dan tidak mempunyai apa-apa kekuatan, tetapi di Madinah umat Islam menguasai pemerintahan dan dapat membentuk pentadbiran negara. Pasukan tentera juga dibentuk di Madinah, bukan di Makkah.

Di Makkah, wahyu-wahyu yang diturunkan lebih kepada keimanan kepada Allah, tetapi di Madinah wahyu-wahyu Allah meliputi hal sosial, ekonomi dan politik.

Di Madinah Rasulullah sebagai Nabi dan Ketua Negara telah menyusun gerakan dakwah bukan sahaja kepada kabilah-kabilah Arab malah kepada Ketua kerajaan besar Rom dan Parsi (Sarsan).

Di Madinah tentara Islam memenangi banyak peperangan atau gazwah untuk mempertahankan daulah dan maruah umah, maka pada zaman itu fokus bangsa Arab kepada dua: Makkah dan Madinah. Tidak hairan jika konflik antara Makkah dan Madinah berlaku. Makkah seperti tidak ada pilihan lain, kecuali memusnahkan Madinah. Ini mengingat kepada Abrahah yang tidak punya pilihan kecuali memusnahkan Kaabah setelah pusat ibadah yang dibina di Yaman tidak laku. Sebagaimana Abrahah gagal, begitu juga Quraisy Makkah gagal terhadap Madinah.

Makkah dapat dikuasai oleh umat Islam pun setelah kejayaan Islam di Madinah. Kalau bukan kejayaan luar biasa Rasulullah di Madinah, Quraisy Makkah tidak sama sekali akan membuat perjanjian Hudaibiyah 628M. Perjanjian itulah yang merintis pembukaan Makkah oleh Rasulullah tahun 630M. Penguasaan Makah oleh Rasulullah dan Islam, maka di Tanah Arab fokusnya hanya satu iaitu Islam. Pentadbirannya di Madinah, Makkah sebagai pusat tumpuan ibadah!

Kemudian, pengkritik Rasulullah dan Islam mengatakan umat Islam menjadi pelarian ke Madinah. Jawabnya dalam bentuk soalan pula: Mana ada pelarian yang diangkat menjadi Ketua Negara di negara baru yang dituju itu? Tidak ada dalam sejarah bangsa yang merempat dan melarikan diri daripada tanah airnya kemudian dialu-alukan kemasukkannya oleh penduduk negara yang dituju. Maka, Rasulullah dan umat Islam Makkah bukan pelarian di Madinah, tetapi penghijrahan! Pindah!

Itulah sedikit sebanyak keistimewaan-keistimewaan hijrah dalam sejarah. Dengan peristiwa Hijrah itu telah menjadi satu titik tolak kepada kemajuan tamadun Islam. Bangsa Arab, sejak tahun 610M (turun wahyu) dan 50 tahun kemudian, sudah menjadi satu umah atau bangsa yang digeruni oleh dunia. Padahal sebelumnya, semenjak runtuhnya empangan Maarib di Yaman (kerajaan Saba’) tahun 300M sehingga tahun hijrah Nabi tahun 622M, bangsa Arab menjadi bangsa terkontang-kanting antara kuasa besar Rom dan Parsi. Jelas hijrah Nabi menjadi titik tolak kebangunan satu tamadun manusia paling pantas dan hebat.

Di sini saya terpegun dan tidak faham apabila ada sebuah masjid bertaraf negeri mengadakan ceramah Maal Hijrah bertajuk “Zikir Nyaring dan Beramai-ramai”. Saya masih tidak dapat mencari kaitan pentingnya hijrah yang begitu bermakna dengan berzikir nyaring secara ramai-ramai! Di mana mereka hendak meletakkan kedudukan isi ceramah itu dalam usaha membentuk kegemilangan umah. Harap, tajuknya saja begitu, tapi moga-moga isinya dapat membangun keteguhan ilmu, keterampilan dan jiwa umah mendepani tamadun di Malaysia. Jika andaian saya tidak betul, saya antara yang keciwa dengan kemandulan daya fikir orang-orang yang kuat ‘beragama’.

Isnin, Januari 07, 2008

MERISIK khabar Melayu Pattani

RASA-rasanya agak kerap saudara-saudara muslim di Pattani Thailand berkunjung ke Malaysia atas urusan perniagaan dan mengutip derma. Bagi negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang memang sangat mudah dikunjungi mereka. Malah semasa pulang ke Sabak Bernam pun saya dikunjungi peniaga Pattani.

Setiap kali kesempatan bertemu mereka, saya ambil kesempatan berbua-bual mengenai kehidupan orang-orang Melayu di Pattani. Saya memang meminati sejarah bangsa dan sebagiannya Pattani. Maka, saya antara peminat filem ‘Jogho’ yang menggarap budaya Melayu Pattani. Sekian lama bergaul dengan orang-orang dari Kelantan, dengan menghayati Jogho, senang saja saya menuturkan loghat Melayu Kelantan-Pattani dengan saudara muslim dari sana.

Kepada yang mengutip derma untuk sekolah pondok, tentulah mereka menunjukkan dokumen sekolah pondok mereka yang separuh siap. Yang saya mahu tahu daripada mereka apa yang diajar kepada anak-anak sebagai persiapan menjadi warga muslim
dalam dunia global. Persepsi saya ialah kebanyakan sekolah pondok di Pattani masih meneruskan tradisi kepondokan dalam aspek kurikulum dan pengurusannya. Memang Pattani terkenal sebagai pusat pendidikan pondok abad-abad silam. Kan Kesultanan Pattani pernah gagah di sama.

Di Kuantan baru-baru ini saya dikunjungi anak muda 20-an Melayu Pattani yang berniaga minyak-minyak urut dan keropok. Bertanya hal keadaan di selatan Thai, cepat dia mengejak saya duduk. Maknanya dia mahu lama sedikit berbual dengan saya. Benar, perbualan antara kami berkisar mengenai pergolakan di sana dan dia hampir lupa mengenai barang jualannya.

Daripada maklumat yang saya anggap benar memang berlaku kegelisahan di kalangan Melayu Pattani. Jadi benarlah ada serangan-serangan ala-gerila di sana. Seperti biasa pergolakan politik akan menampakkan dua wajah: Pro dan kontra. Seperti di Palestin yang ada Fatah dan Hamas, tidak berkecuali di wilayah jiran utara. Ertinya bangsa Melayu Muslim Pattani berpecah juga.

Melalui pengamatan, saya mendapati naifnya pengetahuan anak-anak muda yang bersemangat memajukan politik Pattani. Tidak juga mahu menyalahkan mereka jika kebanyakan hanya tahu sejarah bangsanya sendiri, tetapi kosong mengenai konflik semasa yang senasib seperti di Pattani. Misalnya anak muda yang saya temui tidak tahu apa-apa mengenai pergolakan di Chechnya dan Bosnia. Ada sedikit pengetahuan mengenai Palestin dan Acheh.

Pengetahuan mengenai keadaan (mungkin dibaca perjuangan) di wilayah-wilayah muslim lain yang senasib dengan Pattani sepatutnya boleh dijadikan garis panduan dalam memajukan politik Melayu Pattani. Kesanggupan GAM menarik tuntutan kemerdekaan Acheh mungkin perlu difahami dalam konteks politik antara bangsa yang semakin global, maka apa-apa wilayah muslim tidak relevan untuk berpecah-pecah. Kesimpulan ini bagus juga dibaca oleh kumpulan-kumpulan atau parti-parti berasaskan Melayu muslim dalam negara. Bertarung sesama sendiri yang akhirnya kalah jadi abu menang jadi arang atau mengendurkan pertarungan untuk sama-sama menjaga kesatuan umah-bangsa.

Ahad, Januari 06, 2008

BERGURU kepalang ajar (ii)

SEMUA orang mesti telah, sedang dan akan menempuh pembelajaran. Tidak ada orang yang dilahirkan dengan tiba-tiba penuh ilmu di dada dan tidak perlu lagi apa-apa maklumat untuk meneruskan kehidupan. Sejarah penciptaan Adam yang dirakan dalam al Quran pun menjelaskan Allah mengajar kepada Adam mengenai nama-nama. Ertinya, manusia itu asalnya tidak berpengetahuan kemudian dengan akalnya manusia mancari pengetahuan.

Manusia pula dijadikan oleh Allah dalam keadaan tidak sama keupayaannya. Kedudukan geografi, sejarah dan budaya menjadi faktor manusia berbeda-beda keupayaannya, malah tidak kurang pada faktor umur dan genatik. Hal ini semua dikaji oleh ahli pendidikan untuk menghasilkan beberapa kaedah menyampaikan maklumat kepada pelajar atau manusia dengan lebih berkesan.

Maklumat pula bukan saja yang berkaitan dengan hal-hal keduniaan yang kebanyakannya secara umum saja disentuh dalam al Quran. Informasi atau pengetahuan juga meliputi akidah, ibadah, syariah, muamalat dan munakahat yang ada dalam Islam. Asal saja maklumat, dikenali juga pengetahuan, mungkin lebih gagah disebut ilmu. Maka, untuk menyampaikan maklumat atau ilmu itu tentulah memerlukan kepelbagaian cara, sejajar dengan maklumat itu sendiri dan penerimanya sekali. Contoh, kaedah menyampaikan ilmu fikah dan biologi memerlukan kaedah yang berbeda. Jika penerimanya berbeda aras pengetahuan sedia ada, maka tentulah kaedahnya juga pasti berbeda.

Kaedah atau cara mempelajari ilmu adalah hal keduniaan yang memerlukan akan berfikir mencari jalan terbaik. Tidak ada penetapan wahyu berkenaan cara mempelajari ilmu. Dunia sentiasa berubah, maka penemuan-penemuan baru sentiasa diteroka untuk disesuaikan dengan keperluan.

Mengapa saya membebel bab kaedah atau cara belajar? Ada segolongan yang mendakwa berpengetahuan tinggi dalam agama menetapkan untuk mempelajari tauhid wajib menggunakan satu kaedah iaitu Sifat 20! Untuk lebih menggerunkan khalayak agama, dikatakan pula seluruh ulama telah menetapkan wajib mengguna kaedah atau cara itu. Menambah kegerunan ini, digambarkan siapa tidak menggunakan kaedah berkenaan, terkeluar daripada satu jemaah yang dijamin oleh Rasulullah untuk masuk syurga!

Kita tidak sama sekali menolak kaedah Sifat 20. Kita menerimanya sebagaimana menerima kaedah Tauhid Rubuhiyah, Uluhiyah serta Asma wa Sifat. Mana-mana yang baik dan sesuai dengan khalayak tauhid kita guna dengan matlamat mengesakan Allah dan menjauhi syirik.

Namun hanya berpaut kepada satu kaedah yang diguna kepada setiap generasi manusia, setiap bangsa di dunia, setiap peringkat umur dan setiap aras pengetahuan sedia ada, kemudian menetapkan kaedah-kaedah lain sebagai salah, adalah satu jenayah kepada dunia pemikiran dan kreativiti akal manusia.

Kelesuan dan mandul daya kreativiti umah bukan perkara kecil. Telah banyak dan lama dibincang serta ditentukan cara-cara membangunkan daya pemikiran umah supaya berdiri sama gagah dengan bangsa-bangsa yang lain. Di balik keinginan berfikiran kreatif dan maju, ada kelompok menjerut kemerdekaan akal manusia. Dengan jerutan yang kemas itu, sebagian perkembangan daya intelek yang kreatif sudah disediakan lubang untuk disumbat ke sana. Jika begitu, ini adalah antara tragedi dalam perkembangan intelektual bangsa dan umah.

Jumaat, Januari 04, 2008

BERGURU kepalang ajar (i)

APA fikiran anda sewaktu membaca buku bab agama seperti akidah dan ibadah, datang seorang dan mengatakan begini, “belajar agama dengan membaca buku bererti gurunya syaitan.” Orang itu menambah, “belajar agama mesti menghadap guru”. Saya tidak pernah ditegur begitu sekalipun lama mengamalkan membaca buku di tempat terbuka seperti di tepi jalan atau stesen bas! Tetapi ada menerima beberapa SMS dan emel yang mengandungi ayat-ayat berkenaan. Terus terang, saya lebih suka ditegur secara berhadapan, yang live, berbanding diusik dengan SMS.

Kalimah iqra’ dalam wahyu pertama bererti ‘bacalah’. Itu satu perintah daripada Allah supaya kita membaca. Saya pun lebih setuju dengan tafsir kalimah iqra’ itu sebagai mempelajari sesuatu yang baru, termasuk juga di sana membuat kajian sama ada secara hands on, membaca, menemu bual, berdebat dan membentang kertas kerja. Kalau ada contoh lain yang memberi maksud mendalami ilmu, harap saya paling awal memberi tanda bagus!!!

Saya membantah dua ayat yang ada dalam SMS kepada saya sekalipun maksud pengirimnnya baik. Kesan buruknya lebih besar daripada manfaat. Melalui pengalaman, saya percaya dalam bab agama kebanyakan kita akan cepat akur tanpa banyak soal. Jika dalam fikiran masih kelirupun, dipujuklah hati menerima saja kerana itu agama.

Bayangkanlah apabila disamakan membaca buku agama sebagai berguru dengan syaitan, siapa nak baca buku agama lagi? Persoalan sebenar ialah mereka membaca buku-buku agama bukanlah satu-satunya kaedah mendapatkan maklumat. Dengan fikiran bodoh saya pun, tidak percaya penulis buku agama berkenaan dapat menghafal semua perkataan dan ayat yang ditulis menjadi buku. Kita boleh cuba. Ambil satu buku bab wudhu Rasulullah mungkin tebalnya 100 muka. Cari penulisnya dan minta penulis itu menuturkan semula seperti yang ditulisnya. Kalau penulisnya (tentu ustaz atau ulama) sendiri tidak dapat menghafal semuanya, tentu orang yang membaca bukunya lebih bermanfaat daripada menghadap peribadi penulis itu. Itu premis pertama saya.

Belajar menghadap guru bagus kerana dapat membincang dengan mendalam, tentu itu maksudnya. Namun bukan bererti guru itu seperti malaikat pula. Tahun lepas dalam kuliah maghrib di sebuah surau, seorang jemaah bertanya apa hukum dibunyikan bacaan al Quran yang kuat sebelum azan Jumaat, tidakkah menganggu iktikaf jemaah? Saya agak ini kacang saja kepada ustaz, rupa-rupanya tidak. Dia sendiri keliru antara memberi hak nyaman kepada para pengiktikaf masjid atau memeriahkan hari Jumaat dengan bunyi-bunyian. Tidak selesai juga. Agaknya sebab itu jarang penceramah memperuntukkan 50 peratus masa pengajarannya untuk soal-jawab. Kelemahan manusia, dalam soal jawab pun guru berkenaan tidak dapat memperincikan jawaban dengan dalil-dalil atau petikan mana-mana fatwa ijtihad. Sebab itu jangan borong asal belajar agama wajib ambil daripada guru saja, bukan main baca-baca saja.

Jadi, bacalah buku-buku agama itu, bukan satu dua saja terus baca banyak-banyak. Sekarang ada set buku agama berkenaan “masalah remeh temeh dalam agama tapi malu bertanya”. Pengarangnya mencari soalan remeh temeh dan menjawabnya dengan baik. Ini pun satu kaedah menyelamatkan masa. Pokoknya, buku-buku telah ada dalam bentuk pelbagai.

Jangan juga memulau guru. Belajar tajwid dan qiraat mesti menghadap guru walaupun mempunyai susunan buku dan set CD maudhuk berkenaan. Guru berkenaan akan menilai suara dan kaedah bacaan kita, dan kita dapat melihat dengan sejujur-jujurnya pengajaran guru itu. Kan begitu.

Zaman kini ada internet. Ada pula kerana berlaku perbedaan pendapat dalam agama disabitkan dengan internet. Maksudnya belajar dengan internet bukan dengan menghadap guru. Zaman sebelum ada internet dan TV pun manusia sudah berbeda pendapat. Zaman permulaan Khawarij, Syi’ah, Murjiah dan Muktazilah muncul dalam tempoh kira-kira 100 hingga 200 tahun selepas wafatnya nabi. Mana ada internet lagi.

Percaya atau tidak, internet telah menjadi satu madrasah maya, yang lebih berkesan daripada belajar secara live menghadap guru: Kita dengar saja guru buka dan baca kitab. Internet menawarkan sistem audio, boleh dengar ceramah guru juga. Ada visual, gambar bergerak sama seperti melihat guru bergerak di kuliah maghribnya. Internet juga menawarkan rencana, e-book dan soal jawab.

Pengalaman saya, jawaban-jawaban melalui laman web yang dikendalikan oleh ustaz atau ulama lebih berdisiplin. Jawaban bertulis disertai dengan nas, jika hadis nabi disertakan sumber dan taraf hadis berkenaan. Jika rujukan fatwa, disertakan pula sumber web fatwa berkenaan. Jarang jawaban berdisilin seperti itu diberikan oleh seseorang guru dalam kuliahnya. Bukan salah guru yang secara live itu, biasalah manusia banyak kelemahan. Yang dalam internet itu guru berkenaan pun mengambil masa untuk menyiapkan jawaban yang paling afdal. Guru yang secara live juga memerlukan masa untuk jawaban yang terafdal, soalnya sanggupkah setiap soalan dijawab serinci itu?

Kembali kepada ayat-ayat mengugut jangan membaca buku agama dan mesti jumpa guru. Tidak perlulah buat begitu kerana orang akan menanggap si pengirim dalam kebimbangan kehilangan pengaruh, nampak takut hanya ada tiga orang datang kuliahnya. Memang zaman cepat berubah, tetapi kita seakan tidak terdaya mengejar atau melayan perubahan itu. Tapi jangan kerana kelemahan kita, lalu beban kita cuba dipindahkan kepada orang lain.

Rabu, Januari 02, 2008

SEKOLAH dan moral sejarahnya.

TAHUN baru mesti diiringi dengan persekolahan anak-anak. Di negara kita Malaysia, persekolahan dikira mewah jika dibanding dengan negara-negara jiran. Jauh lebih mewah jika dibandingkan dengan persekolahan di sesetengah negara Afrika. Di semenanjung sudah tidak didengar lagi anak-anak pergi sekolah berjalan beberapa kilometer, berkaki ayam dahulu, sampai ke sekolah barulah basuh kaki. Sewaktu saya mula bersekolah di Sabak Bernam tahun 1971, itulah sebagian pengalaman yang ditempuh.

Di pedalaman Sabah dan Sarawak masih ada lagi babak murid berkaki ayam, berjalan kaki beberapa kilometer, termasuk yang merentas bukit dan sungai. Dua tahun lepas di muka depan akhbar terakam beberapa murid sekolah meniti tali yang merentang sungai untuk ke sekolah.

Mengikut rekod sejarah, orang Melayu mula mengenal sistem persekolahan setelah kemasukan Islam (abad ke-13 hingga ke-17) dengan pendidikan pondok menjadi keutamaan. Sekolah-sekolah pondok atau pesantren hanya menawarkan pelajaran berkaitan ‘agama’ atau hal akhirat. Sistemnya juga mudah, siapa saja boleh masuk dan tidak ada apa-apa peperiksaan. Kelantan, Pattani, Kedah, Acheh dan Jawa antara pusat pertumbuhan sistem pondok. Begitulah beratus-ratus tahun sekalipun British mula campur tangan dalam pemerintahan di negeri-negeri Melayu bermula akhir kurun ke-19.

Hanya apabila tokoh-tokoh Islah seperti Syed Syeikh al Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Mohamad Salim Kalali pulang ke tanah air dari Timur Tengah (tahun 1900) membawa gagasan Islah untuk membangunkan bangsa Melayu. Kerana tidak yakin sistem pondok mampu membangunkan umah, gerakan Islah membina madrasah yang menggabungkan pendidikan fardu ain dengan ilmu keduniaan seperti Ilmu Hisab dan Bahasa Inggeris. Idea Islah dan madrasah rancak di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Malangnya ulama-ulama di institusi kepondokan bersepakat menolak idea Islah. Malah dikuatkuasakan undang-undang supaya majalah dan buku-buku Islah tidak memasuki negeri-negeri Melayu selain Negeri-negeri Selat. Mereka berselindung di balik kuasa raja untuk menahan kemasukan idea Islah. Ini merupakan satu tragedi dalam kemajuan pendidikan bangsa Melayu.

Kemudian barulah kerajaan-kerajaan negeri (British) membina sekolah Melayu. Lantaran kemasukan orang-orang Cina dan India maka di negara kita waktu itu terdapat Sekolah Melayu, Sekolah Inggeris, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah-sekolah pondok. MCKK ditubuhkan untuk elit Melayu atau anak-anak bangsawan.

Moral catatan sejarah penubuhan sekolah-sekolah ini ialah pendidikan adalah aset penting pembinaan tamadun mana-mana bangsa. Jika kita memahami kehendak kalimah pertama sampai kepada Junjungan Besar Rasulullah iaitu IQRA’, tentu saja kita akan meletakkan keutamaan menuntut ilmu dalam agenda kehidupan. Tambah-tambah ada hadis nabi yang menegaskan belajar itu bermula dari buaian sehingga ke liang lahad.

Tamadun Islam di Andalusia (Sepanyol) dan Baghdad (Arab) ialah kerana kegemilangan ilmu. Bandar-bandar utama di mana-mana kerajaan besar Islam adalah pusat kecemerlangan ilmu. Ilmu yang terhasil daripada tamadun Islam pula bukanlah hanya bab ibadah dan taharah. Nama-nama tersohor sepanjang zaman seperti al Khawarizmi, Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, al Beruni dan al Kindi (sekadar beberapa nama) bukanlah ahli-ahli fikah, tetapi ahli ilmu keduniaan.

Sebab itu Gerakan Islah di Tanah Melayu dan Sumatera awal abad ke-20 dahulu mahu membuka minda bangsa Melayu dengan memahami Islam bukan sekadar fardu ain. Sebab itulah mereka membuka madrasah-madrasah yang memasukkan ilmu-ilmu keduniaan kerana Islam bukan hanya fardu ain. Pengurusan sistem belajar madrasah lebih bersistematik dan membuka peluang kepada anak-anak perempuan untuk belajar.

Ahli-ahli sains, matematik, Geografi, Sejarah, Astronomi dan lain-lain telah muncul beratus-ratus tahun dahulu, kemudian barulah alam Nusantara Melayu ini memeluk Islam. Malangnya tidak ada warisan tokoh ilmu keduniaan muncul di pusat-pusat tamadun Islam Nusantara. Tokoh-tokoh yang tersohor ialah ahli-ahli sufi atau tarekat seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Nuruddin al Raniri, Syamsuddin Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel (beberapa nama saja), juga ahli bahasa dan sejarah tempatan seperti Tun Sri Lanang dan Raja Ali Haji.

Bayangkan saja dungunya bangsa Melayu mengenai teknologi semasa dalam peperangan seperti yang dirakam oleh pengarang Sejarah Melayu. Antaranya para pejuang Melayu yang mempertahankan Melaka daripada serangan Portugal kaget dengan bentuk senjata askar Portugal (tahun 1511). Kata mereka, “mana tajamnya dapat membunuh pula?” Dalam minda pejuang Melayu waktu itu, yang dinamakan senjata mestilah berbentuk tajam, bukan bulat atau tumpul seperti peluru bom!

Hari ini pun pengertian Pendidikan Islam masih ada difahami sebagai fardu ain. Lihat saja kandungan mata pelajaran Pendidikan Islam termasuklah tajwid, tauhid, menghafaz ayat al Quran, tafsir beberapa ayat al Quran dan Hadis, sejarah Islam dan hukum-hukum fikah. Apabila yang begitu disebut Pendidikan Islam, maka seolah-olah Sains, Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah Dunia dan Geografi bukan pendidikan Islam. Maka tidak kurang anak-anak yang menutup aurat dan berkopiah ketika belajar fardu ain, tetapi menanggalkan kopiah dan tudung ketika tuisyen sains dan matematik.

Masyarakat juga ada yang memberi tanda ‘jempol’ kepada yang bergelar ustaz, yang berkopiah, berjubah dan berserban tetapi tidak melihat orang yang berkemeja bertali leher atau bersemutar di laut sebagai hamba Allah yang taat juga. Yang bertudung labuh diberi kredit wanita muslimah beriman, tetapi wanita yang bertudung tiga segi dan cekap dalam kerjanya tidak diberi nilai yang sama.

Set minda ini perlu diubah sesuai dengan kehendak Islam yang menyeluruh. Kehidupan muslim itu seluruhnya ibadah, bukan di tempat-tempat tertentu dan orang-orang tertentu saja. Ya, Islah atau tajdid sedang berjalan untuk mengubah set minda bangsa.