Pengikut

Memaparkan catatan dengan label ekonomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ekonomi. Papar semua catatan

Isnin, Mac 20, 2017

"KAMI tidak reda bayar cukai!"

TELAH disebarkan dalam media baru, data cukai GST 6 peratus yang didakwa menguntungkan pemerintah dan sebagai bukti penderitaan rakyat.  Ayat-ayat yang disertakan itu meminta rakyat pembayar cukai sedar.  Dalam banyak diskusi politik pula biasa kedengaran agar rakyat tidak meredai semua pembayaran cukai kepada kerajaan, kerna mereka mendakwa para pemimpin negara memboroskan wang yang diperoleh daripada cukai rakyat.


Kebanyakan kita sebagai rakyat telah diasuh untuk buruk sangka terhadap pemerintah.  Apa saja usaha pemerintah pasti disudahi kesimpulan: pemerintah memeras tenaga dan keringat rakyat. Maka rakyat mesti mencela atau membenci pemimpin negara.  Bersangka-sangka itu bukannya fakta zahir, malah hanya ilusi atau gambaran tidak pasti.  Apakah Islam melayan suatu sangkaan untuk membuat hukuman atau keputusan?

Daripada Hisyam bin Urwah, daripada ayahnya, daripada Zainab, daripada Ummu Salamah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), “Kalian menyerahkan persengketaan kalian padaku. Namun bisa jadi sebagian daripada kalian lebih pintar dalam berhujah daripada yang lain.  Maka barang siapa yang kerna kepintarannya itu, aku tetapkan suatu hal yang sebenarnya adalah hak orang lain. Maka hakikatnya, pada ketika itu aku telah menetapkan baginya sepotong api neraka.  Oleh itu hendaknya jangan mengambil ak orang lain.” (HSR Al-Bukhari (2680), Muslim (1713), An-Nasai (5401) dan At-Tirmidzi (1339)

Syeikh ‘Athiah Salim memberi komentar hadis itu bermaksud, hakim akan menghukumi suatu perkara berdasarkan hujah yang nyata di hadapannya.

Begitulah dalam agama memberi prinsip kita membuat keputusan berdasarkan fakta yang kita ketahui, bukan dengan menyangka-nyangka hal yang belum jelas. Hal ini dijelaskan oleh Syeikh Dr Khalid Basmalah ketika menanggapi sedekah kepada orang yang akhirnya diketahui seorang pendusta.  Misalnya ada orang meminta sumbangan infak untuk membangun masjid, namun pada waktu lain kita ketahui bahwa dia rupanya berdusta ketika mencari dana infak. Menurut Syeikh Dr Khalid, kita berhukum berdasarkan zahirnya.  Zahirnya dia meminta dana untuk kebajikan, maka kita infak kepadanya. Dan insya Allah atas keikhlasan itu ada pahala infak sekalipun suatu masa terbukti infak kita rupanya tidak untuk membangun kebajikan umat.

Begitulah kita membayar cukai-cukai atau bea  yang diwajibkan oleh pemerintah atau kerajaan.  Zahirnya permintaan kerajaan adalah untuk kebajikan bernegara. Negara memerlukan dana untuk pengurusan dan pembangunan, maka kerajaan menentapkan hal-hal percukaian.  Rakyat telah membayarnya atas permintaan kerajaan yang zahir.  Jika nanti kita mengetahui ada sebagian pegawai tinggi kerajaan melakukan korupsi dalam membelanjakan wang kerajaan (hasil percukaian), apakah pahala kita membayar cukai hilang? Tidak sama sekali.

Atau ya pahala hilang jika kita tidak ikhlas, mengungkit-ungkit pembayaran cukai kepada kerajaan.  Percuma atau sia-sia, wang ratusan ringgit atau ribuan ringgit yang dibayar kepada kerajaan dalam bentuk cukai tidak mendatangkan pahala kebajikan yang sangat berguna di akhirat kelak.  Walhal Allah memberi jaminan gandaan 700 peratus  infak atau sumbangan untuk kebajikan. Lihat maksud ayat 261 al-Baqarah, “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada 100 biji. Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah Mahaluas lagi Maha Mengetahui.”

Berkenaan kewajiban rakyat terhadap pemerintah atau kerajaan  ialah mematuhi perintah yang baik. Percukaian adalah perintah yang baik dalam  bernegara. Bisa dilihat Allah mewajibkan orang beriman mentaati Allah, rasul dan pemerintah. Itu dalam ayat 59 surah An-Nisa.

Namun jika  apa saja kebajikan yang kita lakukan termasuk pembayaran cukai itu diungkit-ungkit, hapuslah semua pahalanya.  Kita bisa lihat ayat 264 surah al-Baqarah, Allah umpamakan pahala kebajikan kita debu di atas batu licin, apabila ditimpa hujan habis hilanglah debu itu. Maknanya, apabila kita ungkit-ungkit semula kebajikan yang lalu, habis licinlah pahala yang asalnya ada.  Apakah kita hendak rugi begitu hanya kerna mendengar sangka-sangkaan yang jelas daripada syaitan?

Ya, terpulanglah kepada keimanan masing-masing.

Khamis, November 03, 2016

BERAPA ribu saban tahun orang kita mati lapar?


JIKA seseorang berusia 60 tahun, dan katakan sejak berumur 10 tahun beliau mengenal kenaikan harga barang, tentulah telah 50 tahun tanpa henti beliau menyaksikan kenaikan semua harga barang.  Tanyalah padanya harga sepinggan nasi lemak di sekolahnya dahulu. Dia pasti menjawab “dahulu murah sangat, sepuluh sen sepinggan.”  Walhal sekarang murid di sekolah memberitahu harganya RM1.00.

Apakah sepanjang 50 tahun itu beliau telah menyaksikan sekumpulan dan  sekumpulan manusia segara bergilir-gilir rebah menderita kurang sandang pangan sehingga saban tahun ribuan orang mati akibat kurang zat makan atau kebuluran?  Sepatutnya beliau telah melihat kejadian sadis ini tahun demi tahun kerna tahun demi tahun itulah berlaku kenaikan semua harga barang, suatu yang dikatakan punca rakyat menderita tidak karuan.

Seorang ustaz muda dalam kuliah mingguannya di desa saya memberi ulasan pendek dan ringkas.  Antara lain katanya, “Dahulu dikatakan zaman barang harga murah, dan sekarang harga barang mahal. Namun berapa banyak barang yang dikira mahal dan barang mewah pada zaman dahulu telah menjadi barangan biasa saja hari ini, walaupun orang sekarang merungut harga barang semua mahal.  Bertakwalah kepada Allah, carilah rezeki yang halal semoga mendapat keberkatan Allah.”

Maksud firman Allah, “Sesungguhnya Allah, Dialah yang banyak memberi rejeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.”  - Al-Quran surah Adz-Zariyat: 58

“Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rejeki.” – Al-Quran surah Al-Hajj: 58.

“Dan tidak ada satu pun makhluk yang berjalan di muka bumi ini melainkan Allah yang memberi rejeki kepadanya.” – Al-Quran surah Hudd: 6

Ahad, Februari 28, 2016

ELAK cukai ertinya mencuri


SIFAT manusia  ada  yang kikir atau kedekut. Lawannya tamak.  Menjadi kesukaan jika hartanya bertambah-tambah dan kurang senang dengan berkurangnya harta. Kerna itu ada orang yang mencari helah untuk mengelak pembayaran cukai.  Sama ada memberikan angka salah bagi pemilikan hartanya atau memberikan maklumat palsu mengenai barang yang dibeli.  Matlamatnya satu: Tidak mahu membayar cukai.  Kepada orang seperti ini, membayar cukai bererti satu pembayaran yang tidak membawa pulangan kepada peribadinya.

foto hiasan 
Cukai sudah diperkenalkan pada zaman Khalifah Umar r.a. kerna perubahan zaman dan keadaan. Sejak itu cukai menjadi sebagian pendapatan pemerintah Islam, termasuklah negara moden.  Di Malaysia, muslim yang membayar zakat mendapat potongan cukai pendapatan.  Misalnya jika keseluruhan cukai pendapatannya ialah RM1000.00 dan dia telah membayar zakat sebanyak RM500.00, maka cukai pendapatan yang wajib dibayar ialah RM500.00.

Dalam hidup beragama, muslim wajib mentaati pemerintah. Oleh kerna pemerintah telah mewajibkan adanya cukai pendapatan, cukai pembelian barangan dan cukai import, maka membayar cukai kepada pemerintah menjadi kewajiban sebagai tanda orang beriman. Bisa dirujuk ayat 59 surah an-Nisa, antara lain Allah menyatakan orang-orang beriman itu mentaati Allah, rasul dan pemerintah.

Bagaimana mengelak membayar cukai? Jawabnya dia mencuri wang negara. Apabila cukai sudah ditetapkan pemerintah dan wajib membayarnya, menipu agar terlepas membayar cukai bererti mengambil wang negara.  Sengaja menipu untuk tidak membayar cukai atau diam-diam memasuki rumah orang orang dan mengambil wangnya, sama arti: Mencuri wang.  Wang pihak lain yang diambil secara salah.

Mencuri itu haram dan berdosa.. Dalam surah al-Maidah ayat  38 (Bermaksud): “ Pencuri, lelaki dan perempuan hendaklah kamu potong  tangan kedua-duanya sebagai balasan dari apa yang kedua-duanya lakukan dan sebagai seksa dari Allah. Allah adalah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Kemudian ada antara mereka memberi hujah begini, “Kami ambil wang negara RM50 ringgit sahaja, itu pemimpin ambil sampai RM100 juta!”  Hujah itu bertujuan menghalalkan perbuatan korupsinya kerna ada korupsi lain yang sangat besar, yang baginya tidak dikenakan apa-apa hukuman.  Sungguh agama tidak dimaksudkan begitu.  Jika kita mencuri atau korupsi, kita menanggung dosanya sebagaimana orang lain melakukan kezaliman yang  dilakukan. “Mereka tidak dibalas melainkan seperti apa yang dikerjakan.” Maksud surah As-Saba’ ayat 33.

Maksud surah Ibrahim ayat 21 pula, “Dan mereka semuanya (di padang mahsyar) akan berkumpul menghadap kehadiran Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah kepada orang-orang yang sombong: ‘Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan dari pada kami azab Allah (walaupun) sedikit saja?’ Mereka menjawab: ‘Seandainya Allah memberi petunjuk kepada kami, niscaya kami dapat memberi petunjuk kepadamu. Sama saja bagi kita apakah kita mengeluh atau bersabar, sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri”.


Allahu aklam

Selasa, Februari 03, 2015

ZAKAT vs cukai pendapatan?


BAGAIMANA perasaan kita apabila dikhabarkan bahwa pembayaran zakat pendapatan dapat mengurangkan cukai pendapatan?  Jika jawabannya ‘suka’ ini berarti kita tergoda dengan hal lain untuk beribadah (amal salih) kepada Allah. Jika jawabannya ‘biasa saja’ ini berarti kita beramal ibadah tidak memperdulikan apa pun ganjaran di dunia ini.

Hal membayar zakat digandingkan dengan membayar cukai kerap diperhitungkan. Pernah saya mendengar orang memberitahu, ‘tambahkan bayaran zakat untuk mengurangkan cukai pendapatannya’. 

Sayangnya amal ibadah atau amal salih dalam Islam tidak dapat digandingkan dengan kepentingan lain kecuali kerna Allah.  Bayarlah zakat apa pun yang diwajibkan oleh agama, tanpa mengambil kira faedah duniawi lain. Itulah tanda kebersihan beriadah kepada Allah.

Lihat ayat 110 surah al-Kahfi (maksudnya), “Katakanlah, sesungguhnya aku ini (Nabi Muhammad) manusia biasa seperti kalian, diwahyukan kepadaku bahwa sesungguhnya Tuhan kalian itu adalah Tuhan Yang Esa”. Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya”

Ayat 36 surah An-Nisa (maksudnya), “Sembahlah Allah dan janganlah kalian mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun” 

Mungkin ada yang berfahaman bahwa zakat urusan ibadah yang menjanjikan ganjaran, sedangkan cukai pendapatan adalah hal keduniaan yang tidak ada nilai di sisi Allah.  Sebagai muslim yang  beriman tidak boleh bersikap begitu kerna seluruh kehidupan sudah dalam hal beribadah atau kepatuhan kepada Allah (ayat 56 surah az-Zariat). Meskipun cukai pendapatan tidak disebut sejelas zakat dalam al-Quran, Allah sudah memberi wewenang kepada pemerintah atau penguasa melakukan kebijaksanakaan dalam pengurusan. Sebab itu Allah wajibkan muslim mentaati penguasa muslim (dalam hal yang halal), ayat 59 surah an-Nisa “…taatlah terhadap pemerintah.”  Maka perintah membayar cukai pendapatan adalah ijtihad pemerintah (yang dibantu ulama) yang wajib dipenuhi muslim beriman.

Tidak boleh mengungkit-ungkit pembayaran cukai kepada pemerintah sebagaimana kita tidak mengungkit hal bayaran zakat. Membangkit semula amal ibadah hanya menghilangkan pahala yang dijanjikan Allah.

Ayat 264 surah al-Baqarah (maksudnya), “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutkan dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karna riya' kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu jadilah batu itu bersih (tidak bertanah). Mereka tidak memguasai sesuatu apa pun daripada apa yang mereka usahakan dan Allah tidak memberi petunuk kepada orang-orang yang kafir.”

Wallahu ‘aklam