Pengikut

Ahad, Ogos 30, 2009

MERDEKA dengan jujur

SETELAH 52 tahun merdeka tidak salah semua warganya bertanya untuk apa merdeka. Pertanyaan semula ini bukan kerna kita semua kehilangan pendoman atau hilang arah tujuan. Tidak, namun dengan bertanyakan semula tujuan merdeka bererti menilai semula banyak perkara seperti persoalan apakah setelah melebihi 50 tahun merdeka, semua matlamat merdeka sudah dicapai.

Sewaktu para pemimpin mengusahakan merdeka sejak tamat Perang Dunia Kedua (1945) memang tidak dinyatakan fokus untuk membina bangunan tertinggi di dunia atau membuat kereta sendiri seperti yang dilakukan oleh negara penjajah British.

Secara khusus memang tampak jelas matlamat kemerdekaan ialah untuk membina semula maruah bangsa yang musnah sejak kedatangan bangsa Portugis di Melaka tahun 1511. Bayangkan semenjak 1511 negara ini bertukar penjajah seperti Belanda (1641), British (1876) di Pulau Pinang dan (1824) di Melaka. Kemudian tahun 1942 datang penjajah dari Timur iaitu Jepun dan British masuk semula dengan memperkenalkan sistem pentadbiran yang lebih sistematik pada tahun 1945. Maka apabila mentari 31 Ogos 1957 muncul sebagai hari bersejarah negara Tanah Melayu merdeka, sangatlah besar ertinya kepada bangsa Melayu yang selama ini terjajah.

Merdekanya negara Tanah Melayu ini adalah untuk menggembleng semua tenaga penduduk untuk membina negara Tanah Melayu yang berdaulat sama bersaing dengan negara-negara bangsa dunia lain. Meskipun penduduk Tanah Melayu merdeka bukan orang Melayu 100 persen, namun bangsa Melayu merupakan teras kerana merekalah penduduk asal tanah jantung ini dan menjadi penduduk majoriti. Bukan rahsia semua penduduk yang bukan Melayu, yang diakui sebagai rakyat Tanah Melayu menerima keutuhan dan kebesaran bangsa Melayu sebagai keutamaan negara. Maka lahirlah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedemikian rupa pada tahun 1956.

Selama 52 tahun ini negara aman dan harmoni melayari kehidupan pelbagai kaum, budaya, agama dan pemikiran. Maka apa juga cita-cita rakyat Malaysia (Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak) dalam semua bidang mestilah berteraskan tunjang yang terpahat ratusan tahun sejak Kesultanan Melayu Melaka.

Munculnya gerakan tajdid dalam agama Islam tidak lain untuk menambah kukuh pemahaman dan kekuatan bangsa Melayu beragama. Penerimaan sistem politik demokasi menggantikan feudalisme Melayu adalah untuk menambah tinggi pencapaian kekuasaan politik bangsa Melayu, bukan sebagai jalan untuk saling bertelingkah dan bermusuhan.

Kemudian penerimaan sistem ekonomi moden menggantikan ekonomi tradisional Melayu adalah untuk semua rakyat menikmati kekayaan negara, bukan untuk melakukan tindas-menindas dan membentuk keangkuhan siapakah yang paling kaya di Malaysia.

Kalau kita semua berfikiran jujur dengan kerap menoleh belakang dan melihat masa depan, semua rakyat boleh hidup aman, syukur dan maju. Kalau kita melupakan asas dan memburu cita-cita sendiri tanpa melihat jiran tetangga yang pelbagai dalam 27 juta penduduk, maka pasti itu bukan kerna kejujuran, tetapi keserakahan.

Apa yang sangat diperlukan ialah berlaku jujur dalam semua fikiran dan tindakan, kemudian semua manusia yang tinggal di Malaysia (termasuk 2.5 juta warga asing) wajib bercita-cita menjadikan Malaysia tanah yang boleh dijadikan tempat tinggal yang menyenangkan.

Apakah yang saya catatkan di sini merupakan ajaran Allah dan rasul-Nya? Jawabnya, ya!
31 Ogos MERDEKA MALAYSIA Ke-52 tahun 2009!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan