Pengikut

Memaparkan catatan dengan label alam sekitar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label alam sekitar. Papar semua catatan

Sabtu, Mac 21, 2015

KEKASIH alam pencinta kelulut


TERNAK kelulut untuk madu!  Itulah yang unik di Min House Camp, Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan.  Mungkin ada yang sukar percaya kelulut yang begitu kecil dan membuat sarang di lubang-lubang kecil dapat menghasilkan ‘penawar’ seperti yang disebut dalam surah An-Nahl.  Terima kasih kepada Kak Yah selaku pengurus Min House Camp yang memberi ‘kuliah’ khas kepada saya berkenaan kelulut. Daripada kuliah itu, saya simpulkan bahwa penternakan kelulut bukan sahaja untuk penghasilan madu malah ada beberapa karenah (petanda) lain yang jarang diperhatikan.

Pertama: Orang yang menternak kelulut merupakan pencinta alam dan sangat menghargai kelestarian alam dan isinya sebagai anugerah Tuhan.  Nampak mudah untuk mengambil satu sarang kelulut dengan kuasaa kita sebagai manusia. Oh tidak rupanya. Satu kesalahan menebang pokok yang di batangnya ada sarang kelulut semata-mata untuk dibawa ke pusat penternakan. Lalu, dipastikan hanya pokok atau dahan yang dinilai sebagai sudah mati atau dalam proses pembuangan, jika ada sarang kelulutnya barulah boleh dipotong.

Tidak boleh dipotong dan terus dibawa ke tempat baru. Kita wajib menunggu semua kelulut masuk ke sarangnya supaya semua satu keluarga kelulut dapat dibawa pindah ke tempat yang kita inginkan. Jika sarang dipindahkan pada waktu siang, pasti ada ahli-ahli keluarga kelulut yang terpisah kerna belum pulang ke sarangnya. Tidak berperikemanusiaan jika kita membawa anak-anak kelulut dalam sarang sewaktu ibu-ibunya berpergian mencarikan makan untuk anak-anaknya. Maka kita mesti membawa pindah mereka pada waktu malam!

sarang kelulut dalam kotak papan yang tebal

Kedua: Tempat penternakan kelulut  pula mestilah sangat bersih daripada sebarang pencemaran. Kawasan itu mestilah terdapat cukup makanan kelulut seperti bunga-bungaan atau apa juga tumbuhan yang menghasilkan bunga.  Daripada bunga-bunga itulah kelulut mendapat madu sebagai makanan anak-anaknya.  Untuk memastikan udara bersih pastikan tempat itu bukan kawasan yang disembur racun serangga seperti ‘fogging’ semburan untuk membunuh nyamuk.  Juga bukan kawasan yang terdedah dengan pengapungan karbon monoksida daripada kenderaan bermotor.

Ketiga: Menternak kelulut adalah untuk manusia yang penyabar.  Mungkin ada yang mendakwa pengusaha kelulut mudah menjadi jutawan sebab madu seberat 230 gram dijual pada harga RM80.00.  Namun untuk mendapatkan madu seberat itu bukanlah mudah kerna ‘setor’ madu dalam sarang kelulut kecil, jauh lebih sedikit dibandingkan dengan setor madu lebah tualang misalnya.  Setiap sarang, selalunya akan diambil madunya tiga bulan sekali. Pengambil madu pula tidak boleh merosakkan sarangnya, jika mahu keluarga kelulut itu terus tinggal dalam kawasan yang disediakan.  Terlalu seni untuk melakukan kerja-kerja ini.

madu kelulut tulen yang dibotolkan seberat 230 gram

Keempat: Kita sebagai manusia sebenarnya ‘mencuri’ hak anak-anak kelulut. Seperti manusia mencuri susu pada lembu yang Tuhan sediakan untuk anak lembu, kita juga mencuri madu yang ibu-ibu kelulut sediakan untuk anak-anaknya. Oleh itu kita wajib tahu hak atau bahagian wajib madu untuk anak-anak kelulut berkenaan, dan mana yang kita sebagai manusia mahu mengambilnya.


Begitulah sebagaian yang dapat saya sampaikan. Rasa beruntung saya mengembara satu hari sejauh 460 kilometer dan sampai ke Min House Camp, menikmati penginapan dalam ‘hutan’ dan berguru hal yang sangat mengasyikkan.

Selain penernakan kelulut, Min House Camp merupakan tempat penginapan dan perkhemahan yang lengkap. Pembaca boleh menghubungi Pengurusnya, Kak Yah di talian 0139225440.

bengkel rumah kelulut

Sabtu, Januari 03, 2015

MASJID AL-RAHMANIAH Lekir bersih dan terurus


JIKA melalui Lekir untuk ke Teluk Batik atau Lumut dari Selangor, masjid Al-Rahmaniah di Batu 8 Lekir, Manjung, Perak, menjadi perhatian saya. Di situlah saya menunaikan tanggung jawab sebagai hamba Tuhan ketika musafir.  Namun, yang agak merunsingkan saya ialah laluan masuk dari jalan besar yang sempit. Itulah yang dialami bertahun-tahun ke masjid berkenaan.

Mungkin banyak yang berdoa agar jalan masuk itu dilebarkan. Maka kunjungan saya ke masjid itu hari ini menjadi lebih mudah. Terdapat laluan keluar dan masuk secara serentak.  Dan memang banyak para musafir yang mengunjungi masjid berkenaan berasa selesa.

Ucapan tahniah kepada pengurusan masjid dan ahli kariahnya. Masjid Al-Rahmaniah itu bukanlah masjid versi baru, tetapi pusaka nenek moyang. Tiang-tiangnya daripada kayu.

Masjidnya lama tetapi keceriaan dan kebersihannya sangat memuaskan hati pengunjung. Lamannya bersih tanpa sampah. Tempat berwuduknya kelihatan mudah tetapi bersih tanpa lumut dan keladak. Semua keperluan di tandas dan tempat mandi juga tidak terjejas apa-apa.  Sangat penting, tidak berbau busuk!

Subhanallah. Semoga mereka yang menjayakan masjid Al-Rahmaniah sebagai rumah Allah yang memudahkan sekian banyak hamba-hamba Tuhan diberi sebaik-baik ganjaran.





Ahad, Disember 28, 2014

JIKA Sabak Bernam dilanda banjir

BANJIR besar di Malaya! Inna lillahi raa ji'uun. Mendengar jerit payahnya saudara mara di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Perlis dan Johor pada hujung Disember 2014 ini, saya hanya mampu berdoa semoga Allah memberi kekuatan iman dan semangat kepada semua pihak yang terlibat.  Sepanjang berbelas tahun saya tinggal di Pekan dan Kuantan Pahang dahulu, dua kali saya berpengalaman merasai jerit-payah kerna banjir. 


sabak bernam di utara Selangor

jika begini....

Kata paman saya, Bukit Rangin di Kuantan bukan kawasan banjir. Di situlah saya menetap. Tahun 2001 tempat itu dilanda banjir. Kebetulan saya pindah ke Sabak Bernam tahun 2009. Dan tahun 2013 perumahan yang sama dilanda banjir lebih besar. Kini sekeliling Bukit Rangin sudah dibanjiri air.

Di Pekan Pahang terdahulu, saya disengat ikan keli sampai saya mendapat rawatan di hospital. Gara-gara banjir juga.

Hari ini sekalipun di Sabak Bernam tidak dalam wilayah banjir, kebimbangan tetap ada.  Telah menjadi bahan berfikir sekarang dalam kalangan saudara-mara dan teman-teman, jika Sabak Bernam dilanda banjir seperti di Pekan, Kuantan dan Kota Bharu..... ke mana penduduk hendak dipindahkan. Sabak Bernam yang terletak di utara Selangor adalah kawasan tanah pamah tanpa satu bukit pun. Jika orang datang dari arah Kelang atau Kuala Lumpur, mereka hanya melihat satu bukit di Kuala Selangor: Bukit Malawati.  Kawasan yang dikatakan lebih tinggi berhampiran Sabak Bernam ialah di Hulu Selangor (misalnya Felda Gedangsa) dan Ijok. 

Jarak antara pekan Sabak-Gedangsa sudah lebih 70km. Antara Sabak-Ijok lebh 90km. Tidak munasabah langsung. Katakan pilihan untuk mengungsi atau berpindah ke Gedangsa, juga bukan pilihan sebab selama ini jalan di Sungai Panjang untuk ke sana kerap dinaiki air banjir sekalipun bukan dalam musim banjir seperti ini. Jalan ini kerap ditutup. Jika berlaku banjir di Sabak Bernam, logiknya jalan ke Gedangsa juga pasti tutup!

Ya Tuhan.... ini hanya fikiran manusia lemah. Semoga Allah tidak menguji hamba-hamba-Nya yang tidak tahan dengan ujian.

Kepada yang sekarang ini dalam kepayahan akibat banjir, semoga semua menjadi pahala dan pembasuh dosa di sisi-Nya.

Ya ALlah, ampuni kami semua. Pasti ada mesej daripada-Mu. Semoga kami mengerti.

Sabtu, November 15, 2014

MENCARI sampah dalam masyarakat


AKHIRNYA yang difikirkan oleh pejuang kelestarian alam sekitar tampak menemui cahaya di hujung terowong apabila kerajaan akan memulakan program pengasingan sampah.  Pada tahun hadapan, penghuni rumah diwajibkan mengasingkan sampah-sampahnya, mana yang kaca, kertas , plastik dan besi.

Tindak kerja seperti itu sudah lama dilaksanakan di negara-negara bukan Islam seperti Britain, Sweden, Jepun atau Korea.  Sekali lagi menjadi satu ujian kepada umat Islam di negara ini adakah mereka bakal menjadi masyarakat contoh dalam gerak kerja nasional ini.  Umum tahu kritikan penceramah agama bahawa kebersihan dalam kalangan masyarakat Islam belum dapat dijadikan contoh terbaik.  Masih ada waktu untuk mengisi isu kelestarian alam dalam khutbah Jumaat, usrah mingguan, tazkirah muqayam, kempen kebersihan dalam rehlah, kuliah maghrib, ceramah Maulidur-rasul, ceramah Isra Mikraj dan lain-lain wacana. Masih sempat dijadikan mauduk tarbiyah umat.

Ini berita rasmi kerajaan kita.

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI  |  15 November 2014 12:31 PM
KUALA LUMPUR 15 Nov. - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan pengasingan sisa di punca secara mandatori mulai tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, usaha tersebut akan dijalankan secara berperingkat-peringkat bermula pada September 2015.

“Pelaksanaan akan dijalankan di negeri yang melaksanakan undang-undang yang tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal.

“Pihak kementerian akan menggunakan konsep 3R iaitu reduce, reuse dan recycle (mengurangkan, mengguna semula dan mengitar semula) sebagai komponen utama dalam pengurusan sisa pepejal,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Kitar Semula di Taman Tasik Universiti Putra Malaysia, Serdang dekat sini hari ini.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Arfah Abdul Razak. - UTUSAN ONLINE

Selasa, Ogos 05, 2014

KITA faham mencemarkan alam bukan dosa

BERITA-berita komuniti daerah dalam akhbar Sinar Harian 5 Ogos 2014 memaparkan sampah-sarap yang tidak diurus dengan baik, termasuk di Sabak Bernam.  Masalah kebejatan alam sekitar. Ini berita-berita yang tidak pernah beres. Ada lagi hal berkaitan alam sekitar di daerah Sabak Bernam yang tidak beres sebab tidak difikirkan bagaimana hendak membereskan masalah berkenaan.

Di Sabak Bernam

Umum tahu antara ekonomi di daerah ini ialah penanaman padi. Setiap musim panen petani terpaksa melupuskan jerami padi dengan membakarnya.  Pada saat petani riang dengan hasil panen ribuan ringgit, asap akibat pembakaran jerami padi di sawah-sawah ditanggung oleh semua penduduk yang ada, termasuk pengguna-pengguna jalan raya yang melewati daerah ini dari pekan Sekinchan sehingga Sabak.

Tidak banyak mauduk dakwah di sini memberi tumpuan mengenai melakukan pembakaran terbuka yang mencemarkan udara berminggu-minggu sebagai aktiviti mungkar yang di sisi Allah. Tazkirah atau ceramah agama lebih tertumpu kepada membanteras pendedahan aurat perempuan.  Tidak ada fokus dalam khutbah Jumaat mendedahkan kemungkaran-kemungkaran sekitar sekitar sebagai satu dosa yang pelakunya perlu bertaubat. Kalau mendedahkan aurat disaran bertaubat, diajar solat sunat taubat. Tidak ada guru agama yang mengajarkan masyarakat bertaubat disebabkan mencemarkan alam.

Begitulah pemahaman masyarakat kita mengenai contoh mungkar dan dosa. Tidak ada papan tanda mengatakan penyebaran sampah dan pembakaran terbuka sebagai dosa. Namun ada yang mengenai penutupan aurat. Papan tanda begitu bukan saja di kawasan masjid, malah pernah digantung kain rentang di kawasan perumahan sebagai tanda amaran kepada wanita yang mendedahkan aurat.

Kita jangan suka-suka berkata tentang sekularisme, pemisahan antara agama dengan dunia.  Mungkin kita yang berkopiah putih antara pengamal pemisahan agama dan dunia.  Sekurang-kurangnya lihatlah contoh di atas!

sawah yang sudah dibakar jeraminya
jerebu asap tempatan, bukan import
pembakaran jerami di sawah-sawah

Isnin, Oktober 07, 2013

TAMAN Pertanian Kuantan sudah hilang seri

LIMA tahun sebelum ini saya kerap mengunjungi Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan.  Sama  ada menguruskan remaja yang mengikuti perkhemahan atau berrekreasi bersama keluarga.  Kebetulan juga waktu itu paman saya merupakan  kakitangan Jabatan Pertanian Pahang yang ditugaskan menjaga Taman Pertanian ini, maka beliau memberi peluang kepada saya meneroka labih jauh di sana.

Taman Pertanian ini dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Negeri Pahang. Selain tapak perkhemahan yang boleh digunakan oleh pelbagai pihak, ladang buah-buahan seperti rambutan, cempedak, durian, manggis dan lain-lain masih mengeluarkan hasil apabila tiba musimnya.

produk baru: Laman pertandingan suara burung

Chalet sebagai penginapan juga disediakan di bahagian hadapan taman ini.  Dahulu, sebuah kolam dipenuhi pelbagai jenis ikan dan menjadi kegemaran pengunjung ke sana.

Hari ini, saya kaget melihat apa yang ada di taman ini.  Selain ladang-ladang yang masih mengeluarkan hasil, nampaknya kawasan tapak perkhemahan yang menjadi punca kedatangan pengunjung sudah kehilangan serinya.  Limpahan air sungai telah menenggelami beberapa kawasan tapak perkhemahan termasuk pondok aktiviti untuk ceramah atau dewan makan.  Namun tapak perkhemahan yang tinggi masih digunakan. 

Jalan utama ke tapak perkhemahan juga sudah musnah ditenggelami air.  Selain itu kawasan tepi kolam ikan memang sudah tidak ada serinya lagi.


Sayanglah, taman pertanian ini kehilangan seri pada saat bandar Kuantan sedang dimodenkan.  Sebagian fungsi Bandar Kuantan sudah dipindahkan ke Indera Mahkota kerana bandar Kuantan semakin sesak.  Pejabat imigresen, mahkamah dan stesen bas bukan lagi di tengah-tengah Kuantan, sebaliknya di Indera Mahkota.  Taman Pertanian Sultan Ahmad Shah juga di Indera Mahkota.  Sekali lagi, sangat kontradik keadaan taman pertanian berkenaan.

Jalan utama ke tapak perkhemahan tidak boleh dilalui

Tapak perkhemahan kedua di kawasan rendah yg bermasalah

Jalan di sekitar kolam sudah tidak dijaga

Antara chalet yang sudah diabaikan

pagar di tepi kolam yang sudah musnah

Kolam ikan ini dikatakan cetek akibat pembinaan UIAM Kuantan

Selasa, September 17, 2013

PENDIDIKAN Tasik Kenyir

IMPIAN meneroka Tasik Kenyir terlaksana. Tanggal 14-16 September saya dan sekumpulan rakan-rakan termasuk anak-anak bertualang ke Tasik Kenyir di Terengganu.  Bertualangan ratusan kilometer dan bermukim sementara di rumah bot Tasik Kenyir sebenarnya sebagian meneroka kehidupan dan mentarbiyah diri.  Tasik Kenyir sebagai alat untuk semua peserta melaksanakan persahabatan, penerimaan yang lebih dan kurang dan sejauh mana setia pada persetujuan.

salah satu lanskap Tasik Kenyir buah tangan saya
Setiap manusia ada kecenderungan tersendiri yang menjadi salah satu pengenalan peribadi.  Tinggal bersama dalam sebuah bot terapung-apung, beredar dari satu tempat ke tempat lain menyerlahkan peribadi kita dan pemikiran setiap rakan.  Ada sahabat kita yang suka bergurau senda, maka yang tidak suka sikap bergurau senda kenalah bersabar.  Ada yang sukakan lagu, maka yang tak sukakan lagu kenalah bersabar.  Ada yang tidak suka makan itu dan ini, maka yang tidak cerewat bab makanan kenalah bersabar menghadapi kerenah.

Anak-anak generasi masa depan tidak kekok untuk solat berjamaah sekalipun dalam tidak selesa sebuah bot. Mereka sedang terasuh bagaimana solat sepanjang kembara. Tidak ada rungutan pakaian yang terkena tanah atau bau hamis ikan untuk melalaikan solat. Tidak!  Inilah pemikiran generasi masa depan yang tidak mencari alasan meninggalkan solatnya.

di atas rumah bot
Begitu juga sepanjang perjalanan pergi dan pulang, semuanya dibuat persetujuan bersama, sama ada hendak berhenti atau memilih jalan lain.  Dengan itu tidak ada rungutan tidak puas hati terhadap sahabat-sahabat lain.  Apabila sudah setuju mengikuti jalan untuk perjalanan, sekalipun menempuh jalan yang sukar, hati mestilah lapang dada menerima keadaan kerna semua sudah dipersetujui bersama pada asalnya.


Semoga Allah mengampuni dan memberkati kehidupan semua peserta bertualangan ke Tasik Kenyir. Sekalipun semua tampak indah, namun semua itu juga dugaan Allah swt kepada setiap peserta.

Sabtu, Mei 11, 2013

SUNGAI akan hanyutkan pekan Sabak Bernam


NAMA Sabak Bernam dikatakan daripada ‘Sahabat Berenam’.  Mereka dikatakan antara peneroka awal di daerah ini.  Pekan utamanya ialah Sabak yang terletak di tebing sungai Bernam.  Sungai Bernam merupakan sempadan antara negeri Selangor dengan Perak, dari muaranya hinggalah ke hulu sungai di daerah Hulu Selangor.

Kedudukan pekan Sabak di tepi Sungai Bernam

Sebenarnya pekan Sabak diancam hakisan sungai. 30 tahun dahulu saya dapat menyaksikan di tebing sungai terdapat sebuah panggung wayang Gembira berwarna hijau.  Kemudian sederetan kedai papan menghadap sungai. Antaranya kedai membuat ais kerim.  Dahulu saya pernah mengaambil ais kerim di kedai itu untuk dijual di waktu petang.  Semua bangunan itu sudah lama lupus sebab tapaknya dihanyutkan sungai.

Sesiapa yang belajar geografi bab sungai akan faham mengenai bahagian mana yang dihakis sungai.  Memang kedudukan pekan Sabak kawasan yang dihakis berbanding  Kampung Kota di Perak, setentang dengan pekan Sabak.  Sama ada air bergerak ke hulu atau hilir, tanah tebing pekan Sabak yang dikaut air dan dimendapkan ditebing Kampung Kota.

Namun saya hairan apabila mendapati pokok-pokok kayu dan nipah yang ada ditebing pekan Sabak dimusnahkan. Walaupun hakisan sungai tidak dapat dihalang, namun pokok-pokok ditebing sungai dapat melambatkan proses hakisan.

Tebing konkrit yang dibina untuk memperkukuh tebing pekan Sabak juga sudah mula terjejas.  Bahabian lantai yang menjadi laluan pejalan kaki sebenarnya mendap.  Ada bahagian mendap yang sudah jatuh hampir satu meter!

Saya tidak faham mengapa pokok-pokok di tebing dimusnahkan!  Sila saksikan foto-foto yang saya ambil.

Pokok berembang yang ditebang

kesan pemusnahan pokok nipah

Lagi kesan pemusnahan pokok nipah
Lantar pejalan kaki mendap dan kelihatan pokok yang musnah

Kesan mendap

Selasa, November 08, 2011

PANAS dan hujan: mati dan hidup semula


SEPERTI biasa, bulan November dan Disember merupakan musim hujan.  Jika hujan berlebihan, maka boleh berlaku banjir.  Dalam al-Quran, Allah menyebut juga hal hujan sebagai bahan berfikir kepada manusia.  Manusia diminta berfikir mengenai hujan yang menyirami bumi dan seterusnya menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.  Yang menarik, sebenarnya Allah mahu manusia berfikir bagaimana Allah membiarkan bumi kering tandus sehingga tumbuhan mati, kemudian Allah menurunkan hujan lalu Dia menumbuhkan pelbagai jenis tumbuhan. Begitulah kuasa Allah mematikan makhluk dan menghidupkan semula sebagaimana asalnya!


Maksud surah al-Haj: 63 “Tidakkah  engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan air (hujan) dari langit, sehingga bumi menjadi hijau? Sungguh, Allah Maha Halus, Maha Mengetahui.”

Maksud surah an-Nahl; 11 “Dengan air (hujan) itu, Dia menumbuhkan untukmu tanam-tanaman, zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan.  Sungguh pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir.”

Maksud surah al-Haj:5 “….Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah kami turunkan air (hujan) di atasnya, hiduplah bumi itu dan menjadi subur dan menumbuhkan pelbagai jenis pasangan tumbuhan yang indah.”

Antara yang diminta manusia (kita) berfikir ada dalam ayat ke-6 surah al-Haj “Yang demikian itu kerna sesungguhnya Allah, Dialah yang hak (benar), dan sungguh Dialah yang menghidupkan segala yang telah mati, dan sungguh Dia Maha Kuasa atas segala-galanya.”

Banyak manusia beragama percaya adanya kehidupan lain setelah kematian di dunia ini.  Ada yang percaya roh mereka akan menyatu bersama Tuhan.  Namun kepercayaan mereka tidak sama seperti yang Allah maksudkan.  Bahawa semua manusia akan dihidupkan semula seperti asalnya (kehidupan di dunia) tetapi untuk menerima pembalasan daripada apa-apa yang diusahakan selama hidup di dunia ini.  Konsep kebangkitan semula sebagai manusia yang akan menerima pembalasan inilah yang mereka tidak percaya.

Maksud surah asy-syaffat: 16-18 “Apabila kami telah mati,  menjadi tanah dan tulang-tulang, apakah benar kami akan dibangkitkan kembali?  Dan apakah nenek-moyang kami yang terdahulu (akan dibangkitkan pula)?  Katakanlah (wahai Muhammad) ‘Ya, dan kamu akan terhina.”

Demikianlah Allah memberi pengajaran atau hujah untuk manusia berfikir mengenai hujan yang diturunkan ke bumi.  Sepanjang manusia hidup entah berapa kali menyaksikan beberapa wilayah yang suatu musim menjadi kering kontang kemudian menghijau pula.  Cuma yang belum disaksikan ialah manusia yang mati dan daripada tulang-tulang yang hampir hancur itu hidup menjadi manusia biasa seperti dirinya.

Allah mengajak manusia berfikir dengan contoh yang diberikan.

Rabu, November 03, 2010

PINTU Merapi tak berkunci lagi?

GUNUNG Merapi meledak, dan yang menambah kuat ledakan Merapi ialah kejayaannya menutup mulut Sang Jurukuncinya Mbah Marijan.  Merapi berkunci dan anak kuncinya di tangan Mbah Marijan? Ah, iseng-iseng saja, kerana Merapi bukan Kaabah yang berpintu dan punya penutupnya.  Kaabah, secara tradisinya memang ada jurukuncinya, dan orang boleh menyaksikan Sang Jurukunci Kaabah membuka dan menutup pintu Kaabah.


Pernah sesiapa sebelum ini melihat arwah Mbah Marijan menutup dan membuka pintu Merapi.  Kalau dia membuka pintu Merapi, masuk ke dalamkah dia dan apa yang dicarinya?  Oh, agaknya kerana arwah Mbah Marijan tersalah pusing kunci, maka pintu Merapi terbuka dan sekarang melepaskan ledakan: debu, api dan segala macam ancaman maut kepada warga Jawa.

Oleh itu apa fungsi Sang Jurukunci? Sekadar meramal meledak atau tidak.  Misalnya pernah berlaku lawan ramalan antara para saintis dan Sang Jurukunci itu.  Para saintis meramalkan Merapi akan meledak, tetapi Sang Jurukunci mengatakan sebaliknya.  Untuk sementara waktu, ramalan para saintis tidak tepat. Maka megahlah nama Mbah Marijan Sang Jurukunci.

Sekarang Anak Krakatao di selat Sundah mula meledak.  Tidak adakah Sang Jurukuncinya untuk merapatkan pintu muara Anak Krakatao agar tidak meledak sepuas-puasnya seperti ibunya dahulu. Saintis lebih tahu mengenai gunung berapi berbanding para dukun.  Para saintis lebih mendekati ilmu Islam yang sangat memihak kepada rasional dan ketepatan fakta, sedangkan ramal sang dukun hanya keseronokan sendiri.  Maaflah keturunan pak dukun dan para pengikut setianya!

Satu huraian dalam Tafsir Al Azhar oleh Buya Hamka, beliau mengatakan yang orang Jawa kerap berbangga sebagai daerah awalnya menerima Islam berbanding tempat lain seperti Minangkabau.  Kata Hamka lagi: Namun Minangkabau lebih bersih daripada noda dan pengaruh syrik yang diwarisi daripada agama Hindu.

Ya, lihat saja mitos Nyi Roro Kidul di Laut selatan atau Laut Jawa.  Adakah akal yang dididik oleh al Quran masih dapat menerima bertakhtanya Sang Ratu di Laut Selatan dan akan pulang dengan segerombolan kuda semberani di permukaan lautan?  Kerna itu para pembesar Jawa masih meladeni sandang pangan Sang Ratu?

Saya masih ingat indahnya lukisan khayal pelukis Basuki Abdullah mengenai Nyi Roro Kidul dengan bala kudanya!  Basuki sudah meninggal, tetapi kepercayaan dirinya diabadi terus pada kanvas.

Rabu, Februari 17, 2010

FELDA: walau tanpa panel syariah...

KERAP sangat mendengar ucapan: Islam adalah satu sistem yang lengkap. Oleh kerana telah bergema sejak lebih 20 tahun yang lalu, maka saya secara peribadi sedang melihat apakah Islam telah mapan dalam semua ruang kehidupan, khasnya muslim. Yang paling kuat menjeritkan Islam sebagai pilihan ialah ahli-ahli politik, terutama apabila berhadapan dengan lawan-lawan politiknya. Maaf, ini bukanlah tanda Islam sudah mapan dalam segenap ruang.
Prof Dr Mahmood Zuhdi dalam catatan di sebuah majalah mengatakan bahawa institusi kewangan dan perbankan di negara kita begitu cepat memberi ruang kepada sistem kewangan Islam. Sekalipun dimulai dengan Bank Islam akhir tahun 1980-an, tetapi sekarang yang nyata aktif dalam kewangan Islam bukanlah bank Islam berkenaan. Maybank dan Public Bank sangat aktif dalam sistem kewangan Islam. Tentulah bank atau instirusi kewangan ini mempunyai panel syariah untuk mengawasi perjalanan perniagaan.
Di manakah lagi ada dilantik panel syariah supaya agensi atau institusi berkenaan bergerak atas landasan syariah Islam? Media Prima Berhad yang menguasai TV3, TV7, TV8 dan TV9 ada panel syariahkah? Kementerian Pelajaran ada panel syariahkah?
Saya tertarik membaca berita Felda sudah membangunkan lima loji biogas dan bakinya ada 51 buah loji lagi dalam proses pembinaan. Tahukah ulama apa itu logi biogas dan kepentingannya kepada manusia sejagat? Kalau di masjid, penceramah hanya mengatakan syariah Islam itu satu keperluan yang memenuhi kepentingan hidup manusia sejagat.
Loji biogas adalah kilang kitar semula gas methane yang terhasil daripada pemprosesan minyak sawit. Pelepasan gas methane ke atmosfera menghasilkan 21 kali ganda kepanasan berbanding gas karbon dioksida. Ertinya, selama ini semua kilang minyak sawit di negara kita melepaskan begitu saja gas methane yang menyumbang kepada kenaikan suhu bumi. Kenaikan suhu bumi secara berterusan bererti kehidupan manusia (dan makhluk lain) dalam keadaan semakin terancam. Senang cakap, hidup semakin panas, rimas, dan serba menyusahkan. Bukankah Islam menawarkan kesejahteraan? Kesejahteraan itu gagal dikecapi jika suhu bumi terus-terusan membahang.
Felda tidak ada panel syariah untuk menasihati agensi kerajaan itu supaya membina logi gas bagi mengitar gas methane yang selama ini dibazirkan. Felda menerima cadangan Protokol Kyoto yang menggariskan usaha menjaga kesejahteraan suhu bumi. Malaysia menandatangani protokol ini pada tahun 2002 dan sekarang bersama 187 negara berusaha mengurangkan pelepasan apa juga gas ke atmosfera.
Mesej catatan ini ialah: Selama ini orang-orang agama hanya memberitahu Islam yang menyelamatkan manusia dunia akhirat. Namun yang berfikir dan melaksanakan misi menyelamat bukanlah orang-orang berpendidikan agama. Memang ulama tidak tahu nama-nama gas yang terlepas ke udara, tetapi apakah dakwah mereka kepada manusia sama mementingkan usaha menyelamatkan alam sekitar yang dimantapkan dengan susunan nas-nas wahyu dan sunah? Kuliah-kuliah mereka di masjid dan surau ada menekankan soal kebersihan dan kitar semula? Muslim selalu ketinggalan kereta api, berbanding bangsa-bangsa lain.

Isnin, Jun 22, 2009

ADAKAH ini zaman plastik?

DAHULU kita belajar manusia dikelaskan berdasarkan zaman. Misalnya zaman purba itu apabila manusia hanya menggunakan batu sebagai alatan untuk keperluan hidup, maka manusia itu dikenali hidup pada Zaman Batu. Kemudian muncul pula zaman logam apabila manusia telah menggunakan logam besi dan timah untuk membentuk senjata dan keperluan hidup lain.
Agaknya zaman kini, dengan berleluasanya penggunaan plastik, maka sesuailah dikatakan zaman ini sebagai zaman plastik. Semua hendak dibuat daripada plastik daripada benda yang kecil-kecil sehingga yang besar-besar. Akan datang agaknya ada kapal terbang plastik dan keranda plastik.
Namun kajian mendapati kesan buruk penggunaan plastik kepada alam sekitar sungguh menyeramkan. Bumi ini terpaksa menerima sisa-sisa plastik yang sungguh banyak saban hari. Bayangkan dalam sebulan sebanyak 500 bilion beg plastik digunakan oleh manusia di seluruh dunia. Kebanyakannya untuk digunakan sekali dan dijadikan sampah. Malangnya plastik ini tahan lama dan terpaksa menunggu selama 300 tahun untuk terurai secara alamiah. Bayangkan, penggunaan 500 bilion helai plastik sebulan dan setiap beg plastik ini akan terperap di permukaan bumi sebagai bahan sisa selama 300 tahun! Kalau begitu elok juga keranda dibuat daripada plastik, tahan lama!
Tidakkah kita sebagai muslim lebih prihatin dengan alam sekitar berbanding mereka yang dikatakan tidak beriman kepada Allah? Kita tetap ada pilihan iaitu berssungguh-sungguh mengehadkan penggunaan beg plastik dalam kehidupan. Kasihanilah makhluk lain seperti kehidupan marin yang sangat terkesan seperti mati termakan plastik sisa manusia ini. Kasihanilah..
Antara kaedahnya ialah.
1. Bawa beg besar apabila hendak ke pasar raya atau pasar. Masukkan semua barang belian dalam bakul besar dan bukannya dalam beg plastik besar.
2. Bawa wadah atau bekas untuk membeli makanan atau kuih di kedai. Jangan bungkus makanan atau kuih dalam beg plastik, sebaliknya masukkan dalam wadah yang kita bawa dari rumah.
3. Kumpulkan plastik-plastik yang sudah tidak digunakan dan hantar ke pusat pengumpulan kitar semula.
Sekalipun usaha ini mungkin ditertawakan orang, namun percayalah kerja yang baik kerana hendak memberi kebaikan kepada manusia dan alam adalah dalam ruang lingkup amanah Allah kepada manusia. Seperti orang yang lebih suka solat fardu di masjid, mereka yang istiqamah kerana percaya janji Allah di akhirat kelak. Maka begitu juga dalam urusan dunia, dengan menjaga alam sekitar dan percaya ini sebagai amal kebaikan, maka Allah tetap akan mengganjar yang baik kelak.

Selasa, Disember 04, 2007

wow macam di Arizona!

FOTO di atas bukan di mana-mana gurun atau padang jarak padang tekukur, tetapi di satu kawasan negeri Pahang. Bukan jauh sangat ke pedalaman, tetapi kira-kira 20 kilometer dari Bandar Muadzam Shah. Saya membawa keluarga melewati kawasan ala-gurun untuk menziarahi adik yang bekerja sebagai penolong pengurus ladang jauh di sana.

Enam tahun dahulu saya pernah memasuki kawasan berkenaan, dan kawasan yang saya nyatakan ala-gurun masih lagi hutan. Jalannya memang teruk, sekarang pun masih sama. Jalan yang seronok dinaiki kenderaan pacuan empat roda. Kali pertama dahulu saya cuba masuk, setelah 15 minit memandu pada kelajuan 20 kmj, saya berhenti untuk berfikir: betulkah ada rumah orang di dalam sana? Ibu kata teruskan saja. Semalam, sebelum saya memasuki kawasan itu, saya membayangkan seronok juga dapat masuk kawasan hutan. Setengah jam memandu dalam hutan, dengan kera bergayutan dan sekali sekala ayam hutan terbang depan kereta, seronok!

Tandus, ala-gurun dengan kawasan seluas saujana mata memandang baru saja diteroka untuk dijadikan ladang sawit. Pengalaman baru juga: meredah kawasan panas berdebu merah seperti melewati kawasan gurun!

Atas nama kemajuan dan pembangunan, tidak ada salahnya menggantikan hutan dengan ladang sawit. Tetapi, untuk memperoleh keuntungan ekonomi itu, kita sedang membayar harga yang sangat mahal iaitu pencemaran alam. Ketika memandu menyususi pantai dari Pekan ke Rompin, air laut seperti terbahagi dua. Kira-kira 50 meter dari pantai airnya berwarna seperti air teh O, selepas itu baru nampak kebiru-biruan. Air sungai Pahang pun sudah seperti air teh.

Apa nasib ikan di sana? Sebelum tahun 2001, saya tinggal di Pekan Pahang, dan antara yang menyeronokkan ialah memancing ikan di pantai. Dari pantai di Pekan menganjur ke Rompin, kawasan memancing. Kalau setakat gelama dan ikan bolos, duduklah di mana-mana. Nasib lebih baik bawa pulang kerapu dan pari. Sekarang, masih seronokkah ikan berkunjung di air teh O?

Harga yang mahal lagi? Negara wajib mengimport tenaga buruh di ladang-ladang. Sejak tanah hutan dipugar sehingga anak-anak sawit mula menghijau, semua menggunakan tenaga manusia yang gagah perkasa. Negara mahu pekerja yang sanggup bergelumang dengan lumpur, keringat dan bau busuk entah apa-apa. Yakinlah, rasanya tidak ada remaja dan orang muda Malaysia yang sanggup meninggalkan keluarga, kampung laman dan tinggal di rumah-rumah kongsi seperti yang dilakukan oleh warga asing. Orang Malaysia mahu bekerja, berehat dan menikmati kehidupan yang ada privasi. Orang seberang sanggup bekerja keras, melupakan kenikmatan hidup dan mengorbankan hidup berkeluarga. Mereka sanggup berasak-asak dalam rumah kongsi yang sangat minimum kemudahannya.

Ingat, kerana kesanggupan warga asing itulah maka ladang-ladang di negara kita dapat mencapai sasarannya. Jadi, kita terima sajalah jika Menteri Tenaga Kerja Indonesia menyatakan terdapat 2.4 juta warganya yang bekerja di negara kita. Itu baru dari Indonesia. Dari Vietnam, Bangladesh, Pakistan dan Filipina? Jika benar penduduk negara kita 26 juta orang, maka kita terima sajalah jika dalam 26 juta orang itu, ada tiga juta warga asing!

Selain itu kita terima sajalah dengan kenyataan kerajaan yang menanggung RM 1 juta sehari memberi makan pendatang asing yang sedang dalam tahanan menunggu untuk di hantar ke negara asal mereka. Kitalah yang membayarnya, daripada segala macam cukai. Ertinya kita rakyat Malaysia sedang memberi makan percuma RM 1 juta sehari kepada warga-warga asing di depot-depot tahanan sementara. Ya, ya, ya…, warga asing itu yang sedang ditahan untuk dihantar pulang tidak menyumbang apa-apa pun kepada negara, malah warga Malaysia yang baik hati sedang membelanja makan mereka! Mereka mendapat kawalan percuma dan untuk dihantar ke negara asal nanti, dapat tambang percuma lagi!

Itulah dua harga termahal sedang dibayar oleh negara: Pencemaran alam dan kemasukan buruh asing. Kita ada pilihan lain atau tidak?