Pengikut

Memaparkan catatan dengan label dakwah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dakwah. Papar semua catatan

Isnin, Disember 24, 2018

PENDAKWAH tak berilmu?

"Berapa ramai yang menuntut ilmu di Madinah tetapi pulangnya mereka ke tanah air, adakah semuanya berdakwah dan menyampaikan ilmu?"
Khalayak dakwah? 
Tidak semua penuntut ilmu mampu menyampaikan ilmu apa yang mereka pelajari tetapi kewajipan menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim baik ikhwah mahupun akhwat.

Sebagaimana firman Allah azza wa jalla,

ٱقْرَأْ كِتَـٰبَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ ٱلْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًۭا
"Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu".
(Surah Al Isra' 17 : 14)

Ilmu yang kita ambil dan pelajari serta kita amalkan akan menjadi penghisap di akhirat nanti. Sebagaimana dalam hadis soheh menerangkan ilmu yang bermanfaat yang kita amalkan menjadi cahaya penerang dikala menuju titian sirat yang penuh kegelapan. Inilah antara kepentingan menuntut ilmu syarie.

Adapun dakwah perlu adanya ilmu yang luas. Dakwah yang pertama dan wajib di dakwahi adalah ilmu tauhid. Mengajari sekian manusia mentauhidkan Allah. Inilah dakwah para Rasul dari zaman Nuh alaihi salam sehingga Nabi terakhir Muhammad sallahu alaihi wa sallam yang diwarisi dan terus diperjuang oleh ulama-ulama' yang bermanhaj salaf sehingga kini.

Dakwah juga perlukan pengorbanan yang kuat, jiwa yang kental dan semangat juang yang tinggi. Sebab itu tidak semua umat Islam berdakwah. Allah memilih beberapa hamba-Nya untuk berdakwah. Namun begitu Allah telah memerintah agar umat Islam sentiasa ingat-mengingati, pesan-memesan antara satu sama yang lain agar kebaikkan sentiasa terus terjaga dan terlaksana.

Janganlah ada sikap antara kita untuk tidak melakukan kewajipan menuntut ilmu (ilmu syarie) kerana tanpa ilmu kita sangat terhinakan. Ada pun dakwah, dakwah itu bukan kerja semua orang namun perlu ada di sanubari untuk ada sifat menyampaikan ilmu walaupun sepotong ayat.

Muhammad Faiz,
Untuk Lajnah Makalah Agama PENA

Isnin, 16 Rabiul Akhir 1440H
24 Disember 2018M

Khamis, Mei 12, 2016

BERHALA zaman Nabi Ibrahim, Dr Zakir dan budaya Malaysia


TIBA-tiba saya membuka blog Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam.  Zam tidak setuju banget kedatangan Dr Zakir berceramah dan membanding antara Islam dan agama lain. Itu dasar tulisannya.  Bagi Zam, membanding antara Islam dan agama lain bukan cara dakwah di Malaysia yang masyarakatnya berbilang agama.  Pada tafsiran saya, tentulah mendedahkan ‘kesalahan’ agama lain suatu yang sensitif dan menimbulkan lagi rasa syak atau curiga antara kaum yang berlainan agama.

Tulisan Zam disambut oleh banyak orang yang sama pendirian.

Saya tidak menghakimi pemikiran Zam itu liberal atau sekular.  Cuma saya suka kita kembali kepada metod alquran yang merupakan rakaman sejarah dakwah para nabi. Tidak ada cerita nabi siapa pun yang dakwahnya disambut permaidani merah dan bunga-bungaan oleh masyarakat sekitarnya.  Jika dikata Nabi Muhammad diraikan tatkala tiba di Madinah, ingat selama 13 tahun di Makkah baginda dimangsakan oleh masyarakatnya sendiri disebabkan mengajarkan agama yang sangat berlawanan dengan agama masyarakatnya.

Semua nabi mengajarkan tauhid, mendedahkan kesyirikan dan kebejatan hidup masyarakat jahiliyah atas nama agama yang mereka yakini.  Sebab itu Allah ceritakan kisah Nabi Ibrahim memusnahkan berhala-berhala dalam kuil.  Tentunya, tindakan itu setelah baginda berdakwah secara lisan agar masyarakatnya menyembah Allah, bukan batu berhala yang bisu dan pekak.  Perhatikan sebenarnya kisah pembantaian berhala itu satu ledakan bom minda apabila nabi Ibrahim meminta masyarakatnya bertanya kepada si berhala yg masih utuh, supaya berhala itu memberitahu siapa yang memusnahkan  berhala-berhala lain.

Kita membaca kisah-kisah dakwah dan responnya dalam alquran  yang tidak pun dibuat di Malaysia.  Siapa berani memecah berhala kuil di Malaysia seperti yang dilakukan Nabi Ibrahim?  Siapa kaum ateis di unversiti yang berani pula menabur satu lori rangka-rangka manusia dan mencabar Allah, bagaimana tulang-tulang manusia ini mahu dihidupkan semula? Helo… ini berlaku dalam dakwah para nabi yang tercatat dalam alquran.

Memang kita tidak mahu konflik terbuka akibat dakwah seperti kisah Bilal yang disiksa secara terbuka.  Ini tidak bisa berlaku dalam dunia modern yang kuat anutan demokrasinya.  Namun dakwah dengan menerangkan suatu yang benar  dan salah merupakan prinsip alquran.  Jika alquran menerangkan keindahan dan nikmat syurga Allah, kitab itu juga menerangkan keterukan dan sengsara neraka Allah. Kenapa kaum liberal dan sekular panas dengan dakwah yang memaparkan antara yang benar dan salah, sedangkan mereka lebih dahsyat mendedahkan ‘kejahatan’ parti atau orang yang tidak disukainya dalam persaingan politik?  Oh sebab politik kalian kata ‘hantam saja…’ jika agama kalian bilang tidak boleh.


Tidak suka dengan metod Dr Zakir Naik tak mengapa, tetapi kedatangan beliau membuka satu babak baru dalam dakwah.  Dakwah kepada kaum bukan Islam dilakukan secara terbuka.  Ini sudah biasa di negara jiran.  Di Malaysia, yang liberal dan sekular mahu menjadi jumud dalam hal bandingan agama. Mereka takut apa sih?

Selasa, Mei 29, 2012

KASIHAN terhadap Ustaz fathul Bari dan ustaz-ustaz Pas


SETIAP kali berlaku konsert yang dilibati oleh sekian banyak orang Melayu, maka nama Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya menjadi sebutan.  Sekian banyak akan bertanya atau menyindir Ustaz fathul Bari mengenai peranannya dalam parti Melayu, Umno.  Bagi mereka ‘ Ustaz Fathul Bari sudah bersekongkol dalam program maksiat, atau paling tidak dikira bersubahat kerana berada dalam Umno yang didakwa kilang maksiat’.  Berderetan pula yang mengatakan ‘ini manhaj duit dan politik’, ‘ulama angguk’ dan macam-macam lagi.  Mengapa nama Ustaz Fathul Bari? Jawabnya, dia ahli agama yang masuk Umno untuk  berdakwah kepada jalan al-Quran dan sunah nabi.

Saya bukan hanya kasihan kepada Ustaz Fathul Bari, malah kepada sekian banyak lagi orang yang kelihatan begitu menjaga agama (malah banyak yang bergelar ustaz, macam Ustaz Fathul Bari)  yang kedudukannya sama seperti ustaz muda itu.  Dengan menuduh Ustaz Fathul Bari bersekongkol atau dalam manhaj maksiat, bermakna sekian banyak ustaz juga dikira bersekongkol dalam manhaj maksiat sekalipun mereka bukan ahli Umno, malah ahli Pas yang sangat alim dan warak!

Ustaz Fathul Bari masuk Umno, tetapi mudah kita menemui 50 ustaz ahli Pas bekerja dalam kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran sebagai guru agama. Kalau  kita tanya kepada 50 ustaz Pas yang  makan gaji dengan kementerian Pelajaran (kena baca sistem pelajaran ideologi Melayu Umno!), mereka akan jawab, “kerja ikhlas kerana Allah, tidak melakukan atau reda apa-apa program maksiat dalam kerajaan.”  Insya Allah kalau kita tanya Ustaz Fathul Bari, itu juga jawabannya.  Sebab itu apabila saya kasihan apabila Ustaz Fathul Bari disumpah seranah, dicaci-maki dan disindir-sindir, maka kasihan saya berpanjangan kepada sekian banyak ustaz ahli Pas yang mencari rezeki dalam Kementerian yang diterajui oleh Menteri bermentaliti Umno (?).

Sekarang kita bandingkan peranan Ustaz Fathul Bari dengan 50 ustaz Pas berkenaan dan 50 ahli Umno biasa.  Ustaz Fathul Bari dan 50 ustaz ahli Pas yang makan gaji dengan KPM cukup besar peranannya, berbanding dengan 50 ahli Umno yang sekadar menunggu masa mengundi Umno-BN lima tahun sekali.  Kepada 50 ahli Umno itu, terpulanglah kepada pemimpin hendak bekerja setakat mana, dan apa yang mahu dilakukan.  Tugasnya hanya menyokongnya dalam pilihan raya  supaya pemimpin melaksanakan tugas-tugas yang dijanjikannya. 

Bagi Ustaz Fathul Bari, dia berdakwah  dalam Umno.  Bagi 50 ahli Pas dalam KPM mereka melaksanakan dasar dan keputusan yang dibuat oleh jemaah Menteri yang dikuasai oleh Umno-BN.  Melaksanakan dasar Jemaah Menteri Umno-BN bermakna mendukung atau menjayakan misi serta falsafah Umno-BN.  Jika 50 ustaz Pas dalam KPM itu mensabotaj atau ingkar kerja, maka akan mula kelihatan rosak pelaksanaan dasar Umno-BN.  Jika ada 500 ahli Pas yang sangat membenci Umno bekerja dalam mana-mana kementerian kerajaan persekutuan, bermakna mereka sedang menggerakan dasar Umno-BN.  Jelas peranan sekian banyak ahli Pas yang membenci Umno dalam organisasi kerajaan,  sedang menjayakannya….bukan seperti 50 ahli Umno yang hanya duduk dan lihat. 

Sebab itulah apabila dihukum salah Ustaz Fathul Bari dalam Umno, kasihanilah sekian banyak ahli Pas yang ikhlas mencari rezeki dalam kerajaan yang diketuai oleh Umno-BN.  Saya yakin mereka tidak akan tuang kerja disebabkan tidak mahu melaksanakan agenda Umno-BN kerana faham erti gaji buta dan dosanya.  Jadi mereka bekerja dan tidak akan melakukan amal mungkar.  Tidakkah pendirian mereka sama dengan Ustaz Fathul Bari itu?

Moga-moga sesiapa yang ikhlas kerana Allah akan dipelihara oleh-Nya dalam apa juga perkara.  Kepada yang sakit hati dan menabur fitnah, terpulanglah kepada mereka sendiri sebab antara yang cukup tegar membuat  tuduhan dan mempengaruhi orang lain, bukan orang yang cuai solatnya. Mereka yang gemar membuat persepsi atau andaian buruk (pukul borong saja) adalah orang yang sangat mahu khusuk dalam solatnya. Ada juga yang sangat mencintai solat malam dan puasa di luar Ramadan.  Moga-moga akhirnya dia sedar apa yang difikirkan  dan dilakukan itu.

Sabtu, Januari 28, 2012

IMAM-imam masjid patut ada akaun facebook


DUA SAHABAT saya seorang Imam dan Pengerusi di masjid sedang berkerut dahi memikirkan cara-cara yang dikira munasabah untuk mengajak golongan remaja (anak muda) belajar agama di masjid.  Antara cara yang akan dicuba ialah membawa ustaz yang dapat menerangkan ilmu mengikut laras budaya orang muda.  Saya pun tidak dapat membayangkan caranya.  Satu lagi ialah ilmu yang hendak disampaikan iaitu bab perkahwinan. 

Usaha ini bagus sebab sekarang ini di masjid kampung kami seolah-olah menjadi kelab orang-orang tua.  Dahulu ada seorang ustaz yang membacakan tafsir (termasuk membuat huraian berdasarkan hal semasa) selama lebih 26 tahun.  Beliau dikira berjaya mengumpulkan banyak khalayak termasuk dari kariah luar untuk setiap minggu kelas tafsirnya.  Sejak kematian beliau setahun yang lalu, seakan satu kekosongan yang belum terisi, dan pengurusan masjid sedang berkerut dahi.  Moga-moga dimudahkan Allah.

Di mana anak muda belajar agama?  Saya salut terhadap Ketua Pemuda Pas Pusat yang membuat video ‘Oley’ di Youtube sebagai cara memberi ilmu agama kepada anak muda.  Beliau mengatakan yang dia terpaksa membuat ‘demontrasi’ di alam internet kerana kebayakan anak muda mencari maklumat di sana.  Ya, sambutannya cukup baik.

Buat semantara masih ada pandangan yang tebal mengatakan belajar agama melalui internet ‘bagai tidak sah’.  Bagi pendapat ini, belajar agama hendaklah berhadapan dengan guru.  Murid mendengar ucapan tuan guru yang membacakan kitab dari mula sehingga akhir.  Belajar agama mesti secara talaqi, tidak boleh secara ‘dengar cakap’.  Inilah metod yang selalu diamalkan di masjid-masjid.  Tidak dinafikan baiknya metod ini di samping memastikan khalayaknya setia dengan amalan solat fardu berjamaah.

Internet telah menawarkan pengajian agama yang tidak dapat diberikan oleh masjid!  Itulah hakikat dan kerana itu anak muda menghadap skrin computer berjam-jam berbanding menghadap wajah Tuan Guru di masjid. 

Jika mahu mendengar ceramah agama seperti di masjid, maka Youtube telah menyediakan senarai lengkap isu dan ustaz-ustaznya.  Jika mahu berdiskusi dengan Tuan Guru seperti di masjid, maka hampir semua laman web agama menyediakan ruangan forum yang dikendalikan oleh moderator berilmu dan pengalaman.  Jelasnya, ustaz-ustaz pun sudah beralih ke alam internet dari masjid.  Sebenarnya ruang diskusi di masjid amat terhad dan dibelenggu pula oleh budaya segan dengan khalayak, namun di internet tidak ada segan menyampaikan pendapat sendiri dan bertanya kepada ustaz-ustaz. 

Kemudian, jika seseorang menghadapi masalah tidak pasti hukum sesuatu agama, seseorang boleh terus membuka beberapa laman web.  Dia boleh bertanya kepada sekian banyak pengendali laman atau moderator.  Kebanyakan moderator masa kini pula cukup terlatih memberi status sesuatu hadis, sama ada sahih, daif, palsu atau sebagainya.  Inilah yang tidak dapat disediakan oleh ustaz-ustaz di masjid.

Begtulah masjid yang sejarahnya sebagai pusat ilmu seakan-akan hilang keupayaanya bersama peredaran zaman.  Namun suatu yang tidak boleh ditukar ganti ialah solat  berjamaah itu mesti di masjid.  Sebanyak mana pun maklumat dari internet, sunah solat berjamaah mesti di rumah Allah.  Tidak ada ijtihad baru untuk mengubah hukum ini.

Rasanya elok para pengurus masjid tidak terlalu pening kepala untuk menarik anak muda dari skrin computer ke ruang masjid untuk menghadap Tuan Guru kita.  Yang munasabah ialah berfikir cara untuk menghentikan seketika di skrin computer pada setiap waktu solat, agar mereka pantas ke masjid yang berhampiran.  Nampaknya imam-imam dan pengerusi masjid wajib mempunyai akaun facebook dan memastikan semua anak muda dalam kariah masjisnya menjadi fakan FBnya.  Nampaknya imam muda di kampung saya pun tidak mempunyai akaun FB.  Itulah masalahnya.  

Sabtu, Disember 03, 2011

TIDAK ada arahan pihak berkuasa mengenai tutup aurat


DARI jauh saya diberitahu ada ahli keluarga yang tinggal di asrama melanggar peraturan asrama sekolahnya.  Ada lebih 10 orang pelajar perempuan yang diminta supaya terus pulang ke rumah sebaik sahaja tamat menduduki peperiksan.  Maka bergegaslah ahli-ahli keluarga mereka sekalipun jauhnya dari rumah ke sekolah itu ada yang melebihi 300 kilometer, demi mematuhi arahan Tuan Pengetua sekolah berkenaan untuk mengambil anaknya sepantas mungkin.  Saya bersetuju kerana faham itu adalah hak dia atas nama jawatan berkenaan.


Jika alasan pihak sekolah berkenaan bahawa perbuatan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar berkenaan boleh mendatangkan bahaya, maka saya pun setuju 100 peratus.  Bersyukurlah adanya seorang penjawat awam yang sangat bertanggung jawab.  Maklumlah, zaman sekarang ada sedikit hal sahaja akan berpanjangan ke mahkamah.

Saya sebenarnya tahu juga bahawa di sekolah itu ada segelintir pelajar perempuannya yang muslim tidak memakai jilbab (orang kampung saya kata tudung kepala).  Sayang sekali dengan kuasa dan pengaruh jawatan sebagai penjawat awam yang begitu tinggi tidak digunakan untuk mendakwah anak-anak bangsa muslim agar memakai jilbab.  Kalau ada yang berkata sebenarnya tidak ada Pekeliling Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar muslim berjilbab, itu pun saya setuju.  Sama juga tidak ada pekeliling daripada kementerian berkenaan mengenai larangan mengumpat dan berdusta di kawasan sekolah atau asrama.  Jika pelajar perempuan dibenarkan bersifat ‘free hair’ atas alasan ‘tidak ada pekeliling’, maka adakah dibiarkan jika ada budaya mengumpat dan berdusta dalam kalangan pelajar-pelajar?

Sebagai muslim, peluang untuk menyampaikan kebenaran Islam terbuka luas.  Peluang mendakwahkan ajaran al-Quran dan sunnah kepada pelajar-pelajar lebih  terbuka luas sebab alam persekolahan adalah alam pendidikan.  Pendidikan adalah proses pembinaan insan.  Nak bina insan jadi apa? Tidak ada jawaban lain, selain ‘membina insan beriman kepada Allah dan rasul-Nya’.

Jika tidak ada pekeliling pun, dalam al-Quran telah jelas mengenai kewajiban menutup aurat dan melabuhkan pakaian (Surah an-Nuur:31).  “Dan katakanlah kepada para perempuan beriman agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang terbiasa terlihat.  Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya dan janganlah menampakkan (auratnya) kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, ayah mentua mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak tiri lelaki mereka, atau adik-beradik lelaki mereka, atau anak-anak saudara yang lelaki, atau perempuan sesama muslim mereka, atau hamba sahaya (lelaki) mereka, atau pelayan tua di rumah mereka yang tidak bernafsu (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum faham aurat perempuan.  (hingga akhir ayat)”

Kalau dibuka hadis nabi, kita akan menemui pula amaran (sebenarnya bahaya) kepada orang yang mampu melaksanakan perintah Allah tetapi sengaja buat-buat tidak faham.

Begitulah keciciran antara kita memahami bahaya.  Apabila ada perbuatan yang disangka akan mendatangkan bahawa seperti kecederaan atau kematian, maka kita sangat sibuk menanganinya.  Walhal bahaya sebenarnya adalah ‘balasan buruk’ di akhirat sana.  Dalam kita begitu menyatakan beriman kepada Hari Akhirat, kita masih gagal berusaha menghindarkan anak-anak kita daripada dilahap bahaya di akhirat sana.

Maafkan saya kerana menulis hal remeh-temeh ini. Sesetengah orang tidak kisah bab ini sebab dikatakan masalah ranting, bukan perkara pokok dalam agama. Beberapa tahun lalu ada orang besar mengatakan soal jilbab perempuan (tutup aurat) adalah hal kecil yang tidak perlu dibesar-besarkan.  Oh, mungkin Tuan Pengetua yang saya maksudkan berfahaman demikian.  Tak apalah, sama-sama kita berfikir sebab ‘pencungkil gigi’ pun perkara kecil dalam hidup tetapi ada kilang pembuatnya.

Isnin, November 07, 2011

ALLAH yang hebat pun berhujah kepada manusia


APABILA ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. berkenaan ‘baca’ atau iqra, maka banyak ilmuan memberi erti pentingnya ilmu dalam Islam.  Baca itulah permulaan mendalami ilmu, dan Islam adalah agama yang berteraskan ilmu.  Ilmu itu menjadi dalil atau hujah kepada sesuatu pemikiran atau tindakan seseorang.

Banyak kali kita diperdengarkan mengenai kisah penghuni gua atau pemuda-pemuda yang ditidurkan dalam gua oleh Allah selama 309 tahun.  Kisah ini Allah rakamkan sebagai wahyu dalam al-Quran selain nama surah al-Kahfi.  Pada zamannya, pemuda-pemuda ini adalah orang-orang yang beriman kepada Allah. Untuk mengelakkan diri daripada musuh, mereka pergi ke sebuah gua dan Allah tidurkan mereka di sana.  Cerita mereka ke gua menjadi cerita turun-temurun dalam masyarakatnya.  Ini umpama cerita lagenda dan mitos dalam masyarakat orang Melayu yang diwarisi oleh semua generasi seperti cerita Hang Tuah.  Tapi rencana pendek ini bukan hendak menyamakan kisah pemuda al-kahfi dengan Hang Tuah. Cerita pemuda tidur itu sentiasa dalam ingatan penduduk negeri berkenaan sehingga semua pemuda itu dijagakan  daripada tidurnya, supaya masyarakat itu dapat memahami kronologi kisah pemuda al-Kahfi.

Kemudian berlaku debat antara dua pihak dalam masyarakat mengenai wujud atau tidak kebangkitan semula manusia, maknanya adakah selepas mati di dunia ini manusia terus lenyap atau dihidupkan semula.  Takdir Allah, semua pemuda itu terjaga daripada tidurnya yang panjang (tetapi mereka hanya merasa tidur yang sebentar).  Maknanya Allah memberi ilmu atau berhujah bahawa mudah saja Allah menidurkan manusia begitu lama (seumpama mati) dan kemudian membangkitkan semula.

Allah yang menjadikan sekian banyak manusia yang diperintahkan supaya beribadah (taat) atau menjadi hamba-Nya (maksud surah as-Zariat: 56, Dan tidak Aku menjadikan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada-Ku).  Allah tidak membiarkan mereka hidup mencari sendiri bagaimana hendak menjadi hamba Tuhan.  Sebab itulah Allah memilih dalam kalangan mereka Rasul atau Nabi untuk menyampaikan ilmu atau berhujah mengajak manusia beriman kepada Allah (mengabdi atau menjadi hamba-Nya). 

Maksud firmah Allah dalam surah al-Isra:15 “Tidaklah Kami menyiksa (mengazab) sesiapa pun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul.”

Para rasul dan nabi akan mengajarkan akidah dan berhujah terhadap manusia. Setelah itu barulah Allah akan menilai sama ada manusia itu beriman atau menolak hujah.  Dan kepada yang menolak hujah, Allah akan memberi balasan buruk kelak!

Lihat bagaimana Nabi Ibrahim berhujah dengan kaumnya di Babylon (Iraq) mengenai ketuhanan.  Setelah didakwah berkali-kali agar tidak menyembah batu berhala yang tidak boleh berbuat apa-apa, baginda memecahkan pula berhala-berhala kecil itu, dan ditinggalkan satu berhala besar dengan kapak di sisinya.  Ini cara Nabi Ibrahim berhujah untuk memecah pemikiran jumud kaumnya.  Baginda meminta kaumnya bertanya kepada si berhala yang ada kapak itu?  Nah, semua terkesima, mengakui si berhala besar itu hanya batu yang tidak boleh berbuat apa-apa!  Itulah hujah namanya!  Tidak ada seorang pun yang selama ini mempertahankan berhala sebagai Tuhan dapat membidas semula hujah Nabi Ibrahim.  Bukankah itu pengajaran dalam beragama?

Kesimpulannya, Islam ditegakkan dengan kekuatan hujah.  Untuk mempunyai hujah yang kuat, kita diseru mencari ilmu.  Kisah debat Nabi Ibrahim dengan kaumnya menjadi iktibar supaya kita tidak menjadi seperti kaumnya yang kehabisan hujah membela pendirian salahnya, tetapi memilih untuk menghukum orang yang berhujah dengan baik.

Khamis, Ogos 25, 2011

KUTIPLAH amal sebesar zarah


KERAP didengar orang mengatakan agar tidak membicarakan hal yang kecil atau remeh-temeh, sebaliknya berbicaralah hal-hal yang besar.  Maksud lain ialah supaya tidak memperjuangkan hal kecil atau perkara ranting dalam agama, sebaliknya perjuangkanlah hal yang besar-besar!  Jika dihalusi, yang dikatakan kecil ialah ialah seperti merapatkan saf solat, benar atau salahnya bacaan dalam solat manakala yang perkara yang dikatakan besar ialah seperti  undang-undang Islam, negara Islam atau sistem ekonomi Islam.

 kaki ketika sujud dalam solat....adakah hal kecil?

Itu semua pandangan orang, yang berkait dengan kepentingan atau kedudukannya.  Kalau dirinya seorang ahli politik yang sedang kuat memperjuangkan sesuatu, maka perkerjaannya dianggap besar dan baginya wajiblah semua menyokong pekerjaannya.  Oleh itu, hal-hal yang tidak ada kaitan dengan politiknya dilihat sebagai hal kecil.  Kalau dibiarkan orang membicarakan hal yang tidak kaitan dengan politiknya, tentulah semakin lama semakin surut sokongan yang diterima.  Orang seperti ini akan pantas berhujah  ‘membicarakan hal ranting dalam agama akan memecah-belahkan umat’.  Walhal tindakan menarik sokongan umat untuk membenci pihak lain adalah jelas pekerjaan memecah-belahkan umat!

Adakah Rasulullah membahagi-bahagikan ajaran Islam kepada perkara kecil dan besar, sehingga nabi hanya mengajarkan ‘sekilas lalu’ terhadap perkara kecil sebaliknya menekuni perkara-perkara besar?  Baginda Rasulullah sentiasa berlaku adil dalam menyampaikan ilmu agama, sebab itulah perkara-perkara yang dikatakan kecil (hari ini) dapat kita laksanakan dengan betul.  Jika kita memahami teguran Allah kepada Rasulullah dalam surah Abasa, sepatutnya orang faham bahawa tidak sepatutnya ada hal-hal yang dianggap kecil atau remeh-temeh.

Allah sendiri telah memberi pengiktirafan besar terhadap amalan yang kecil dengan memberi ganjaran besar sebagaimana  firmannya dalam surah An-Nisa:48 (maksudnya) “Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi seseorang walau sebesar zarah, dan jika seseorang ada kebajikan (sekecil) zarah, nescaya Allah akan mencatatnya dan memberikan pahala yang besar di sisi-Nya.”

Maka janganlah mudah terpedaya dengan ilusi orang yang mempunyai kepentingan tertentu, agar tidak memperbaiki urusan agama atas alasan hal kecil dan iseng-iseng.  Amatlah tidak munasabah tidak perlu membuat teguran saf solat yang lompong atau wuduk yang tercela, dengan alasan lebih baik mendakwah orang melakukan solat kerna banyaknya orang Islam yang tidak solat.  Kemudian diminta agar jangan membicarakan mana yang sunah dan bid’ah atas alasan orang akan keliru sedangkan katanya maksiat besar berlaku secara besar-besaran!

Biarlah mereka yang mendakwa orang besar berjuang besar-besar kerna itu hak dan keupayaannya, dan kepada yang mahu melakukan kerja-kerja kecil, Allah tetap melihat dan akan member ganjaran yang selayaknya.  Di sekeliling kita semua,masih banyak perkara kecil yang boleh dilakukan untuk mendapatkan pahala besar di sisi Allah.

Ahad, Julai 03, 2011

KENDURI Tahlil adat resam kita....

(catatan di bawah merupakan risalah yang saya berikan kepada rakan-rakan di desa. Dalam tempoh sebulan ini padat dengan adat resam yang disangka perintah Allah. )


KENDURI TAHLIL KIRIM ARWAH BUDAYA KITA….

CATATAN ini untuk mereka yang jujur mencari kebenaran di sisi Allah dan rasul-Nya.  Juga, untuk mereka yang menyerah diri kepada kebenaran serta meninggalkan perkara-perkara yang tidak jelas, di samping menjaga sunah Rasulullah.

Maaf tuan-tuan, apakah kenduri tahlil kirim arwah itu sunah nabi atau adat resam Melayu?  Berdasarkan budaya dan pemahaman yang selama ini dipegang, nampaknya kebanyakan kita percaya kenduri tahlil kirim arwah itu adalah ajaran agama.  Jika kenduri arwah yang popular itu ajaran agama Islam, tentulah dalil-dalilnya sangat jelas dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi yang sahih.

Maksud kenduri tahlil kirim arwah itu jelas bentuk bacaan-bacaan beberapa surah dalam al-Quran dan ayat-ayat pilihan lain.  Semua itu dirangkum dinamakan Tahlil Arwah dan bacaan itu pahalanya diniatkan untuk dikirim atau dipindahkan kepada mana-mana arwah keluarga kita.

Mula-mula kita tanya: Adakah pahala dan dosa seseorang boleh dipindah-pindahkan kepada orang lain?  Jika kita kaji dalam agama Kristian, memang jawabannya ‘Ya’.  Dalam Kristian satu akidah utamanya ialah Dosa Warisan iaitu dosa Nabi Adam di syurga diwariskan kepada manusia sehingga seorang yang dinamakan Jesus merelakan dirinya disalib sebagai menebus dosa warisan itu.

Selama ini kita membaca beberapa surah dan ayat al-Quran kemudian pahalanya dikirimkan kepada si mati.  Tujuannya ialah supaya si mati di alam barzakh mendapat faedah daripada bacaan kita di dunia ini.  Adakah perkara yang sebegini penting tidak dijelaskan dalam al-Quran? Adakah agama Islam mengajarkan bahawa dosa dan pahala seseorang boleh diwariskan atau diagih-agihkan kepada orang-orang lain, khasnya kepada orang mati? 

Kita temui ayat 46 surah al-Fushilat bermaksud: Barangsiapa mengerjakan kebajikan, maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barangsiapa berbuat kejahatan maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.

Ini bermakna perbuatan memindahkan pahala jelas tidak betul.  Pahala dan dosa tidak boleh dipindah atau dikirimkan kepada sesiapa. Pahala dan dosa adalah tanggungan diri sendiri.  Ayat di atas sangat jelas berlawanan dengan pemahaman kita yang mendakwa pahala boleh dikirim kepada arwah dan si arwah akan mendapat manfaat daripada itu.

Mungkin ada sahabat kita akan mencari dalil akal seperti, “kita buat juga Kenduri Tahlil, biarlah Allah tentukan sama ada Dia hendak terima atau tidak.”  Jika begitu, ertinya kita akan membuatnya juga sekalipun jelas berlawanan dengan firman Allah.  Berdasarkan hadis sahih nabi, perbuatan itu sia-sia atau tidak berguna di sisi Allah.

Maksud sabda Rasulullah: Barangsiapa yang melakukan satu amal ibadah yang bukan daripada suruhan kami, maka ia tertolak.  (Riwayat Muslim)

Lagi maksud sabda Rasulullah: Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan kami (urusan agama) perkara yang tidak ada padanya, maka ia tertolak. (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah mengatakan amal yang tidak baginda tunjukkan caranya, dan kita membuatnya sendiri, amal itu sia-sia.  Kenduri Tahlil tidak ada contoh dan termasuk dalam perkara sia-sia.  Sia-sia bermakna kosong, tidak ada apa-apa.  Jadi tidak perlulah kita nak buat juga dan membiarkan Allah tentukan sama hendak menerima atau menolaknya.  Tuan-tuan yang budiman, Islam agama yang jelas, bukan dalam proses cuba-cuba lagi!

Mungkin ada sahabat kita memberi komen, “Tahlil ini sudah menjadi kebiasaan umat Islam sejak zaman nenek moyang, tak kanlah mereka salah.”

Keraguan seperti ini pun dijelaskan dalam al-Quran ayat 170 surah al-Baqarah bermaksud: Dan apabila dikatakan kepada mereka ‘ikutilah apa yang diturunkan oleh Allah’, mereka menjawab ‘(tidak) Kami mengikuti apa yang kami dapati daripada nenek moyang’.  Padahal nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa pun dan tidak mendapat petunjuk.

Satu kesimpulan penting daripada catatan ini ialah membentuk pendirian sejati seseorang muslim.  Apakah pendirian kita setelah dibuktikan Kenduri Tahlil itu berlawanan dengan al-Quran dan sunah nabi?  Allah mengajar kita dalam surah al-Ahzab ayat 36.

Maksudnya:  Dan tidaklah sepatutnya bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan lain bagi mereka tentang urusan itu.  Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya, maka sungguh dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.

Ayat 51 surah an-Nur pula (maksudnya): Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada kitab Allah dan sunah rasul-Nya sebagai hakim memutuskan perselisihan di antara mereka, iaitu mereka berkata ‘Kami dengar dan taat’.  Mereka itulah  yang mendapat kejayaan.

wallahuaklam



Khamis, Jun 02, 2011

"LIHATLAH dosa-dosaku....."


PENGAKUAN dirinya yang dahulu seorang munafik tertera sebagai tajuk utama akhbar tabloid.  Pernah seorang yang terkenal menulis sebuah buku mendedahkan pengalaman buruk atau amalan yang menyalahi Islam.  Walaupun secara zahirnya dapat difahami bahawa mereka yang mendedahkan perbuatan-perbuatan dosa atau maksiat kepada Allah sebagai tanda mereka menyesali perbuatan berkenaan, tetapi sebenarnya ada piihan yang jauh lebih baik bagi seseorang yang bertaubat meneruskan kehidupannya yang indah.  Sekalipun seseorang berhasrat untuk berdakwah kepada orang lain supaya tidak menjadi pelaku maksiat, tidaklah sehingga mendedahkan perbuatan dosanya pada masa lampau.

 foto hiasan

Untuk apa mendedahkan aib sendiri, sekalipun bertujuan supaya orang lain tidak menjadi sepertinya?  Dengan pendedahan yang secara meluas, jumlah orang yang mengetahui dirinya dahulu seorang yang ‘munafik’ atau ‘kaki maksiat’ telah bertambah dengan begitu banyak.  Jika dahulu yang mengetahui perilaku salahnya hanya segelintir manusia, kini jumlahnya menjadi jutaan orang.  Adakah ini satu cara yang dikehendaki oleh Islam?

Elok diperhatikan maksud firman Allah dalam al-Quran surah An-Nisa’ ayat 148-149:  “Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya (pengaduan dalam mahkamah).  Allah maha mendengar lagi maha mengatahui.  Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau memaafkan kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah maha pemaaf lagi maha berkuasa.”

Cukuplah seseorang yang menyesali perbuatan lampau itu bertaubat dengan bertekad tidak melakukannya semula dan membenci perbuatan itu.  Dengan merahsiakan perbuatan dosanya pada masa lampau yang bertahun-tahun itu, dia dapat meneruskan kehidupan sebagai muslim dengan aman tanpa menjadikan dirinya bahan cerita orang ramai.  Oleh itu masyarakat juga ‘terkawal’ daripada mendapat bahan cerita baru sesama mereka sewaktu berbual-bual. Dengan itu pintu-pintu umpat atau penggunjingan dalam masyarakat dapat dikurangkan.

Jumaat, April 22, 2011

PESANAN Imam Masjidil Haram di Malaysia


KEPADA mereka yang pernah solat di Masjidil Haram pasti tidak melupakan suara imam solat yang agak sengau.  Beliau adalah Imam As Sudais yang telah berkunjung ke Malaysia.  Semua pihak menghormati ketokohan beliau dengan memberikan ruang berkhutbah dan memberi ceramah.  Kepada segelintir mereka yang mabuk dengan istilah 'wahabi' tentu perasaan hatinya luka dengan sambutan terhadap imam ini.  Alahai, jelasnya isu wahabi hanya cakap-cakap kedai kopi untuk menonjolkan diri, supaya ada orang memandang yang berkata itu sebagai orang yang membela agama. kononnya!


Imam Besar Masjidil Haram Gesa Umat Islam Kekalkan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais menggesa umat Islam agar berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah demi memastikan mereka kekal bersatu padu.

Beliau berkata, perpecahan di kalangan umat Islam akan berlaku sekiranya mereka tidak menjadikan kedua-dua perkara itu sebagai sebahagian amalan kehidupan seharian. "Anda semua harus berpegang pada hadis Rasulullah S.A.W. mengenai pentingnya berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah, jika tidak inilah (perpecahan) jadinya kepada umat kita (Islam)," katanya dalam khutbah Jumaat yang diikuti oleh lebih 3,000 jemaah, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.

Khutbah beliau bertajuk "Perpaduan Islam dan Cabaran Semasa" diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia Datuk Mahamud Abdul. Sheikh Abdul Rahman turut berpesan kepada umat Islam di negara ini supaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

Imam itu berkata, perpaduan juga boleh dicapai menerusi peningkatan ilmu pengetahuan serta memahami Al-Quran serta hadis Rasulullah S.A.W. "Dengan itu, saya menggalakkan anda semua supaya meningkatkan penguasaan Bahasa Arab kerana kesatuan umat ini satu tiangnya iaitu menguasai Bahasa Arab itu sendiri," katanya.

Katanya, umat Islam harus mengakui mereka adalah umat pertengahan di dunia iaitu bersifat sederhana dalam kehidupan seharian. "Oleh itu, janganlah kita menjadi pelampau dan jangan pula merendah diri sampai kita ditindas oleh bangsa lain," katanya.

Beliau menambah, umat Islam juga harus mempunyai keseimbangan dari segi ilmu dan amal kerana kedua-duanya saling melengkapi. Sheikh Abdul Rahman yang sedang dalam rangka lawatan lima hari ke Malaysia turut mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya petang ini. -BERNAMA

Isnin, April 18, 2011

SUKARnya menemukan syahadah dalam kehidupan hari-hari


ENTAH  berapa banyak kali kita mendengar bahawa akidah merupakan pintu masuk ke dalam Islam. Apabila seseorang telah melalui pintu masuk Islam ini, sepatutnya berlaku perubahan hidup seseorang, berbeda sewaktu belum memasuki pintu ini.  Sebab itu ada kita mendengar seseorang yang telah memeluk Islam berkata bahawa hidupnya berbeda berbanding sewaktu sebelum menganut Islam.

 foto hanya hiasan

Apabila seseorang memeluk Islam, dia akan melafazkan (sebenarnya berikrar) bahawa Tidak ada Tuhan melainkan Allah (laa ilaha illallaah), dan tatkala sedang nazak akan berakhirnya hidup dia juga wajib mengikrarkan ayat yang sama seperti dia mula memeluk Islam dahulu.  Kisah seseorang memeluk Islam mengikrarkan syahadah bukan hanya untuk seseorang yang asalnya bukan Islam, malah sesiapa juga yang sedar mengapa dirinya berada dalam Islam, dia wajib terlebih dahulu mengikrarkan syahadah!

Dalam tempoh terdekat ini telah dua kali saya berkesempatan bercakap dan berdialog dengan remaja untuk saya menduga apakah erti  laa ilaaha illallaah dan apakah kaitan dengan kehidupan sehari-harian, misalnya pakaian seseorang yang kemas atau selekeh.  Ya, kira-kira separuh daripada mereka tahu erti lafaz syahadah dalam Bahasa Melayu, tetapi semua tidak tahu apa-apa kaitan syahadah itu dalam kehidupan sehari-harian, termasuk soal makan minum, berpakaian atau dalam pergaulan.  Jika mereka tidak mengerti hendak mengaitkan syahadah dengan kehidupan, bolehkah berlaku perubahan hidup atau membawa imej Islam?

Tidak keterlaluan jika sesiapa juga membuat kaji selidik terhadap masyarakat awam muslim, akan menemui kesimpulan seperti yang saya temui.

Remaja-remaja berkenaan seolah-oleh menemui  satu pengetahuan yang asing apabila saya memberitahu semua ruang kehidupan peribadi atau bermasyarakat (dalam dunia mereka sebagai anak dan bersama rakan sebaya) sepatutnya dalam lingkungan ikrar Tiada Tuhan melainkan Allah.  Mereka bagai tidak percaya dapat dikaitkan situasi berkenaan dengan ikrar itu:

1         Berpakaian kemas atau selekeh
2         Cara-cara menunggang motorsikal yang sebagiannya tidak memakai topi keledar
3         Bergaul sesama teman sama ada yang sejenis atau berlawanan jenis
4         Menyediakan bilik yang kemas atau berselerak (demikian beberapa contoh)

Tidak mudah untuk membina keyakinan baru dalam kehidupan yang selama ini dianggap terpisah dengan ikrar Tiada Tuhan melainkan Allah.  Kepada yang mengetahui psikologi seseorang dan metodologi pengajaran dan pemelajaran (P&P), untuk membina keyakinan baru yang besar sebagaimana kesan akidah dalam hidup sebenarnya perlu kembali memulakan dari anak tangga pertama.

Begitulah sukarnya mahu mengubah paradigm seseorang, bukan dengan cara  merentas di mana-mana ada kesempatan. 

Berapa banyak peribadi yang begitu teruja dengan sedikit ilmu yang baru diterima sehingga beremosi terhadap sekitarannya!  Itulah kesan dakwah secara merentas di mana ada kesempatan.  Ertinya peribadi itu tidak ditemukan titik mulanya untuk memahami ikrar Tiada Tuhan melainkan Allah, tetapi terus diajarkan soal fikah atau perdebatan aliran-aliran pemikiran dalam Islam.  Kasihanlah peribadi yang menerima dakwah rentas ini, mereka menderita tanpa mereka sedari.

Jumaat, Februari 18, 2011

DAKWAH mulut merata-rata

DAKWAH BURUNG TIONG
February 15th, 2011 by Nobisha

Dalam kesejukan malam di Seoul (kini -5C), fikiran saya segera merawang ke tanah air. Hari ini Maulidur Rasul. Menyambut Maulidur Rasul, tak sama seperti menyambut Hari Kekasih, walaupun Rasulullah saw disebut sebagai kekasih Allah. Apa yang penting ialah untuk kita insaf bahawa dakwah Rasulullah saw berkembang melalui teladan yang baik atau “qudwah hasanah.”

Apa yang saya lihat pada hari ini kita cuba membawa kebaikan dengan lisan. Maka, bersyarah di sana-sini, atau menulis berjela-jela. Namun, apabila orang ingin melihat teladan, kita gagal memberikannya. Maaf, sekiranya ada yang terguris hati, namun biarlah saya berikan beberapa contoh.

Apabila saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul, satu perkara yang ketara ialah ia cukup bersih. Malah, terlalu bersih sampaikan saya berbisik di dalam hati kecil, kalau nak tidur di dalam bilik air itu pun boleh. Begitulah bilik air di negara bukan Islam.

Cuba kita lihat bilik air di Lapangan Terbang Jeddah, atau bilik air di hentian rehat antara Madinah dan Makkah. Kalau tak mahu pergi jauh-jauh, lihat sajalah bagaimana rupa bilik air di masjid kita walaupun khatib berbuih bercakap soal kebersihan dalam Islam. Semua ayat al-Quran dan hadis dibaca. Bilik air masih kotor dan berbau. Nah, kebersihan hanya ada pada perkataan tetapi tidak dapat dilihat.

Sewaktu makan malam tadi, saya dan sahabat-sahabat di Seoul memilih buffet. Semuanya makan licin pinggan. Ambil yang ingin dimakan dan habiskannya. Seorang sahabat saya di sini memberitahu kita hanya ambil sekadar yang hendak dimakan, tidak lebih dari itu. Kalau ditanya saya, itulah sunnah Rasulullah saw. Bagaimanapun, cuba lihat cara kita makan sama ada di majlis kenduri atau di masjid. Melimpah-ruah kita longgokkan dalam pinggan. Kemudian, separuh dibuang dalam tong sampah. Sekali lagi kita bercakap, tetapi orang tidak melihat kita mengamalkannya.

Begitu juga dalam bernegara. Ramai yang bercakap soal integriti, tetapi berapa ramai pemimpin (kerajaan dan pembangkang) yang berintegriti. Ramai yang bercakap soal akauntabiliti, tetapi berapa ramai aktivis parti (kerajaan dan pembangkang) yang menguruskan kewangan parti secara telus? Ya, memang ada akaun atas meja, tetapi berapa banyak pula yang diuruskan di bawah meja?

Bukan sedikit yang mengkritik media massa sebagai berat sebelah. Saya nak tanya, adakah orang yang mengkritik itu menunjukkan “qudwah hasanah” dengan menerbitkan akhbar atau majalah yang seimbang? Dia pun sama! Apa yang saya lihat ialah kuali mengatakan cerek hitam. Mengata dulang, paku serpih!

Kita tidak boleh membawa Islam ke dalam masyarakat dengan hanya ceramah. Kita perlu tunjukkan teladan. Individu Muslim harus menampilkan akhlak yang baik. Keluarganya harus boleh dicontohi. Dan, akhlaknya dalam bernegara juga mesti boleh diteladani. Itulah sunnah Rasulullah saw.

Allah swt mengingatkan:

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan Allah dan Hari Akhirat serta mereka banyak berzikir kepada Allah.” (al-Ahzab: 21)

Ah, kalau setakat nak bercakap, burung tiong lagi pandai bercakap!