Pengikut

Jumaat, April 03, 2009

MADRASAH Muhammadiyah Sabak Bernam

DALAM buku sejarah peringkat menengah rendah ada dipaparkan foto sebuah bangunan madrasah yang berjasa kepada dunia pendidikan orang Melayu sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Itulah Madrasah Muhammadiyah al Diniyah yang disiapkan pembinaannya pada tahun 1937 di Batu 40 Sabak Bernam Selangor. Madrasah ini pembinaannya dibiayai sepenuhnya oleh Penghulu Mukim Sabak pada tahun berkenaan iaitu Haji Muhammad. Salasilah Haji Muhammad masih dapat ditemukan kepada keluarga diraja Sultan Selangor. Fakta-fakta ini saya temui daripada cucu Haji Muhammad, iaitu Encik Moohd Hatta bin Haji Abdul Hamid, 58 tahun pada 2 April 2009.


Menurut Encik Mohd Hatta lagi pelan madrasah memang idea asal Haji Muhammad dan kontraktornya seorang keturunan Cina bernama Ah Doi dari Pulau Pinang. Madrasah ini yang menelan belanja RM15,000.00 disiapkan pembinaannya dalam masa dua tahun. Semua kayu untuk membina madrasah ini dari balak yang ada di Sabak Bernam, manakala semua pasir dan simennya didatangkan dari Pulau Pinang. Bangunan madrasah ini setinggi tiga tingkat, dengan tingkat tiga merupakan ruang melaungkan azan. Tingkat kedua merupakan dewan solat manakala di bawah adalah ruang kelas pengajian. Di tingkat dua terdapat beranda dan ukiran tradisi Melayu.




Dalam tahun 1950-an DYMM Sultan Selangor Tuanku Hishamuddin telah merasmikan Madrasah Muhammadiyah al Diniyah. Nama Muhammadiyah adalah bersempena nama Haji Muhammad sendiri. Sejak ditubuhkan pada tahun 1937, madrasah ini menjadi pusat pendidikan Islam terawal di Sabak Bernam. Penghulu Haji Muhammad telah membawa guru-guru agama dari Bukit Mertajam seperti Ustaz Salleh. Ustaz Sulaiman Bin Haji Sood, Sheikh Ali Balidram, Sheikh Ahmad Balidram dan Ali Yamami datang dari Pulau Pinang manakala Ahmad Darmawi dari Bagan Serai Perak.

Pada zaman selepas merdeka antara guru yang terkenal mengajar di madrasah ini ialah Haji Yunus. Haji Abdul Hamid bin Haji Muhammad dan Haji Salleh bin Haji Muhammad merupakan dua orang anak Haji Muhammad yang menjadi guru di sana. Madrasah ini mempunyai kaitan dengan Madrasah al Masyhoor yang terkenal di Pulau Pinang. Hal ini dibuktikan dengan Kehadiran Sheikh Hussein Kafeek yang bertaraf Nazir menjadi pelawat dan pemantau pendidikan di Madrasah Muhammadiyah al Diniyah.

Pelajaran yang diajarkan di madrasah ini ialah hal berkaitan dengan pendidikan agama Islam seperti pembacaan al-Quran, Tafsir al Quran dan Hadis dan Bahasa Arab. Antara tokoh yang dapat dikesan pernah mendapat pendidikan di madrasah ini ialah mantan Imam Besar Masjid Negeri Perak, Haji Mohd Nor bin Mansor.

Madrasah Muhammadiyah al Diniyah terus berperanan sebagai pusat pendidikan Islam di Sabak Bernam sehingga Jabatan Agama Islam Selangor membina sebuah Sekolah Agama Menengah Batu 40 berhampiran dengan madrasah ini untuk menampung jumlah murid yang banyak. Oleh itu mulai tahun 1980-an peranan madrasah Mauhammadiyah al Diniyah sebagai pusat pendidikan Islam untuk murid-murid terhenti. Di balik itu madrasah ini masih berperanan menjadi pusat pendidikan kepada remaja dan orang dewasa yang tidak mengikuti pelajaran secara formal di sekolah kelolaan jabatan agama.

Hari ini Sekolah Agama Menengah Muhammadiyah telah dimodenkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dengan sistem pendidikan terancang merangkumi pendidikan akademik dengan nama Sekolah Agama Integrasi Muhammadiyah di Batu Satu Tebok Pulai, tidak jauh dari Batu 40 Sabak Bernam.

Bangunan dua tingkat Madrasah Muhammadiyah al DIniyah masih utuh dengan senibina Melayu yang dibanggakan. Hari ini madrasah ini menjadi pusat pendidikan Tahfiz al-Quran dengan 10 orang murid.

Diharap Jabatan Muzium Negeri Selangor dapat mengambil inisiatif untuk mewartakan bangunan madrasah ini sebagai khazanah Negara yang mempunyai nilai sejarah. Tidak dapat dinafikan bahawa madrasah inilah satu-satunya bangunan bersejarah yang berjasa kepada pendidikan orang Melayu berpuluh-puluh tahun sebelum pemodenan sekolah seperti hari ini.


Beberapa foto berkaitan dalam http://kendedes.fotopages.com/

5 ulasan:

  1. saya orang sabak gak....tapi bkn betul2 kat sabak....saya duduk kat parit 12...bagan terap

    BalasPadam
  2. Saya Mohd Hatta anak kepada Haji Mahmood Haji Muzani, yakni cucu kepada arwah Haji Muzani Haji Muhamad. Saya ingin benar menghubungi saudara mara yang mungkin masih mengingati saya kerna saya jarang balik ke Sabak Bernam. Email saya ialah mohdhatta3@gmail.com
    Sekian, wasalam.
    Hatta

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum En. Mohd Hatta...Nama sy mohd faidzal,cicit kpd Haji Muhammad..Datuk sy ialah Haji Sulaiman,anak kpd Haji Muhammad..kalau ada gambar2 sejarah Haji Muhammad boleh la kongsi2 dgn sy..email sy fdz85@yahoo.com

    BalasPadam
  4. assalammualaikum. blh saya dapatkan no telefon untuk mahad ini

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam, ayah sy Ahmad Kamal (cucu kepada Hj Muhamad) adalah AJK yang menguruskan madrasah ini. boleh contact 017 237 4658. boleh email sy juga untuk sebarang pertanyaan di AKnadya@gmail.com

      Padam