Pengikut

Sabtu, Oktober 31, 2009

JANGANLAH emosi orang agama

Dua tahun dahulu seorang yang mengaku ustaz (katanya lulusan luar negeri!), yang tidak kenal sangat pun diri saya menghantar emel mengutuk dan menuduh saya belajar agama hanya dengan membaca buku. Dahsyatkan! Dia seorang bakal ulama (hadis nabi menyebut ulama warisatul anbia!), yang sangat faham bab akhlak dan din berbanding petani dan nelayan, kemudian memfatwa ‘jangan belajar agama dengan membaca buku’. Dahsyat lagi sebab dia tidak pernah tahu sejarah hidup saya, tak tahu di mana dan apa yang saya tekuni, kemudian saya dilabel orang belajar agama dengan membaca buku saja. Tuduhannya itu bermakna saya dianggap belajar agama tanpa dialog, soal-jawab, pembentangan ilmiah dengan ulama atau ustaz. Dahsyatkan saya di matanya?



Baru-baru ini dia mengemel saya, mempromosi satu buku akidah. Promosi untuk apa? Untuk saya membaca buku akidah? Kalau dua tahun dahulu, tanpa apa-apa sebab kuat membuat tuduhan ‘belajar agama dengan membaca buku saja’ kini suruh saya baca buku agama pula. Pemikirannya berputar 360 darjah. Dahsyat kan?


Mengapa manusia ini bertindak dua hala berbeda? Inilah akibatnya apabila diberi Allah sedikit ilmu tetapi merasa sudah tahu segala-galanya sehingga apa yang tidak disetujuinya dihukum salah, dosa dan akan masuk neraka. Saya bukan saja-saja sebut pemikirannya begitu. Dalam beberapa emelnya yang lain dia tetap menggambarkan saya salah, tersesat dan meminta bertaubat kepada Allah sebab tak lama lagi akan mati. Tentulah dia menggambarkan dirinya saja yang betul dan sesiapa yang tidak sepertinya kalau mati dalam kemurkaan Allah, (mati masuk nerakalah?).


Kisah ini juga contoh apabila meletakkan perasaan di hadapan, berbanding akal dan pemikiran waras. Mengapa seseorang boleh bertindak demikian? Jawabnya faktor pendidikan yang diterima selama ini. Banyak orang yang menjadi ego (walaupun gelarnya ulama) kerana pelajaran dan pendidikan yang diterima bertahun-tahun daripada guru dan sistem pendidikan yang dilalui. Guru-gurunya sendiri tentulah mereka yang sangat emosional, mindanya tertutup, tidak rasional tetapi sangat dipercayai oleh anak muridnya sehingga semua cara yang dibawa oleh gurunya dianggap betul, sah dan pilihan Tuhan.


Kemudian sistem pendidikan itu sendiri dalam penyampaian ilmu yang bukan mendedahkan maklumat daripada pelbagai sudut, tetapi merupakan satu pusat indoktrinasi pemikiran. Tak faham? Pusat indoktrinasi samalah dengan sekolah pemikiran komunis yang memaksa sama ada secara halus atau kasar penerimaan komunisme saja yang betul. Semua pemikiran lain salah, dan wajib diperangi. Dalam komunisme tidak dalil dan hujah, tetapi taklid atau terima membuta terima tanpa fikir.


Jangan fikir dalam mempelajari agama tidak ada indoktrinasi!

Khamis, Oktober 29, 2009

DUNIA neraka muslim?


KERAP didengar apabila membicarakan kelemahan atau kemunduran orang Melayu/Islam, faktornya ialah kerana mengabaikan Islam. Orang ini mengatakan Islam itu semua ada dan menyelamatkan semua perkara. Banyak yang sudah menghafal jawaban ini sebagai hujah, dan ditambah pula dengan tuduhan kegagalan mana-mana pihak berkuasa melaksanakan Islam. Senang saja jawaban dan hujah… retorik, hanya sedap di telinga dan alasan terbaik untuk menampilkan dirinya sebagai contoh terbaik orang atau kumpulan yang berjaya di Malaysia! Yakah?


Di negara kita, lanskap pemikiran kerap diasingkan berdasarkan kandang politik. Dengan menuduh satu pihak sebagai berpikiran sempit mengenai Islam, mereka menggambarkan kumpulan musuhnya itulah penyebab umah mundur, tidak berdaya maju. Pihak tertuduh pula membalas bahawa pihak di sebelahnya itu sebagai golongan sekular yang menjadi penyebab kemalasan dan kegagalan pembangunan umah. Aduhai…, Islam juga yang didagangkan, dijadikan alasan penyebab bangsa yang mundur:


“Kamu sekular, politik suku agama suku, membangun bangsa yang merugikan Islam. Perkauman itu kesesatan, bukan jalan Islam. Kamu saki baki penjajah, kerana itulah muslim mundur!”

“Kamu pula berpikiran Islam sempit, faham Islam hanya di masjid, zikir, kopiah dan tudung kepala, tidak mahu kepada pembangunan, kerana itulah muslim mundur!”


Berpuluh-puluh tahun, mereka berdebat serta salah-menyalah atas kebodohan, kegagalan dan kemunduran umah. Tidak lain, Islam juga yang dijadikan kambing hitam, kononnya kumpulan lain yang menyalahkan pemahaman Islam. Dan orang bukan Islam tertawa besar!


Di pihak lain, bangsa-bangsa di Barat sekalipun bukan Islam, namun cara mereka hidup dan bekerja banyak yang cocok dengan Islam. Kerana kerajinan, ketelusan, berfikiran kreatif dan inovatif, bangsa Barat yang bukan Islam itu maju dalam banyak lapangan. Kita muslim hanya bangga yang guru orang Barat itu ialah tokoh Islam dari tamadun Islam silam. Sekarang kita muslim mengutip semua kemajuan teknologi orang bukan Islam dari Barat.


Sebaik-baik umah


Di negara ini yang umatnya dikatakan ‘sebaik-baik umah’ di sisi Allah, calon syurga di akhirat kelak saling berdebat tidak sudah untuk mendapat hormat siapa lebih taat perintah Allah, siapa beriman dan siapa sudah kufur! Panggil orang, buat ceramah, bentang kertas kerja, dan perah otak berfikir untuk panjangkan debat isu titik-bengik itulah…


Apa ceramah agama yang belum tuntas? Ustaz dan ulama acap kali berkata Islam mementingkan kebersihan, tapi Singapura yang 80 persen bukan Islam lebih bersih daripada Malaysia, Lihat rumah-rumah di Malaysia dan Britain. Hampir semua rumah gaya moden di negara ini dipasangnjeriji besi (grill), tetapi langka pula di negara bukan Islam itu. Ertinya di negara Islam seperti Malaysia, banyak jenayah (tindak pidana) curi, pecah rumah dan samun, tetapi kurang di negara bukan Islam Barat! Kemudian teliti cara pemanduan kenderaan di Eropah (majoriti penduduknya bukan Islam) berbanding dengan di Malaysia yang kerap sangat didengar ada ceramah Islam sebagai penyelamat dan sebaik-baik jalan hidup. Kan berbeda. Bagus lagi di Eropah.


Malu untuk maju


Kita muslim serba kalah dalam lapangan hidup kerana pemikiran kita tidak terarah kepada yang unggul. Kita suka mendengar cerita Islam itu hebat atau unggul, tetapi kita sebenarnya benci kehebatan dan keunggulan. Kita benci bangun pagi untuk berduyun-duyun ke masjid, kemudian kerja awal pagi. Kita marah apabila disuruh menekuni pengetahuan sehingga mahir, dikatakan ini semua ilmu dunia tak dibawa mati. Kita mahu senang-senang dan mahu hasilnya lumayan pula. Falsafah Islam dan Barat (pemikirannya berasaskan Islam) ialah untuk mendapatkan hasil lumayan mesti melalui jalan kesusahan.


Kemudian, kita berdalih bahawa kaum bukan Islam akan masuk neraka sekalipun mereka berjaya menguasai dunia. Sejak kecil kita diajar bahawa dunia ini syurga orang kafir, dan neraka buat muslim. Anak kecil muslim pun sudah hafal dunia ini sementara saja, cari akhirat yang abadi. Ditambah lagi, dunia tidak ada nilainya di sisi Allah, disuruh-Nya kita mendapatkan kejayaan akhirat.


Bagaimana mendapat kejayaan akhirat? Tidak sedikir orang agama memberitahu kita caranya: Banyakkan solat, zikir, puasa, yang sudah tua bangka duduk bersuluk berzikir atas sajadah. Kalau mati sewaktu solat, semasa berzikir terbayang masuk syurga. Orang bertanya: “Apakah belajar ilmu kemahiran dan bekerja bukan ladang atau bekalan ke akhirat? Kalau mati sewaktu bekerja, bakal masuk neraka?” Banyak orang terdiam!


Kerana pemikiran bahawa ibadah khusus saja sebagai bekalan untuk akhirat, maka orang tua berfikir patut anak-anak mereka belajar ilmu ibadah saja. Menjadi ulama yang pintar berceramah lebih mulia berbanding menjadi doktor, jurutera dan pakar rekacipta teknologi terbaru! Ingatkah dahulu ada sketsa puak al-arqam yang popular menggambarkan peguam, doktor dan jurutera sebagai anak-anak durhaka? “Mana anakku seorang peguam, mana anakku seorang doktor, mana…, mana…?” Sketsa itu merupakan salah satu tasawur Islam orang Melayu.


Kita muslim sebenarnya faham dunia dan isinya disediakan oleh Allah untuk kita muslim. Namun dalam pandangan orang Melayu yang mendakwa sudah beriman, “apabila menguasai kemahiran dunia, maka terlupalah ilmu ibadah kepada Allah, maka jangan kerana kerja dunia. terlepas kejayaan syurga di akhirat”. Kerana persepsi takut-bodoh itu, lebih baik tinggalkan kerja-kerja berprofil tinggi dan jangan tekun terhadap kerja-kerja dunia.


Pakaian pun menjadi hujah mulia-hinanya insan. Kalau berjubah berserban dianggap hamba Allah yang patuh, dikasihi Tuhan. Yang bertali leher itu sekular, jauh daripada rahmat Allah dan bukan ciri wali atau manusia pilihan Tuhan. Tidak percaya? Cuba pakai jubah dan serban, orang ini akan digelar ustaz, senang-senang diminta jadi imam solat. Bagus mana bacaan alqurannya, jika di masjid dalam pakaian bertali leher, dicari juga yang memakai kain pelikat untuk menjadi imam solat! Itulah budaya dan pemikiran Islam yang payah hendak diubah. Seperti lucu…


Maka muslim diseru kembali kepada ajaran Islam yang asal, alquran dan sunah. Lihat bagaimana muslim zaman Rasulullah dan generasi awal (salaf) menekuni Islam dan bergerak maju menguasai ilmu keduniaan. Ilmu akidah dan ibadah yang orang sekarang faham ilmu akhirat terjaga dengan baik, kemudian ilmu keduniaan ditekuni dengan susah payah. Itulah yang membuahkan kejayaan besar, membina tamadun yang dicontohi oleh orang yang berfikir. Orang yang berfikir itu ialah orang Barat. Kita malas berfikir, kecuali berfikir untuk membanggakan diri sebagai beriman. Cara untuk membuktikan kita beriman ialah dengan menunjukkan contoh rakan-rakan muslim kita yang dikatakan sesat dan munafik. Ohh, nampaklah bagusnya kita, kan, kan…!

Selasa, Oktober 27, 2009

MENGAPA terdiam terhadap sunnah


DALAM satu perbualan basi-basi dalam kumpulan beberapa rakan, antaranya mengatakan amalan sunah nabi. Berselang-seli antara tawa dan bersahaja memberikan pandangan. Kemudian saya mencadangkan agar tidak perlu melakukan solat selepas azan pertama pada tengah hari Jumaat. Secara bersahaja, saya nyatakan bahawa menurut aturan sunah nabi itu azan Jumaat hanya sekali. Antara dua azan yang dilaungkan di masjid-masjid negara kita, azan yang kedua itulah menuruti sunah.


Saya kata duduk sajalah sekalipun banyak yang berdiri untuk melakukan solat selepas azan pertama. Dalam hal ini bukan mempersoalkan salah atau tidak solat itu, tetapi tidak melakukan solat yang tidak ada contoh daripada sunah nabi. Itu saja. Dan semua diam….


Mengapa dianggap terlalu susah untuk meninggalkan satu amalan yang jelas tidak ada petunjuk sunah. Kerana majoritinya melakukan amalan itu, dan janggal amat untuk menafikan bahawa perbuatan mereka tidak ada dalam sunah. Lalu, orang yang sedang berfikir pentingnya menuruti sunah juga seperti kebingungan.


Ada yang faham yang solat itu bukan sunah, tetapi membawa prinsip baru iaitu: Buat ibadah apa saja dan sebanyak mana, nanti Allah akan menentukan mana satu yang betul. Ya, barangkali banyak yang menggunakan prinsip ajaran ini. Namun, ini bukanlan prinsip beragama di sisi Allah. Prinsip ini boleh musnah bila-bila masa. Misalnya, siapakah yang akan melakukan ibadah haji di kampung halaman masing-masing selain pergi juga ke Makkah dengan prinsip ‘Biarlah Allah menentukan mana yang betul dan salah, kita buat saja’.


Berbalik pada solat jumaat, biarlah pentadbiran masjid melakukan azan dua kali, kerana mereka terikat dengan jabatan agama. Kita sebagai ahli jemaah sangat bebas untuk melakukan amalan sunah dan tidak ada undang-undang menyekatnya. Kelak, apabila kian banyak meninggalkan solat selepas azan pertama itu, pegawai-pegawai agama di jabatan agama pun akan berfikir untuk menuruti kehendak jemaah masjid.


Sekali lagi tidak timbul perbalahan mana yang salah atau tidak, cuma meninggalkan yang tidak perlu. Yang berkeras untuk terus solat selepas azan pertama, ya…, silakan kerana itu pendirian yang sejak sekian lama. Moga-moga terbuka untuk mencari yang terbaik di sisi sunah nabi dan pegangan Imam Syafie.

Isnin, Oktober 19, 2009

GEMPA Padang: Sewaktu dengan ayat al-Quran?


2009 October 14

by Abu Umair

Baru-baru ini pada 30 September 2009, berlaku kejadian gempa bumi besar di Padang, Sumatera Barat, Indonesia. Ia berlaku tepat jam 17:16 (Waktu Indonesia). Kemudian disusuli dengan gempa kedua pada jam 17:58. Pada keesokan pula, berlaku satu lagi gegaran di Jambi pada jam 8:52.

Gempa bumi yang malanda Indonesia kali ini cukup besar dengan saiz yang direkodkan ialah 7.6 skala Richter. Hingga kini, angka korban yang dicatatkan menghampiri 1000 orang, dan beberapa buah kampung sudah diisytiharkan sebagai tanah perkuburan besar selepas operasi mencari mangsa yang tertimbus dihentikan.

Beberapa hari selepas tragedi gempa tersebut, tersebar melalui email dan SMS satu andaian mengaitkan waktu-waktu gempa dengan beberapa ayat Al-Quran. Berikut adalah contoh tulisan yang tersebar:

Cuba perhatikan gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa).

Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.

Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud: Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz).

Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud: (keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya.

Persoalannya, bolehkah mengaitkan secara langsung tiga ayat Al-Quran di atas dengan tiga gegaran gempa bumi baru-baru ini berdasarkan persamaan antara waktu gempa dengan nombor surah dan ayat Al-Quran?

Saya cuba membawakan beberapa fakta yang mempertikaikan kebenaran teori mengaitkan waktu kejadian dengan nombor surah dan ayat Al-Quran.

1- Waktu-waktu gempa tersebut (17:16, 17:58, dan 08:52) adalah mengikut standard Waktu Min Greenwich (Greenwich Mean Time) ataupun ringkasnya GMT. Untuk pengetahuan, sistem waktu GMT hanya mula diperkenalkan sekitar tahun 1884 dan Kota Greenwich yang terletak di Britain dipilih sebagai pusat.

Ini bermakna teori mengaitkan waktu gempa dengan nombor surah dan ayat Al-Quran hanya relevan selepas diperkenalkan sistem waktu GMT iaitu pada tahun 1884. Maka jelas bahawa ini adalah teori yang baru, yang tidak pernah diketahui oleh ulama terdahulu, apatah lagi pada zaman Kenabian.

2- Teori mengaitkan waktu peristiwa dengan nombor dan ayat Al-Quran hanya terhad kepada 24 surah pertama sahaja, iaitu daripada Surah Al-Fatihah hingga Surah Al-Nuur. Ia juga terhad kepada 59 ayat pertama sahaja daripada 24 surah berkenaan. Kerana, sistem waktu ini hanya mempunyai 24 jam, dan setiap jam mempunyai 60 minit.

Jumlah keseluruhan surah dalam Al-Quran ialah 114 buah. Bererti terdapat 90 surah lagi dalam Al-Quran yang langsung tidak boleh diaplikasikan kaedah penafsiran ini. Manakala 24 surah pertama pula, hanya 59 ayat pertama sahaja yang berkaitan dengan kaedah ini.

3- Mengikut teori ini, angka jam dipadankan dengan nombor surah, dan angka minit dipadankan dengan nombor ayat. Contohnya pukul 17:16 boleh dipadankan dengan surah ke-17 iaitu Al-Isra’ dan ayat yang ke-16 daripada surah tersebut.

Soalnya, dari manakah kaedah padanan ini diambil? Adakah dari seorang rasul yang diutuskan, atau dari akal yang keterlampauan?

4- Jika teori ini benar dan bukannya kebetulan, sudah pasti setiap peristiwa besar seperti gempa dan tsunami boleh dirujuk terus kepada ayat Al-Quran dengan melihat kepada waktunya yang dipadankan kepada ayat Al-Quran.

Atau sekurang-kurangnya dengan mengatakan bahawa sejak diperkenalkan sistem waktu GMT pada 1884, maka setiap peristiwa besar yang berlaku boleh dirujuk ayat Al-Quran dengan memadankan antara waktu dengan nombor surah dan ayat.

Tetapi selepas membuat beberapa padanan terhadap beberapa kejadian gempa sebelum ini, didapati bukan semua kejadian gempa bumi sesuai dipadankan dengan nombor surah dan ayat. Hasil yang diperolehi kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang kaitan antara ayat berkenaan dengan kejadian.

5- Kaedah-kaedah memadankan angka samada waktu atau tarikh dengan ayat Al-Quran adalah satu bentuk mempermain-mainkan ayat Al-Quran. Sebelum ini terdapat kajian berdasarkan angka Al-Quran mengatakan bahawa peristiwa 11 September sudah pun diisyaratkan di dalam Al-Quran. Dan kajian-kajian angka seperti ini juga menghasilkan satu ramalan bahawa Qiamat akan berlaku pada 2012 akan datang. Lihatlah kesesatan manusia apabila memahami Al-Quran dengan kaedah yang direka-reka.

Perlu difahami, ini bukan bermakna dilarang mengambil iktibar sesuatu peristiwa daripada ayat Al-Quran. Malahan, kita dituntut supaya merujuk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dalam apa jua pertikaian dan permasalahan dalam kehidupan.

Contohnya, peristiwa gempa seperti ini boleh dikaitkan dengan ayat 22-23 surah Al-Hadid yang bermaksud:

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”.

Jika diikutkan teori mereka, sampai bila-bila pun sebarang peristiwa bencana tidak dapat dikaitkan dengan ayat ini kerana kedudukannya ialah pada 57:22, sedangkan sistem waktu hanya mempunyai 24 jam sahaja.

Kesimpulannya, ambil lah iktibar daripada Al-Quran berdasarkan padanan antara peristiwa dengan makna dan tafsiran satu-satu ayat Al-Quran. Bukan berdasarkan padanan antara waktu dan nombor ayat Al-Quran.

Sekian.

Sabtu, Oktober 17, 2009

RASUAH di luar Umno sama busuk


MAAFLAH Umno, yang saya hendak catat ialah pandangan orang biasa terhadap badan siasah ini. Sebenarnya masalah Umno bukan sejak kecundang banyak wilayah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12. Masalah rasuah yang bercokol sejak sekian lama tidak pernah surut atau selesai. Ketika Perhimpunan Agung, semua pemimpin pelbagai peringkat mengutuk perbuatan rasuah yang membarah dalam parti. Semua orang seperti saya ketawa terbahak-bahak kerana mereka semua pemimpin parti dan mengutuk perbuatan rasuah (haram-dosa!) dalam kalangan mereka. Ha ha ha…kalau bukan mereka dalam dewan PWTC yang makan rasuah siapa lagi?


Sekarang mereka meminda perlembagaan parti dengan matlamat menghapuskan amalan rasuah. Punca rasuah bukan berat kepada aturan dalam perlembagaan parti, tetapi matlamat dan sistem politik dalam negara. Maka kalau hendak menghindari rasuah mereka, ubahlah matlamat dan sistem politik.


Apa matlamat Umno? Hendak menampilkan sekian banyak bilangan orang Melayu yang kaya dan terbilang dalam banyak bidang supaya bangsa Melayu dipandang tinggi oleh bangsa-bangsa lain. Inilah asas perjuangan kebangsaan Melayu.


Bagaimana cara mencapai tujuan itu dan apa standard ukurannya? Oleh kerana tujuannya Umno hendak membanyakkan kejayaan anak Melayu dan ukurannya ialah jumlah kekayaan yang dimiliki, maka semua yang masuk Umno mesti mahukan kekayaan termasuk pemilikan saham dalam syarikat-syarikat besar. Orang boleh bercakap yang dirinya masuk Umno kerana agama, bangsa dan negara. Itulah politik yang penuh retorik, yang muluk-muluk indah untuk mengabui masyarakat.

Tidak, tidak…, semuanya kerana fulus, emas, minyak dan jutaan saham. Kita rakyat sudah lama faham sejarah politik semua bangsa di dunia. Berlakunya penjajahan dan peperangan tidak lain kerana berebut kekayaan ekonomi. Tokoh Melayu seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Mat Kilau, Mat Salleh dan Tok Janggut melawan British juga kerana kuasa ekonomi mereka dirompak penjajah. Sama sahaja, orang Melayu masuk Umno pun kerana Umno yang memegang kunci khazanah negara, senanglah mendapat habuan kekayaan melalui Umno.


Kemudian tasawur Melayu itu hanya menganggap yang haram itu babi, maka yang lain dengan apa cara dikira sah dan bedal saja. Orang Melayu cukup marah apabila cuba dikaitkan dengan babi dan anjing. Sejahat-jahat orang Melayu tidak sanggup menyentuh babi, walaupun hukum haram hanya memakannya. Sentuh boleh, tidak dosa, tapi tidak sama sekali. Selain babi, seperti judi, rasuah, rampas harta anak yatim, penipuan dalam perniagaan dan sejuta kerja-kerja yang diharamkan Allah untuk mendapatkan wang, biasa dilakukan oleh orang Melayu. Oleh itu tidak ada harapan Umno hendak bebas daripada rasuah!


Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan 10 kes rasuah berprofil tinggi. Semua yang terdakwa adalah orang Melayu, yang beragama Islam, yang solat lima waktu sehari dan puasa penuh bulan Ramadan. Kemudian perhatikan tanggapan rasuah dalam negara. Agensi penguatkuasaan yang didominasi kaum Melayu itulah yang banyak terdakwa melakukan rasuah. Mereka ini masih anggap rasuah haram, tetapi apabila banyak rakan muslimnya mengambil rasuah merasakan kesalahannya itu menjadi tidak besar. Mengapa mereka yang di bahagian bawah begitu berani melakukan rasuah? Jawabnya, mereka tahu bos-bos mereka di atas termasuk pimpinan politik pun kaki rasuah.


Sebab itulah dicadangkan Umno memasukkan tarbiyah Islam dalam kurikulumnya. Pendidikan dalam alquran sangat banyak menekankan keimanan pada hari akhirat, tentang hari hitungan amal, perihal balasan buruk neraka sebagai satu ancaman kejahatan manusia. Rasuah dilakukan secara sembunyi antara dua pihak. Pihak ketiga yang tahu ialah Allah. Allah terus kekal sementara perasuah akan mati dan menghadap Allah.


Selagi manusia tidak gerun dengan balasan buruk di akhirat, maka tidak ada siapa boleh mengubah tabiat buruk. Orang sanggup berhujan ke masjid waktu subuh kerana percaya jaminan baik di akhirat. Yang lain sanggup menahan rasa tidak mahu mengambil harta secara haram kerana yakin ada balasan buruk di akhirat.


Sistem politik secara demokrasi yang memberikan kuasa kepada orang bawahan dan rakyat juga membiakkan rasuah. Seorang pemimpin perlukan sokongan orang-orang bawahannya. Orang bawahan akan bertanya, “apa yang saya dapat setelah menyokong kamu sehingga menjadi ketua? Kalau tidak ada imbuhan lebih baik saya berniaga, tidak perlu sibuk berkempen supaya kamu disokong orang.” Kemudian pengundi pun berani bertanya kepada orang-orang politik, “kami sokong kamu dapat apa?” Maka bermulalah kroni mendapat habuan luar biasa dan bermulalah rasuah yang membarah!


Hemat saya, selagi tasawur Islam dalam kalangan rakyat Melayu masih tidak jelas, selagi itulah masalah kejahatan dalam ekonomi tidak dapat diatasi. Kebanyakan pelajaran Islam diperoleh daripada guru agama dan dihafal. Orang yang ada diploma dan digri pun masih sekadar menghafal saja bab agama. Ada pula golongan agama bimbang jika orang tidak terdidik dalam agama memasuki wilayah mereka. Lalu puak ini tidak habis-habis mempersoal kelayakan seseorang bercakap hal agama. Akibatnya masyarakat percaya hal agama itu susah dan yang ada sijil agama saja boleh menyebut agama. Maka masyarakat menyerahkan bulat-bulat urusan akidah dan ibadah kepada orang agama. Lalu taklid buta merata-rata. Itulah jadinya, mereka hanya sibuk yang haram itu babi, sehingga sehelai bulu babi di tapak kasut menjadi isu besar!


Kesimpulannya, saya tidak percaya rasuah dalam Umno akan surut dan selesai. Terlalu banyak lapangan di luar Umno yang boleh mencetuskan amalan rasuah. Namun kepada ahli-ahli Umno janganlah bimbang, bahawa jika rakyat sudah menerima rasuah sebagai satu cara hidup, Umno tetap disokong sekalipun bergelumang dengan rasuah!

Jumaat, Oktober 16, 2009

UMNO perlu roh dan akar Islam



PARTI politik Melayu, Umno sedang dalam usaha hendak menarik sebanyak mungkin sokongan rakyat. Mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri telah mencadangkan agar Umno menjadi sebuah parti atau tempat yang dirasakan mendamaikan. Ertinya, jika anak muda menjadi ahli Umno, diharap melalui madrasah Umno dapatlah anak-anak muda tadi membentuk peribadi muslimnya. Ya bolehkah parti yang selama ini dimusuhi oleh parti Islam (Pas) dapat membentuk imejnya menjadi parti yang mendamaikan, mensejehterakan!

Lama dulu saya pernah ngobrol dengan teman-teman perihal umno yang tidak disukai oleh ‘orang agama’ atau para ustaz. Sebenarnya politik itu hanya persepsi atau tanggapan mudah. Maka dengan kian banyaknya Pas menuduh Umno sebagai parti Melayu yang sekular, tidak memberi jaminan akhirat, maka persepsi dalam kalangan anak-anak berpendidikan agama ialah Umno tidak mensejahterakan.


Sebenarnya tasawur orang Melayu sangat mudah. Mudah cakapnya, lihatlah Pas menghazam tasawur Melayu Islam dalam kalangan pemimpinnya. Orang Melayu terutama di desa-desa bukan mahukan kemegahan kereta mewah dan puluhan lot saham dalam BSKL, mereka cukup senang diketuai oleh orang yang solatnya terjaga dan sering merendah diri. Inilah kesilapan Umno dan kemenangan Pas menarik jutaan sokongan orang Melayu.


Tidak bolehkah pemimpin-pemimpin Umno yang acapkali ke New York, London, Paris dan Tokyo kalau ke masjid berkain pelikat, bukannya sut Melayu yang bersampin songket? Bukan orang Melayu menolak BSKL, data import dan eksport atau pemilikan saham-saham amanah. Orang Melayu mahu dilayan dengan kelembutan jiwa. Berapa banyak kelas menengah Melayu yang masih tidak berpeluang keluar Negara dalam tempoh tiga tahun, maka kepada golongan ini juga janganlah bercerita mengenai kehebatan melancong di luar negara. Itulah contohnya.


Seperkara ialah perepsi umum bahawa Umno adalah lonjakan untuk menjadi kaya! Maka dalam minda rakyat, semua pemimpin Umno sekalipun peringkat cawangan merupakan pelahap ekonomi. Mereka melihat, yang dahulunya sekolah pun tidak ke mana, apabila menjawat Ketua Pemuda Cawangan senang-senang memiliki Mercedes Benz, walhal rakan-rakan yang berjaya masuk universiti sekadar Proton Waja!


Semua ini sebenarnya terlalu susah untuk diubah dalam Umno. Mereka boleh mengubah perlembagaan parti untuk membolehkan banyak menyertai pemilihan pemimpin, tetapi tidak mudah menukar gaya hidup yang selama ini enak kepada biasa-biasa saja.


Pengorbanan apa pemimpin Umno boleh tunjukkan kepada semua rakyat Melayu? Misalnya ada ratusan pemimpin mereka yang memang sekadar cukup makan, tidak mewah dan tidak berlakon menjalani kehidupan sederhana tetapi merekalah yang membantu ribuan-jutaan anak Melayu sehingga menjadi intelektual dan jutawan. Bolehkah ini dicapai 10 tahun dari sekarang?

Khamis, Oktober 15, 2009

APABILA pesakit menjadi produk dagangan


APABILA pelanggan tidak dianggap sebagai raja! Dalam teori perniagaan sepatutnya pelanggan dilayan sebagai raja, peniaga mengikut kehendak pelanggan, bukan sebaliknya. Hari ini saya tidak sihat, maka perlu berjumpa doctor. Untuk ke hospital di bahagian pesakit luar, pasti memakan masa dua jam kerana kesesakan. Itu dimaklumi dan semua faham.


Saya ke klinik swasta dengan harapan tidak menunggu sampai dua jam. Saya sampai jam 11.00 pagi, kena tunggu 30 minit, mengunggu giliran. Saya akur dan faham. Jam 11.30 pagi saya masuk ke kamar konsultansi dan mendengar nasihat doctor selama kurang 10 minit. Untuk menunggu mendapat ubat pun kena tunggu 20 minit, ikut giliran. Saya akur dan faham. Dalam giliran yang sepatutnya saya mendapt ubat, pembantu klinik melayan satu pelanggan yang baru masuk untuk sekadar membeli ubat. Maka saya kena tunggu selepasnya. Yang ini saya tidak faham.


Kemudian setelah ubat diterima, saya tanyakan surat cuti sakit. Maka pembantu tercari-cari yang katanya tiada. Doktor pula sudah keluar. Pembantu klinik berkata supaya saya menunggu sebentar sahaja, doctor akan masuk semula ke klinik. Dalam pada itu ada sepasang warga emas masuk untuk mendapat rawatan dan segera didaftarkan tanpa memberitahu doctor tiada dalam klinik. Maka dua warga emas itu pun seperti saya menunggu orang sihat si doctor.


Apabila saya sudah kepanatan, sejam lebih dalam klinik yang tidak sibuk mana, saya tanya lagi, “lama lagikah saya kena tunggu?”


Jawab si pembantu klinik, “sekejap lagi…, kalau encik nak balik boleh, nanti datang semula untuk ambil surat cuti.”


Barulah dua warga emas tahu tidak ada doctor, dan yang lelaki memberitahu bahawa kalau tahu tidak ada cari klinik lain, yang sedia ada doctor! Itu adalah hak pengguna, kan?


Moral pengalaman saya ini ialah orang di klinik melayan pasakit seperti orang sihat bugar segar dan betul-betul bermatlamatkan wang. Memang masuk klinik swasta kena bayar lebih mahal daripada klinik kerajaan. Namun klinik bukan macam kedai makan KFC yang pelanggannya suka ria sanggup berbaris setengah jam mandapatkan ayam gorengnya.


Saya yang sakit dipaksa mengikut rentak peniaga (doctor) yang sihat, sampai disuruhnya saya datang semula sekadar untuk mendapatkan sijil cuti sakit. Warga emas itu pula diperangkap menjadi pelanggannya sedangkan mereka yang sedang sakit wajib menunggu kehadiran doctor yang sihat. Itulah apabila pelanggan bukan diangap sebagai raja!


Akhirnya saya mendapat surat doctor itu jam 12.15 tengah hari dalam keadaan lemah. Badan macam bertambah sakit kerana deraan mental di klinik.

Isnin, Oktober 12, 2009

SURAT terbuka kepada Syeikh Uthman


Sebuah teguran suci dan jujur kepada Al-fadhil al-'alim as-Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady

sumber: http://www.yussamir.com/

Tulisan ini bukanlah untuk mencari permusuhan antara kita dengan Al-Fadhil al-‘Alim as-Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady. Dan jauh sekali untuk mengajar Al-Fadhil yang lebih arif dan alim dalam pengetahuan agama.


Al-Fadhil adalah seorang yang merdeka dan berhak untuk membantah fahaman dalam agama Islam yang tidak beliau setujui.


Malahan pasti bagi kita, al-Fadhil bersetuju dalam setiap perkara manusia tidak pernah sama (kecuali dalam akidah), kerana masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza.

Boleh jadi, perbezaan pandangan ini sebenarnya memberi rahmat dan percambahan intelektual pada diri umat Islam yang mencintai ilmu.


Kita juga pasti, al-Fadhil bersetuju bahawa kebenaran itu lebih kita cintai dari mana-mana tokoh yang kita sayangi. Malahan perbezaan pandangan ini seharusnya lebih menanamkan rasa kasih dan sayang antara kita. As-Syauqi dalam sebuah syairnya ketika mendendangkan perihal perbezaan pandangan ini berkata, “Perbezaan pandangan tidak boleh merosak rasa saling menyayangi.”


Di dalam artikel yang bertajuk “Terjemahan kitab Al-Radd ‘ala al-Wahabiyah oleh Sayyid Zaini Dahlan” oleh al-Fadhil ke majalah Milenia edisi bulan Ogos 2009 bilangan ke 84 ada beberapa perkara yang harus diperhatikan semula. Kitab yang ditulis oleh As-sayyid Zaini Dahlan ini sebenarnya banyak di dalamnya fitnah yang besar dan batil terhadap al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab. Malahan mengenai musafir menziarahi makam Rasulullah sebenarnya telah disalah-fahami oleh As-Sayyid Zaini Dahlan terhadap kalam Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab.


1. Penjelasan tentang menziarahi makam Rasulullah


Al-Imam Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab tidak pernah melarang umat Islam untuk menziarahi makam Rasulullah. Tetapi yang beliau larang ialah berniat semata-mata datang ke Madinah untuk menziarahi Rasulullah ataupun memasukkan sekali menziarahi makam rasullullah dalam manasik haji.


Sebetulnya ialah, berniat untuk datang ke Madinah adalah untuk melakukan solat di dalam Masjid Nabawi. Dalam masa yang sama, meluangkan masa untuk menziarahi makam Rasulullah.


Larangan untuk melakukan perjalanan (musafir) semata-mata untuk menziarahi Rasulullah mencakupi semua tempat dan semua kuburan, sehingga tidak boleh pula untuk tujuan shalat, memohon berkat atau beribadah. Menziarahi kubur tidak boleh menjadi niat utama dalam perjalanan menuju ke Madinah.


Walaubagaimanapun menziarahi makam Rasulullah adalah salah satu adab dan digalakkan kepada seluruh umat Islam. Hikmah perintah menziarahi kubur (bukan sahaja tertaluk kepada makam Rasulullah) adalah untuk mengingatkan manusia kepada akhirat, dan orang-orang yang telah mati.



Larangan untuk menjadikan ziarah ke makam Rasulullah sebagai niat utama disebabkan mahu mengelakkan umat Islam menjadikan amalan menziarahi makam Rsulullah sebagai ‘id iaitu amalan berkunjung berulang-ulang dan menjadi rutin.


Nabi Muhammad alahi-wasalam telah bersabda, “ Janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian sebagai kuburan, dan janganlah kalian menjadikan kuburanku sebagai sesuatu (yang dikunjungi berulang-ulang secara) rutin. Berselawatlah kalian kepadaku, kerana sesungguhnya selawat kalian disampaikan kepadaku di mana pun kalian berada.” (Hadith direkodkan Abu Daud dalam Al-Manasik (2042), dan Ahmad (2/367) )

Salah faham As-Sayyid Zaini Dahlan terhadap apa yang ditulis oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab telah ditiru bulat-bulat oleh Yusuf al-Nabhani dalam kitabnya yang bertajuk Syawahid al-Haq fi al-Istighosah bi Sayyid al-Khalq. Malahan ramai lagi yang tersalah faham dengan tulisan Syeikh Muhamad bin Abdul Wahab, antaranya Muhammad Najib dalam kitabnya Sawqih dalam Tabyin al-Haq wa al-Sawwab, dan Muhammad Tahir Yusuf dalam kitabnya Quwwah al-Difa’ wa al-Hujum.


Bagi menjawab tuduhan-tuduhan ini Syeikh Muhamad bin Abdul Wahab dengan sendiri telah membantah segala tuduhan ini di Makkah pada bulan Muharam tahun 1218H. Kata beliau, “Kami menetapkan kemuliaan Nabi kita Muhammad sallahu ‘alayhi wa sallam melebihi kemuliaan makhluk lainnya secara mutlak. Baginda hidup di dalam kuburnya menerusi kehidupan alam barzakh melebihi kehidupan para syuhada’ sebagaimana termaktub dalam al-Quran. Baginda mendengar ucapan salam yang diucapkan ke atasnya serta mengenali para penziarah yang menziarahi kuburnya.


Namun Nabi sallahu ‘alayhi wa sallam tidak pula mengarahkan bermusafir melainkan untuk menziarahi masjidnya serta bersolat di dalamnya. Walaubagaimanapun sekiranya seseorang itu berniat untuk menziarahi Nabi sallahu ‘alayhi wa sallam berserta dengan niat menziarahi masjid serta solat di dalamnya, maka ia tidak mengapa. (Rujuk Al-Durar al-Saniyyah jil 1, hlmn 127-128)


2. Penjelasan hadith-hadith yang dinukilkan dalam artikel


Dalam artikel yang ditulis kembali oleh al-fadhil ini, kita beranggapan bahawa beliau tidak sengaja atau terlupa untuk menyemak kembali hadith-hadith yang digunakan. Antara hadith-hadith tersebut ialah:


1. Barangsiapa yang menziarahiku setelah aku mati, maka seolah-olah ia menziarahi ketika aku masih hidup. (Hadith direkodkan Ad-Daru Quthni (2/278), Al-Baihaqi (5/246), Ibnu Adi dalam Al-Kamil (2/382). Lihat As-Silsilah Adh-Dha'ifah (47, 1021)


[Ulasan Hadith : Hadith ini semuanya dari sanad Hafsh bin Sulaiman dari Laits bin Abi Sulaim. Sanad hadith ini lemah kerana lemahnya Laits bin Abi Sulaim, oleh karena terbukti bahawa beliau mencampur-aduk hadith. Manakala Hafsh bin Sulaiman yang dinamakan juga al-Gadhri sangat lemah seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya at-Taqrib, bahkan Ibnu Muin menyatakan sebagai pendusta dan pemalsu hadith.]

2. Barangsiapa yang menziarahiku, maka aku menjadi pemberi syafa'at atau menjadi saksi baginya. (Hadith direkodkan oleh Ath-Thayalusi (65), Al-Baihaqi (5/245). Lihat Irwa'ul Ghalil (1127). )


[Ulasan Hadith: Hadits ini mungkar kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Musa bin Hilal Al ‘Abdi. Beberapa ulama ahli hadith seperti Abu Hatim, Al Bukhari, An Nasai, Al Hakim, Ibnu Abdil Hadi, Ibnu Hajar dan Al Baihaqi sendiri (yang meriwayatkan hadits tersebut) mengkritik perawi tersebut.]


3. Barangsiapa yang menunaikan haji ke Baitullah walhal dia tidak menziarahiku maka sesungguhnya dia bersikap kasar kepadaku.”


[Ulasan hadith: Ini hadits maudhu'. Hal ini telah ditegaskan oleh adz-Dzahabi dalam kitabnya yang bertajuk al-Mizan jilid 3 halaman 237. Begitu juga dengan Syeikh ash-Shaghan di dalam kitab al-Ahadith al-Maudhuiyah halaman 46.]


Setelah disemak dan diteliti kembali, semua hadith-hadith ini batil, tidak ada asalnya, para ulama hadith telah menjelaskan kebatilannya. Para ulama ahli hadith menegaskan bahwa sanad-sanadnya lebih lemah daripada sarang labah-labah.


Di antara para ulama yang menegaskannya adalah Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi, an-Nawawi, al-‘Uqaili, adz-Dzahabi, as-Suyuthi dan yang lainnya.


Malahan hadith-hadith yang berkenaan dengan ziarah makam Rasulullah tidak ada seorang pun dari ahli hadis seperti Bukhari, Muslim atau Ashabus Sunan seperti Abi Daud dan Nasaii, malah tidak seorang pun dari para ahli sanad seperti Ahmad dan yang semisal dengannya seperti imam-imam fikeh seumpama Malik, Syafie, Ahmad, Ishak, at-Thauri, Awzaii, Abi Hanifah dan yang semisal dengan mereka yang meriwayatkannya.


Barangsiapa yang ingin tahu kedhaifan sanad dan kemungkaran matan riwayat-riwayat di atas, bolehlah membaca kitab ash-Shaarimul Munki fir Radd 'Alas Subki karangan al-Hafizh Ibnu 'Abdil Hadi.


Beliau telah mengumpulkan dan memeriksa hadith-hadith yang berkaitan dengan ziarah Rasulullah. Beliau menyebutkan hadith-hadith tentang ziarah kubur satu persatu lalu membicarakan kelemahannya serta ulasan para ulama tentangnya.


Tambahan itu, antara kitab-kitab yang mengulas kedhaifan dan kepalsuan hadith-hadith di atas ialah ialah dalam buku At-Talkhis al-Habir jilid 2 halaman 507-509, Fadhail Madinah halaman 583-595, As-Silsilah Ad-Dhaifah Jilid 1 halaman 61-63, Tanbih Zair al-Madinah halaman 16-30, bantahan terhadap Al-Akhna'i karya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, bantahan terhadap As-Sabaki karya Ibnu Abdil Hadi dan bantahan terhadap An-Nabhani karya Al-Alusiy. Hendaknya kita tidak terpedaya oleh orang yang berdalih dengan hadith-hadith tersebut.


3. Pengakuan Ulama besar terhadap As-Sayyid Zaini Dahlan ini?


Syeikh Fauzan al-Sabiq dalam kitabnya yang bertajuk Al-Bayan wa al-Isyhar menyatakan, “Sebahagian para ulama besar Makkah mengulas tentang Dahlan seperti berikut: “Berdasarkan penelitian didapati bahawa hasil karya Dahlan laksana bangkai yang tidak boleh dimakan kecuali oleh orang yang berada dalam keadaan terdesak.” Oleh itu ia ditolak oleh kebanyakkan para ulama di India, Iraq, Najd serta selainnya dengan mendedahkan segala bentuk kesesatan yang terdapat di dalamnya.


Aku dapati dari beberapa alim ulama berdasarkan dokumen para ilmuan Islam yang berkata berkenaan Dahlan seperti berikut: “Hakikatnya Dahlan seorang Rafidhi (Syiah Rafidhah) namun menyembunyikan pegangannya dengan bertaklid kepada salah satu dari mazhab yang empat.” Di antara bukti menunjukkan Dahlan seorang Rafidhi yang hanya bertopengkan mazhab Ahlu-Sunnah khasnya mazhab yang mulia al-Imam Syafie’ rahimahullah ialah sebuah kitab yang dikarangnya bertajuk Asna al-Muthalib fi Najah Abi Talib. Ia ditulis bagi menolak dengan penuh hawa nafsu kitab-kitab hadith serta as-Sunnah yang sahih lagi mutawatir.”


Ulasan dan penjelasan di atas ini sekali lagi ditegaskan bahawa bukanlah niat kita untuk mengajar atau menunjukkan alim terhadap al-Fadhil al-‘alim as-Syeikh Dr Muhammad Uthman el-Muhammady.


Kita sendiri telah banyak menadah ilmu dari karya-karya serta tulisan-tulisan al-Fadhil yang penuh dengan hikmah. Tetapi tulisan ini adalah secebis kajian dan pengetahuan yang ingin dikongsi bersama dengan al-Fadhil bagi melihat kebenaran dan menolak kebatilan.

Kita dan seluruh umat Islam lebih cintakan kebenaran dari mana-mana tokoh yang kita cintai. Manakala kita percaya al-Fadhil lebih arif dengan firman Allah yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maidah 5:8)


Sebelum mengakhiri perkongsian kita dengan al-Fadhil, kita memetik kata-kata Imam Hassan al-Banna dalam risalahnya yang bertajuk Da’watunaa. Kata Hassan al-Banna, “Perbezaan bukan merupakan aib akan tetapi yang aib dan yang tercela ialah fanatik tehadap sesuatu pandangan serta mengongkong kebebasan akal fikiran manusia. Pandangan terhadap masalah-masalah perbezaan seperti inilah sebenarnya mampu mempersatukan kembali hati-hati yang berpecah-belah. Dan cukup bagi manusia bersatu di atas sesuatu yang boleh membuat muslim menjadi muslim yang sejati.”

Ahad, Oktober 11, 2009

10 ciri muslim yang baik

PEMIMPIN ulung Ikhwan Muslimin, Syeikh Hassan al-Banna telah menggariskan 10 ciri untuk peribadi muslim yang baik. Yang afdal ialah semua ciri ini ada pada setiap muslim agar tampak ketrampilannya dan menghasilkan pemikiran, sikap dan kerja-kerja lapangan yang baik. Huraian dan pencapaian pada setiap ciri ini tentulah berbeda antara seseorang dengan seseorang yang lain. Apa yang pasti bawa 10 ciri yang dinyatakan oleh Syeikh Hassan al-Banna berteraskan al-Quran dan sunah.

1. Akidah yang sejahtera.

2. Ibadah yang sah.

3. Akhlak yang mantap.

4. Ilmu yang luas.

5. Bermanfaat kepada orang lain.

6. Kehidupan yang teratur.

7. Menjaga masa.

8. Kuat tubuh badan.

9. Mampu berdikari.

10. Bermujahadah atau sentiasa bersungguh-sungguh.

Jumaat, Oktober 09, 2009

MARAH membuak terhadap pencopet


TADI, selepas maghrib ketika saya dan keluarga sampai di pasar malam di pekan Sabak, sekonyong-sekonyong melihat seorang lelaki diburu beberapa anak muda. Lelaki burunon ini terpeleset, terjatuh lalu dikeroyok oleh pengejar-pengejarnya. Tampak seperti sadis, tapi itulah yang mesti dibayar oleh lelaki buronan apabila dia mengambil jalan nekad menjadi pencopet di tengah-tengah kesibukan manusia. Foto di atas ialah yang terdakwa sudah digari oleh polis.


Sebelum ini dalam media sudah acap dipapar nasib buruk mangsa copet, yang luka parah, yang hamil jadi keguguran, yang mati kerana kemalangan lain berpunca kerja si pencopet dan pelbagai. Maka saya perhatikan rasa geram dan marah orang kepada pencopet membuak. Itulah yang berlaku tadi.


Dengan terkesannya perasaan masyarakat terhadap kerja-kerja jenayah ini maka harapan baik masyarakat untuk bersatu membanteras kerja-kerja mungkar jenayah. Mengharap pasukan polis sahaja untuk menangani kejadian jenayah adalah kesilapan kerana pasukan polis sendiri sangat mengharap kerjasama masyarakat. Maklumat atau sumber-sember jenayah berada dalam kalangan masyarakat, bukan semua di sisi pasukan polis. Oleh itu masyarakatlah sebenarnya menjadi benteng dan pemberi maklumat terbaik kepada pasukan keselamatan.


Sebelum ini ada individu yang tercedera kerana terkena tembakan apabila secara sukarela membantu pasukan polis menangkap yang terdakwa pencuri. Ada insan mulia yang cuba menangkap pencuri di bangunan tinggi, lantas terpeleset dan jatuh lalu maut. Inilah antara lambang kegigihan dan pengorbanan anggota masyarakat yang bertanggung jawab bersama-sama menjaga keamanan negara. Salut untuk mereka!