Pengikut

Sabtu, Ogos 01, 2009

ADUN Pas yang dihormati lawan

BELASUNGKAWA terhadap kembalinya seorang tokoh Pas yang humble dan disegani kawan serta lawan. Beliau Datuk Mohd Hamdan b Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir di Pulau Pinang. Sampai saatnya, sesiapa pun kembali ke asalnya. Yang dikenang ialah perjalanan hidupnya selama hayat itu.

Mohd Hamdan memang bukan tokoh politik nasional atau berwatak nasional. Dalam Pas banyak tokoh yang dikenali oleh banyak rakyat Malaysia sampai ke Ulu Baram di Sarawak atau Long Pasia di Sabah! Mohd Hamdan bukanlah orangnya. Itu pun bukan menjadikan dirinya kurang hebat.

Tak apalah, tetapi kewafatan beliau sangat mengesani rakan-rakan politik yang bukan dalam Pas. Datuk Zainal Abidin Osman, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dan Datuk Dr Teng Hock Nan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, yang menjadi lawan Pas antara yang terasa kehilangan. Bukan mudah hendak meraih rasa hiba musuh, sebab musuh selalunya akan bergembira dengan kekalahan atau kematian yang sering menjadi masalah kepadanya.

Lawan-lawan politiknya menerima Mohd Hamdan sebagai berprinsip dan bercakap hanya untuk kebaikan dan sangat menghormati orang lain! Ertinya sekalipun beliau ahli politik yang sangat terdedah kepada pidato ganas, pedih, sindir, cerca dan maki hamun, namun beliau umpama ular menyusur akar, takkan hilang bisanya.

Sungguh, sekalipun Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen yang mewajibkan diadakan pilihan raya, negara memerlukan lebih banyak ahli politik yang kewibawaannya merentasi kubu lawan. Kemenangan para ahli politik sebenarnya bukanlah di atas gelanggang pilihan raya sahaja, malah yang lebih hebat ialah penerimaan hakiki kematangan dan kewibawaannya oleh musuh-musuh politiknya.

Dahulu, kita mempunyai tokoh DAP Lee Lam Thye yang sekian lama menjadi pemimpin rakyat di Bukit Bintang Kuala Lumpur. Tidak ada tokoh politik lawan yang boleh mengalahkannya dalam pilihan raya. Malah sewaktu duduk sebagai Ahli Parlimen Pembangkang pun dia pernah dibawa dalam rombongan pihak kerajaan ke luar negara. Hari ini Tan Sri Lee Lam Thye menjadi salah seorang yang penting dalam negara. Sekalipun beliau tidak menjadi ahli politik dan telah keluar daripada DAP, tetapi rekod cemerlangnya sebagai Ahli Parlimen DAP menjadi aset kepada penerimaan rakyat Malaysia tanpa mengira apa latar pemikirannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan