Pengikut

Jumaat, Mei 19, 2017

TIADA shalat jamaah kedua di sebuah masjid.


WACANA ini juga merupakan pemahaman saya terhadap sunah yang terkini berkenaan  hukum mendirikan jamaah shalat kedua dalam sebuah masjid. Dahulunya saya mengikuti pendapat bahawa dibenarkan mendirikan shalat jamaah kedua atau kali keberapa pun dalam sebuah masjid.  Setelah mengikuti pengajian yang disumberkan oleh ahli hadis Syaikh Al-Albani yang meneliti hadis dan kitab karangan Imam besar Asy-Syafie, maka saya mengikuti hujahan Al-Albani dan Imam Asy-Syafie.

Kata ulama berkenaan, bahawa sepanjang hayat baginda Nabi s.a.w. melaksanakan shalat berjamaah di masjid bersama para sahabatnya.  Telah ada bukti-bukti bahawa ada  para sahabat yang tertinggal shalat berjamaah bersama baginda Nabi s.a.w.  Telah dikhabarkan, apabila  ada antara sahabat Nabi s.a.w. itu ketinggalan shalat berjamaah, mereka tidak berpakat bersama –sama untuk melantik salah seorang daripada mereka lalu mendirikan satu jamaah shalat baru. Para sahabat yang ketinggalan jamaah shalat yang awal tadi, melakukan shalat fardu sendiri-sendiri.  Tindakan ini tentulah hasil tarbiyah baginda Nabi s.a.w. (Moral ceritanya, kita tidak dibenarkan membentuk kumpulan kedua atau seterusnya yang berketuakan orang lain).

Al-Albani juga mencuplik riwayat  Imam Ath-Thabari dalam kitabnya Mu’jam Al-Kabir berkenaan sahabat Nabi s.a.w., Ibnu Mas’ud yang bersama dua temannya ke masjid untuk shalat berjamaah.Namun apabila sampai ke masjid mereka mendapati jamaah shalat telah habis, lalu mereka pulang ke rumah dan mendirikan shalat fardu berjamaah di sana.  Difahami, Ibnu Mas’ud masih memilih untuk shalat berjamaah di tempat lain (selain masjid asal) demi mendapatkan fadilat shalat berjamaah, ketimbang jika beliau dan dua temannya shalat sendiri-sendiri dalam masjid berkenaan tadi.

Kata Imam Asy-Syafie dalam kitab Al-Umm pula, “Apabila  ada beberapa orang masuk masjid, lantas mendapati imam telah selesai shalat (jama’ah) lakukanlah shalat sendiri-sendiri. Bila mereka melakukan shalat berjama’ah sendiri (lagi), tentu boleh saja. Tapi, aku tidak menyukai semacam itu, karena  hal itu bukan merupakan amalan  salaf”

“Adapun masjid yang ada di pinggir jalan (yang disediakan untuk para musafir) yang tidak punya imam dan muadzdzin tetap, maka melakukan (shalat) jama’ah berulang kali di dalam masjid tersebut tidak apa-apa”.

“Aku telah hafal (beberapa riwayat), sesungguhnya ada sekelompok shahabat Nabi s.a.w. ketinggalan shalat berjama’ah. Lantas mereka pun shalat sendiri-sendiri. Padahal mereka mampu mendirikan shalat jama’ah lagi. Tapi, hal itu tidak dilakukannya, karena mereka tidak suka di satu masjid diadakan (shalat) jama’ah dua kali.”

Ada hadis yang Nabi s.a.w. mengancam mahu membakar rumah orang yang tidak shalat di masjid, “(Artinya): Aku memiliki kehendak untuk menyuruh seseorang menjadi imam shalat (di masjid), kemudian aku menyuruh beberapa lelaki untuk mengambil (mengumpulkan) kayu bakar dan aku keluar menuju ke rumah orang-orang yang tidak mengikuti shalat berjamaah di masjid. Maka, aku bakar rumahnya. Demi Zat yang jiwa Muhammad shalallahu ‘alaihi wa sallam berada di tangan-Nya, andaikata orang-orang ku mengetahui bahwa di dalam masjid itu akan ditemukan dua benda yang sangat berharga pasti mereka akan menyaksikannya pula” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kata Syaikh Al-Albani, jika dibenarnya wujudnya jamaah shalat kedua dan seterusnya, tentu nanti orang yang diancam akan dibakar rumahnya memberitahu bahawa dia akan hadir jamaah yang kedua atau seterusnya. Dan tidak bergunalah ancaman Nabi terhadap mereka yang tidak shalat jamaah di masjid.

Demikian saya nukikan kembali. Wallahu ‘aklam.


Khamis, Mei 11, 2017

Al-QURAN mengurangkan kemalangan maut?

BERAPA kematian di jalan raya sehari? Rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tahun-tahun yang lepas ialah 18 orang mati segari atau kira-kira 7 ribu jiwa setahun. Semua yang mati kemalangan itu, tidak satu pun telah menduga kematiannya. 


Antara punca utama kemalangan maut ialah kenderaan dipandu melebihi had yang dibenarkan.  Semua jalan utama termasuk di kawasan perumahan telah ditandai had kelajuan kenderaan. Paling laju ialah 110km/jam di lebuh raya. Namun hampir semua kenderaan khasnya kereta dan motorsikal berkuasa tinggi dipandu melebihi had laju. Itulah antara sifat manusia di jalan raya.

Orang bertanya, jika al-Quran sebagai penawar, bagaimana kitab Allah itu bisa mengurangkan banyak kemalangan maut itu? Secara khusus tidak ada ayat-ayat al-Quran berkenaan cara memandu kenderaan. Namun ayat 59 surah an-Nisa menjelaskan, "Orang-orang beriman diseru taat kepada Allah, rasul dan pemerintah."  Sangat jelas ulama memberi maksud mentaati pemerintah ialah mematuhi seruan, peraturan atau undang-undang yang dikenakan kepada rakyat.  Setelah membuat kajian dan mesyuarat berkali-kali lengkaplah undang-undang jalan raya yang dinamakan Akta Pengangkutan Jalan 1987.  Antara kandungan akta itu ialah kepatuhan had laju di jalan.

Tidak ada perselisihan ulama bahawa mematuhi undang-undang jalan raya adalah wajib, bukan saja untuk keselamatan malah sebagai tanda orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya.  Oleh itu jika orang beramal ayat 59 surah an-Nisa itu, kenderaan besar atau kecil sentiasa dalam kelajuan yang dibenarkan oleh pemerintah, dan kesan besarnya ialah penurunan besar kes kemalangan dan kematian.

Tidakkah al-Quran sebagai jalan keluar masalah kemalangan buruk yg bertimpa-timpa setiap hari? Pokok utama ialah ketauhidan dan keimanan pengguna jalan raya terhadap seruan Allah dalam al-Quran.