Pengikut

Memaparkan catatan dengan label masjid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label masjid. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 15, 2017

KE MADINAH untuk shalat, bukan....


Al-Ustadz Abu Omar Idris Sulaiman mengingatkan kami perihal niat ke kota Madinah. Niat yang jitunya ialah untuk menziarahi Masjid Nabawi , seterusnya shalat di sana.  Hal ini memandangkan, banyak orang telah mengutamakan niat ke Madinah untuk menziarahi maqam Nabi Shallallahu alaihi wasallam. Ziarah maqam Nabi Shallallahu alaihi wasallam itu adalah yang seterusnya,  seperti ke maqam Baqi. Yang utamanya adalah shalat di Masjid Nabawi.

Seterusnya ke Makkah untuk menunaikan umrah dan shalat di Masjidil Haram.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

صَلاَةٌ فِى مَسْجِدِى هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

“Shalat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1000 shalat di masjid lainnya selain Masjidil Haram.” (HR. Bukhari no. 1190 dan Muslim no. 1394, daripada Abu Hurairah)

Dalam riwayat lain, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

صَلاَةٌ فِى مَسْجِدِى أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ وَصَلاَةٌ فِى الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ

“Shalat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih utama daripada 1000 shalat di masjid lainnya selain Masjidil Haram. Shalat di Masjidil Haram lebih utama daripada 100,000 shalat di masjid lainnya.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah no. 1406, dari Jabir bin ‘Abdillah. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih. Lihat Shahih At Targhib wa At Tarhib no. 1173)

Jumaat, Januari 06, 2017

HUKUM mengaji suara tinggi dalam masjid

TELAH biasa orang membaca al-Quran di dalam masjid menggunakan pembesar suara. Banyak berlaku sebelum azan subuh dan azan Jumaat. Sama ada orang terganggu atau tidak, sukar sekali 'ibadah' itu mahu dihentikan. Dalilnya 'membaca al-Quran itu ibadah. orang yang mendengarlan berpahala. baca kuat itu syiar agama'. Kini ada pula kuliah agama sebelum azan Jumaat.

Lihatlah komentar ulama besar.

Foto hanya hiasan
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah pernah ditanyakan,

“Bagaimana hukum bagi orang yang mengeraskan bacaan Al Qur’an sedangkan yang lain sedang mengerjakan shalat sunnah di masjid atau mengerjakan shalat tahiyatul masjid? 
Bacaan keras tersebut dapat mengganggu saudaranya yang lain. 
Apakah dilarang mengeraskan bacaan Al Qur’an ketika itu?”

Syaikhul Islam rahimahullah menjawab:

Tidak boleh bagi seorang pun untuk mengeraskan bacaan baik ketika shalat atau keadaan lainnya, sedangkan saudaranya yang lain sedang shalat di masjid, lalu dia menyakiti saudaranya dengan mengeraskan bacaan tadi.

Bahkan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah menemui beberapa orang yang sedang shalat di bulan Ramadhan dan mereka mengeraskan bacaannya.

Lalu Nabi shallallahu berkata pada mereka,

أَيُّهَا النَّاسُ كُلُّكُمْ يُنَاجِي رَبَّهُ فَلَا يَجْهَرْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ

“Wahai sekalian manusia. Kalian semua sedang bermunajat (berbisik-bisik) dengan Rabbnya. Oleh karena itu, janganlah di antara kalian mengeraskan suara kalian ketika membaca Al Qur’an sehingga menyakiti saudaranya yang lain.”

Beliau rahimahullah mengatakan, 
“Dari sini tidak boleh bagi seorang pun mengeraskan bacaan Al Qur’an-nya sehingga menyakiti saudaranya yang lain seperti menyakiti saudara-saudaranya yang sedang shalat.” (Lihat Majmu’ Al Fatawa, 23/64)

Al-Ustâdz Abu Rumaysho, Muhammad Abduh Tuasikal bin Usman Tuasikal 

Artikel https://rumaysho.com | Mengenal Ajaran Islam Lebih Dekat

[Sumber : https://rumaysho.com/562-hukum-mengeraskan-bacaan-quran-padahal-yang-lain-sedang-shalat.html ]

Ahad, November 01, 2015

MASJID dingin, ribuan orang datang...?

SEBUAH masjid di daerah saya telah dilawati Baginda Sultan Selangor lebih setahun yang lalu.  Oleh kerna asalnya sebuah masjid desa terbuat daripada kayu, dan sudah berusia pula maka diperbaiki fizikalnya hampir  50 persen tetapi tidak diubah struktur asalnya.  Sejak pembaikan itu orang desa dapatlah menikmati kesejukan hawa dingin di masjid. Untuk rekod, adalah satu atau dua buah rumah saja yang mempunyai alat pendingin hawa daripada beratus-ratus rumah di desa. Ini desa tradisional, ekonominya pertanian dengan rumah-rumah kayu atau separa batu.

hanya hiasa 

Sebenarnya, ruang yang disediakan pendingin hawa ialah ruangan dewan shalat utama. Ada 30 paratus ruang di belakang tidak menerima hawa sejuk itu. Manariknya setelah masjid ditambah baik dengan alat pendingin hawa, rupa-rupanya jumlah ahli shalat berjamaah tidaklah bertambah dengan mendadak. Jelasnya, masyarakat tidak pun menganggap sejuknya hawa di masjid menjadi motivasi baru mereka shalat di masjid.  Kata orang agama, apa-apa hal…. Petunjuk Allah juga!

Baru-baru ini diumumkan keputusan mesyuarat Panitia masjid untuk membeli alat pendingin hawa baru, untuk mendinginkan pula ruang belakang dalam masjid. Nanti, dengan sempurnanya projek, bermakna 100 persen masjid menjadi dingin seperti masjid-masjid di Eropah.  Panitia membuka peluang  ahli jamaah berjihad infak untuk membeli alat itu.  Katanya sehingga RM6,000.00.

Moga-moga kerja murni menjadikan masjid semakin selesa dimudahkan Allah.

Selepas ini sepatutnya Panitia  mengambil keputusan atau tindakan mengumpul dana baru, menjayakan projek ‘ayuh ke masjid’. Tidak ada pilihan lain kepada para pemikir dalam masjid, mesti menyertakan sebanyak mungkin orang shalat di masjid selain hari Jumaat dan maghrib.

Antaranya, pihak panitia bisa menubuhkan panitia kecil projek ‘ayuh ke masjid’.  Panitia ini mesti dibiayai dana secukupnya untuk menziarahi ahli berpotensi dan memberi hujah baru, mengapa mereka mesti shalat di masjid. Bisa ambil semangat ahli jamaah dakwah tabligh yang beberapa kali mampir di sana.

Panitia projek juga bisa menerbitkan buletin mingguan yang mesti sampai ke semua rumah dalam desa. Maklumat berkenaan jaminan bahagia dan ancaman berkenaan shalat fardu di masjid mesti disebarkan.  Tanpa maklumat, orang tidak bisa berfikir dan mengambil keputusan.

Panitia masjid juga sepatutnya sudah mewujudkan grup dialog menggunakan telefon pintar, sebab orang desa lebih pantas berubah dalam pemilikan telefon, menyamai budaya orang di bandar. Imam dan panitia mesti sudah bersedia menjadi peneraju itu.  Orang desa lebih percaya ahli-ahli agama ketimbang pemilik-pemilik warung kopi di simpang jalan.


Setelah kepenatan begitu barulah, kita berkata…. “akhirnya semua kerna petunjuk Allah”.

Jumaat, Februari 06, 2015

TIDAK salah riuh-riuh di masjid


BOLEHKAH meninggikan suara secara beramai-ramai dalam masjid sekalipun pada waktu yang sama ada orang atau sekumpulan orang sedang menunaikan solat?

Jawabnya begini:
Tidak boleh. Maksudnya  jika yang kuat mengeluarkan suara itu anak-anak atau bukan ahli agama dan tidak ada kaitan dengan agama. Misalnya, kanak-kanak menjerit atau orang dewasa berbual dan ketawa.

Boleh. Maksudnya jika suara yang kuat itu adalah ceramah agama sekalipun dalam waktu begitu banyak orang solat dan iktikaf dalam masjid, contohnya dalam tempoh satu jam sebelum azan Jumaat. Sesiapa yang sedang solat sunat tahiyatul masjid atau membaca al-Quran mestilah bersedia tidak keciwa jika ibadahnya terganggu.

Begitu juga dibenarkan dalam ‘agama’,  imam dan jemaah selepas solat itu berzikir kuat-kuat dan seseorang mengeraskan lafaz doanya menggunakan pembesar suara sekalipun masih banyak orang bersolat dalam masjid. ‘Agama’ memberi hak besar kepada imam dan yang berjamaah bersamanya secara sempurna untuk terus mengeraskan suara setelah solat, berbanding orang yang masih solat kerna datang lewat.  Jika mereka yang masih bersolat rasa terganggu, itu adalah masalah diri sendiri.


Itulah suasana dan nilaian dari negeri Antah Berantah.

Sabtu, Januari 03, 2015

MASJID AL-RAHMANIAH Lekir bersih dan terurus


JIKA melalui Lekir untuk ke Teluk Batik atau Lumut dari Selangor, masjid Al-Rahmaniah di Batu 8 Lekir, Manjung, Perak, menjadi perhatian saya. Di situlah saya menunaikan tanggung jawab sebagai hamba Tuhan ketika musafir.  Namun, yang agak merunsingkan saya ialah laluan masuk dari jalan besar yang sempit. Itulah yang dialami bertahun-tahun ke masjid berkenaan.

Mungkin banyak yang berdoa agar jalan masuk itu dilebarkan. Maka kunjungan saya ke masjid itu hari ini menjadi lebih mudah. Terdapat laluan keluar dan masuk secara serentak.  Dan memang banyak para musafir yang mengunjungi masjid berkenaan berasa selesa.

Ucapan tahniah kepada pengurusan masjid dan ahli kariahnya. Masjid Al-Rahmaniah itu bukanlah masjid versi baru, tetapi pusaka nenek moyang. Tiang-tiangnya daripada kayu.

Masjidnya lama tetapi keceriaan dan kebersihannya sangat memuaskan hati pengunjung. Lamannya bersih tanpa sampah. Tempat berwuduknya kelihatan mudah tetapi bersih tanpa lumut dan keladak. Semua keperluan di tandas dan tempat mandi juga tidak terjejas apa-apa.  Sangat penting, tidak berbau busuk!

Subhanallah. Semoga mereka yang menjayakan masjid Al-Rahmaniah sebagai rumah Allah yang memudahkan sekian banyak hamba-hamba Tuhan diberi sebaik-baik ganjaran.





Isnin, November 26, 2012

MASJID Melayu dan masjid Cina


MAKSUD ayat 13 surah al-Hujurat, “Wahai manusia, sungguh Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, agar kamu saling mengenal.  Sungguh, yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah maha mengetahui dan maha teliti.”

Oleh itu apa saja identiti sesuatu suku kaum atau bangsa asalkan tidak menyalahi dasar-dasar keimanan kepada Allah dalam al-Quran, diiktiraf untuk menjadi pengetahuan sesama manusia. Orang Melayu mempuyai tamadun dan budayanya, begitu juga kaum Cina di Malaysia.

Masjid yang bercirikan budaya Melayu tersergam di pecan Jerteh Terengganu.  Masjid ini dibina daripada kayu dan berwarna asli kayu seperti rumah-rumah orang Melayu zaman dahulu.




Masjid yang bercirikan budaya Cina pula sudah terbina di pecan Rantau Panjang, Kelantan.  Senibina bangunan dan reka bentuk dalamannya bercirikan seni bina Cina.






Saya teringat kata-kata guru Tamadun Islam, Mustafa Daud.  Katanya, Islam tidak ada seni bina yang khusus!  Prinsip seni bina Islam ialah ‘sejahtera’. Apa jenis reka bentuk sesebuah bangunan termasuk binaan masjid, mesti memberi kesejahteraan kepada orang yang berada di dalamnya.  Menurutnya lagi, kesejehtaraan itu juga boleh dirasai apabila sesiapa saja yang berada dalam bangunan itu (seperti masjid) tidak berasa panas dan menikmati pemandangan yang nyaman (maksud beliau, tidak menggerunkan perasaan seperti sesetengah reka bentuk rumah ibadah sesuatu agama).  Semua golongan manusia, sama ada kaya atau miskin, lelaki dan perempuan, dewasa dan kanak-kanak semuanya berasa selesa dan damai.  Itulah yang mesti ditunaikan oleh para pereka masjid, sama ada hendak berbentuk Arab, melayu, India atau Cina.

Sabtu, Ogos 04, 2012

CATATAN di Masjid al-Abrar desa kami


SAYA ingin mencatatkan perihal besar atau tingginya pengaruh para ustaz atau ulama dalam masyarakat.  Ini merupakan pengalaman biasa saya sebagai ahli masyarakat yang diasuh memandang mulia para ulama, mendengar nasihatnya serta menerima apa sarannya dalam agama. Seperti masjid lain, di Masjid al-Abrar Kampung Sepintas banyaklah ustaz atau ulama mengajarkan agama sama ada yang rutin mingguan atau yang bersempena sesuatu majlis khas.


Saya ambil contoh kami menerima tanpa soal ajaran antara ustaz yang megajar di sini mengenai tidak perlu mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh khatib pada khutbahnya.  Apa yang disampaikan kepada kami cukup mudah, iaitu “tidak ada seruan untuk mengaminkan doa yang dibaca khatib, maka diamkan saja”.  Walhal kalau antara kami bersolat Jumaat di tempat lain, kebanyakan ahli Jumaat mengaminkan doa khatib. Dan kerna itu, jika dalam sidang Jumaat di masjid kami ada yang mengaminkan doa khatib pastinya dia merupakan orang luar atau anak kariah desa yang pulang dari perantauan.

Begitu juga dengan pembinaan kubur.  Selama berpuluh-puluh tahun tanah perkuburan yang bersebelahan dengan masjid desa kami tidak ada binaan batu kecuali nisan-nisan kecil.  Semua ini kerna kepatuhan kepada ajaran ustaz atau ulama yang membawakan hadis nabi s.a.w. bahawa baginda nabi melarang membuat binaan di atas kuburan.  Dahulu pernah ada satu keluarga membina pondok khas untuk beberapa kubur satu keluarga, namun setelah hancur dimamah usia, tidak berani lagi ahli warisnya mendirikan pondok baru.  Namun sekarang jika orang melihat tanah kuburan yang dinamakan ‘Darul Barzah’ sudah mula ada beberapa kubur yang ditinggikan dengan batu simen.  Seorang ahli jawatan kuasa masjid mengeluh mengenai waris si arwah yang pulang sekali-sekala itulah yang membinakan batu-batu simen untuk kubur keluarganya.

Dalam bab kenduri walimatul urus, dahulu orang akan hadir ke kenduri tanpa memerlukan kartu undangan sebagaimana sekarang.  Cukup dengan mendengar khabar di simpang jalan dan menunggu harinya maka orang pun datang ke majlis berkenaan.  Kecuali jika yang mengadakan kenduri kahwin itu secara besar-besaran barulah diadakan undangan kepada orang-orang yang dikehendakinya.  Orang yang berilmu agama mula mentajdid pemikiran ahli desa dengan membawakan hadis nabi bab kewajiban menghadiri kenduri walinah jika diundang.  Perkataan ‘jika diundang’ itu diperjelaskan.  Maka orang pun mematuhinya. Dan sekarang tidak lagi orang akan ‘main serbu datang’ jika tidak mendapat undangan daripada tuan rumah.

Demikianlah.  Moral catatan saya ini ialah masyarakat desa sangat memuliakan ustaz atau ulama dengan menerima pengajarannya.  Maka sangat diharap untuk seterusnya  dan seterusnya lagi ulama dan ustaz lebih mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu semasa kerana desa juga sudah menerima maklumat seperti di kota.  Pemikiran anak desa tidak jauh bedanya dengan anak kota. Malah anak desa kian banyak belajar di pusat pengajian tinggi, memiliki sekurang-kurangnya diploma sebagai tanda disiplin ilmu.  Jika ulama dan ustaz berjaya mensetarakan kedudukan ilmunya dengan puluhan anak desa dan kota (si perantau itu), maka dengan izin Allah penghormatan dan pengajarannya tetap diterima dengan mudah.

Sabtu, Januari 28, 2012

IMAM-imam masjid patut ada akaun facebook


DUA SAHABAT saya seorang Imam dan Pengerusi di masjid sedang berkerut dahi memikirkan cara-cara yang dikira munasabah untuk mengajak golongan remaja (anak muda) belajar agama di masjid.  Antara cara yang akan dicuba ialah membawa ustaz yang dapat menerangkan ilmu mengikut laras budaya orang muda.  Saya pun tidak dapat membayangkan caranya.  Satu lagi ialah ilmu yang hendak disampaikan iaitu bab perkahwinan. 

Usaha ini bagus sebab sekarang ini di masjid kampung kami seolah-olah menjadi kelab orang-orang tua.  Dahulu ada seorang ustaz yang membacakan tafsir (termasuk membuat huraian berdasarkan hal semasa) selama lebih 26 tahun.  Beliau dikira berjaya mengumpulkan banyak khalayak termasuk dari kariah luar untuk setiap minggu kelas tafsirnya.  Sejak kematian beliau setahun yang lalu, seakan satu kekosongan yang belum terisi, dan pengurusan masjid sedang berkerut dahi.  Moga-moga dimudahkan Allah.

Di mana anak muda belajar agama?  Saya salut terhadap Ketua Pemuda Pas Pusat yang membuat video ‘Oley’ di Youtube sebagai cara memberi ilmu agama kepada anak muda.  Beliau mengatakan yang dia terpaksa membuat ‘demontrasi’ di alam internet kerana kebayakan anak muda mencari maklumat di sana.  Ya, sambutannya cukup baik.

Buat semantara masih ada pandangan yang tebal mengatakan belajar agama melalui internet ‘bagai tidak sah’.  Bagi pendapat ini, belajar agama hendaklah berhadapan dengan guru.  Murid mendengar ucapan tuan guru yang membacakan kitab dari mula sehingga akhir.  Belajar agama mesti secara talaqi, tidak boleh secara ‘dengar cakap’.  Inilah metod yang selalu diamalkan di masjid-masjid.  Tidak dinafikan baiknya metod ini di samping memastikan khalayaknya setia dengan amalan solat fardu berjamaah.

Internet telah menawarkan pengajian agama yang tidak dapat diberikan oleh masjid!  Itulah hakikat dan kerana itu anak muda menghadap skrin computer berjam-jam berbanding menghadap wajah Tuan Guru di masjid. 

Jika mahu mendengar ceramah agama seperti di masjid, maka Youtube telah menyediakan senarai lengkap isu dan ustaz-ustaznya.  Jika mahu berdiskusi dengan Tuan Guru seperti di masjid, maka hampir semua laman web agama menyediakan ruangan forum yang dikendalikan oleh moderator berilmu dan pengalaman.  Jelasnya, ustaz-ustaz pun sudah beralih ke alam internet dari masjid.  Sebenarnya ruang diskusi di masjid amat terhad dan dibelenggu pula oleh budaya segan dengan khalayak, namun di internet tidak ada segan menyampaikan pendapat sendiri dan bertanya kepada ustaz-ustaz. 

Kemudian, jika seseorang menghadapi masalah tidak pasti hukum sesuatu agama, seseorang boleh terus membuka beberapa laman web.  Dia boleh bertanya kepada sekian banyak pengendali laman atau moderator.  Kebanyakan moderator masa kini pula cukup terlatih memberi status sesuatu hadis, sama ada sahih, daif, palsu atau sebagainya.  Inilah yang tidak dapat disediakan oleh ustaz-ustaz di masjid.

Begtulah masjid yang sejarahnya sebagai pusat ilmu seakan-akan hilang keupayaanya bersama peredaran zaman.  Namun suatu yang tidak boleh ditukar ganti ialah solat  berjamaah itu mesti di masjid.  Sebanyak mana pun maklumat dari internet, sunah solat berjamaah mesti di rumah Allah.  Tidak ada ijtihad baru untuk mengubah hukum ini.

Rasanya elok para pengurus masjid tidak terlalu pening kepala untuk menarik anak muda dari skrin computer ke ruang masjid untuk menghadap Tuan Guru kita.  Yang munasabah ialah berfikir cara untuk menghentikan seketika di skrin computer pada setiap waktu solat, agar mereka pantas ke masjid yang berhampiran.  Nampaknya imam-imam dan pengerusi masjid wajib mempunyai akaun facebook dan memastikan semua anak muda dalam kariah masjisnya menjadi fakan FBnya.  Nampaknya imam muda di kampung saya pun tidak mempunyai akaun FB.  Itulah masalahnya.  

Khamis, Januari 12, 2012

BOLEHKAH orang seperti Bob Lokman mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam?

BOB Lokman asalnya seorang artis, sekarang aktif dalam dakwah.  Orang pun tahu Bob Lokman bukan pemegang diploma atau ijazah yang ada kaitan dengan agama.  Mungkin dia pernah belajar agama di pondok atau pun tidak.  Namun sebagai muslim, setakat mana pengetahuannya dalam agama dan dia berpegang kepada prinsip dakwah, dia akan menyampaikan mesej Islam.  Tentu saja cara Bob Lokman menyampaikan mesej kebenaran Islam tidak seperti ustaz-ustaz yang sudah diasuh berkhutbah dan berceramah sejak umur 10 tahun.


Itulah yang dilakukan oleh Bob Lokman yang masih ada pengaruh dalam kalangan orang muda, kini dengan caranya tersendiri mahu mengajak khalayak bersama-sama beliau mendekati Islam.  Cita-cita dan caranya betul, tetapi tempatnya tidak betul berdasarkan undang-undang.  Di mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia sesiapa yang hendak bercakap (baca ceramah) di dalam surau, madrasah atau masjid yang ditadbir oleh kerajaan-kerajaan negeri mestilah mempunyai tauliah atau lesen berceramah.  Mantan mufti yang ada ijazah kedoktoran dalam agama pun boleh ditangkap kerana berceramah tanpa tauliah.  Lebih dahsyat jika tempat ceramah itu di rumah persendirian, itu pun boleh ditangkap atas sebab tidak ada lesen.

Hakikatnya, hanya golongan ustaz dan ustazah yang diberi tauliah mengajarkan agama di masjid dan surau.  Hal ini berlaku kerana kebanyakan birokrat agama berfikiran masjid dan surau hanya untuk aktiviti keagamaan.  Agama Islam pula lebih difahami sebagai urusan kerohanian antara manusia dengan Tuhannya.  Sebab itulah, apa-apa ceramah di dalam rumah Allah mesti membicarakan hal hubungan manusia dengan Allah. Masjid di desa saya ada kuliah mingguan yang membicarakan bab taharah.  Kami di masjid sudah tua kerepot, masih diajarkan lagi bab air mutlak dan mustakmal.  Bukan salah, tetapi itulah pusing-pusing kuliah dan ceramah agama.

Pada hemat saya, masjid dan surau adalah pusat ilmu. Islam bukan bab fikah sahaja, malah sekian banyak bab keduniaan lain.  Dalam kehidupan kita hari-hari bab keduniaan jauh lebih besar peratusannya berbanding bab kerohanian atau ibadah khusus. Bab keduniaan itu pun bukan bebas daripada hukum halal dan haram, maka wajiblah juga bab keduniaan disebut dalam ceramah dalam masjis yang dikatakan pusat pembicaraan ilmu.

Sebagai contoh, hal-ehwal pemakanan manusia.  Allah sebut mana yang halal dan haram dalam al-Quran.  Alllah juga menyatakan prinsip yang halal sebagai baik dan yang haram sebagai buruk. Adakah semua ustaz sangat mendalami ilmu pemakanan yang mereka boleh memperincikan kandungan sesuatu makanan, yang terbaik untuk kesihatan berdasarkan umur masyarakat ahli kariah masjid? Kita memerlukan pakar kesihatan atau doctor menerangkan bab ini.  Mereka lebih tahu kerana mereka adalah ahlinya.  Malangnya doctor atau pakar kesihatan bukan ustaz dan tidak mudah mendapat tauliah untuk berceramah di masjid. Saya teringat guru quran (yang pernah saya ikuti pengajarannya), mendakwa betapa susahnya mendapatkan tauliah itu. Dua tahun baru dapat!

Oleh itu susahlah pakar-pakar ilmu keduniaan lain seperti ahli sains, ahli undang-undang, ahli psikologi termasuk juga ahli seni (seperti Bob Lokman) memperoleh tauliah.  Hari-hari kehidupan muslim dalam lingkungan sains dan teknologi, undang-undang, seni, sastera, sejarah dan sebagainya.  Tidak mudah pula hal-hal yang saban hari dilalui oleh muslim boleh diperjelas dalam masjid sedangkan asasnya masjid adalah pusat ilmu yang sangat diperlukan untuk kehidupan muslim.

Keadaannya, kita seperti sedang terperangkap yang tidak tahu hujung pangkalnya. 

Rabu, Julai 13, 2011

MASJID al-Rahmaniah pekan Terong Perak

DALAM perjalanan dari Kedah ke Selangor, saya melalui pekan kecil Terong selepas keluar dari lebuh raya Changkat Jering.  Saya mampir ke masjid yang jelas model lama iaitu Masjid al-Rahmaniah di Terong Perak.  Bangunan masjid ini memang jelas model lama, dan terdapat bangunan baru di sebelah kirinya.  Tidak ada sesiapa di sana yang boleh membantu saya mendapat maklumat mengenai sejarah masjid ini.

 Bahagian hadapan tidak terdapat mihrab sebagaimana masjid biasa

Daripada ukiran di dinding luar masjid tambahan tertera ‘1918 -2007’ membawa maksud masjid yang asal itu dibina pada tahun 1918 dan masjid tambahannya ialah pada tahun 2007.


Masjid ini patut diisytiharkan sebagai bangunan bersejarah negara yang wajar dilindungi oleh undang-undang.  Hampir 100 tahun usia masjid ini, tentu ada sejarahnya yang luar biasa dan patut dicatat dalam sejarah, sekurang-kurangnya sejarah pekan Terong.  Namun, saya tidak melihat ada nota atau catatan di masjid itu mengenai sejarahnya.

mihrab dan mimbar
Harap Jabatan Muzium Perak akan berinisiatif mengenai perkara ini memandangkan beberapa tahun saja lagi Masjid al-Rahmaniah akan berusia 100 tahun.

Khamis, Julai 07, 2011

TATKALA ceramah sebelum khutbah....

BEBERAPA tahun yang lalu dalam sebuah surau ada yang bertanya: Apakah hukumnya diperdengarkan bacaan al-Quran daripada kaset atau CD sebelum khutbah jumaat?  Si ustaz nampaknya dalam dlema hendak memberi satu jawaban yang tuntas sama ada tidak boleh atau boleh.  Beliau masih berkira-kira mengenai hak orang yang beriktikaf, yang mahukan suasana hening tetapi dia juga merasakan perlunya kemeriahan pada hari Jumaat!


Agaknya keputusan yang tidak jelas begitu menyebabkan orang pun masih berbeda-beda pendapat mengenainya.  Keadaan seperti ini menggambarkan al-Quran dan sunah nabi tidak memberi garis panduan yang jelas dan membiarkan orang-orang Islam memihak berdasarkan kepentingan masing-masing.

Orang hadir awal ke masjid pada hari Jumaat adalah untuk beriktikaf atau melakukan ibadah khusus secara sendirian.  Maka ada yang berzikir, membaca al-Quran dan bersolat.  Bagaimana jika ada yang berzikir  dan membaca al-Quran dengan suara yang kuat, sedangkan mereka sedang melakukan ibadah khusus kepada Allah.

Maksud sabda Rasulullah:  Ketahuilah bahawa semua kamu sedang bermunajat kepada Rabnya (Tuhannya). Kerananya, janganlah sebagian antara kamu mengganggu sebagian yang lain.  Dan janganlah sebagian antara kamu menguatkan bacaannya dari sebagian yang lain.  (Riwayat Abu Dawud dan dinyatakan sahih oleh al-AlBani.)

Daripada hadis itu jelas, sekalipun seseorang sedang membaca al-Quran (membaca al-Quran merupakan ibadah yang mulia), namun apabila dia menguatkan bacaannya dikira sudah menganggu orang lain yang sedang beribadah kepada Allah.  Masih tidak jelaskah peraturan daripada Rasulullah yang melarang kebisingan dalam masjid sekalipun daripada suara zikirullah atau membaca wahyu Allah?

Sekarang ada pula tindakan beberapa pihak yang berceramah atau memgadakan majlis ilmu (istilah lain ialah tazkirah) dengan menggunakan pembesar suara.  Penuh suara si penceramah dalam masjid sedangkan pada waktu yang sama orang masuk ke masjid dan melakukan solat tahiyatul masjid.  Ada yang berzikir dan berdoa.  Suara yang lantang itu jelas satu gangguan kepada jemaah Jumaat yang hadir  dan seakan ada satu paksaan pula untuk mendengar ceramah sebelum khutbah.

Diriwayatkan daripada ‘Amr bin syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya iaitu Abdullah bin ‘Amr:  Bahawa Rasulullah melarang berniaga, mencari barang yang hilang dan bersyair dalam masjid.  Baginda juga melarang membuat halaqah sebelum solat (Jumaat) pada hari Jumaat. (hadis hasan riwayat Abu Dawud, At Tirmizi dan an-Nasa’i.)

Begitulah pendirian as-Sunah mengenai larangan menganggu hamba-hamba Allah yang sedang bermunajat kepada Tuhannya.

Allahuaklam.

Jumaat, Mei 06, 2011

MASJID al-Mujahidin pekan Bagan Terap


Pekan Bagan Terap merupakan satu kawasan di daerah Sabak Bernam Selangor.  Terdapat sebuah masjid yang merupakan pusat kegiatan agama Islam dan komuniti masyarakat setempat.  Masjid al-Mujahidin telah dibuka dengan rasminya oleh Tuanku Sultan Selangor Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Haj ibni almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah al-Haj Atiqillah pada hari Jumaat 10 Syaaban 1412H bersamaan 14 Februari 1992.


Masjid al-Mujahidin boleh menampung hampir 1000 jemaah pada satu masa menjadi tumpuan umat Islam melakukan solat berjamaah setiap solat fardu.  Jumlah jemaah solat Jumaat dan sewaktu solat sunat Tarawih menjadi berpuluh-puluh kali ganda berbanding solat fardu lima waktu.

Menurut Setiausaha masjid En Khasmawai bin Saidon, sumber kewangan masjid yang utama ialah daripada sumbangan orang ramai.  Berdasarkan rekod kutipan bulanan, sumbangan ini melebihi RM1000.00 pada setiap bulan, selain mempunyai beberapa ekar tanah wakaf yang ditanam kelapa sawit.

Masjid ini mencatat sejarahnya sendiri pada bulan Ramadan tahun lepas (2010), dikunjungi oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj ibn almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Haj.  Baginda telah mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat jelata dan menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin.

Dari sudut pentadbiran, Masjid al-Mujahidin diterajui oleh Ustaz Ahmad bin Abdul selaku Pemangku Nadzir untuk sesi 2011/12.



Rabu, Mac 16, 2011

MAAF, tiada bomoh di masjid!


USTAZ  dan ulama manakah yang menganjurkan seseorang muslim menemui bomoh untuk menyelesaikan masalahnya?  Tidak ada!  Malah ulama tidak pernah kering air liur dalam menasihati dan memperingatkan tentang keburukan menemui bomoh atau dukun.


Namun lihatlah budaya masyarakat Melayu Islam yang dikatakan kuat pegangan agamanya.  Untuk mengetahui tasawur Melayu mengenai perbomohan ini lihatlah pada imej yang dipaparkan dalam sasteranya. Maaf, sastera bukan hanya novel, cerpen dan puisi, malah drama dan filem adalah produk sastera.  Oleh itu lihatlah kebanjiran drama dan filem tempatan yang bertemakan perbomohan dan persepsi hantu.  Tidak cukup dengan hasil seni tempatan, diimport pula drama dari seberang yang di sana memang tema hantu dan misteri diterima secara normal.

Tidak kira sama ada seseorang itu berpendidikan tinggi atau tidak, kebanyakan mereka akan dipukau untuk menonton dan menghayati drama  dan filem hantu.  Mereka inilah pasaran yang luas kepada bomoh untuk melariskan produknya.  Seseorang bomoh tidak perlu mengiklankan khidmat sosialnya dalam media, cukuplah dia pernah membomohi seseorang dan yang seorang itu akan menjadi ejen iklan percuma di merata-rata. Iklan percuma ini disambung oleh pihak kedua dan seterusnya.  Bomoh ini pun terkenal terutama di luar mukimnya.

Sakit perut jumpa bomoh. Sakit gigi minta air penawar bomoh. Bayi menangis memang akan dipakaikan benang keramat. Demam minta dijampi oleh bomoh.  Kalau ada anak dara lewat tak bertemu jodoh, sahlah ibu bapanya disaran oleh jiran tetangga untuk dimandi bunga oleh bomoh.  Ada yang pasti mereka akan mencari bomoh sekalipun dia berpendidikan moden. Ya, kalau dia kehilangan barang, maka bomohlah dianggap Tuhan yang serba tahu alam ghaib!

Kehidupan seseorang bomoh memang pelik.  Semakin pelik, masyarakat semakin menerima dia adalah bomoh jempolan.  Semakin dia tidak mandi, semakin tidak pernah menjejak kaki ke masjid, maka itulah ciri keabsahan seseorang bomoh.  Kalau ada orang mengaku bomoh tetapi kerap solat berjemaah di masjid, pasti orang tidak percaya dia bomoh.  Maka jangan cari bomoh dalam masjid, tetapi carilah bomoh di hujung kampung, tepi hutan, dalam gua, yang cakapnya tidak tentu hala, giginya tidak bergosok dan pakaiannya kumal.  Hairan, manusia sebegitu dipercayai cakapnya!

Mungkin ada manusia bomoh yang mula sedar dirinya dikritik kerana berwatak menyeramkan dan dikatakan menyesatkan akidah para muslim.  Maka, bomoh tadi mula menukar penampilannya dan bergaul seperti orang biasa dalam masyarakat. Ya, dia boleh berlakon untuk menjadi manusia biasa dalam sosial masyarakat, tetapi percayalah dia tidak akan dapat berwatak seperti hamba-hamba Allah sejati.  Maka dia tidak berani pun menjadikan masjid sebagai rumah keduanya.  Oleh itu, pasti juga tidak ditemui bomoh dalam masjid!

Jangan pula orang yang kaki masjid mencari bomoh.

Jumaat, Disember 10, 2010

MASJIDKU panas pula

SUATU pagi yang hening, sebelum mendirikan solat subuh di sebuah masjid di pinggir bandar Kuantan seorang jemaah berbisik kepada saya, “cuba kita fikir mengapa waktu pagi seperti ini kita berasa panas juga. Apa agaknya dosa kita kepada Allah.”  Saya faham maksudnya.  Dia cuba menggambarkan bahawa sewaktu hawa subuh yang sejuk, namun ketika menyembah Allah terasa pula hangatnya sehingga badan berpeluh-peluh.


Saya masih percaya bahawa reka bentuk masjid berkenaan itulah yang menyebabkan hawa di dalamnya menjadi hangat walaupun suhu di luar masih sejuk dilitupi embun pagi.  Saya teringat kata-kata guru Tamadun Islam Prof Dr Mustafa Ishak.  Selaku pengkaji tamadun beliau mengatakan Islam tidak menunjukkan secara khusus seni bina atau reka bentuk bangunan yang boleh dinamakan reka bentuk Islam.  Malahan katanya lagi, bentuk kubah di kebanyakan masjid juga bukanlah daripada wahyu atau sabdaan Rasulullah.

Menurut pprofesor itu lagi prinsip Islam dalam reka bentuk bangunan termasuk masjid ialah ‘mensejahterakan manusia di dalamnya’.  Islam itu membawa kesejahteraan, maka apa sahaja yang dihasilkan dalam hal-hal keduniaan mestilah membawa kesejahteraan.  Kembali kepada masjid yang dikatakan berhawa panas, sebenarnya itu adalah masalah reka bantuknya yang tidak memberi laluan seluas-luasnya udara keluar dan masuk.  

Perhatikan banyak masjid yang kecil mempunyai reka bentuk seperti pyramid yang memerangkap udara panas.  Lubang-lubang udaranya berada di tengah-tengah antara lantai dan hujung  bumbungnya.  Keadaan ini ditambah dengan ruang jendela yang kecil seperti rumah kediaman.  Oleh kerana masjid menampung jumlah manusia yang banyak, maka udara panas dari masjid tidak dapat keluar dengan cepat menyebabkan haba di dalam dewan solat begitu panas.  Ada masjid dan surau terpaksa menggunakan pendingin hawa untuk mengatasinya.  Kaedah menggunakan pendingin hawa hanya menyelesaikan masalah dalam masjid tetapi menyumbang pula kepada kesan rumah hijau iaitu pemanasan suhu bumi.  Inilah akibatnya apabila para pereka bentuk bangunan terutamanya masjid tidak memahami  prinsip kesejahteraan secara fitrah  hasil pembinaan rumah Allah berkenaan.

Banyak orang bercakap Islam itu sejahtera dan menyelamatkan manusia, menyenangkan sesiapa sahaja yang menerima Islam.  Malangnya  rumah Allah sebagai lambang atau contoh tempat yang sejahtera, manusia sudah merasa keresahan dalam hidup! Reka bentuk masjid atau surau yang cantik pada pandangan mata, tetapi menggelisahkan pengunjungnya. 

Sabtu, Oktober 09, 2010

LARANGAN berniaga dalam masjid

KERANA menghargai sekolah dan hasrat psikologi anak yang akan menduduki peperiksaan, saya gagahkan juga pergi ke sekolah anak sejauh 100 km.  Sekolah mengadakan tazkirah untuk para calon peperiksaan  dan ibu bapa yang hadir sama. Hasrat tazkirah sebagai peringatan bagus, dilaksanakan dalam surau pun bagus.

Saya ingin mendengar tazkirah yang dapat meruntun jiwa anak muda, yang dapat menyebakkan rasa di dada ibu bapa supaya terasa benar ada tanggung jawab besar di hadapan.  Untuk itu, lazimnya isi tazkirah sangat menusuk kalbu.  Pengalaman saya, tidak kurang guru kaunseling atau yang kerap menjadi motivator berjaya mengalirkan air mata anak remaja walaupun tazkirahnya bukan di malam gelap.
 

Kesilapan pihak sekolah anak saya ialah tidak memberi tajuk atau garis panduan kepada ustaz yang dipilih. Masalah lain ialah ustaz ini bukan guru yang terdisiplin dalam bidang pendidikan, kerana itu tazkirah beliau untuk pendidikan (saya fikir bukan tazkirah tapi promosi diri dan dagangan) tidak jelas hujung pangkalnya.  Lebih sejam, surau menjadi hingar-bingar dengan ketawa kerana ustaz berlakon sebagai penyanyi dan penceramah.  Sebagai guru, saya tahu ke mana fokus wacana sama ada tulisan atau lisan. Maafkan saya.


Kemudian, ditambah 15 minit terakhir (menjadi sejam 15 minit), ustaz mempromosi barang dagangannya.  Oh, betul-betul di luar pintu surau sudah ada krewnya membuka gerai niaga.  Hilang segala rasa hormat dan percaya terhadap seorang bergelar ustaz yang katanya lulusan dari luar negara.  Cara yang digunakan selama lebih sejam betul-betul bagai pegawai pemasaran.  Selama sejam membentuk keyakinan terhadap khalayak, kemudian dia mengeluarkan prosuk jualannya. Nah, habis licin berkotak-kotak madu ukuran setengah liter.  CD ceramah beliau juga menjadi pilihan.

Kalau paman saya yang menjual ikan kering menggunakan masjid atau surau untuk melariskan dagangannya, pasti dikutuk masyarakat.  Kalau yang pakai serban membuat kerja ini, disanjung pula.

Mulia atau keji berniaga dalam masjid?  Lihat maksud sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh  Abu Hurairah (hadis sahih, diriwayatkan juga oleh Imam Tirmizi, Ad-Darimi dan Al Hakim): Jika engkau melihat seseorang berjual beli dalam masjid, maka katakan kepadanya ‘semoga Allah tidak memberi untung dari jual-belimu.’

Cukuplah peringatan Nabi sebagai haramnya melakukan perniagaan dalam masjid.  Perniagaan ini termasuklah membuat promosi, sekalipun pengambilan barang dan pembayarannya di luar dewan solat atau halaman masjid.  Janganlah seperti kaum Yahudi apabila Allah haramkan menangkap ikan pada hari Sabtu, mereka membuat perangkap ikan sehari sebelumnnya dan ikan yang  terperangkap pada hari sabtu diambil pada hari berikutnya. Taktik itu tetap salah dan mereka dihukum keras oleh Allah.

Semoga ada peringatan bersama, maka pilihannya kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

Rabu, Januari 20, 2010

BACALAH di masjid

PADA zaman ini tiada masjid dijadikan tempat bermesyuarat untuk pentadbiran negara atau sebagai pusat pengurusan ekonomi. Pada zaman Rasulullah mentadbir negara Madinah, kerana keadaan masih mudah maka kebanyakan pengurusan negara dan pengadilan, selain ibadah dilakukan di masjid. Lantaran contoh itulah banyak pihak mengakui peranan masjid sangat luas. Hal itu hanya tinggal kenangan kerana perubahan masa.


Lalu fungsi masjid pada hari ini hanya sebagai urusan ibadah khusus dan pusat keilmuan. Pusat keilmuan juga telah disempitkan kepada hanya ilmu-ilmu akidah dan ibadah. Sebagai pusat ibadah umah, ya masjid tidak lepas daripada peranannya. Bagaimanapun dalam hal menyediakan tempat mencari ilmu, didapati banyak masjid hanya mengatur ruang untuk penceramah dalam masjid.
Sekalipun wahyu pertama kepada Rasulullah dahulu ialah seruan membaca, sangat sedikit pengurusan masjid peka dan menyediakan tempat pembacaan yang kondusif dan mesra pelanggan.
Berdasarkan pengalaman menggunakan beberapa buah masjid, antara masjid yang menyediakan ruang bacaan di tempat yang sangat strategik kepada pengguna masjid ialah Masjid Makmuriah Sg Besar Selangor dan Masjid Sultan Hishamudin pekan Sabak Bernam Selangor. Masjid di pekan Bestari Jaya juga mempunyai rak buku di tempat terbuka.

Selain itu masjid-masjid yang saya temui hanya menyediakan koleksi al-Quran dan surah-surah Yasin. Masjid di kampung saya mempunyai rak buku yang mewah dan eksklusif tetapi tidak digunakan oleh pengunjung masjid. Bukannya orang tidak mahu membaca terjemahan al-Quran dan koleksi hadis sebelum solat Jumaat, tetapi kedudukannya dilihat mewah itulah yang menyebabkan ada kitab yang belum dibuka oleh sesiapa saja.
Sekali lagi kita memerlukan daya pemikiran kritis dan kreatif dalam pengurusan, apa lagi pengurusan masjid. Zaman berubah dan orang kerap bercakap mengenai Islam yang syumul, namun masjid masih perlahan mengikuti perubahan ini.