Pengikut

Jumaat, Februari 29, 2008

MENDAMBAKAN keadilan

PERKARA yang sering didambakan tanpa mengira apakah bangsa, agama atau apa pun kedudukan manusia itu ialah keadilan. Justeru keadilan sangat dekat dengan fitrah kejadian insan. Saya meminjam pengertian ‘keadilan’ daripada mantan guru saya Datuk Syed Othman al-Habsyi. Kata Tuan Syed ini, “keadilan ialah meletakkan sesuatu tepat pada tempatnya”. Beliau memberi contoh, meletakkan songkok di kepala adalah tepat, jadi itu adil. Meletakkan kasut di kepala jauh daripada tepat, maka itu tidak adil. Tidak adil itu zalim, aduh!

Oleh itu seakan-akan keadilan mesti dilihat bersama wujudnya kezaliman. Kalau tidak ada kezaliman, manusia tidak mengerti indahnya keadilan. Kerana indahnya keadilan, semua mendakwa telah berlaku adil kepada mana-mana pihak yang bersamanya.

Orang yang sering bertanya “di manakah keadilan?” ialah orang yang berhadapan dengan orang lebih berkuasa daripadanya. Seorang raja tidak akan bertanya kepada rakyat, di mana keadilan. Rakyatlah yang bertanya kepada raja begitu. Jadi langka amat seorang ketua yang punya kuasa bertanya kepada orang-orang yang dipimpin, di mana keadilan. Sebaliknyalah khalayak awamlah yang bertanya begitu.
Kerap sudah didengar orang di bawah seperti rakyat, pekerja-pekerja atau anak buah bertanya kepada insan di atas mereka, di mana keadilan? Erti lain pertanyaan ini ialah, “sudahkah hak-hak kami dipenuhi sebagaimana selayaknya?” Akhirnya perkataan ‘keadilan’ menjadi sensitif kerana jika pihak yang menuntut dirinya patut diberi hak sepatutnya, bermakna sedang menggambarkan pihak lain sebagai zalim atau kejam!

Seterusnya diciptalah frasa ayat “keadilan itu subektif” yang membawa pengertian keadilan itu bisa-bisa saja ditafsir dalam maksud yang berbeda-beda mengikut si pembawa atau si pengucapnya. Katakan saja cerita Hang Tuah dihukum bunuh oleh raja sehingga membawa ‘pemberontakan’ Hang Jebat. Untuk Hang Jebat, raja sudah zalim kerana menghukum bunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Raja tidak merasa dirinya zalim kerana tindakannya sebagai orang paling berkuasa berwewenang menjatuhkan hukuman apa saja. Baginya, kalau dia tidak boleh menjatuhkan apa-apa hukuman, dia bukan raja. Raja mesti berkuasa apa saja. Kepada raja, menghukum bunuh Hang Tuah sebagai melaksanakan keadilan juga. Ya, dirinya raja yang adil, Hang Jebatlah yang zalim kerana bukan haknya melawan raja begitu. Nah, raja dan Hang Jebat saling mendakwa dirinya adil dan saling menuduh manusia di hadapannya sebagai zalim.

Hari ini keadaannya pun tidak jauh berbeda. Semua pihak mendakwa berlaku adil dalam perlakuan sambil mendakwa dizalimi oleh pihak yang lain pula. Oleh kerana fitrah manusia senantiasa dekat dengan keadilan, maka maksud keadilan itu mudah amat difahami dan dirasai oleh manusia. Bohonglah kalau insan yang jujur mengakui kerajaan Amerika berlaku adil apabila mengesahkan serangan Israel sebagai membela diri tetapi menuduh Palestin sebagai pengganas. Israel menyerang, mengepung, menghina dan membunuh warga Palestin dikatakan itu haknya. Palestin yang membalas serangan, mengatur siasat dan merobohkan “Tembok Berlin Kedua’ dikatakan zalim dan tidak adil kepada Israel. Ini berlaku di mana-mana termasuk di negara dan dalam rumah kita pun!

Kalaulah kita meneliti ancaman terhadap yang curang atau zalim ini, gerun dan ngeri jadinya. Cuba lihat maksud ayat Allah dalam surah al Muthaffifin: 1-6 “Kecelakaan besarlah bagi orang yang curang, iaitu orang-orang yang apabila menerima timbangan barang daripada orang lain lalu meminta dipenuhi (haknya). Dan apabila mereka membuat timbangan barang untuk orang lain, mereka itu mengurangi (menafikan haknya). Tidakkah orang itu yakin sesungguhnya mereka akan dibangkitkan pada suatu hari yang besar? Iaitu pada hari manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam.”

Seronoklah buat sementara di sini dengan mendakwa telah melaksanakan keadilan sekalipun hati kecilnya mengakui tindakannya tidak adil atau menzalimi pihak lain. WA.

Selasa, Februari 26, 2008

PANDANG dan fikirlah dengan adil

SUASANA politik negara yang semakin panas sekarang dapat diambil beberapa iktibar. Dalam tulisan saya berkenaan pilihan raya, telah dinyatakan bahawa pilihan raya menawarkan peluang seluas-luasnya kepada sesiapa membentuk kumpulan dan menajamkan lagi perbedaan pendapat. Politik pilihan raya yang kian panas juga akan memberi kesan kepada perpecahan dan perbalahan. Walaupun tidak ada sesiapa yang sukakan perbalahan dan permusuhan, namun ruang sedang dibuka sekarang. Apa komentar orang-orang berpaksikan agama dalam hal ini? Lontaran idea terhadap permusuhan kerana politik ini masih disudutkan kerana bukan isu besar. Namun tidak pula dinafikan tentang adanya masalah daripada keadaan yang berlaku. Kerap didengar orang-orang berpaksi agama dan memegang jawatan ‘beragama’ menolak apa-apa kajian terhadap amalan beragama yang diwarisi sekian lama. Kepada mereka, membangkitkan hal-hal ini sekalipun baik dari sudut akademik dan ketulusan, namun atas nama perpaduan dan mengelak perpecahan tidak dibenarkan sama sekali perbincangan dilakukan. Akhirnya itu dianggap sensitif. Jika ada pihak yang mahu umat Islam berfikiran terbuka dan melihat kesesuaian beragama dengan al Quran dan sunah, mereka berdepan dengan label-label yang negatif. Maka timbul label kaum mudah, pemecah belah masyarakat dan wahabi. Nah, perhatikan dengan mata dan minda terbuka. Apakah sebenarnya yang membuat permusuhan dan perpecahan dalam umah? Seruan kepada al Quran dan sunah atau seruan memihak dalam sesuatu kandang politik? Kita renung dan fikir secara jujur. Bila dan di manakah pasukan FRU terpaksa membuat pengawasan rapi apabila aliran salafi membuat penerangan atau perkampungan sunah? Ajakan kembali kepada al Quran dan sunah sangat berhemah, kerana manhaj ini melarang kekerasan terhadap perkara yang tidak dipersetujui. Oleh itu tiada bukti gerakan yang mengajak umah kembali kepada al Quran dan Sunah telah melakukan demontrasi, slogan-slogan kasar, manifesto dan kutukan kepada hal-hal yang tidak dipersetujui. Aduhai pihak wewenang agama, perhatikan suasana semasa penamaan calon di serata negara. Hingar-bingar, tuduh-menuduh dan caci-mencaci antara dua pihak. Kalian telah menerima hal ini sebagai budaya baru umah, tetapi seruan kepada al Quran dan sunah sebagai pemecah belah kesatuan?

Apa sebenarnya yang berlaku? Tiada kejujuran, tidak mengerti apa yang diperkatakan atau double standard? Biar mereka berfikir dan memikirkan dengan adil.


(Semua foto dalam tajuk ini hanya hiasan dan contoh, tidak dapat sama sekali menjadi fokus dalam tajuk. Tafsiran bahawa individu-individu berkenaan sebagai buruk, bukan tujuan pemilihan foto berkenaan.)



Ahad, Februari 24, 2008

POLITIK yang bersih dan kotor

APA pilihan raya? Pilihan raya adalah perdebatan, pertarungan dan mencari pemenang. Biar berapa orang yang menawarkan diri, hanya satu akan diangkat sebagai pemenang. Biar banyak partai yang akan di gelanggang, hanya satu partai yang muncul jadi pemenang.

Benar demokrasi memberi pilihan kepada pengundi memilih orang atau partai yang disukainya. Tetapi politik tidak memberi ruang untuk bersama dan berbeda dalam satu masa. Pengundi dipaksa memilih satu antara dua. Memilih A sebagai baik, bererti mesti ada persepsi B sebagai salah. Kalau memilih partai B, maka jawabnya dia mesti memberi warna hitam kepada partai A. Tidakkah itu kejam? Apakah dunia begitu sempit sehingga di pihak yang tidak dipilih tiada apa-apa keuntungan dan kebaikan.

Berapa banyak manusia yang sudah menelan hukum memilih A bererti mengatakan B salah, memilih B bererti mengatakan A goblok! Di desa saya menyaksikan sendiri peribadi-peribadi yang sudah tua menggunakan hukum paling bodoh itu. Mula-mula bersama dalam satu partai, kemudian Encik XX keluar partai dan memilih partai lawan. Maka rakan-rakan Encik XX dalam partai asal tidak mahu berhubungan apa-apa, malah bersalaman pun tidak! Oh, bukan mantan rakan-rakan Encik XX saja yang harus dipersalah, malah Encik XX sendiri pun berkelakuan demikian, bermusuh sehingga akhir hayat dengan mantan rakan-rakan lama!

Banyak orang terjun dalam politik kerana dorongan emosi melulu, kerana itulah kondisi yang paling mudah. Setelah membaca beberapa naskhah politik sebuah partai dan mendengar hujahan sebelah pihak, pantas seseorang yang beremosi menentukan pendirian: A betul dan B sudah salah besar, maka saya pendukung A, pemusuh B! Hal ini berlaku di mana-mana.

Memang banyak insan yang bercita-cita polos dalam politik. Politik sebagai alat untuk melaksanakan amanah Allah, maka kerana terpanggil dengan amanah mereka merelakan berada di gelanggang. Namun politik itu serba kemungkinan, daripada lembut kepada kasar, daripada murah kepada mahal, daripada bersih kepada kotor dan daripada sahabat kepada musuh.

Banyak juga insan yang polos asalnya mahu melaksanakan amanah Allah, kemudian kerana dia dikotori oleh ahli-ahli politik yang sudah kesetanan, maka terpaksa pula dia membalas kekotoran dengan kekotoran. Lalu, tiada lagi ikon ahli politik polos yang menggalas amanah Allah. Dalam dunia nyang serba kesetanan, insan mana yang sanggup sentiasa disihir dan disantau oleh ahli-ahli politik yang kesetanan. Maka sedikit sebanyak, kepolosan insan tadi mula lembut dan mencair. Sayang sekali.

Jika meneliti maksud permulaan surah Rum patut sekali ada hemah dalam pemilihan dalam suasana yang tidak semua bersih dan tidak semua kotor. Maksud firman Allah dalam Ar Ruum: 1-4 “Alif, Lam Mim. Telah dikalahkan bangsa Rum, di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan pada hari itu (Rum yang menang), bergembiralah orang-orang yang beriman.”

Sewaktu Rasulullah sudah di Madinah, bangsa Rum dan Sasan (Parsi) bermusuh dan akan berperang. Umat Islam ketika itu berharap Rum akan mengalahkan Sasan sebab bangsa Rum sekalipun bukan Islam, mereka orang Kristian, tetapi kepada umat Islam penganut Kristian lebih dekat tauhidnya dengan tauhid Islam berbanding akidah Sasan sebagai penyembah berhala dan api. Sebab itulah sokongan moral dan harapan Rum yang menang, namun dalam perang itu Rum kalah. Lalu Allah turunkan ayat-ayat itu. Benar, pada peperangan lain Rum berjaya mengalahkan bangsa Sasan yang musyrik itu. Umat Islam di Madinah bergembira. (Ingat pada waktu yang lain, Umat Islam Madinah pula berperang dengan Rum seperti Perang Muktah yang dahsyat itu).

Ertinya, ummah masih mempunyai pilihan untuk memilih atau mengundi salah satu pihak sekalipun kedua-dua pihak bukan daripada kalangan para kaum muslimin. Manakah yang lebih dekat dengan akidah Islam dan keselesaan ummah, maka itulah pilihannya. Kita punya contoh daripada al Quran untuk membuat pilihan.

Jumaat, Februari 22, 2008

BRAVO Kosovo! Kosovo!

TIDAK banyak yang memberi perhatian pada tanggal 17 Februari 2008 sebagai satu yang istimewa kepada umat Islam, khasnya dalam negara. Hal yang sedia maklum bahawa isu dalam negara ialah pilihan raya umum atau pemilihan umum. Oleh itu apalah ertinya sangat kemerdekaan sebuah negara berpenduduk 2.2 juta jiwa di tenggara Eropah kepada rakyat negara.

Apa ada pada KOSOVO? Ya, Kosovo hanya sebuah wilayah kecil yang dahulunya bersama-sama Bosnia-Hezergovina, Crotia, Serbia, Montegro ,Albania, Mecadonia dan Vojvodina membentuk Persekutuan Yugoslavia. Orang pun tidak mengenal Bosnia jika tidak kerana pembunuhan secara massal terhadap warganya yang muslim. Biasalah setelah tamat Perang Dingin, negara-negara yang dahulunya dibentuk secara tirani oleh kuasa komunis seperti di Yugoslavia merdeka satu persatu. Tidak hairan juga dengan kemerdekaan Crotia. Tetapi yang menyebabkan Bosnia terkenal kerana tragisnya pembunuhan di negaranya oleh pewaris pemerintah di Belgrade iaitu Serbia-Montenegro. Kini 2008, 17 Februari Kosovo merdeka dengan 90 peratus daripada penduduknya sebagai muslim. Oleh itu tidak keterlaluan jika mengatakan negara yang peratusan muslimnya terbesar di Eropah sekarang ialah Kosovo kerana di Bosnia muslim sekitar 52 peratus. Turki sekalipun dengan 99 peratus muslim belum lagi diterima sebagai keluarga Eropah.

Peristiharan kemerdekaan, jika tidak diiktiraf oleh negara-negara lain bagai tidak berguna dan akhirnya tersisih daripada dunia antar bangsa. Lihatlah nasib negara Chehnya yang mendeklarasi kemerdekaannya seawal tahun 1990-an, tanpa pengiktirafan antar bangsa, nasib muslim di sana entah bagaimana. Amerika Syarikat bagai sepakat dengan Russia untuk menghukum nasib bangsa Chechen.

Kosovo? Ya, Kuasa besar Amerika telah memberi restu negara itu merdeka. Oleh itu mudah difahami mengapa kebanyakan sekutu Amerika di Eropah juga memberi restu kemerdekaan Kosovo. Turki pun sudah. Dan Malaysia juga bersama Amerika dan beberapa negara Eropah. Indonesia dengan alasan tidak menggalakkan pemisahan wilayah di negaranya, sanggup mendiamkan diri daripada mengiktiraf Kosovo.

Russia, Serbia dan China nampaknya membantah kemerdekaan Kosovo. Fahamlah sekarang, Kosovo hanya menjadi satu tanda aras wujudnya persaingan antar Amerika dan Russia. China sudah memihak kepada Russia, bererti dunia sedang bergerak semula ke jalan Perang Dingin yang ditutup tahun 1990.

Tanpa sokongan daripada Russia, Serbia tidak akan berani mendongak kepada Amerika dan Eropah. Sebelumnya pun PBB dan Nato sudah diberi mandat mentadbir Kosovo sejak pengusiran tentara Serbia dari Kosovo oleh Nato. Tanpa Russia, siapalah Serbia. Ya, sebab itu sekarang bantahan terhadap kemerdekaan Kosovo di Serbia sudah membiak. 200 ribu berdemontrasi membantah negara Kosovo menjadi biasa di sana.

Sekadar Perang Dingin antara Amerika dan Russia tidak mengapa, tetapi tragedi berdarah di Bosnia harap jangan sekali berulang. Kuasa-kuasa besar dalam Perang Dingin dahulu kerap menjadikan negara-negara kecil sebagai medan menguji kuasa dan senjata. Maka bagaimana nasib Kosovo? Semoga Allah menyelamatkan negara ini. Sekurang-kurangnya penduduk Kosovo yang muslim sudah bebas daripada Serbia, sekalipun kehebatan penduduk Islamnya tidaklah seutuh zaman silam semasa diperintah oleh daulah Usmaniyyah.

Rabu, Februari 20, 2008

SEJARAH ringkas bangsa Yahudi

Tulisan di bawah merupakan sebagian daripada isi surat kepada anak angkat saya Chui Yee L semasa di US tahun lepas. Selama enam bulan dia tinggal dengan satu keluarga Yahudi.

Nabi Ibrahim dari Babylon (di Iraq) pergi ke Palestin bersama isterinya Siti Sarah., seorang bangsawan. Mereka mempunyai seorang hamba, Siti Hajar. Oleh kerana Nabi Ibrahim belum mendapat seorang anakpun, maka Siti Sarah mencadangkan agar suaminya mengahwini Siti Hajar untuk mendapatkan keturunan.

Setelah berkahwin dengan Siti Hajar, lahirlah putera dinamakan Ismail (Nabi Ismail). Perasaan cemburu Siti Sarah kepada Siti Hajar menyebabkan Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar ke Makkah, satu kawasan tandus. Nabi Ibrahim meninggalkan Siti Hajar dan Ismail di Makkah, dan kembali semula ke Palestin.

Kemudian, Siti Sarah hamil dan melahirkan Ishak (Nabi Ishak). Daripada Nabi Ishak (Issac), lahirlah Nabi Yaakub (Jacob). Daripada Nabi Yaakub, lahirlah 12 anak lelaki yang menjadi 12 kaum (tribes) bangsa Yahudi. Antara anak Nabi Yaakub ialah Nabi Yusuf yang menjadi Menteri di Mesir zaman Fir’aun. Salah saorang saudara Nabi Yusuf bernama Yahuda. Nama Yahuda telah diambil untuk mengenali nama bangsa Yahudi.

Nabi Yaakub digelar Israel, jadi keturunan Nabi Yaakub dikenali keturunan Israel. Dalam alquran, Allah menyebut ‘Bani Israel’. Sebab itu nama Negara Israel sekarang untuk penduduk Yahudi. Sejak Nabi Ishak, bangsa Yahadi telah mendapat beberapa Nabi yang terkenal seperti Nabi Daud (David), Nabi Sulaiman (Solomon), Nabi Musa (Moses), Nabi Yahya (John) dan Nabi Isa (Jesus). Allah juga memberi kitab melalui Nabi Daud (Kitab Zabur), Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil).

Kitab Zabur tidak dapat dipastikan lagi di mana tempatnya. Sebahagian Taurat dan Injil dibukukan dalam Bible, Taurat dinamakan Old Tastement dan Injil dinamakan New Tastement.

Zaman Nabi Musa

Semasa zaman Nabi Musa, semua bangsa Yahudi berada di Mesir menjadi masyarakat kelas kedua. Mereka dilayan dengan buruk di sana. Nabi Musa memimpin bangsa Yahudi keluar dari Mesir dan menuju Palestin. Mereka tinggal di Palestin dan beberapa lama kemudian berpindah ke merata-rata tempat setelah ‘peristiwa Nabi disalib’. Antaranya ada tiga puak (tribes) ke Yastrrib. Yang lain ada ke Yaman dan Eropah. Pada waktu itu Palestin di bawah kuasa Rom.

Dalam kitab asal Taurat ada dicatatkan Allah akan memberikan bangsa Yahudi nabi baru selepas Musa. Namun apabila Allah memilih Nabi Isa, bangsa Yahudi tidak percaya kerana Nabi Isa tidak mempunyai ayah. Mereka tuduh Nabi Isa anak luar nikah. Mereka bukan saja menolak Nabi Isa sebagai nabi malah cuba membunuhnya. Itulah peristiwa ‘Nabi Isa disalib’ oleh bangsa Yahudi bersama bangsa Rom. Daripada peristiwa itu ada permusuhan antara Yahudi dan Kristian kerana penyaliban Nabi Isa. (Versi alquran, Nabi Isa tidak mati disalib, Allah menggantikan tempat Nabi Isa dengan pengikut Nabi Isa yang khianat). Kaum Kristian bencikan Yahudi kerana tindakan mereka menyalib mati Nabi Isa.

Oleh itu kaum Yahudi masih menunggu hadirnya nabi seperti yang dijanjikan dalam Taurat. Misalnya semasa zaman Nabi Muhammad, penduduk Yahudi tinggal di Yastrib (Madinah). Mereka kerap berselisih dengan kaum Arab, dan mengancam akan memusnahkan kaum Arab bersama nabi yang ditunggu-tunggu. Sekalipun Nabi Muhammad hadir (Yahudi tahu ciri-ciri Nabi Muhammad), kaum Yahudi tidak menerima Nabi Muhammad kerana bukan daripada bangsa Yahudi. Kaum Arab di Yastrib yang mendapat maklumat tentang nabi baru daripada bangsa Yahudi dengan pantas menerima Nabi Muhammad dan membawanya ke Madinah (Hijrah).

Zaman Nabi Muhammad

Semasa Nabi Muhammad membina Negara Madinah semua tiga kumpulan Yahudi mengikat perjanjian bersama Nabi. Kerana khianat hendak membunuh Nabi dan belot semasa peperangan, semua kaum Yahudi dihukum dan dihalau keluar dari Madinah.

Pada zaman kerajaan Islam Umayyah di Sepanyol (kurun ke-8 hingga ke-15 ), banyak penduduk Yahudi tinggal di sana. Namun apabila kaum Kristian berjaya menguasai pemerintahan Sepanyol (kurun ke-15), bukan sahaja orang Islam dihalau, malah semua Yahudi juga. Sejak itu di Sepanyol tidak ada orang Islam dan Yahudi. (Baru sekarang mula terbina kembali masyarakat Islam di Spain).

Bangsa Yahudi berpindah ke Eropah dan Russia. Semasa Perang Dunia Kedua, tentera Jerman telah melayan buruk bangsa Yahudi. Apabila tamat Perang Dunia Kedua (1945), Amerika dan Britain berusaha menubuhkan sebuah negara untuk bangsa Yahudi. Oleh kerana sejarahnya, bangsa Yahudi pernah tinggal di Palestin setelah keluar dari Mesir, maka mereka mahukan Palestin semula.

Selepas Perang Dunia Kedua

Tahun 1948, Amerika dan Britain menaja banyak bangsa Yahudi kembali ke Palestin dan mengistiharkan Negara Israel di Palestin. Sebenarnya sejak Yahudi meninggalkan Palestin (akibat penaklukan Rom dan permusuhan dengan Kristian kerana penyaliban Nabi Isa), penduduk Arab telah memasuki Palestin dan membangunkan negeri itu selama 1000 tahun. Oleh itu apabila bangsa Yahudi kembali dan menubuhkan Negara Israel, timbul konflik dan perang antara bangsa Arab dan bangsa Yahudi. Itulah keadaan di Palestin-Israel sekarang.

Hari ini di USA ada kira-kira 3 juta orang Yahudi (betulkah?). Bangsa-bangsa lain mengakui bangsa Yahudi memang berwatak pintar dan kuat semangat perkaumannya. Di USA, bangsa Yahudi menguasai ekonomi, politik dan media. Sebab itu dasar luar USA mestilah menyokong dasar Negara Israel (6 juta penduduk) walaupun seluruh masyarakat dunia mengutuk tindakan kejam tentera Israel ke atas penduduk Palestin dan Lebanon.

Kadang-kadang kerajaan Israel disebut rejim Zionis. Zionis merujuk kepada bukit Zion di Israel yang dikuasai Israel dalam Perang Arab-Israel 1967. Zionis bermakna golongan yahudi di Israel yang sangat agresif terhadap musuh Israel.

Ada bangsa Yahudi memang masih berpegang kepada Taurat (Torah). Mereka adalah ahli kitab seperti Nasrani (Kristian). Bangsa Yahudi tidak makan babi, seperti kita juga.

Malaysia tidak mengadakan apa-apa hubungan diplomatic dengan Israel kerana dasar kejamnya terhadap penduduk asal, Arab Palestin. Menjadi kesalahan jika rakyat Malaysia memasuki Negara Israel.

(Okay, itulah sejarah ringkas bangsa Yahudi. Pesan ayah, bukan semua orang dalam bangsa Yahudi berwatak jahat seperti di Palestin. Contohnya tahun lepas ada sekumpulan bangsa Yahudi datang ke KL dalam persidangan Palestin untuk menyatakan sokongan kepada Palestin dan membantah tindakan kejam kerajaan zionis Israel. Malaysia bukan anti Yahudi, tetapi anti penindasan ke atas penduduk Arab. Malaysia membantah tindakan tentera Israel menceroboh masjid al-aqsa di Baitulmaqdis, masjid suci ketiga selepas di Makkah dan Madinah. Pesan ayah lagi, layanlah sesiapa yang berbuat baik kepada kita, tanpa mengira sejarahnya. Kita tidak patut menanggung beban buruk sejarah.)

Isnin, Februari 18, 2008

SELAMATKAN Rakyat Gaza Palestin!

Selamatkan Rakyat Gaza (Palestin)….. Tanggungjawab setiap Muslim
“Dan Janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman” (Maksud Ali-Imran 139)

Seruan daripada Allah s.w.t kepada sekelian orang yang beriman…. Kamu sekali-kali tidak akan ditimpa ketakutan, tidak akan diselubungi kesedihan dan hati kamu sekali-kali tidak akan dirundungi kekecewaan. Kekecewaan tidak sekali-kali akan dapat diharmonikan dengan keimanan. Kamu berada pada darjat yang paling tinggi selagi mana kamu beriman dan sentiasa mempunyai talian yang kuat dengan Allah yang Maha Mulia lagi Berkuasa. Keadaan di Gaza memerlukan sikap pro-aktif umat Islam sedunia. Adalah menjadi satu kezaliman bagi kaum Muslimin membiarkan saudara mereka di Palestin berterusan dizalimi oleh rejim Zionis Israel dan sekutunya. Kita boleh melakukan banyak perkara demi untuk saudara-saudara kita di Gaza….

Dengan ini, saya menyeru setiap pihak agar:
Qunut Nazilah – Membaca qunut nazilah pada setiap kali solat dan ajarkan makna qunut dan cara melakukannya kepada orang-orang yang masih belum mengetahui hakikat qunut. Tinggalkan makanan, minuman dan kerehatan yang berlebihan dan salurkannya kepada saudara-saudara kita di Palestin. Salurkan wang anda kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan tempatan yang terlibat menguruskan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin.

Mendermalah untuk pembelian ubat-ubatan yang diperlukan. Menyumbang secara terus sama ada sumbangan yang berbentuk material ataupun kewangan. Hospital-hospital dan klinik-klinik di Gaza sedang kehabisan ubat-ubatan untuk merawat para pesakit.
Bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan dan kesempatan, sertailah misi-misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Gaza (untuk menyalurkan kelengkapan pakaian, makanan dan bahan api)

Mobilisasi rakyat untuk bangkit melahirkan solidariti bersama rakyat Gaza yang dizalimi dan sedang menghadapi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing. Demo, bantahan, memorandum dan juga segala wasilah yang sesuai mestilah digunakan untuk tujuan tersebut.
Sebarkan maklumat kesengsaraan rakyat Gaza kepada seluruh rakyat dan penduduk dunia melalui teknologi yang ada seperti poster, banner, penulisan artikel di akhbar-akhbar, majalah-majalah, e-mail, laman web, sms, Ym dan lain-lain lagi.

Wujudkan Tabung Palestin di setiap rumah (Didiklah anak-anak agar mula menabung dari duit perbelanjaan mereka untuk rakyat Palestin). Sikap ini akan mewujudkan perasaan kebersamaan mereka dengan rakyat Palestin yang ditindas.

Bagi para pemudi dan wanita yang beriman, mereka hendaklah menderma dengan barang-barang perhiasan berharga yang mereka miliki.

Kepada seluruh warga yang bekerja, gunakanlah kedudukan kamu untuk menyelamatkan Palestin. Sebagai contoh :-

Para Pendakwah : Bangunkan Ummah untuk membantu Palestin dan serulah pihak-pihak berkuasa dengan kebenaran.

Ahli-ahli Parlimen : Gunakan segala jentera pemantauan supaya Kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya secepat mungkin.

Para aktivis Politik dan Parti : Himpunkan rakyat untuk isu ini, berlumba-lumbalah sekarang untuk menyelamatkan ummah.

Para Pengamal Undang-undang : Berusahalah di peringkat nasional dan antarabangsa untuk mengutuk perang dan penyembelihan secara beramai-ramai ini.

Para Wartawan : Gunakan kedudukan anda untuk membentuk pendapat umum rakyat samada melalui media bercetak mahupun media audio visual. Sebarkan kesedaran mengenai usaha ummah untuk menyelamatkan Palestin. Dedahkan pekung musuh, berilah peringatan kepada mereka yang masih bersikap alpa dan leka, serulah ummah dan bangunkan orang-orang yang lalai.

Gerakerja secara kolektif
Ikhwan Muslimin, seluruh parti politik dan pertubuhan-pertubuhan NGO, sekarang ini sedang berhimpun untuk menyusun usaha secara kolektif menuntut supaya pintu masuk di setiap sempadan di Palestin untuk dibuka. Dengan izin Allah, semua pertubuhan ini dengan kerjasama daripada bangsa Arab, umat Islam dan seluruh rakyat di dunia akan melakukan apa yang tidak dilakukan oleh negara-negara dan institusi-institusi antarabangsa.

“Dan katakanlah, “ Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin..” (Maksud At-Taubah : 105)


Dr. Mahmoud Ezzat,
Setiausaha Agung,
Jamaah Ikhwan Muslimin.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web: http://www.ikhwanonline.com/

Ahad, Februari 17, 2008

MENCARI ruang dalam pilihan raya

TANPA diduga, ada perselisihan pendapat di kalangan yang berfikrah sunah mengenai boleh atau tidaknya dilakukan pilihan raya dalam menentukan apa-apa hal berkaitan pemerintahan. Pendapat pertama berkisar mengenai demokrasi yang memberi hak rakyat menukar kerajaan melalui pilihan raya. Mereka menghujah berdasarkan ayat yang mewajibkan patuh kepada pemerintah (surah an-Nisa:59 dan al Anfaal:46). Hadis-hadis nabi juga dijadikan hujah bahawa muslim ditegah melawan pemerintahan muslim, apa lagi menumbangkannya. Contoh dua hadis nabi sebagai sandaran mereka.

Dari Hudzaifah Ibnul Yaman radliyallahu 'anhu berkata, bersabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam: "Akan datang sesudahku para pemimpin, mereka tidak mengambil petunjukku dan juga tidak melaksanakan sunnahku. Dan kelak akan ada para pemimpin yang hatinya seperti hati syaithan dalam jasad manusia." Maka aku berkata: "Ya Rasulullah, apa yang aku perbuat jika aku mendapati hal ini?" Berkata beliau: "Hendaklah engkau mendengar dan taat pada amirmu walaupun dia memukul punggungmu dan merampas hartamu." (HR. Muslim)

Dari Irbadh bin Sariyah radliyallahu 'anhu berkata, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam pernah berkhutbah kepada kami, beliau berkata: "Bertakwalah kalian kepada Allah, wajib bagi kalian untuk mendengar dan taat walaupun pemimpin kalian adalah budak dari Habasyah. Dan sesungguhnya barangsiapa yang hidup panjang di antara kalian akan melihat perselisihan yang sangat banyak maka wajib bagi kalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khalifah yang lurus dan terbimbing sesudahku." (HR. Abu Dawud, At Tirmidzi, dan Ad Darimi)

Seterusnya mereka berpendapat jika berlakupun kejahatan di kalangan pemerintah Islam itu, para muslim masih tidak dibenarkan untuk meruntuhkan pemerintahan di kalangan muslim lain.

Pendapat kedua pula muncul dengan hujah yang teknikal, responsif kepada pendapat pertama tadi. Golongan ini berhujah bahawa penyertaan parti politik dalam pilihan raya di negara ini bukan melawan pemerintah, sebaliknya hanya mencari siapakah yang terbaik dalam kerajaan. Mereka berpendapat pemerintah sebenar di negara ini adalah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. DYMM SPB Yang Dipertuan Agong adalah Ketua Negara dan bagai khalifah negara. Tambahan pula sudah ada akta yang menegah penderhakaan kepada baginda seperti kes pemberontakan al Maunah yang membawa hukuman mati kepada pemimpinnya.

Golongan ini menerima ayat al Quran dan hadis-hadis agar tidak melawan pemerintah, dan mereka tidak melawan DYMM SPB Yang Dipertuan Agong. Oleh itu kepada mereka yang kedua ini, adalah harus menyertai pilihan raya kerana menawarkan pilihan yang baik kepada rakyat, siapakah yang akan menguruskan negara.

Pendapat ketiga ialah mereka yang menyatakan pilihan raya ini suatu yang sesuai dengan situasi semasa. Mereka menerima apa-apa sahaja ayat al Quran dan hadis mengenai larangan melawan pemerintah Islam, namun mereka memahami dari sudut kepentingan semasa. Nas-nas soal pemerintahan adalah hal-hal keduniaan, bukan hal keagamaan yang tidak diketahui ilat atau sebab diwahyukan. Golongan ini berpendapat hal-hal keduniaan tidaklah statik, tetapi berubah berdasarkan masa dan tempat.

Hujahan pendapat ketiga ini berdasarkan tindakan Khalifah Umar al Khattab yang tidak memberikan agihan wang zakat kepada golongan mualaf sedangkan nas al Quran mengenai mualaf sebagai salah satu daripada lapan asnaf, (lihat surah at Taubah:60). Khalifah Umar berijtihad tidak memberikan agihan zakat kepada mualaf kerana suasana zaman pemerintahannya yang sangat mengukuhkan Islam, sehingga beliau berpendapat golongan mualaf tidak perlu dipujuk rayu atau dibelai dengan wang zakat. Baginya, kebenaran dan kemegahan Islam berada di hadapan mata, terpulanglah sesiapa untuk memilih Islam atau mengingkarinya.

Berdasarkan kaedah yang digunakan oleh Khalifah Umar, maka golongan ini berpendapat pilihan raya adalah keperluan semasa dalam mencari pemerintah Islam yang terbaik.

Apa pun patut diperhatikan lebih mendalam suatu sistem dan situasi semasa dalam negara berkenaan sebelum sesuatu keputusan menerima kaedah pilihan raya atau menolaknya. Maksudnya, keadaan di negara ini tidaklah sama sama seperti di Indonesia atau Pakistan. Antara yang membedakan antara Malaysia dengan beberapa negara Islam lain yang juga mengadakan pilihan raya ialah perlembagaan negara. Pengkaji wajib meneliti kesan dari sudut perlembagaan apabila calon-calon muslim berada dalam Parlimen. Maksudnya, nisbah ahli muslim dengan bukan muslim dan kesannya dari sudut politik, adakah keputusan itu menguntungkan atau merugikan umah.

Faktor kedua ialah kedudukan muslim dalam negara ini. Keadaan ini patut dalam kajian untuk dikaitkan dengan kesan apa-apa keputusan dalam pilihan raya. Misalnya bolehkah berlaku pertukaran satu parti muslim dengan parti muslim lain dengan berjaya, atau pertembungan ini akhirnya akan menghasilkan situasi kurang sihat.

Kesimpulannya, para pemikir muslim di negara ini patut sangat memikirkan bagaimana pilihan raya dapat dijadikan wahana membangunkan umah dan tamadun Islam. Selain itu yang penting juga ialah peranan ahli-ahli politik yang patut sekali menunaikan janji untuk tidak meraih keuntungan peribadi dalam berpolitik, sebaliknya mengutamakan agenda pembangunan Islam dan umah. Nampaknya, bab inilah yang susah.

Sabtu, Februari 16, 2008

BOLEHKAH elak cukai?

APAKAH kerja menyeludup barang yang halal seperti beras dan pakaian dibenarkan oleh Islam? Soalan ini mungkin bisa difahami dengan maksud berdosakah seseorang muslim kerana ingkar undang-undang kenegaraan? Soalan lain, adakah mendapat pahala kepada warga muslim yang mentaati perintah-perintah negara seperti membayar cukai, menjaga kebersihan halaman, memandu mengikut peraturan jalan raya dan menghantar anak-anak ke sekolah?

Kenegaraan adalah urusan keduniaan yang ada dasarnya dalam al Quran dan sunah Nabi. Dalam hal akidah dan ibadah memang Allah dan rasul-Nya menjelaskan secara rinci hal-hal yang diperintah dan larangan. Namun dalam membentuk negara dan pemerintahan, prinsip-prinsip asas sahaja yang diutarakan, seperti hal keadilan. Lihatlah bahawa tidak ada ayat Allah dan wasiat Nabi mengenai pengganti baginda, sehingga pada awalnya umah agak keliru juga apabila Rasululah wafat. Namun para sahabat baginda memahami kehendak umum al Quran dan sunah nabi, maka bagaimana seseorang dilantik sebagai pemimpin (Khalifah) terserah kepada kebijaksanaan semasa. Yang menjadi asas kepada kepemimpinan ialah syura dan baiah, itu wajib dilaksanakan.

Oleh kerana ayat Allah (surah al-Baqarah:208) juga telah menyebut ‘masuklah kamu dalam Islam keseluruhannya’ maka dapat dimengerti bahawa urusan kenegaraan yang keduniaan juga adalah dalam orbit Islam. Hal ini diperkuat dengan memahami bahawa hidup adalah ibadah atau pengabdian kepada Allah (surah az Zariat: 56). Maka tentu saja urusan perekonomian yang didalamnya ada pencukaian adalah dalam rangka Islam yang ‘kaffah’ itu.

Lalu, apakah hukumnya mengelak apa-apa cukai yang sewajibnya dibayar oleh warga negara kepada pemerintah, sedangkan pemerintah sudah menyiapkan undang-undang kewajiban membayar cukai. Khalifah Umar al Khattab merupakan pemerintah yang kreatif dan hebat berijtihad. Allah memberi kelebihan baginda berkuasa sebagai khalifah selama sepuluh tahun. Selama itu, banyak pembaharuan dalam pentadbiran termasuk memperkenalkan cukai kepada penduduknya.

Kepatuhan rakyat kepada pemimpin merupakan arahan Allah. Maksud firman Allah dalam surah an-Nisa: 59: “Wahai kamu yang beriman, patuhlah kepada Allah, rasul-Nya dan pemerintah di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbeda pendapat mengenai sesuatu hal, maka kembalikanlah kepada Allah dan rasul-Nya (al Quran dan sunah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu lebih utama dan baik akibatnya.”

Demikianlah bukti Islam memberi panduan kepada rakyat agar patuh kepada pemerintah. Kepatuhan kepada pemerintah ini dimulai dengan frasa ‘wahai kamu yang beriman’, ertinya rakyat yang sudah beriman kepada Allah dan rasul-Nya diwajibkan patuh kepada perintah-perintah ulil amri dalam perkara yang halal. Pengenaan cukai, peraturan jalan raya, pewajiban pendidikan anak-anak, peraturan penjagaan alam sekitar dan sebagainya adalah urusan keduniaan pemerintah.

Oleh kerana Allah sudah memberi perintah agar patuh dalam hal keduniaan yang halal, maka melanggar peraturan keduniaan yang halal adalah salah dan haram. Akal kita pun dapat membedakan antara perkara yang betul dan salah, maka tentu di sisi Allah hal yang betul dan salah ada pertimbangan pahala dan dosa.

Dapatlah difahami kepatuhan membayar cukai, menjaga alam sekitar, menjaga kebersihan, mematuhi peraturan jalan raya dan sebagainya termasuk urusan ibadah umum, ketaatan kepada pemerintah dan ada merit atau pahala di sisi Allah. Di balik itu, tentulah sebagai pelanggaran perintah Allah dan berdosa di sisi Allah.

Nah, inilah Islam yang sering dilaungkan sebagai kaffah.

Tulisan ini tidak ada kaitan dengan kepanasan politik berpilihan raya sekarang. Topik ini juga langsung bebas daripada kaitan mana-mana pihak dalam politik. Islam itu global, merentas segala tembok dan mensejahterakan alam.

Rabu, Februari 13, 2008

PERANG politik bermula

GENDANG pilihan raya telah dipalu, bermakna pertempuran merebut kekuasaan dalam negara telah dirasmikan. Tulisan saya sebelum ini mencatat peranan pilihan raya sebagai punca utama perpecahan bangsa Melayu. Bangsa Melayu dalam negara ini bukanlah banyak sangat. Daripada 26 juta penduduk, kira-kira 65 peratusnya adalah Melayu dan bumiputera. Jika diambil kira yang beragama Islam, adalah kira-kira 60 peratus.

Untuk rekod, dipercayai ada kira-kira 2 juta warga asing dalam negara. Menteri Tenaga Kerja Indonesia pernah mengumumkan ada 1.5 juta warga Indonesia di negara kita, maka wajar 2 juta warga asing dalam negara. Oleh itu bukanlah pendapat yang ekstrim jika mengatakan warga negara ada kira-kira 24 juta daripada 26 juta jiwa di Malaysia.

Berapa juta pengundi? SPR mengatakan 10 juta layak mengundi kali ini untuk menentukan arah negara untuk lima tahun akan datang.

Sekalipun pemikiran saya mengatakan pilihana raya punca perbalahan bangsa yang diatur oleh penjajah, namun dari sudut lain kena berlaku adil juga dengan kehendak semasa. Sepanjang sejarah mana-mana bangsa pun pergolakan politik bukan suatu yang asing. Hal ini seperti pertikaian soal pentadbiran negara bagai fitrah kejadian manusia (?). Saya masih berharap pendapat ini salah.

Sejarah bangsa dan negara mana yang tidak pernah terlibat dalam peperangan kerana perebutan kuasa politik? Tidak perlu dicatat pengalaman Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, namun dari sejarah umat Islam pun sudah cukup disenarai siri peperangan antara sesama umat untuk kepentingan tertentu. Bayangkan saja, pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib berlaku siri peperangan besar seperti Perang Jamal dan Perang Siffin. Itu belum tentera Khalifah Ali menggempur golongan khawarij.

Perbalahan antara kerajaan Bani Umayyah dan Bani Abasiyyah bukan dapat dikendurkan dengan rembukan dan tawar-menawar. Mereka, sekalipun sama berdarah Arab, sama menghadap kaabah sewaktu solat, namun pedang dihalakan sesama mereka juga. Berapa ratus ribu darah muslim mengalir di tangan muslim yang lain.

Sejarah bangsa Melayu bukan tidak pernah menyaksikan perang saudara. Abad ke-18 misalnya Perang Saudara perebutan takhta di Kedah, perang sesama Melayu Islam. Dahulu, kerajaan Melayu Islam Johor juga bukan sekali dua berperang dengan kerajaan Melayu Islam Acheh. Ini perang merebut pengaruh politik dan ekonomi. Perang bererti membunuh dan terbunuh. Sesama Melayu berperang, maka yang mati adalah Melayu Islam juga.

Maka dari satu sudut, pilihan raya moden dapat juga dijadikan satu penawar daripada kegilaan manusia berwajah politik yang saling merebahkan sesama mereka. Oleh itu, seakan-akan pilihan raya sebagai pilihan terbaik untuk para politikus yang lapar kuasa untuk menguji nasib merebut kuasa negara. Sekurang-kurangnya peperangan menumpah darah seperti zaman lampau dapat disalur kepada peperangan suara dan menumpah keringat saja.

Buat sementara biarlah begitu. Harap tidak ada yang terkorban kerana berbeda fahaman politik seperti zaman silam. Harap mereka yang sangat kebelet (istilah Jawa) itu dapat juga menjaga keutuhan peribadi muslim dan warga Malaysia, janganlah dijadikan pilihan raya medan paling halal untuk menafikan hal-hak saudaranya. Harap janganlah amaran-amaran Allah dalam al Quran seperti: Janganlah kamu melampaui batas, Jangan berlaku zalim, jangan memfitnah dan pelbagai maksud kata jangan, dilanggar saja. Ingat-ingatlah bahawa banyak tawaran keindahan dalam al Quran seperti persaudaraan, kasih sayang, memberi penghormatan dan sebagainya
.

Selasa, Februari 12, 2008

APA ada pada pilihan raya

SUKA atau tidak memang orang-orang Melayu dalam negara yang menjadi tonggak bangsa Malaysia berpecah. Perpecahan ini memang menyakitkan dan memalukan apabila dikaitkan dengan Melayu itu beragama Islam. Perlembagaan persekutuan Perkara 160 (1) menyatakan Melayu itu Islam. Islam agama yang mengajak perpaduan. Maksud surah al Hujurat: 10, “sesungguhnya orang-orang mukmin bersaudara…” Namun kemudiaan bangsa Melayu yang beragama perpaduan berpecah tidak tentu hujungnya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan amalan pilihan raya sebagai punca utama perpecahan bangsa. Pilihan raya telah menawarkan ruang seluas-luasnya untuk sesiapa juga membentuk kumpulan masing-masing, kemudian saling bersaing, berlawan untuk mencari pemenang. Lazimnya yang menang akan mendapat segala-galanya, yang tewas kehilangan semuanya.

Lima tahun sekali wajib diadakan pilihan raya, malah selalunya ada beberapa pilihan raya kecil sebelum tempoh matang lima tahun itu. Setiap parti akan mencari dan menambah pengaruh di kalangan orang-orang Melayu. Untuk itu dari sekecil-kecil perkara hinggalah yang sebesar-besarnya akan dilihat dari sudut kepentingan politik. Para pemimpin dalam politik akan membentuk persepsi di kalangan pengikut-pengikut masing bahawa dalam apa juga perkara, semua yang dilakukan oleh parti lawannya adalah salah. Diri dan partinya sahaja yang betul dan sah. Maka dendam antara parti-parti politik Melayu bagai tidak sudah. Mustahil keadaan yang berlaku ini termasuk dalam ajaran al Quran dan sunah.

Siapa yang memulakan pilihan raya di negara kita? Jawabnya penjajah British. British masuk ke negara kita secara terbuka bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874. Sejak itu satu persatu negeri-negeri Melayu dijadikan wilayah naungan (baca jajahan). Semua pentadbiran sama ada Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu tidak menawarkan pilihan raya untuk mencari ahli Badan Lagislatif dan Badan Eksekutif.

Sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat seperti Portugal di Melaka (1511) dan Belanda (1641), kerajaan-kerajaan feudal Kesultanan Melayu juga memang tidak mengenal apa pilihan raya. Memang kita tidak boleh menyamakan zaman-zaman berkenaan dengan zaman negara Malaysia. Namun isunya bukanlah pilihan raya, tetapi hak-hak asasi.

Seperti di Hong Kong, sejak British menduduki kepulauan itu bermula tahun 1848 tidak pernah menawarkan pilihan raya. Namun apabila menghampiri penyerahan Hong Kong kepada China tahun 1990, Gabenor Chris Paten cuba memperkenalkan pilihan raya sebagai tanda aras amalan demokrasi. Ini, seolah-olah sejak 1848 Hong Kong tidak ditadbir secara demokrasi. Dari satu sudut, mustahil Hong Kong tidak demokrasi kerana pulau itu merupakan tanda kuasa British di China. British mendukung demokrasi liberal dalam kancah Perang Dingin, manakala China mengamal komunisme.

Kes yang sama, sejak dikuasai Portugal sehingga diserah semula kepada China, Macau tidak juga mengadakan pilihan raya. Sekali lagi, Hong Kong dan Macau telah dianggap sebagai contoh negara demokrasi terhadap kuasa China komunis semasa kemuncak Perang Dingin!

Di negara kita pun British tidak pernah memperkenalkan pilihan raya sebagai tanda aras sebuah negara demokrasi, sehinggalah beberapa tahun setelah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (1948). Badan Perundangan PTM tidak pun dipilih melalui pilihan raya. Penubuhan parti-parti Melayu seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM 1936) dan PKMM (1945) juga bukanlah mendesak supaya diadakan pilihan raya. Malah penubuhan Umno, IMP, Pas, MCA dan MIC juga bukan kerana memenuhi kehendak pilihan raya.

Seperti kes di Hong Kong yang seakan terdesak memperkenalkan pilihan raya sebelum menyerahkan kepada China, British telah awal melakukan hal yang sama di negara kita. Mula-mula diperkenalkan Pilihan Raya Bandaran di Ipoh dan Kuala Lumpur. Kemudian yang besar ialah Pilihan Raya Persekutuan 1951 yang menawarkan 52 kerusi Parlimen. Maknanya pilihan raya diperkenalkan British pada saat akhir melepaskan tanah jajahan. Tentu ada agendanya. Mewujudkan perpecahan kepada rakyat bagi sebuah negara yang merdeka?

Sejarah tamadun Islam juga tidak menawarkan pilihan raya sebagai satu mercu tanda tamadun. Kita boleh kecualikan zaman Rasulullah. Kajian boleh dimulakan sejak zaman Khulafah ar-Rasyidin. Tidak ada pilihan raya cuba ditawarkan walaupun telah ada siri perbedaan pendapat, malah berlaku pertelingkahan. Pada zaman pemerintahan khalifah-khalifah Islam bukan tidak pernah didebatkan istilah demokrasi. Tentu ada, khasnya pada zaman Abasiyyah sebab penubuhan Baitul Hikmah di Baghdad sebagai pusat penterjemahan karya asing termasuk dari Yunani. Demokrasi itu dipercayai bermula dari Athens, Yunani.

Tanpa pilihan raya sejak zaman Khalifah Abu Bakar as siddiq (632M) sehingga khalifah Abdul Hamid (1921M), khalifah terakhir Turki Usmaniyah. Bolehkah dikatakan zaman khilafah Islam tidak ada hak-hak asasi manusia? Malah Piagam Madinah yang digubal oleh Rasulullah di Madinah diakui memberikan hak-hak asasi. Al Quran sendiri sangat jelas memberi petunjuk mengenai hak-hak dan kebebasan. Namun hak dan kebebasan dalam Islam tidaklah menyamai seperti yang ditafsir oleh Barat hari ini.

Malaysia pun tidak sama sekali menerima sepenuhnya tamadun Barat. Wawasan 2020 dengan terbuka sebagai percubaan membentuk negara bertamadun mengukut acuan sendiri, kehendak dalaman. Jelaslah, acuan Melayu dan Islam.

Cabarannya memang berat kerana bagi dunia Barat, demokrasi bererti sistem pilihan raya diamalkan. Atas premis itulah Myanmar, Pakistan dan Thailand dalam kritikan Barat dan Asean kerana demokrasinya terjejas apabila dipimpin oleh pihak yang merampas kuasa secara ketenteraan. Ini bermakna jika sesebuah negara itu pernah mengamalkan pilihan raya kemudian membelakangkan sistem itu, negara berkenaan dalam senarai yang dikutuk oleh dunia Barat khasnya kuasa besar Amerika Syarikat. Kutukan ini bererti dalam senarai yang dimusuhi mereka. Jika ini berlaku, memang ada masalah lebih besar.

Jika begitu keadaannya, pilihan yang ada ialah menyatukan satu bangsa ini dalam satu saf (parti) sahaja. Entah mengapa usaha menyatukan semua orang Melayu Islam dalam satu wadah politik besar menjadi satu kerja yang paling sukar. Perbalahan dan kerja penyatuan ini memang dugaan besar kepada yang orang-orang beriman. Sebagai pemerintah dan yang diperintah tentu ada peranan masing-masing berdasarkan ajaran al Quran dan Sunah. Kedua-dua pihak, pemerintah dan yang diperintah pula bukanlah kumpulan manusia yang maksum.

Sabtu, Februari 09, 2008

FIKAH untuk saudara Cina

YANG rajin meneliti semula tulisan-tulisan SS Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin pasti akan menemui pandangan-pandangan terbukanya mengenai hubungan antara orang-orang Islam dengan bukan Islam. Oleh kerana sikap terbukanya juga, perkara kecil yang dibangkitkan menjadi satu isu besar di kalangan tokoh agama tanah air yang dikongsi banyak lagi anggota masyarakat Melayu.

Dalam satu emel kepada Dr Asri, seorang keluarga Cina menyatakan selesanya dengan fikah Islam yang sebenar dalam hubungan antara dia dengan anak-menantunya yang beragama Islam. Dr Asri dapat memberi kejelasan fikah Islam dan melegakan satu keluarga bukan Islam. Namun keluarga Cina ini menyatakan pengalaman anaknya yang memeluk Islam, kemudian dia tidak mahu lagi makan dalam pinggan mangkuk yang selama ini digunakan di rumah. Ini merupakan pemahaman bahawa anaknya wajib menyamak segala periuk dan pinggan yang pernah diguna oleh keluarga bapanya! Lihatlah betapa teruknya pemahaman fikah seorang muslim di mata keluarganya sendiri yang bukan Islam.

Saya mungkin ada sedikit pengalaman bergaul dengan saudara-saudara muslim Cina. Ada satu hal yang menjadi kebiasaan kepada orang Cina tetapi satu hal yang sangat sensitif kepada orang-orang Melayu. Misalnya binatang anjing, haiwan teman di rumah orang Cina, tetapi orang Melayu memandangnya sebagai najis sangat berat.

Misalnya ada seorang saudara Cina mengadu payahnya hendak menyamak anggota dan pakaiannya yang terkena anjing, sedangkan di rumahnya ada anjing. Dia masih tinggal dengan keluarganya yang bukan Islam. Pemahaman menyamak ini tentulah sebagian daripada ilmu yang diajar kepada anak-anak Melayu. Akhirnya dapat juga dia menerima hujahan daripada Tafsir al Azhar karangan Dr Hamka mengenai kelonggaran yang diberikan mengenai anjing dalam budaya Islam, tidak seketat pemahaman orang Melayu terhadap anjing.

Maka dapat disimpulkan bahawa pengajaran fikah yang dililiki orang Melayu perlu dinilai semula dalam kehidupan berbudaya dengan kaum-kaum lain. Ada yang mengatakan hal ini soal kecil, soal furu. Saya beritahu orang ini bahawa soal yang furu inilah yang menjadi penghalang orang-orang Cina bukan Islam mendekati orang Islam, begitu juga sebaliknya. Sebagai orang Melayu, tahu benar persepsi apabila hendak mengajak masuk ke rumah rakan yang bukan Islam. Matanya mencari-cari anjing di ruang rumah rakan Cina. Walaupun saya tidak kisah kalau anjing itu mendekati dan menggesel anggota atau pakaian saya, tidaklah pula saya hendak menunjuk-nunjuk dengan memeluk anjing itu.

Pandangan yang terbuka mengenai fikah terhadap bukan Islam ini pula bukan satu jalan mudah untuk menerobos kepekatan fikah Islam ala-Melayu. Bila-bila masa saja kita boleh dikecam dengan harapan kita berundur daripada membuka fikah yang dikatakan telah sempurna sekian lama.

Jumaat, Februari 08, 2008

KITA Melayu dan Cina

Catatan 1: Pada tahun 1947 seorang tokoh wanita negara Syamsiah bt Fakeh telah berhijrah dari Kuala Pilah ke Bagan Serai. Di sana beliau diterima sebagai guru agama sebuah madrasah dan pemidato politik. Kerana bakat kepemimpinan dan kepetahan berpidato, Syamsiah Fakeh menjadi satu ikon baru kaum wanita. Pada satu hari dia dikunjungi wanita Cina dan pemuda Melayu yang membawa bendera parti komunis, dan masyarakat Melayu memerhatikan hal itu. Akibatnya orang-orang Melayu yang asalnya meletakkan Syamsiah sebagai tokoh, hanya kerana dia ditamui seorang Cina, Syamsiah disisihkan sama sekali. Syamsiah terpaksa meninggalkan Bagan Serai Perak kerana peristiwa itu.

Itu satu senario pandangan orang-orang Melayu selepas Perang Dunia Kedua terhadap kaum Cina. Mereka seakan-akan tidak boleh sama sekali menerima orang bergelar ustazah berdampingan dengan bukan Islam.

Catatan 2: Semasa saya bersekolah rendah tahun 1970-an, guru matematik dan sains saya ialah Puan Delima Abdullah, seorang Cina yang memeluk Islam kemudian berkahwin dengan pemuda Melayu. Di sekolah tidak pernah saya melihat dia memakai skirt, semua berbaju kurung cuma tidak bertudung kepala. Di kelas, kadang-kadang dia menceritakan kehidupannya termasuklah hal-hal di rumah. Dia ada menyebut mencuci kain telekungnya.

Masyarakat desa saya tahu Delima Abdullah seorang Cina yang memeluk Islam. Namun telinga saya sendiri mendengar bagaimana seorang bertaraf ustaz mengatakan Delima Abdullah sebenarnya masuk Melayu, bukan masuk Islam. Dia sama sekali meragui amalan-amalan ibadahnya.

Itu sebagian contoh bagaimana orang-orang Melayu dahulu mempunyai persepsi negatif mengenai keislaman orang Cina.

Catatan 3: Hari ini sebenarnya kita boleh saja menemui peribadi-peribadi berwajah Cina tetapi beragama Islam dan berbudaya Melayu. Mereka ini sebenarnya pada zaman darurat dahulu adalah bayi Cina yang dipelihara oleh keluarga Melayu. Bayi-bayi itu sebahagiannya telah dilahirkan oleh mereka yang berjuang dari dalam hutan, demi kelangsungan hidup anak-anak maka dicarikan keluarga desa yang dapat membesarkan anak-anaknya.

Sebagian peribadi Cina berbudaya Melayu ini memang diserah oleh keluarga Cina kepada keluarga Melayu. Dahulu di desa saya ada satu keluarga Cina yang punya 10 orang anak. Keluarga yang beginilah yang antaranya kerana keakraban dengan masyarakat Melayu di desa, menyerahkan bayinya untuk dididik dan dibesarkan keluarga Melayu.

Hari ini, kerana perubahan budaya dan ekonomi, jarang sekali dilihat anak-anak angkat orang Melayu daripada bayi Cina.

Catatan 4: Satu hal yang menarik hati ialah kenyataan seorang professor sejarah KK Kim bahawa pada sebelum tahun 1970-an, bukan aneh orang Cina belajar menulis tulisan Jawi dan membaca akhbar Jawi. Malah dikhabarkan mantan Setiausaha Partai Komunis Malaya, Chin Peng mahir menulis dan membaca tulisan Jawi.

Namun hari ini, tulisan jawi menjadi satu yang agak sensitif terhadap masyarakat Cina kerana dikaitkan dengan Islam. Malah pengajaran tulisan Jawi diajar dalam Pendidikan Islam, bukan dalam pelajaran Bahasa Melayu.

Maka wajar sangat apa juga ruang kemesraan antara kaum dalam negara dapat digerakkan untuk matlamat perpaduan sesama bani Adam. Dalam suasana Tahun Baru Cina, luangkanlah masa menziarahi rumah jiran Cina atau ke majlis terbuka mereka. Kita hantar juga ucapan melalui SMS atau emel. Dalam surah al Hujurat ayat 13, Allah menerangkan Dia menjadikan manusia berbilang kaum supaya antara mereka dapat saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Maka senyuman, hadir ke majlis mereka dan ucapan selamat untuk mereka menepati kehendak Allah dalam al Quran.

Khamis, Februari 07, 2008

GONG xi fa cai

WALAUPUN kebanyakan pengunjung blog ini adalah sahabat Melayu, namun atas rasa kekitaan, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.

Ucapan peribadi juga saya tujukan kepada anak-anak angkat saya Chui Yee L di TAR College, Kheng Wai T di Kipsas dan Yoke Lin F di Kuantan. Mereka dan banyak lagi sahabat-sahabat dari Macma di Pahang, juga rakan-rakan sekerja yang kebanyakan orang Cina merupakan jambatan peribadi saya dan keluarga keluar daripada kemelayuan totok kepada rasa terbuka dan berkasih sayang sesama bani Adam.

"Semoga kalian dalam bahagia pada hari yang indah ini."

Rabu, Februari 06, 2008

ALAHAI..., bid'ah lagi

SAYA harap tulisan ini akan menjadi penutup berkaitan dengan beberapa tulisan saya berkaitan kirim pahala, kenduri arwah dan wahabi. Respon tentang wahabi bukan main lagi. Saya pun faham dibalik isu wahabi ialah berkaitan hal bid’ah, yang mereka tolak. Dalam tulisan lepas juga saya pernah sentuh bab bid’ah tetapi secara prinsip sahaja, tidak ada contoh yang sensitif pun.

Apa dia bid’ah? Kata Imam Abu Ishaq al Syatibi lebih kurang maksud bid’ah ialah amal yang menyerupai ibadah khusus dilakukan oleh muslim yang tujuannya untuk mendapatkan keredaan Allah, tetapi sebenarnya hanya rekaan, bukan daripada al Quran dan sunah nabi. Lebih kurang seperti kata VK Linggam dalam siasatan videonya, “rupa macam saya tapi bukan saya, suara macam suara saya tapi bukan saya!”

Maksud rekaan atau tambahan itu dalam ibadah khusus untuk merasakan lebih dekat dan lebih diredai Allah. Oleh itu hal membuat kereta, buat bangunan ada aircond dan bina lebuh raya (sekadar beberapa contoh) bukan termasuk maksud bid’ah yang dikatakan sesat dan tempatnya dalam neraka. Contoh-conton itu memang rekaan baru, tiada pada zaman nabi, namun bukan sebagai ibadah khusus untuk lebih mendekat dan mencari tambahan reda Allah.

Contoh bid’ah yang saya beri cukup sempurna dan dijamin orang faham sama ada mereka puak ‘wahabi’ atau yang antiwahabi.

Ini cerita saya: Pandangan akal mengenai solat ialah bagus. Orang tidak solat pun masih kata solat bagus. Segala bacaan dalam solat pun bagus. Di sebuah desa di tepi rimba dalam wilayah jajahan negara Beringin Takrendang sana ada satu suku kaum yang telah lama memeluk Islam, sejak zaman Mahkota Alam raja Acheh yang hebat itu. Mereka cukup taat dengan perintah solat ini. Pendek kata segala yang berkaitan dengan solat dipelajari dan diamalkan.

Kemudian, beberapa pemimpin agama telah mencadangkan supaya rakaat solat subuh ditambah menjadi empat rakaat menyamai solat zuhur dan asar. Alasan imam-imam desa itu ialah subuh dua rakaat sangat ringkas sedangkan waktu subuh merupakan waktu yang hening, syahdu, dan sangat sesuai untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. Hujah mereka lagi, jika ditambah bacaan zikir, anak-anak muda pun ada yang cepat angkat kaki sebab mereka kata zikir ini sunat saja.

Maka jemaah pun sangat setuju sebab kata mereka solat adalah hal yang baik dan tentu Allah suka kita lama-lama menyembah-Nya. Mulai dari itu, penduduk di situ solat subuh empat rakaat. Cara mereka itu pada awalnya menimbulkan perdebatan, namun kerana Penghulu sebagai penguasa menyokong subuh empat rakaat, maka dia menggalakkan cara itu. Lama kelamaan generasi kedua juga orang desa lain turut mengamalkan subuh empat rakaat.

Berita penduduk di tepi rimba itu solat subuh empat rakaat telah didedahkan oleh sebuah TV separuh swasta. Maka ketua-ketua agama di negara Beringin Takrendang pun dengan pun pantas mengulas isu itu. Kebanyakan ustaz dan ustazah Beringin Takrendang mengatakan penduduk tepi rimba itu mengamalkan bid’ah kerana menambah rakaat subuh. Ulama-ulama ini menolak sama sekali hujah tambahan rakaat subuh walaupun ulama-ulama desa tepi rimba telah menghantar delegasi, memorandum dan mengadakan sidang media menerangkan tujuan baik syura desa berkenaan.


wallahu'aklam

Selasa, Februari 05, 2008

CETERA kebakaran dan erti iman

SEKALIPUN semua anak-anak muslim dikenalkan dengan pembelajaran fardu ain di sekolah atau pusat-pusat tusyen, masih banyak antara mereka tidak dapat menjawab pengertian iman. Pendidikan fardu ain kita lebih banyak menekankan penghafalan terutama fikah. Kebanyakan ibu bapa merasakan tanggung jawab memberi pendidikan agama dikira beres apabila anak-anak sudah tahu menunaikan solat dan membaca al Quran.

Selain ibu dan ayah sebagai pengajar hal-hal fardu ain kepada saya, masyarakatlah menjadi contoh saya mengerti apa-apa peraturan dan hukum agama. Begitulah sejarah pemahaman saya berkenaan agama pada zaman kanak-kanak, yang tentunya berbeda dengan kanak-kanak zaman moden terutama mereka di bandar. Kalau pada usia saya 15 tahun dahulu ditanya mengenai iman dan hal-hal yang membatalkan iman, rasanya masih tidak mampu dijawab berdasarkan standard sebenar.

Sebuah buku berjudul ‘Batas-batas Iman dan Kufur’ yang diterbitkan oleh Pustaka Salam merupakan buku yang memberi pemahaman lebih utuh mengenai iman. Antara frasa ayat yang paling mudah penulis memberi huraian untuk memahamkan pembaca mengenai iman ialah dengan membuat cerita mengenai kebakaran.

Antara catatan penulisnya ialah: Katakan kita dan rakan-rakan sedang berkumpul dalam sebuah bangunan, kemudian datang seseorang dengan cemas memberitahu bahawa bangunan yang kita sedang berada di dalamnya terbakar. Si pemberitahu meminta semua kita yang berada dalam bilik bangunan segera keluar menyelamatkan diri.

Apakah reaksi kita setelah diberitahu oleh seseorang mengenai kebakaran itu? Jika kita percaya berita yang disampaikan oleh seseorang itu, pasti kita membuktikannya dengan segera menyelamatkan diri. Jika kita percaya dengan berita kebakaran itu, tetapi masih meneruskan aktiviti di dalam bilik tanpa ada rasa kebimbangan mala petaka yang bakal dihadapi, itu bukanlah tanda percaya terhadap berita kebakaran!

Lalu dikaitkan dengan wahyu Allah yang memberi khabar baik dan buruk di akhirat. Kalau kita dibacakan wahyu dan kita percaya itu wahyu, kita beriman. Beriman diberikan maksud mudah iaitu percaya. Percaya ada ancaman dahsyat kepada yang ingkar terhadap perintah Allah, maka seseorang akan segera menunaikan perintah Allah agar selamat daripada ancaman.

Jika dibacakan wahyu Allah dan seseorang mengatakan percaya atau beriman, tetapi dalam pemahaman dan perbuatannya langsung tidak menggambarkan kehendak wahyu-wahyu Allah itu, dia sebenarnya belum percaya atau beriman. Kesimpulan mudahnya, iman ialah percaya dan percaya itu hanya dikira sah jika seseorang dapat membuktikan dengan amal apa yang diterima dan dipercayai.

Ini semua analogi mudah dalam buku berkenaan untuk memahamkan orang seperti saya mengenai iman. Sekalipun dalam buku itu sarat dengan pelbagai tafsiran, tahap pemikiran remaja saya waktu itu hanya tersedut dengan penceritaan bentuk analogi diri dan cerita kebakaran.

Dari sana juga mudah saya memahami bahawa ayat-ayat Allah hendaklah diterima sebagai percaya. Percaya dibuktikan dengan menunaikan kehendak ayat itu. Dari situ juga saya memahami bahawa sesiapa yang mengatakan iman hanya pemahaman dan tidak ada kena mengena dengan amalan atau bukti, itu masih tidak sempurna.

Ya, iman itu percaya dibuktikan dengan perbuatan.

Isnin, Februari 04, 2008

TUAN GURU pun dituduh sesat

SEJAK awal apabila saya mula bersungguh-sungguh berusaha mendalami ilmu Islam, yang tergambar dalam minda ialah keindahan dan kasih-sayang sesama muslim. Tazkirah dan tulisan-tulisan yang ditemui menjurus perihal Islam sebagai penyelamat umah daripada kebobrokan dunia. Di balik keindahan dan kedamaian yang ditawarkan oleh Islam, merupakan dunia jahiliyah yang tidak sama sekali berpaksi ajaran al Quran dan sunah rasul.

Masyarakat muslim yang bertoleransi dan punya semangat ukhwah sebagaimana dicontohkan dalak komuniti masyarakat Islam zaman ar-Rasul di Madinah. Memang di luar dunia tazkirah dan tulisan ideal tentang Islam, pemikiran saya juga diterjah juga mengenai pergolakan politik bangsa: perebutan pengaruh untuk menjadi jagoan mana satu yang lebih Islami. Di sana saya seperti terpaksa menerima adanya pergolakan emosi dan minda antar sesama muslim. Buat sementara, fikrah saya seperti mengakui juga itu sebagai resam bangsa.

Pada zaman internet dan maklumat dikembangkan dengan pantas, pelbagai resam pada budaya bangsa muncul satu persatu. Dua minggu lalu, catatan kolum Pena Mufti di akhbar Mingguan Malaysia merakam bagaimana pergolakan bangsa bukan semata-mata dalam dunia kepolitikan, malah sedang dirayapi serangan-serangan tuduhan sesat dan kafir oleh satu pihak muslim lain. Sebelumnya, lebih dahsyat apabila seorang mufti dituduh secara terbuka di hadapan ribuan khalayak sebagai ‘bapak syaitan’, tidak lain kerana nafsu serakah penceramah.

Asalnya juga saya telah menduga bahawa seorang Mufti dituduh sesat dan kafir oleh pihak yang tidak menyukai pandangan-pandangan Mufti berkenaan. Mengapa saya tidak kaget? Sejak tahun 2006, jauh sebelum blog ini dibangunkan, kotak SMS saya juga sudah diterjah serangan-serangan umum perihal orang yang sesat. Memang waktu itu saya kaget sebab melalui SMS saja persoalan sesat kafir dijadikan sebaran merata-rata. Dan yang lebih mengkagetkan, penyebarnya tidak mengenali saya secara rinci, hanya secara duga-duga, tambahan pula pengirimnya berperibadi pendidikan agama!

Lebih dahsyat, pengalaman saya melihat ada remaja belasan tahun yang baru saja satu-dua minggu mengenali Islam, ‘meluru’ di hadapan rakan-rakannya seakan pejuang berani mati melepaskan kata-kata seperti “ada ulama menyesatkan umah, tidak mahu menggunakan al Quran dan hadis nabi!” Lebih jauh daripada itu, dia melabelkan nama-nama peribadi yang disangkanya sudah kafir!

Maka, dengan mengutip hujahan Tuan Guru Nik Aziz yang menolak amalan kenduri arwah atau tahlil arwah, saya juga dihadiahi tuduhan sesat dan seruan bertaubat. Singgahan saya ke blog-blog tertentu juga ada peribadi dalam jemaah TG Nik Aziz sendiri menghukum TG sebagai sesat dan mahu dijatuhkan.

Memang ada barisan hadapan satu pihak yang berperan melancarkan serangan ‘berani mati’ hanya kerana tidak sependapat dengan pihak lain. Malangnya serangan ini jauh daripada kehendak akhlak Islam, sekalipun konon membuat serangan hendap itu untuk menjelaskan akidah Islam. Mengapa saya tafsirkkan begitu?
Pertama: Pihak penyerang hanya membuat dugaan tanpa ada kajian berupa ilmu, misalnya TG Nik Aziz menolak kenduri arwah saja terus dituduh sebagai sesat.
Kedua: Penyerang tidak berani menyerlahkan identitinya, berlindung di balik nama palsu, padahal isu tuduhannya sangat berat yang menagih satu tanggung jawab besar.
Ketiga: Penyerang tidak memberikan apa-apa standard seseorang boleh dilabel sebagai sesat, misalnya berdasarkan ayat-ayat al Quran dan hadis rasul mana seseorang itu dikira sesat.

Buat sementara, cukuplah peringatan Allah dalam al Quran mengenai dakwaan dan tuduhan terhadap peribadi orang atau kumpulan yang lain. Antaranya yang dimaksudkan dalam surah al Hujurat:
Ayat 11: “Hai manusia-manusia beriman, janganlah suatu pihak memperolok-olok satu pihak lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olok) itu lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olok)…….”
Ayat 12: “Hai manusia-manusia beriman, jauhilah prasangka (bersangka buruk), sesungguhnya prasangka itu satu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan jangan pula mengumpat sebagian yang lain……”

Semoga semua dilindungi Allah daripada apa-apa kedurjanaan.

Wallahu’aklam

Sabtu, Februari 02, 2008

MENGALAH kepada fakta dan hujah

SEORANG sahabat berkunjung ke rumah saya. Tentulah saya berterima kasih atas kesudiannya bertandang, sekalipun kami sebenarnya dalam kesibukan kerja. Rupa-rupanya dia ada agenda kedua iaitu memperkenalkan produk perniagaan penapis airnya. Sebenarnya saya sudah menggunakan penapis air sejak tiga tahun yang lalu yang saya dan keluarga sangat meyakini keberkesanannya. Oleh sebab itu apabila sahabat saya cuba menguji air tapisan itu, saya masih berkeras bahawa apa yang saya miliki adalah yang terbaik untuk kami sekeluarga.

Namun kerana sahabat, saya meladeninya dengan baik dan berharap demontrasi barangannya bukan untuk memerangkap saya pula. Dia menguji dengan dua kaedah yang berjaya membuktikan air tapisan saya tidak bersih dari bacaan meter ujikajinya. Namun kaedah kedua yang menggunakan arus elektrik amat mengkagetkan kami sekeluarga. Tentulah saya terkesima apabila air tapisan yang disangka sudah standard bersih daripada apa-apa bahan asing, masih mengumpul kotoran yang jijik sekali.

Walhasil apa? Akhirnya saya mengalah dengan fakta dan hujah. Sahabat saya mempunyai fakta dan hujah yang amat kuat untuk merobohkan pegangan saya bahawa air tapisan saya yang terbaik. Maka saya mengalah kepada fakta dan kekuatan hujahnya.

Yang saya terfikir juga bahawa semua orang mempunyai tahap keyakinan akidah dan pegangan agama yang dipercayai standard kebenaran. Seseorang penganut Kristian, Hindu, Buddha dan Islam tentulah telah mempunyai keyakinan bahawa pegangan agamanya adalah paling munasabah dan menepati standard kekudusan beragama. Maka jika ada orang yang cuba menguji tahap kekudusan akidah beragamanya, ini bukan mudah sebab setiap orang yakin pegangan akidah agamanya paling benar.

Sebagai muslim, saya rela diuji akidah yang dipegang. Tentulah standard ujian itu berdasarkan al-Quran dan sunah Nabi. Juga kerana yakin akidah Islam saya benar, saya rela untuk diuji berdasarkan standard agama-agama lain. Saya yakin keyakinan saya tidak akan roboh sebagaimana robohnya keyakinan saya terhadap air tapisan yang diguna sejak tiga tahun lalu.

Bagaimana dengan amalan beragama yang selama ini menjadi pegangan? Tidak mudah bagi sesiapa juga mengujinya agar segala dasar akidah dan amal ibadah seperti solat, wudhu, puasa, sedekah, zakat, haji dan yang lain-lain diketahui sudah menepati standard al-Quran dan sunah Nabi. Sepatutnya kita mesti rela menguji semula untuk dipastikan keyakinan kita berada pada tahap yang tinggi. Malah jika dalam ujian itu didapati apa yang kita miliki salah dan dikalahkan oleh dalil, fakta dan hujah, maka fitrah diri manusia pasti akan tunduk pada kekuatan hujah, bukan masih berpaut kepada pegangan yang sudah dirobohkan oleh hujah.

Saya ambil contoh, jika seseorang hanya memandu keretanya saja selama tujuh atau lapan tahun, dia tidak dapat mengenal pasti apa-apa kekurangan pada keretanya kerana sudah menjadi kebiasaan apa-apa saja pada kenderaannya. Cuba sesekali dia memandu kereta daripada jenis yang sama milik orang lain, tentu dia dapat membuat perbandingan sama ada kereta yang dipandunya selama tujuh-lapan tahun itu masih dalam terbaik atau sebenarnya sudah jauh tersasar daripada standardnya.

Sebab itulah al-Quran dan sunah wajib menjadi rujukan dan pegangan. Sejak wahyu pertama diturunkan dahulu, al-Quran sentiasa mencabar manusia dalam banyak hal. ‘Mencabar’ bererti al-Quran mempunyai standard yang berbeda berbanding apa yang ada di sekeliling. Berapa banyak pihak yang tunduk kepada kekuatan hujah al-Quran dan berapa banyak pula pihak yang sepatutnya menerima kekuatan fakta dan hujah al-Quran tetapi mencari helah lain untuk mengekalkan kerapuhan hujahnya.

Jumaat, Februari 01, 2008

PERANG terhadap wahabi!

KESIMPULAN mudahnya ialah perang sudah diisytihar oleh jabatan agama Islam melalui media khutbah Jumaat hari ini 1 Februari 2008. Oleh kerana teks khutbah disediakan oleh penguasa agama Islam di Pahang, maka tentulah di masjid-masjid lain di Pahang juga memuat isi khutbah Jumaat yang mengisytiharkan permusuhannya dengan apa yang disebut ‘wahabi’.

Peringatan kepada jemaah (baca umat Islam) ialah ‘wahabi’ membawa ajaran baru yang berlawanan dengan ajaran Islam, antaranya

Tidak melafazkan niat sebelum solat.
Tidak membaca talqin di atas kubur.
Tidak membaca quran untuk dikirim pahalanya kepada si mati.
Tidak membaca qunut subuh.
Tidak menggunakan kaedah sifat 20 untuk mempelajari akidah Islam.
Tidak mahu bersalaman selepas solat jemaah.
Tidak melakukan solat sunat sebelum Jumaat.
Tidak mahu solat hajat berjemaah.
Tidak mahu bertahil arwah.
Tidak mahu membaca surah yasin pada malam jumaat.
Tidak berwirid beramai-ramai selepas solat jemaah.

Itu antara yang disebut dalam khutbah sebagai ajaran ‘wahabi’ yang katanya patut dijauhi oleh umat Islam. Isi khutbah juga mendakwa bahawa ulama-ulama telah sepakat bahawa semua yang tidak dilakukan oleh puak ‘wahabi’ di atas adalah sunah nabi. Umat Islam juga diseru supaya menerima ajaran al-Quran, hadis, ijmak, qias dan lain-lain (perkataan lain-lain memang jelas disebut dalam khutbah!). Juga didakwa bahawa apa yang menjadi amalan umat Islam di Pahang ialah mazhab Syafie.

Lagi, umat Islam diminta mematuhi hal-hal agama yang diputuskan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Umat Islam juga diminta lebih kerap menghadiri kelas-kelas agama untuk menghindari bawaan ‘wahabi’ ini.

Menurut khatib lagi, sebelum ini ada segelintir penceramah luar yang tidak beradab telah membangkitkan hal-hal yang telah lama disepakati oleh para ulama. Isi khutbah lagi ialah isu-isu yang dibangkitkan oleh ‘wahabi’ akan memecah-belahkan umat.

Begitulah kehendak pihak berkuasa agama. Buat sementara yang membuat saya tersenyum ialah apabila menyebut perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh puak ‘wahabi’ sebagai sunah nabi. Ini bermakna mengikut deklarasi isi khutbah, apa-apa yang tidak disukai oleh puak ‘wahabi’ sebenarnya telah jelas dalil-dalilnya daripada al-Quran dan hadis sahih Nabi, sebab itu misalnya membaca talqin dan mengirim pahala adalah sunah Nabi. Tentulah ada dalil al-Quran dan hadis sahih Rasulullah! Takkan sebuah jabatan agama hendak berbohong, tidak sama sekali!

Tak mengapa sahabat, kita dengarlah mereka membacakan dalil-dalil yang terkandung dalam kitabullah dan sunah nabi itu. Ada telinga dengar, ada mata pandang, ada akal fikir. Sesiapa pun berhak memetik dalil daripada al Quran dan sunah nabi.

Walaupun tulisan ini agak membela ‘wahabi’ saya bukanlah penganut wahabi. Samalah jika saya mengkiritik kapitalisme dan memberi kredit kepada sosialisme, tidak bererti saya seorang sosialis! Atau kalau saya membela kedudukan raja-raja, bukan bererti saya feudalis. Atau lagi, jika saya mahukan hak-hak manusia diberikan dengan adil, bukan juga bererti saya penganut demokrasi-liberal. Saya hanya seorang yang mahu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah nabi, sesuai dengan fitrah kejadian manusia.