Pengikut

Khamis, Disember 04, 2008

MENDAMBAKAN kasih orang tua

DUNIA semakin moden kerana perubahan dan berlaku juga perubahan sosial dalam keluarga. Misalnya dahulu 80 peratus negeri Selangor berstatus kedesaan, kini 80 peratus pula yang kebandaran. Kehidupan bandar dan ala-bandar memberi kesan kepada hubungan antar keluarga. Jika dahulu anak-anak membina rumah di sekitar rumah ibu bapa dan kedua-dua orang tua terjaga, hari ini sudah sebaliknya.

Banyaknya anak-anak terdidik di luar daerah akhirnya membawa mereka bertemu jodoh dengan orang yang jauh-jauh. Kemudian anak-anak pula bekerja di kawasan bandar kerana sijil dan pekerjaannya. Maka, kesannya ialah ibu bapa tertinggal berdua atau sendirian di desa. Hal ini sudah menjadi kebiasaan, tetapi tanggung jawab anak-anak kepada orang tua tidak pernah dilonggarkan kerana perubahan sosial ini.

Secara prinsip memang ibu bapa tidak akan menagih pengorbanan anak-anak pula untuk mendekati mereka pada hari tua. Kasih sayang ibu bapa kepada anak akan senantiasa reda dengan anak-anak sekalipun kehidupannya semakin ‘luka’ dan rasa rindu dengan anak-anak kian tebal. Kerana kasih diizinkan juga semua anak-anak mencari kehidupan di bandar-bandar untuk keselesaan mereka.

Ibu bapa, semakin tua kian seni jiwanya, bertambah-tambah mahukan perhatian dan kasih sayang daripada anak cucunya pula. Lantaran itu jika anak-anaknya semua telah berhijrah dan menjauh dari desa kelahiran, saban hujung minggu pasti mereka ternanti-nanti siapakah yang akan kembali ke desa sebagai penziarah.

Banyak cerita ibu bapa tidak mahu berhijrah ke bandar atau tempat kerja anak-anak. Kerana itulah ada yang sanggup hidup sendirian di desa menjaga ayam dan itik. Ada pula anak-anak tidak faham dengan kehendak orang tua ini dengan mengatakan ibu atau bapanya pula tidak faham keadaannya yang berjawatan di kota. Bagi anak ini wajib ibu atau bapanya turut sama tinggal di kota supaya terjaga kesihatan dan makan minumnya.

Bagi orang tua tidak sama sekali meninggalkan desa kelahiran selagi masih punya kemampuan berdikari dan kesihatan mental. Kedua-dua orang tua dilahirkan di desa, kemudian membesar sehingga tua dengan budaya desa yang mendarah daging. Oleh itu, tidak mungkin sama sekali kehidupan ini tiba-tiba direnggut untuk menjadi seperti burung dalam sangkar di tengah-tengah kota. Anak-anak mereka sendiri pun tidak akan selesa jika dijadikan ‘burung dalam sangkar’ di desa setelah membudaya dengan kehidupan kota, walaupun dahulu desa itulah tempatnya bermain lumpur dan mengejar haiwan ternak.

Apa-apa pun akhirnya si anak wajib pula menerima hakikat tanpa orang tuanya itu, tidak mungkin dirinya menerima keenakan hidup yang jauh lebih mewah berbanding kedua-dua orang tuanya di desa. Hari ini, tibalah masanya anak-anak berkorban pula untuk membelai, mendengar cerita dan celoteh orang tua di desa. Orang tua faham dunia baru anak-anak yang berpelajaran tinggi, tetapi masih mahu bermesra dengan anak cucu pada saat-saat penting! Maka, berapa pun jumlah anak yang dimiliki, mestilah ada yang mengalah demi menceriakan kehidupan orang tua di desa. Bagaimana memberi maksud ‘mengalah’ terpulanglah kepada kebijaksanaan anak-anak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan