Pengikut

Rabu, Disember 10, 2008

CATATAN haji: pakcik yang sakit

Catatan oleh kendedes

Musim haji 2001: Dalam grup saya ada seorang pakcik umur 63 tahun seorang peneroka Felda dari Temerloh. Sampai di Madinah terus demam dan kemudian sakit-sakit badan sampai tidak boleh ke masjid. Pernah dia cuba juga hendak pergi, lemah dan tidak terdaya. Apo nak buek, dah nasib dio.

Sampai ke Makkah pun kesihatannya sama, jadi pakcik ini sekadar duduk di dalam bilik. Makan pun isterinya tolong hantar. Tapi gaya dia bercerita dengan kami tak berapa nampak masalah kesihatannya. Untuk ibadah umrahnya, dia terpaksa mengupah orang mengangkat berkeliling kaabah dan naik kerusi roda sewaktu sai.

Walaupun dia tidak sihat dan dianggap kurang upaya, nasib baik juga kerana tidaklah menjadi beban baru kepada rakan-rakan dalam bilik sama ada di Madinah dan Makkah. Sampai di Makkah, demamnya tidak ada lagi, cuma mengadu badannya sakit-sakit dan tak mampu nak berjalan. Paling jauh dari tingkat tujuh hotel ialah ke bagian bawah nak beli barang sedikit sebanyak dengan isterinya. Ooo, rupanya dia beli sekali tongkat, dapat juga membantunya bergerak.

Begitulah keadaannya sehingga orang sibuk hendak berangkat ke Arafah. Dia bertongkat dan barang-barangnya kami tolong bawa ke bas. Kerana kesakitannya, segala pergerakan kerja-kerja haji dia terpaksa mencari orang untuk membawanya dengan kerusi roda. Kasihan juga pada isterinya yang memang nampak berusia itu.

Namun semasa orang sibuk-sibuk hendak balik selepas siap kerja haji, pakcik ini kelihatan agak segar. Saya dan rakan-rakan perhatikan juga sewaktu menunggu bas hendak ke Jeddah dia sudah boleh berdiri lama dan menarik begnya sendiri. Kawan saya Radzuan dari Dungun yang cepat memberitahu saya mengenai perubahannya.

Betullah, apabila sampai ke Jeddah dan orang sibuk dengan urusan barang untuk ditimbang dan diperiksa, pakcik berkenaan sudah berjalan seperti biasa tanpa tongkat. Gaya dia berdiri juga tidak terbongkok-bongkok lagi. Yalah.., kami semua hanya memerhatikan saja.

Teringat kata-katanya kepada saya dalam bilik di Makkah yang suatu masa dia akan kembali semula menunaikan haji kerana berasa hajinya pada waktu itu tidak sempurna. Dia berasa tidak puas kerana banyak berada dalam bilik dan mengupah orang untuk menggerakkannya. Apo nak buek, dah nasib dio.

10 disember 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan