Pengikut

Khamis, Disember 18, 2008

BOMOH temberang?

DALAM filem DOREMI ada satu babak bomoh kena ikat kemudian Re menyamar menjadi bomoh. Akhirnya Re meminta maaf kepada bomoh berkenaan dengan mengatakan dirinya bomoh temberang. Yang bertambah lucu bomoh yang diikat juga mengaku dirinya selama ini bomoh temberang! Kah.., kah…, kah…

Yang saya hendak tulis bukan cerita dongeng, ini betul-betul, bukan cobaan. Di Pantai Timur ada satu keluarga tiba-tiba panik dan kecoh kerana anak remaja lelakinya tidak pulang ke rumah, keluar pagi sampai malam tak balik. Kemudian jam 3.30 pagi mereka buat laporan polis. Tak senang tidur dibuatnya, maklumlah anaknya tidak pernah pun berbuat begitu. Tambah sekarang dengar ada macam-macam kes jenayah, lagi kecut dan gerun ibu dia.

Biasalah, orang Melayu…, maka pergilah ke rumah bomoh terdekat. Maka bersabdalah Tok Bomoh dengan mengatakan anaknya ada tinggal dengan kawannya. Itu sajalah klu yang diberinya. Eh berapa punya banyak dia punya daaa….

Kemudian ada peribadi polis (maknanya bukan dasar pihak polis) mencadangkan satu nama bomoh yang jempolan! Setelah bernujum macam Nujum Pak Belalang, maka bomoh ini pula tidak mengatakan di rumah kawan tetapi ada dalam sebuah rumah berwarna kuning di satu kawasan iaitu XXX.

Lihatlah, macam teka-teki pula mana satu antara bomoh ini yang temberang. Maka keluarga ini pergilah ke XXX dan bertandang ke mana-mana rumah yang berwarna kuning. Misi yang gagal. Temberangkah bomoh ini?

Tup-tup, pada hari ketiga jam 5.30 petang anak lelaki yang disangka hilang entah ke mana pulang semula ke rumah. Budak ini meninggalkan rumah tanpa klu apa-apa kira-kira selama 56 jam. Apabila ditanya pergi ke mana, dia menjawab ke Kuala Lumpur, lihat PC fair! OK, tak mengapalah…, yang penting dia selamat.

Nah, dua-dua bomoh itu temberang. Alahai orang Melayu kita, belajar sampai dapat digri, belajar sains lagi, tapi boleh percaya temberang kosong orang tak sekolah.

Jangan main-main dengan percayakan bomoh ini, sah syirik, dosa besar, dosa tak diampun Allah! Tapi hairanlah orang kita, bab syirik bukan ngeri sangat. Orang kita lebih gerun dengan babi nampaknya.

Mari lihat, adakah Nabi Muhammad yang dipilih sebagai Rasulullah tahu hal ghaib sebagaimana bomoh temberang mendakwa tahu hal ghaib. Ayat 188 surah al-Araaf bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan.”

Lagi maksud firman Allah ayat 26-27 surah al-Jin “Tuhanlah sahaja yang mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun, kecuali kepada mana-mana rasul yang diredainya.”

Demikian perasaan telah mengalahkan iman dan pemikiran. Dan ini pun sebagian contoh akidah yang mudah bocor. Emm… terasa lucu apabila orang-orang berilmu sains dan teknologi kena temberang mat bomoh. Lainlah kalau bomoh itu guna satelit ke… logik juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan