Pengikut

Selasa, Disember 09, 2008

IBADAH bukan hanya berita


APAKAH namanya berita? Berita yang digarap oleh wartawan mestilah suatu yang luar biasa. Yang luar biasa itu memang menjadi perhatian umum, dan kalau diletakkan dalam akbar akan laris. Dalam buku teori dan kursus kewartawanan yang pernah penulis lalui analogi berita itu sebagai berikut: Anjing mengigit orang bukan berita, tetapi orang menggigit anjing adalah berita!

Namun kalau sejak pelaporan itu banyak pula orang menggigit anjing dan berlaku di mana-mana, akhirnya ‘orang menggigit anjing’ bukan lagi berita. Fahamlah suatu berita sensasi seperti perbicaraan kasus berat dalam mahkamah nilai beritanya kian menurun hari-hari berikutnya dan sampai akhirnya orang tidak perdulikan lagi apa ceritanya.

Naluri nilai berita ini tampaknya sudah lama diguna pakai dalam melaksanakan ibadah dalam agama. Bersempena hadirnya Iduladha ini seperti musim-musim sebelumnya, penuh rapat masjid kerna banyak orang menunaikan solat sunat eid. Mengapa orang berjejal-jejal ke masjid untuk solat sunat eid dan tarawih sedangkan saban hari ada lima waktu yang lebih tinggi nilainya untuk solat berjemaah di masjid?


Seperti menafsir nilai berita: Yang baru itu tinggi nilainya, semakin lama kian turun nilainya. Masyarakat juga menilai solat-solat sunat yang setahun hanya sekali atau sebulan dalam setahun sebagai tinggi nilainya kerana bukan hari-hari. Kerna bukan kelaziman, solat eid yang hukumnya sunat seperti kelihatan wajib sehingga ada orang sanggup berpayung kerna hujan. Cuba lihat solat fardu lima waktu di masjid yang sama, berapa jumlah yang ada? Syaitan pun tertawa……..

Perhatikan juga jumlah orang yang hadir malam pertama Ramadan di masjid berbanding dengan malam ke-20 hingga akhir. Tampak jelas yang malam awal itu bagai tidak cukup ruang dalam masjid. Namun setelah berhari-hari, nilai solat tarawih itu kian pudar dan akhirnya nafsu manusia menganggap tarawih tiada nilai apa-apa. Fahamlah apabila malam-malam terakhir Ramadan, masjid kian lapang.

Perhatikan juga hebatnya orang yang melalaikan masjid tetapi cukup bernafsu mengadakan majlis tahlilan. Orang yang solat Isyak di masjid belum sampai, mereka sudah siap duduk dalam ruang tamu! Namun rasanya tahlilan ini jika dibuat setiap hari tanpa henti pun orang tak bosan sebab ada hidangan yang memenuhi nafsu.

Demikianlah kefahaman beragama yang disandarkan pada nafsu dan akal manusia semata-mata. Sekalipun banyaknya diseru agar beribadah berdasarkan dalil dan hujah alquran dan sunah, namun pertempuran kerap berlaku antara kehendak nafsu dengan kehendak Allah dan rasul. Dengan kebiasaan yang terhampar jelaslah nafsu berjaya mengalahkan seruan Allah dan rasul-Nya.


Telah beratus-ratus tahun begitu penilaian terhadap ibadah, maka beruntunglah yang telah mengalahkan nafsu dalam beribadah kepada Allah. Oleh itu benarlah dalam satu maksud hadis nabi bahawa Islam itu asalnya hadir sebagai terpencil, maka akan berakhir dengan terpencil juga. Islam itu mestilah asasnya alquran dan sunah, bukan kelaziman dan hawa nafsu masyarakat muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan